Wednesday, 31 May 2017

Anai-anai di lamanku

Sejak beberapa minggu lepas koloni anai-anai semakin membiak di halaman rindu rumah ni. Asalnya saya tambah beberapa keping rumput karpet pada kawasan yang dah mula gersang. Tak sangka pulak orang nursery tu jual rumput karpet yang ada anai-anai. Dah susun-susun kat laman baru nampak anai-anainya. Dan tak sangka pulak anai-anai tu cepat benor membiaknya. Awalnya saya biarkan aje depa nak menumpang cari makan asalkan tidak mengganggu gugat keharmonian hidup saya. Rupa-rupanya spesis makhluk perosak ni tak boleh diberi muka. Suka hati pulak depa buat terowong kat pangkal pokok-pokok tanaman saya. Mula-mula depa bina terowong kat pokok mangga epal, lepas tu pokok delima seterusnya pokok rambutan. Apa lagi, saya kikis semua terowong kat pangkal pokok-pokok tu dan korek sampai ke dalam tanah. Alhamdulillah depa dah tak kacau dah pokok-pokok tu.

Tapi sejak hujan asyik mencurah-curah sejak akhir-akhir ni kelihatan terowong anai-anai semakin banyak kat bawah rumput dan sekitar pasu bunga saya. Risau pulak takut depa korek bawah rumah dan cari jalan untuk naik atas rumah pulak. So hari tu saya call beberapa pest control. Mak aih..... boleh tahan juga depa bagi sebut harga. Ada yang cecah sampai RM2000!!! Sebulan gaji ambe tuh! Makna kata, untuk pencegahan sementara ni saya DIY beli racun anai-anai kat kedai hardware dulu. Bancuh je racun tu dalam baldi dan siram kat mana-mana tempat yang disyaki. Agak leceh juga sebab nak kena berjaga-jaga dengan keselamatan diri sendiri. 
Ikut je arahan kat label tu. RM14 sebotol.

Tiba-tiba dua hari lepas, saya perasan koloni anai-anai tu buat terowong kat pokok mangga siam pulak. Cepat betul depa bina terowong tu. Depa dah panjat sampai ke pucuk. Apa lagi.... saya panjat dan kikis semua terowong tu. Habis jatuh bergelimpangan semuanya. Gemuk-gemuk montel belaka. Harapannya depa tak buat terowong baru. Rupa-rupanya tak serik lagi. Hari berikutnya depa bina terowong baru sampai ke pucuk juga. Memandangkan tanahnya pun masih basah lagi, saya tak perlu panjat dan kikis. Memadai siram dengan air pancut daripada bawah sahaja. Habis bertepek-tepek terowong anai-anai tu jatuh ke lantai. Lepas tu saya tuang racun terus dari botol kat pangkal pokok tu. Malas nak bancuh dengan air. Saya biarkan racun tu larut bersama air simbahan tadi. Alhamdulillah tengok hari ni dah takde dah terowong baru. Harap-harap depa serik nak mai sini lagi. Lepas ni nak kena bersihkan kawasan bawah pokok tu pulak. Kikis tanah, sapu daun dan basuh lantai mozek tu. Hmm.....sabo jelah.
Kesian tengok batang pokok manga ni. Habis luka-luka kesan terowong anai-anai. Lepas saya kikis tanah-tanah yang tinggal tu saya siram dengan air. (Dalam hati berdoa supaya lukanya tak pedih kena air....haha)

Bangun pagi hari ni terasa kesegaran selepas hujan semalam. Hari ni mood melawat laman. Sambil tabur baja organik kat pasu-pasu bunga sambil menikmati bunga-bungaan yang mula segar.
Kemboja putih. 

Pokok selasih. 
Lepas ni nak petik biji buat sirap bukak posa.

Bunga mahkota berduri

Bunga alamanda di celah-celah ranting kemuning.

Bunga raya jenis apatah tah. Lupa pulak.

