Tuesday 2 May 2017

Perjalanan ini: Tawaf Wida' Hari Jumaat

Mekah: Last Day

Hari ini Jumaat, 27 Januari 2017 bersamaan 28 Rabiul Akhir 1438H merupakan hari terakhir kami di bumi Mekah. Bermakna kami harus menyempurnakan tawaf Wida'. Perasaan saya tidak dapat digambarkan sebab selepas melakukan tawaf wida' kami bakal meninggalkan Rumah Allah.  Sehari sebelum ini, kami telah diberi taklimat tentang perjalanan Tawaf Wida' ini.

Saya sempat membuat beberapa catatan tentan Tawaf Wida' ini.

"Tawaf Wida' ni amalan penutup amal ibadah sebelum meninggalkan bumi Mekah. Ianya sebagai adab mengucapkan selamat tinggal kepada Rumah Allah. Ada kata wajib buat Tawaf Wida' kepada sesiapa yang nak meninggalkan Mekah pada jarak dua marhalah (56 batu/96km)......"

"Selepas melakukan Tawaf Wida' jemaah harus meninggalkan Mekah dalam masa 4-5 jam pada hari Jumaat atau dalam masa 2-3 jam pada hari selain Jumaat........" 


Perkara yang dilarang selepas tawaf Wida' :
  • Buat solat sunat
  • Beri sedekah walaupun sedikit
  • Menunggu suami/isteri dalam masjidil haram. Maksudnya, selesai sahaja buat tawaf 7 pusingan tu kita kena terus keluar dari Masjidil Haram. 
  • Duduk menunggu waktu solat dalam Masjidil Haram.
  • Selfie, wefie atau apa sahaja posing untuk bergambar
  • Membeli-belah selain keperluan
  • Bayar hutang
  • Santai-santai dalam bilik hotel.
Memandangkan kami akan bertolak balik pada jam 2.30 petang maka tawaf wida' boleh dilakukan seawal jam 10 pagi. Jemaah perempuan akan buat tawaf terus 7 pusingan pada jam 10 pagi itu. Lepas tu naik ke bilik hotel untuk rehat, makan dan solat zohor dengan syarat tak boleh baring, tidur atau bersantai-santai. Manakala jemaah lelaki buat tawaf 6 pusingan dulu, lepas tu solat Jumaat kemudian sambung lagi satu pusingan tawaf. 

Seperti biasa pada hari Jumaat, Masjidil Haram akan penuh sesak. Pengalaman minggu sebelum ni banyak mengajar saya selok belok beribadah di sini dalam suasana manusia yang bersesak-sesak. Alhamdulillah saya telah mempersiapkan mental untuk menghadapi ujian terakhir di bumi mekah ini. Selepas sarapan dan berkemas apa yang perlu kami turun ke masjid seawal jam 9.30 pagi. Sungguh bagai dikata, Masjidil Haram penuh dengan lautan manusia. Nak masuk pun sesak. Alhamdulillah saya dan Nina dapat menyusup masuk dicelah-celah kesesakan. Hubby dan Amin dah hilang dalam lautan manusia. Pada masa ini saya mula memahami keadaan di Padang Mahsyar nanti. Allah telah katakan yang di Padang Mahsyar nanti manusia akan bersifat nafsi-nafsi. Masing-masing akan menyelamatkan diri sendiri tanpa pedulikan sesiapa. Hanya amalan yang akan menyelamatkan kita dari azab Allah. :(

Kami mencari-cari ruang berdekatan dengan Mataf untuk bersolat tahiyatul masjid sebelum melakukan tawaf. Mataf ialah pintu masuk untuk ke kawasan Kaabah. Alhamdulillah ruang sentiasa ada. Selepas solat kami terus melakukan tawaf. Saya tidak melepaskan tangan Nina takut dia hilang. Kami terpaksa ikut lingkaran pusingan yang agak jauh sebab tak mampu nak bersesak-sesak berhampiran Kaabah. Sungguh, fokus dalam ibadah sangat penting dan tawaf dalam lingkaran luar terasa jauh dan lama. Beberapa kali Nina memberi semangat sebab saya dah mula penat. 

