Saturday, 29 April 2017

1967-2017

Lebih 4 bulan berlalu, macam tak percaya saya telah menginjak ke usia emas. Kalau mengikut kayu ukur orang biasa sepatutnya saya sudah mengecapi kemuncak karier. Saya sendiri pun tak pasti apakah kemuncak karier yang dimaksudkan itu. Yang pasti saya tidak pernah jemu menjadi guru.....

"Che Mas jange berenti kijo. Kita tak tahu gapo nak jadi esok-esok....." Bergungguh-sungguh arwah Mak Mertua pernah berpesan.

Saya pun tak pasti apa yang bakal berlaku esok-esok tu. Yang pasti hingga kini Allah sentiasa memudahkan laluan karier perguruan saya dengan limpahan anak-anak murid yang mendengar kata dan pandai menyantuni guru. Dan saya sangat berbangga mempunyai anak-anak murid yang ramai yang mudah-mudahan dalam kalangan mereka itu ada yang akan mendoakan saya atas keberkatan ilmu yang mereka perolehi melalui saya. Mudah-mudahan juga ilmu yang dimanfaatkan itu nanti akan mengalirkan pahala yang tidak putus-putus hingga ke akhirnya.....
Rupa-rupanya sekecil ini sahaja ahli keluarga saya.
(Rugi tak beranak banyak-banyak)
50 hanyalah nombor.....
(sumber google)

Walaupun kata orang 50 hanyalah nombor tapi bagi saya di usia 50 ini saya sudah boleh berbangga dengan lahirnya generasi ke dua dalam hidup saya. 
Imaan Maysaa bakal mewarisi kasih sayang saya hingga akhir hayat.


PS: Entah kenapa sejak akhir-akhir ini saya dikejutkan dengan berita pemergian beberapa sahabat seperjuangan, serta mereka yang dekat dengan saya. Rata-rata meninggalkan kesan tersendiri di sudut hati saya. Semakin hari juga saya merasa pemergiaan itu semakin hampir dengan saya.


Jahit Menjahit pulak.....

Dah lama mesin jahit saya terperap dalam stor. Sebelum ni saya suka menjahit baju anak-anak terutama yang perempuan, mencuba fesyen yang simple dan mudah disiapkan. Juga baju Melayu untuk suami dan anak-anak bujang dua beradik tu. Namun sejak anak-anak dah besar panjang dan ada citarasa sendiri saya dah jarang menjahit. Nak jahit baju Melayu pun malas sejak dah ada baju Melayu ready-made melambak-lambak kat kedai dengan harga mampu bayar, pilih je mana suka. Saya cuma buat baju kurung untuk diri sendiri sahaja. Itu pun dah mula berkurangan sejak dah jumpa tukang jahit yang sesuai. Lagipun sejak mula rabun dekat ni, nak cucuk benang jarum pun kena berzikir dan berselawat berkali-kali. 
Singer simple je tapi sangat banyak jasanya.

Oleh kerana dah beberapa bulan terperuk maka berhabuk dan bersawanglah mesin jahit itu sampaikan nak bergerak pun tersekat-sekat. Mungkin juga sebab dah lama tak servis. Saya buat servis sendiri je. Buka semua skrew yang ada. Lepas tu letak minyak mesin beberapa titis kat tempat-tempat yang sepatutnya. Sapu dan lap semua habuk dan lebihan benang yang putus-putus terutama kat kawasan bobin tu.


Minyak mesin ni sentiasa ada kat rumah saya. Beli kat mana tah. Harga seringgit lebih je kot. Multi purpose. Titis je kat mana-mana peralatan rumah yang perlu. Selalunya kat engsel pintu dan tingkap untuk smooth swing. (Beriya pulak buat iklan free....)

"Baju nikah Iman umi jahit....."
"Dayah pun...."

Begitulah halnya. Maka bermulalah projek saya bermula cuti pertengahan penggal sekolah hari tu.




PS: Nak kena pupuk balik minat menjahit ni.....