Teratai yang tunduk malu-malu.

 Roses....



PS: Ramadhan Kareem.....menyedut udara segar di pagi Ramadhan yang ke 5 hari ini. Dalam kepala dah bersarang macam-macam projek sempena cuti sekolah ni....:)
     



Tuesday, 30 May 2017

Suka-suki Hari Guru 2017

Sambutan Hari Guru kami biasanya ditunda hingga ke hari akhir persekolahan. Tahun ini jatuh pada hari Jumaat, 26 Mei 2017. 

Memandangkan ramai antara guru mempunyai sahabat guru dari sekolah lain, maka pada hari guru yang jatuh pada 16 Mei baru-baru ni, masing-masing pakat share acara sambutan hari guru di sekolah memasing. Macam-macam tema yang depa pilih. Mengambil semangat guru-guru itu kami pun pakat-pakat buat sambutan syok sendiri. Kebetulan ada guru yang suka rela uruskan acara badminton so kami pun pakat-pakat sokong main sama-sama. Sesama guru perempuan sahaja. Bukan lah sambutan beriya sangat pun, cuma lebih kepada sukan merapatkan ukhuwah. Depa susun ikut kategori umur, muda, sederhana dan veteren. Maka sudah semestinya lah saya dalam kategori veteren. Asalnya saya cuma nak jadi referee. Malas nak main. Selama ni pun saya cuma temankan hubby dan anak-anak main je. Tiga Abdul tu memang pro badminton. Saya cuma tolong sediakan air dan tolong jagakan barang kat tepi court sahaja. Malas nak main sebab selalunya saya hanya jadi tukang kutip bola. Kali ni saja nak join suka-suka. Yuran penyertaan RM2 sorang untuk cover sewa gelanggang RM12 sejam.

Dah namanya veteren, sah-sah lah main satu game pun dah pancit. Alasan..... sebab dah lama tak pegang raket badminton. Penat nak berlari-lari kejar bola. Maka saya teruskan peranan sebagai referee sahaja.
Tak sangka pulak dapat saguhati referee....:)

Nampaknya tahun ni kami sambut hari guru dengan acara fizikal. Lepas habis badminton kami berbola jaring pulak. Dah berzaman tak pegang bola jaring. Kengkonon jadi WD, buat lawak je. Tapi seronok tengok sahabat sepasukan dengan semangat kesukanan masing-masing. 

Hari kemuncak sambutan hari guru kami ber 'explorace' pulak. Ala-ala program running man gitu. Walaupun tak dapat apa-apa nombor (sebab kami semua control ayu kot), tapi semua happy kerja berpasukan. Alhamdulillah.
The Pinky Team.....


PS: Terima kasih kepada semua pelajar yang menitip hadiah hari guru untuk saya. Sangat menghargai ingatan anda semua. Juga kepada semua AJK yang menjayakan sambutan hari guru tahun ini. Moga segala penat lelah diganjari Allah setimpalnya......



Saturday, 20 May 2017

Patin tempoyak

Baru-baru ni tetiba beli ikan patin. Kat kedai runcit je pun. Entah kenapa terasa nak makan patin masak tempoyak. Minggu sebelum tu saja ajak hubby pi lunch kat Restoran Go'Bang Maju, Sri Rampai. Saya order ikan telapia masak pais. Memang sedap walaupun agak pedas. Order sekor je memang sah-sah lah tak cukup, walaupun kami order juga ikan patin masak gulai tempoyak dan lain-lain hidangan. Saya lebih suka makan pais. Lepas tu terus berazam nak masak pais sendiri. Sebelum ini tak pernah langsung masak ikan patin.