Alhamdulillah kami selesai melakukan tawaf pada jam 11.00 pagi. Ujian datang lagi apabila tiada ruang untuk kami solat sunat selepas tawaf. Semuanya penuh sesak dengan para jemaah lain yang senasib dengan kami. Alhamdulillah tetiba sahaja Allah buka ruang betul-betul depan Kaabah. Sempatlah kami solat dan bermunajat untuk kali terakhir sebelum dihalau keluar oleh petugas masjid.

By pukul 11.30 pagi para petugas masjid mula menutup jalan masuk dan keluar masjid untuk persediaan solat Jumaat. Sekali lagi ujian datang apabila jalan keluar ke pintu 92 dan 93 yang menghala ke hotel Safwa telah di tutup. Kami tercari-cari ruang lain untuk keluar dari Masjidil Haram sebab tak boleh tinggal dalam masjid selepas selesai tawaf Wida'. Pada penglihatan saya, semua ruang dipenuhi dengan jemaah lelaki. Takkan la kami nak redah je berasak-asak dan bersesak-sesak dengan mereka. Terasa sangat tercemar apabila terpaksa berlanggar-langgar dengan jantina lain. Saya tak pasti berapa lama kami terperangkap dalam keadaan begitu apabila tiba-tiba sahaja kami sudah berada di luar Masjidil Haram. Dari pintu keluar itu saya tercari-cari Clock Tower yang menjadi land mark hotel Safwa. Subhanallah Clock Tower itu kelihatan nun jauh di seberang sana Masjidil Haram. Rupa-rupanya arus manusia telah membawa kami keluar melalui pintu yang bertentangan dengan pintu keluar yang sepatutnya. Pintu nombor berapa tah dah lupa. Nampaknya kami terpaksa buat U-turn 180 darjah, mengharung lautan manusia lagi sekali.

"Takpe Nina.....kita redah je" sambil mata saya tak lepas daripada memandang mercu tanda Clock Tower itu takut tersesat jalan lagi. So kami keluar masuk, keluar masuk mana-mana sahaja ruang yang boleh dilalui. Sepanjang perjalanan itu kami tidak jemu berzikir dan berdoa supaya hati ini sabar dan badan saya cukup tenaga untuk sampai ke hotel semula. Akhirnya selepas melalui beberapa siri ujian yang lain kami selamat tiba di hotel sejurus sebelum azan Jumaat. Alhamdulillah. Sungguh, saya merasai pengalaman yang sangat bermakna walaupun tidak setanding pengalaman Siti Hajar mencari air untuk anaknya Nabi Ismail.

Saya singgah di kafe hotel membeli juadah makan tengahari dan sedikit bekal untuk perjalanan ke Madinah nanti. Sampai di bilik hotel saya terus bersandar di bucu katil melepaskan lelah.

"Umi jangan baring nanti tertidur, batal tawaf Wida'...." Nina mengingatkan saya yang dah hampir tertelap. Saya terus bangun dan mandi dan bersiap untuk solat Zohor. Kemudian mengemas barang-barang dan memasukkan ke dalam beg sebagai persiapan terakhir sambil menunggu hubby dan Amin selesai solat Jumaat.

Tepat jam 2.30 petang kami semua selamat menaiki bas untuk menuju Madinah meninggalkan bumi Mekah bersama pelbagai perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.....


PS: Semoga Allah mengurniakan rezeki untuk kami ke sini lagi.

No comments:

60 Days In UK: Central Park Hotel & Iftar @Tukdin

Selasa, 26hb Mac 2024 Hari ini dah masuk hari ke-55 kami di bumi bertuah ini dan masuk minggu kedua kami di Southampton . Seperti minggu lep...