Friday, 14 April 2017

Perjalanan ini: Madinah-Mekah (2017 Januari 19)

19 Januari/20 Rabiulakhir

Usai solat subuh dah sarapan kami berkumpul lagi untuk program ziarah selamat tinggal. Kali ini mengikut kumpulan Mutawwif masing-masing. Kami hanya duduk berkumpul di luar pintu masuk ke Maqam Rasulullah SAW sahaja sambil Mutawwif memberi kuliah tentang perjuangan Baginda. Setelah mengucapkan salam selamat tinggal kepada Baginda Rasul SAW kami pulang ke hotel untuk mengemas. Semua bagasi sudah ditinggalkan di luar pintu bilik hotel seawal 7.30 pagi untuk urusan check-out. Seperti sebelum ini semua urusan punggahan bagasi di uruskan oleh pihak hotel. Kami hanya letakkan di luar pintu bilik. Depa akan setelkan semuanya. Tunggu sahaja beg dihantar di depan pintu hotel di Mekah nanti.

Kami disediakan makan tengahari seawal jam 11.30 pagi. Lepas tu solat zohor untuk kali terakhir. Sayu je rasa hati untuk meninggalkan Masjid Nabi. Usai solat kami balik semula ke hotel untuk persiapan terakhir. Mandi sunat Ihram dan solat sunat musafir. Sementara saya habiskan mengemas, Hubby dan Amin bersiap sedia dengan pakaian ihram masing-masing. Alhamdulillah seperti dijadualkan by pukul 2.00 petang bas bergerak meninggalkan Kota Madinah dan Masjid Nabawi, meninggalkan bersama separuh hati dan jiwa saya.....

Perjalanan ke Mekah memakan masa selama 6 jam. Jangka tiba di kota Mekah pada jam 8.00 malam. Sebaik sahaja bas bergerak Mutawwif memulakan ceramah tentang Umrah dan hal-hal yang berkaitan dengannya. Tiba sahaja di Bir Ali kami semua di ingatkan untuk bersiap sedia dengan niat ihram dan memastikan semua jemaah lelaki menuruti sepenuhnya tatacara pemakaian kain ihram. Bir Ali merupakan Miqat (tempat berniat ihram) bagi jemaah yang datang dari Madinah. Di situ ada masjid agak unik berbentuk macam kubu.  Saya memang berhajat untuk bersolat tahiyatul masjid sebelum berniat ihram di situ tetapi Mutawwif tidak menggalakkan kami turun kerana jemaah sangat ramai. Maka kami hanya berhenti dan berniat ihram di dalam bas sahaja memandangkan semua jemaah lelaki sudah siap berpakaian ihram dari hotel lagi.

Sebaik sahaja berniat ihram maka secara rasminya kami semua sedang berada dalam kemuncak perjalanan menjadi tetamu Allah. Subhanallah. Mutawwif menggalakkan kami beristighfar dan membaca Talbiyah di sepanjang perjalanan dari Bir Ali hingga melakukan Tawaf di Kaabah nanti. Sambil itu juga Mutawwif memberi ceramah tentang perjalanan dan perjuangan Rasulullah menyebarkan dakwah. Bagus juga Mutawwif dok berceramah secara live sebab takde pemandangan yang menarik sepanjang perjalanan itu. Yang kelihatan hanyalah kawasan gersang dengan bukit berbatu serta padang pasir. Sepatutnya pemandangan begitu menginsafkan kita betapa susah payahnya Baginda Rasul SAW berhijrah dengan hanya berjalan kaki mengharungi keadaan padang pasir dan bukit batu begitu. Astaghfirullah.

Selepas beberapa ketika (lupa dah) kami berhenti rehat di R&R Wadi Qudaid untuk solat asar, makan dan terus menunggu untuk solat jamak Maghrib dan Isya' pula. Kami order nasi Arab dengan kentang goreng dan ayam panggang. Agak mewah hidangannya dengan harga 15 riyal satu hidangan.

Selepas makan kami bersiap sedia untuk solat. Keadaan tandas dan bilik air di Wadi Qudaid agak dhaif dan agak kurang selesa terutama untuk jemaah wanita. Alhamdulillah kami tiba agak awal jadi tak perlu berebut-rebut dengan jemaah lain yang sangat ramai. Pertama kali saya berwudhu dengan air masin.