Rupa-rupanya menyiapkan hidangan ikan patin masak tempoyak ni mudah sahaja. Yang penting wajib ada tempoyak. Dan kesedapan gulai dan pais juga bergantung kepada jenis tempoyak yang digunakan. Alhamdulillah bahan-bahan masakan telah tersedia di sekitar rumah saya sahaja. Walaupun tak seberapa, cukup lah sekadar dapat menuai hasil berbudi pada tanah.....
Daun kunyit yang kurang kasih sayang.
Rupa-rupanya kat dalam pasu lagi satu penuh dengan ubi kunyit. 
Tuaian kunyit di belakang rumah.

Kebetulan Dayah balik bercuti hari tu, maka berpatin lah kami sekeluarga pada suatu tengahari. Sungguh, untuk merasai kenikmatan dan kesedapan gulai tempoyak dan pais ikan patin wajib pada waktu tengahari, Cuaca panas dan nasi juga wajib baru masak panas-panas. Tambah pulak dengan ulam raja petik di belakang rumah. Fuh..... nikmat Tuhan manakah yang engkau dustakan!

Resepi Gulai tempoyak 

  • 2 senduk tempoyak + 2 cawan air (ikut kecairan memasing)
  • 5 biji cili api (ikut kepedasan memasing, tumbuk kasar-kasar)
  • Seketul kunyit segar (segar dari ladang, tumbuk kasar-kasar)
  • 2 batang serai di ketuk sahaja (segar dari ladang)
  • sedikit daun kesum.

# Campur semua bahan ke dalam periuk dan jerang atas api hingga mendidih. Masukkan ikan patin dan garam secukup rasa. Kacau perlahan hingga mendidih semula. Siap.
Gulai tempoyak siap.....

Resepi Pais

  • 2 senduk tempoyak
  • 5 biji cili padi (ikut kepedasan memasing, tumbuk kasar-kasar)
  • Seketul kunyit segar (segar dari ladang, tumbuk kasar-kasar)
  • Sehelai daun kunyit  dihiris halus (juga segar dari ladang)

#Campur semua bahan ke dalam mangkuk jadikan paste bahan pais. Tambah garam secukup rasa. Sendukkan bahan pais itu ke atas daun pisang, kemudian letakkan ikan patin atas bahan pais itu. Kemudian curahkan lebihan bahan pais ke atas ikan. Balut ikan dengan rapi dan bakar. (Saya bakar dalam kuali serbaguna sahaja)
Pais patin in the making. 
Daun pisang juga dari belakang rumah.

Ulam raja yang segan-segan nak hidup 

Kalau perati betul-betul dua-dua resepi tu macam sama sahaja. Bahan asas hanyalah tempoyak, cili api dan kunyit. Saya tumbuk dan gaul semua bahan asas tu sekali harung. Kemudian saya bahagi kepada dua bahagian. Kalau nak buat pais tambah daun kunyit. Kalau nak buat gulai tambah air, serai dan daun kesum. Kemudian saya tambah garam secukup rasa. Of course lah sebelum tu kena ada ikan patin yang sudah dicuci bersih. Saya basuh ngan garam dan tepung gandum dahulu. Guna petua nenek saya untuk hilangkan hanyir ikan. Last sekali masak lah mengikut kesesuaian.....


PS: Terima kasih Allah atas nikmat yang berpanjangan.....



Sunday, 14 May 2017

Di sebalik kesibukan.

Dah lama saya tak pi jogging secara rasmi. Real jogging, ikut proper prosedure, ada warm up, warm down, timing dan sebagainya. Reasons? Entah. Sibuk? Maybe. Cuaca? Mungkin. Biasanya saya pi jogging dengan Hubby, so kena lah ikut masa bila dia free. Namun sejak akhir-akhir ni Hubby asyik sibuk out-station bagai, maka kurang lah masa untuk jogging bersama. Kadang-kadang ada masa, hujan lebat pulak. Almaklum lah berjogging hanya pada hujung minggu. So bila dah miss satu minggu terpaksa tunggu minggu seterusnya. (Hmm... nampak macam ada sebab yang kukuh di situ) Akhirnya asyik tertangguh-tangguhlah hingga badan pun dah rasa berat. Tak lama lagi nak sambut Ramadhan. Persediaan jasad wajib la kena fit.

Alhirnya petang semalam saya pasang niat untuk pi jugak jogging walau apa pun keadaan. Alhamdulillah Allah izinkan cuaca agak baik dan berikan ruang masa untuk kami merealisasikan niat murni itu.....:) So, Taman Tasik Ampang, there we went.....(ada ke frasa camtu?)
Cuaca agak mendung sebenarnya.

Biasanya tiap kali lepas jogging kami akan replanish balik segala tenaga. Kebetulan kat situ ada gerai Rojak Din. Maka berojak dan bercendol lah kami berdua-duaan. Kata orang "Sesia je pi jogging lepas tu makan segala macam." Tak kisah lah kan. Yang penting kita dah exercise...



PS: Sakinah. Mawaddah wa Rahmah. Mudah-mudaham kami dapat melewati setiap fasa dalam peliharaan Allah sentiasa.....


Wednesday, 10 May 2017

Semut Dalam Kabinet Dapur.

Dah lama saya dok perati semut-semut pendatang yang mula buat onar di rumahku syurgaku ini. Biasanya depa sibuk kat meja makan di dapur sahaja. Suka sangat pi melawat makanan leftover yang saya simpan bawah saji kat meja dapur tu. Setakat ilmu yang ada, saya menyangka depa ni mai ikut bawah tanah. Maka sibuklah saya memastikan kawasan lantai bawah meja, kaki meja dan sekeliling meja sentiasa bersih. Tapi masih juga depa ni dok mai menyibuk. 

Alhamdulillah kebetulan hari ni cuti sempena Hari Wesak, maka saya manfaatkan cuti seharian ini untuk operasi spring clean dapur comelku. Kebetulan juga hubby pi out-station dan anak-anak semua takde, so the house is all mine. Fuh, fuh!....mummy all in bibik attire, sinsing lengan dan turun naik kerusi untuk cari pintu gerbang sang semut pendatang tanpa izin itu. 

Tu dia..... rupa-rupanya depa pakat masuk ikut belakang para atas kabinet pinggan mangkukku. Tak tahu lah asalnya depa masuk ikut mana. Elok je keluar melalui dinding atas kabinet tu. Takut pulak nak kata dari jiran sebelah. Kabinet tu memang jarang-jarang saya buka sebab guna untuk letak stok pinggan-mangkuk yang hanya keluar sekali-sekala waktu ada keramaian dan kenduri kendara sahaja. Pinggan-mangkuk tu pulak saya simpan balik dalam kotak-kotak asal selepas digunakan bagi memudahkan susunan penyimpanan. Undang-undangnya hanya saya sahaja yang boleh menyusun semua barang dalam kabinet dapurku. Orang lain tak boleh usik. Patutla para semut tu suka hati duduk diam bersarang kat dalam tu. Aman damai tanpa gangguan manusia lain.

Apa lagi, sesi punggah memunggah barang pun bermula. Dan disebalik kotak-kotak pinggan itu terkumpul batalion semut halus penuh sopan duduk diam-diam buat sarang. Depa macam akur sahaja yang sarang depa dah kena hendap. Terus sahaja saya sembur dengan cecair serai wangi. (Biasanya saya guna ridset, tapi takde stok sebab dah lama tak guna) Serai wangi ni lebih mesra alam. Saya agak la.
Arwah semut halus yang bergelimpangan
 selepas kena sembur ngan serai wangi.

Alhamdulillah depa belum menakluki kawasan sebelah yang penuh dengan tuperware tuh. Bahagian ni saya selalu guna. So kalau ada apa-apa yang pelik cepat sahaja boleh ambik tindakan.