Keluar sahaja dari surau nampak pemandangan langit malam yang luas terbentang. Sungguh belum pernah saya berpeluang melihat keadaan langit yang terbentang luas begitu. Benarlah kata Allah..

إِنَّ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَٰفِ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ لَءَايَٰتٍ لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبَٰبِ

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal
('Ali `Imran [3] : 190)
Deretan kedai makan di Wadi Qudaid
Stesen minyak

Selepas puas menikmati keindahan langit malam di Wadi Qudaid, saya dan Nina berjalan mencari bas nombor 4 tapi tak berjumpa. Dua tiga kali pusing tempat yang sama tapi tak jumpa juga. Sebenarnya bas kami antara yang pertama tiba di R&R tu. Dah dapat port parking yang strategik. Dan saya dah hafal landmark tempat parking tu. Entah kenapa bila sampai waktu nak cari bas ternampak deretan bas yang sangat banyak. Sampai dah terkompius yang mana satu bas kami walaupun semua bas tertera nombor masing-masing. Setelah beberapa lama berlegar-legar akhirnya Allah buka hijab bas kami depan mata je. Rupa-rupanya ahli bas kami dok pakat tunggu kami. Hubby pun dah saspen takut bininya hilang.....:)

Alhamdulillah kami tiba di Mekah dalam pukul 8.30 malam. Dari jauh kelihatan menara jam yang menjadi mercu tanda Kaabah. Perasaan saya ketika itu tak dapat diungkapkan. Dah macam tergamam tak tau nak rasa apa. 

"Alhamdulillah kita sudah sampai depan hotel. Sila turun sekarang. Pastikan semua barang diambil...." tiba-tiba saja terdengar suara Mutawwif. Dia bagi masa 45 minit untuk kami masuk ke bilik hotel dan mengemas diri sebelum berkumpul semula di lobi hotel untuk tawaf, saie dan tahalul. Alhamdulillah urusan umrah kami berjalan lancar dan selesai dengan tertibnya sebelum jam 11.00 malam.


PS: Pengalaman kali pertama memandang Kaabah dan bertawaf tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.....

Sunday, 9 April 2017

Perjalanan Ini: Madinah (2017, Januari 16-18)

Semasa di Madinah kami menginap di Hotel Anwar al Madinah Movenpick bersebelahan pintu 8 Masjid Nabawi. Keluar sahaja dari pintu hotel terus sampai lantai Masjid. Allah membuka seluas-luasnya ruang ibadah untuk kami. Alhamdulillah sangat selesa.

Madinah Day 1
16 Januari/17 Rabiulakhir

Usai solat Subuh dan bersarapan kami diarahkan berkumpul di lobi hotel untuk program Ziarah Dalam, iaitu melawat Raudhah dan Maqam Rasulullah. Depa susun ikut kumpulan bas. Kami kumpulan bas nombor 4. Lelaki akan ikut Mutawwif sementara perempuan akan ikut Ustazah. Ustazah yang bertugas adalah warga Indonesia yang dilantik oleh Tabung Haji. Saya satu kumpulan dengan Ustazah Selha. Sangat baik orangnya. Satu kumpulan seramai 40 orang jemaah.  Jam 8.00 pagi kami dah berjalan kaki mengikut Ustazah yang ditugaskan. Kami terpaksa beratur ikut giliran kerana jemaah sangat ramai. Rata-rata dari rakyat Turki, India, Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan macam-macam negara lain. Semua memakai pakaian seakan seragam masing-masing dan datang dalam kumpulan yang ramai. 

Oleh kerana jemaah yang sangat ramai kami terpaksa menunggu giliran yang agak lama. Alhamdulilllah dalam jam 11.00 pagi tiba giliran kami. Semasa menunggu giliran untuk masuk ke Raudhah kami menghabiskan masa membaca al-Quran sambil menumpang dengar tazkirah/ceramah dari kumpulan jemaah dari Indonesia. Depa agak tersusun dan bergerak dalam jemaah yang mantap. Tiba sahaja giliran, masing-masing berpusu-pusu dan bertolak-tolak untuk masuk ke dalam kawasan Raudhah. (Kawasan Raudhah di bahagian wanita agak sempit.) Subhanallah, Subhanallah, sambil saya mengucap panjang dan membaca apa sahaja ayat-ayat yang terlintas dalam kepala, saya terpaksa mengharungi tabiat manusia yang tidak disangka begitu. Sungguh saya tidak bersedia dengan keadaan sesak, berhimpit-himpit dan berasak-asak serta bertolak-tolak begitu. Masing-masing berebut tanpa menghiraukan orang lain. Masing-masing dengan tujuan yang satu, agar dapat bersolat sunat, bersujud dan berdoa di dalam Raudhah. Saya tidak melepaskan tangan Nina takut dia hilang dalam lautan manusia. Badan saya terasa melayang-layang mengikut arus lautan manusia yang berhimpit-himpit. Sementara mulut saya tak henti-henti membaca doa dan ayat-ayat suci yang terlintas dalam kepala saya.  Sedar-sedar tiba-tiba sahaja kaki saya dapat memijak karpet hijau dalam kawasan Raudhah tersebut. Tiba-tiba rasa terpinga-pinga tak tahu apa yang patut saya buat apabila mendapat peluang berada dalam Raudhah begitu. Rasa macam terkedu, tak sangka Allah izin saya menjejakkan kaki ke dalam Taman Syurga. Sekeliling saya terlihat manusia yang berbagai ragam. Ada yang menangis dan meraung di tepi Maqam Rasulullah SAW. Ada yang menangis meraung di tepi Tiang Taubat. (salah satu sudut dalam Raudhah tu ada tiang, depa panggil tiang taubat). Alhamdulillah dengan kekangan yang ada sempat juga lah saya buat solat sunat Taubat dan solat sunat Hajat di situ. Semasa bersujud, Ustazah terpaksa melingkung kepala kami dengan tangannya agar tidak dipijak oleh jemaah lain yang berebut-rebut tempat bersolat. Usai solat kami hanya dapat berdoa sambil berdiri dan berjalan sahaja sebab tak boleh berlama-lama kat situ. Nak bagi peluang kepada orang lain pulak. Kalau nak berdoa siap duduk tadah tangan bagai alamatnya kena pijak dengan jemaah lain atau kena halau dengan petugas-petugas di situ. Mudah-mudahan segala taubat dan hajat kami dan kita semua dimakbulkan Allah.

Selepas lebih kurang setengah jam mengharungi keadaan di dalam Raudhah kami keluar untuk memberi peluang kepada orang lain pula. Kena bersegera sebab kawasan Raudhah akan ditutup kepada jemaah wanita sebelum solat Zohor. Keluar sahaja dari Masjid saya dan Nina tercangak-cangak mencari selipar masing-masing. Rasa macam dah betul tempat simpanan tapi seliparnya tiada. Kami mencari di segenap rak yang disediakan, memang tiada. Masa dok tercari-cari tu terserempak dengan beberapa jemaah lain pakat dok cari selipar juga. Rupa-rupanya semua selipar kami dah kena kebas. Maka berkaki ayamlah kami berjalan balik ke hotel. Sabo je. Halalkan ajelah, niat sedekah..

Memandangkan tiada program yang dikhaskan pada sebelah petang, maka kami ambik peluang berjalan-jalan sekitar Masjid. Tapi kena pi cari selipar dulu. Banyak kedai jual selipar kat sini. Rupa-rupanya fenomena kehilangan selipar adalah perkara biasa kat Masjid Nabawi. Sebab itulah depa ada sediakan plastik untuk letak selipar. Rata-rata jemaah bawa beg untuk masukkan selipar dan letak bersebelahan tempat sujud dalam  masjid.

Lepas dah dapat selipar barulah boleh meneruskan perjalanan. Kat satu kawasan ada semacam taman dengan pokok yang segar menghijau. Depa preserve tempat tu sebab katanya di situlah tempat sahabat-sahabat berbincang bagi menentukan siapa bakal menjadi imam/khalifah pertama sejurus selepas Rasulullah SAW wafat.
Depa sediakan aliran air yang cukup untuk menyuburkan taman.

Bersebelahan kawasan taman itu ada seakan pasar lambak atau pasar petang. Bolehlah mencuci mata tengok barang-barang depa jual murah-murah.