Selepas dicuci.....
Saya tingalkan sedikit titisan serai wangi di kawasan penjuru kabinet sebagai benteng.
(kot-kot depa teringin nak mai lagi) 

Lepas ni sesi membasuh dan  mencuci  semua pinggan-mangkuk pulak. Kemudian keringkan sebelum diangkut  masuk dalam kabinet semula. Lepas tu nak kemas kabinet rempah ratus dan stok makanan pulak. Lepas tu nak mop lantai. Lepas tu nak basuh bilik air. Lepas tu nak basuh porch depan dan belakang....... and the list goes on.  Entah cukup ke tidak dengan cuti nan sehari ini.....hmm.


PS: Dulu pun pernah juga buat operasi macam ni... 



Tuesday, 2 May 2017

Perjalanan ini: Tawaf Wida' Hari Jumaat

Mekah: Last Day

Hari ini Jumaat, 27 Januari 2017 bersamaan 28 Rabiul Akhir 1438H merupakan hari terakhir kami di bumi Mekah. Bermakna kami harus menyempurnakan tawaf Wida'. Perasaan saya tidak dapat digambarkan sebab selepas melakukan tawaf wida' kami bakal meninggalkan Rumah Allah.  Sehari sebelum ini, kami telah diberi taklimat tentang perjalanan Tawaf Wida' ini.

Saya sempat membuat beberapa catatan tentan Tawaf Wida' ini.

"Tawaf Wida' ni amalan penutup amal ibadah sebelum meninggalkan bumi Mekah. Ianya sebagai adab mengucapkan selamat tinggal kepada Rumah Allah. Ada kata wajib buat Tawaf Wida' kepada sesiapa yang nak meninggalkan Mekah pada jarak dua marhalah (56 batu/96km)......"

"Selepas melakukan Tawaf Wida' jemaah harus meninggalkan Mekah dalam masa 4-5 jam pada hari Jumaat atau dalam masa 2-3 jam pada hari selain Jumaat........" 

Perkara yang dilarang selepas tawaf Wida' :
  • Buat solat sunat
  • Beri sedekah walaupun sedikit
  • Menunggu suami/isteri dalam masjidil haram. Maksudnya, selesai sahaja buat tawaf 7 pusingan tu kita kena terus keluar dari Masjidil Haram. 
  • Duduk menunggu waktu solat dalam Masjidil Haram.
  • Selfie, wefie atau apa sahaja posing untuk bergambar
  • Membeli-belah selain keperluan
  • Bayar hutang
  • Santai-santai dalam bilik hotel.
Memandangkan kami akan bertolak balik pada jam 2.30 petang maka tawaf wida' boleh dilakukan seawal jam 10 pagi. Jemaah perempuan akan buat tawaf terus 7 pusingan pada jam 10 pagi itu. Lepas tu naik ke bilik hotel untuk rehat, makan dan solat zohor dengan syarat tak boleh baring, tidur atau bersantai-santai. Manakala jemaah lelaki buat tawaf 6 pusingan dulu, lepas tu solat Jumaat kemudian sambung lagi satu pusingan tawaf. 

Seperti biasa pada hari Jumaat, Masjidil Haram akan penuh sesak. Pengalaman minggu sebelum ni banyak mengajar saya selok belok beribadah di sini dalam suasana manusia yang bersesak-sesak. Alhamdulillah saya telah mempersiapkan mental untuk menghadapi ujian terakhir di bumi mekah ini. Selepas sarapan dan berkemas apa yang perlu kami turun ke masjid seawal jam 9.30 pagi. Sungguh bagai dikata, Masjidil Haram penuh dengan lautan manusia. Nak masuk pun sesak. Alhamdulillah saya dan Nina dapat menyusup masuk dicelah-celah kesesakan. Hubby dan Amin dah hilang dalam lautan manusia. Pada masa ini saya mula memahami keadaan di Padang Mahsyar nanti. Allah telah katakan yang di Padang Mahsyar nanti manusia akan bersifat nafsi-nafsi. Masing-masing akan menyelamatkan diri sendiri tanpa pedulikan sesiapa. Hanya amalan yang akan menyelamatkan kita dari azab Allah.....:(