Madinah Day 2
17 Januari/18 Rabiulakhir

Ziarah luar (Masjid Quba', Jabal Uhud, Ladang Kurma)

Seawal jam 8.00 pagi bas kami dah bergerak menuju Masjid Quba'. Kami tiba agak awal ke Masjid Quba'. Alhamdulillah dah siap berwudhu dari hotel lagi. So terus sahaja masuk ke Masjid untuk Solat Tahiyatul Masjid dan Solat Dhuha.

"Barang siapa yang berwudhu daripada rumahnya sehinggalah sampai di Masjid Quba' dan bersolat didalamnya, baginya ganjaran pahala seperti menunaikan umrah" Mutawwif ambik dari mana tah. Lupa dah.

Usai solat kelihatan jemaah lain berbondong-bondong masuk ke dalam kawasan masjid dan mula berebut untuk mencari tempat solat. Maka kami pun terus keluar memberi peluang kepada orang lain pulak. Terpaksa berhimpit-himpit juga sebab ruang solat wanita agak terhad. Bergerak melawan arus pulak. Kita nak keluar orang nak masuk. Sedih tengok perangai manusia yang suka berebut dan bertolak-tolak begitu.
Pasar lambak depan Masjid Quba'
Masjid Quba'

Selepas semua ahli bas berkumpul semula, kami dibawa melawat Masjid Qiblatain pulak. Kami hanya mendengar penerangan tentang Masjid ini di dalam bas sahaja sambil bas bergerak melintasi perkarangan masjid. Kami tak turun sebab nak jimat masa. 

Seterusnya kami di bawa ke Jabal Uhud & Maqam penghulu Syuhada'. Kami diberi tempoh masa selama 30 minit untuk merasai pengalaman di Bukit Uhud dan menghayati perjuangan para Sahabah semasa dalam Peperangan Uhud.
Mutawwif memberi tazkeerah di hadapan Maqam Penghulu Syuhada'
Bukit Uhud
Walaupun ada berbagai barang jualan sepanjang jalan menuju ke kaki Bukit Uhud itu, Hubby beriya-iya berpesan agar saya tidak membeli apa-apa. Katanya lawatan ke Bukit Uhud sepatutnya menginsafkan kita tentang perjuangan para Syuhada' dan sama-sama menghayati pengorbanan mereka. Jadi tak perlulah kita seakan bersuka-ria membeli-belah pulak. Kalau teringin sangat nak membeli apa-apa boleh beli kat tempat lain. 

Selepas itu kami di bawa melihat Medan peperangan Khanda'. Hanya lalu sahaja sambil Mutawwif bercerita tentang peperangan Khandak di dalam bas sebelum meneruskan perjalanan ke ladang kurma. Katanya ladang kurma tapi saya hanya nampak seakan gudang menjual berbagai jenis kurma bersebelahan ladang kurma yang tiada buahnya. 
Pohon kurma tanpa buah. Bukan musim gamaknya.

Jemaah berpusu-pusu membeli buah kurma. Macam-macam jenis kurma dengan pelbagai rasa. Sudah semestinya dengan harga yang lebih mahal dari pasar lambak di sebelah Masjid Nabawi yang saya singgah petang sebelum tu. Di gudang tu kita boleh makan sebanyak mana kurma yang kita mampu telan, secara percuma. Tak payah bayar. Hanya perlu bayar untuk kurma yang kita nak beli sahaja. Saya hanya mampu makan sebiji kurma apa tah. Saiz agak besar. Giant size gitu. Makan sebiji tu pun dah rasa muak. Kami perati je jemaah lain borong kurma berkilo-kilo. Kami hanya beli kurma Ajwa 2 kilo. Harga 80 riyal sekilo. Katanya kualiti terbaik.....hmm 
Pasar kurma.