Kami mencari-cari ruang berdekatan dengan Mataf untuk bersolat tahiyatul masjid sebelum melakukan tawaf. Mataf ialah pintu masuk untuk ke kawasan Kaabah. Alhamdulillah ruang sentiasa ada. Selepas solat kami terus melakukan tawaf. Saya tidak melepaskan tangan Nina takut dia hilang. Kami terpaksa ikut lingkaran pusingan yang agak jauh sebab tak mampu nak bersesak-sesak berhampiran Kaabah. Sungguh, fokus dalam ibadah sangat penting dan tawaf dalam lingkaran luar terasa jauh dan lama. Beberapa kali Nina memberi semangat sebab saya dah mula penat. 

Alhamdulillah kami selesai melakukan tawaf pada jam 11.00 pagi. Ujian datang lagi apabila tiada ruang untuk kami solat sunat selepas tawaf. Semuanya penuh sesak dengan para jemaah lain yang senasib dengan kami. Alhamdullah tetiba sahaja Allah buka ruang betul-betul depan Kaabah. Sempatlah kami solat dan bermunajat untuk kali terakhir sebelum dihalau keluar oleh petugas masjid.

By pukul 11.30 para petugas masjid mula menutup jalan masuk dan keluar masjid untuk persediaan solat Jumaat. Sekali lagi ujian datang apabila jalan keluar ke pintu 92 dan 93 yang menghala ke hotel Safwa telah di tutup. Kami tercari-cari ruang lain untuk keluar dari Masjidil Haram sebab tak boleh tinggal dalam masjid selepas selesai tawaf Wida'. Pada penglihatan saya, semua ruang dipenuhi dengan jemaah lelaki. Takkan la kami nak redah je berasak-asak dan bersesak-sesak dengan mereka. Terasa sangat tercemar apabila terpaksa berlanggar-langgar dengan jantina lain. Saya tak pasti berapa lama kami terperangkap dalam keadaan begitu apabila tiba-tiba sahaja kami sudah berada di luar Masjidil Haram. Dari pintu keluar itu saya tercari-cari Clock Tower yang menjadi land mark hotel Safwa. Subhanallah Clock Tower itu kelihatan nun jauh di seberang sana Masjidil Haram. Rupa-rupanya arus manusia telah membawa kami keluar melalui pintu yang bertentangan dengan pintu keluar yang sepatutnya. Pintu nombor berapa tah dah lupa. Nampaknya kami terpaksa buat U-turn 180 darjah, mengharung lautan manusia lagi sekali.

"Takpe Nina.....kita redah je" sambil mata saya tak lepas daripada memandang mercu tanda Clock Tower itu takut tersesat jalan lagi. So kami keluar masuk, keluar masuk mana-mana sahaja ruang yang boleh dilalui. Sepanjang perjalanan itu kami tidak jemu berzikir dan berdoa supaya hati ini sabar dan badan saya cukup tenaga untuk sampai ke hotel semula. Akhirnya selepas melalui beberapa siri ujian yang lain kami selamat tiba di hotel sejurus sebelum azan Jumaat. Alhamdulillah. Sungguh, saya merasai pengalaman yang sangat bermakna walaupun tidak setanding pengalaman Siti Hajar mencari air untuk anaknya Nabi Ismail. 

Tepat jam 2.30 petang kami semua selamat menaiki bas untuk menuju Madinah meninggalkan bumi Mekah bersama pelbagai perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.....



PS: Semoga Allah mengurniakan rezeki untuk kami ke sini lagi.




Girls day out.....

Saya tak ingat bila last kami gurgirls ber- outing sesama. Sejak depa dah berumah tanggga ni terpaksalah tunggu kebenaran husband memasing...