Madinah Day 3
18 Januari/19 Rabiulakhir

Hari ni tiada program khusus yang ditetapkan oleh pihak Tabung Haji. Semua jemaah bebas beraktiviti. Jadi selepas sarapan kami ambik peluang berjalan-jalan sekitar kawasan Masjid Nabawi. Kat sebelah masjid ada pusat Penyelidikan Research and Studies Center, seakan galeri.  Kat dalam tu ada sejarah perjalanan dan perjuangan Nabi SAW serta bagaimana bermulanya kebangkitan Islam di Madinah. Kena rajin nak baca semua maklumat yang dipaparkan. Ada pengawal yang ditugaskan memberi penerangan. Tapi depa cakap bahasa Arab. Maka saya hanya mengangguk-angguk sahaja. Kadang-kadang kami bertembung dengan kumpulan jemaah dari Indonesia. So kami tumpang sekaki mendengar penerangan daripada Mutawwif mereka. 

Amin tekun membaca. 
(Minat membaca rupanya che Abang ni, patut la SPM baru ni subjek Sejarah dapat A)
Kami suka posing je.


Replika rumah baginda Nabi SAW
Replika rumah Nabi SAW di sebelah masjid
Replika Raudhah
Replika Masjid Nabawi yang asal
Pakcik tu sedang bercerita tentang peperangan Uhud.
(Dalam Bahasa Arab, so kami nganga jelah)


Perkuburan Baqi'

Masjid Nabawi sekarang.

Mutawwif dah pesan kalau nak beli apa-apa barang untuk bawa balik Malaysia elok beli semasa di Madinah sebab apabila di Mekah nanti dah takde masa kerana kita akan asyik fikir pasal ibadah sahaja. Tapi kami takde pula rasa ghairah nak membeli belah. Lagipun hubby dah pesan tak perlu beli apa-apa pun. Kat Malaysia pun dah banyak barang yang sama. Kita datang sini untuk ibadah umrah. So penuhi masa untuk ibadah yang satu itu. So masa berbaki tu kami cuma bersiar-siar menikmati keunikan Masjid Nabawi serta keindahan kotanya.
The Hotel. Kami duduk tingkat 9. 

Alhamdulillah di Madinah ini mereka masih kekalkan pengasingan antara lelaki dan perempuan. Orang-orang tempatan pun nampak berbudi-bahasa. Kalau nak masuk masjid depa asingkan pintu masuk bagi jemaah lelaki dan perempuan. Masing-masing akan masuk ikut pintu yang berbeza. Nampak tersusun dan teratur. Tak perlu berebut-rebut untuk masuk masjid. Biasanya untuk solat berjemaah saya lebih selesa bersolat di luar masjid sebab suasananya lebih tenang dengan angin sepoi-sepoi bahasa. Kalau solat Dhuha dan membaca al Quran saya akan buat di dalam Masjid semasa suasananya dah lengang.
Masjid hanya lengang selepas solat Dhuha.  

Sepanjang lorong dalam masjid tu depa letak bertong-tong air zam-zam untuk para jemaah. Depa akan penuhkan tong-tong tu setiap hari. Dan airnya sentiasa cukup untuk semua jemaah. Saya akan minum setiap kali masuk masjid untuk kesegaran badan. Alhamdulillah takde rasa payau. Boleh minum macam air kosong je.
Barisan tong air zam-zam siap dengan cawan plastik.
Mek yang suka bergaya.

Sampai akhir dok menunggu depa buka batang payung tu tapi tak kesampaian. 

Alhamdulillah selama 3 hari di Madinah masa kami terisi dengan pengalaman yang sangat bermakna. Mudah-mudahan segala amal kami di sini diganjari Allah dengan sebaiknya.


PS: Ada peluang Insya Allah saya ingin kembali lagi.



Cheng

Sejak pokok kesayangan saya tumbang hari tu rasa macam separuh jiwa saya kosong. Rutin saya setiap pagi hujung minggu ialah samada merumput atau berkebun di sekitar halaman rumah. Dan peneman setia saya sudah pasti lah si Cheng.

Cheng, kucing pendatang entah dari mana. Setiap kali saya buka pintu dapur Cheng akan datang mengiau-ngiau di depan pintu. Setiap kali juga saya akan campakkan keluar lauk lebihan semalam untuknya, dan Cheng akan berlari mendapatkan habuannya. Lama kelamaan Cheng semakin jinak dan mula berani masuk ke rumah dan menjadi peneman setia saya setiap pagi minggu. Saya memanggilnya Cheng sebab matanya agak sepet.

Suatu hari Cheng berkelakuan agak ganjil, mengiau dengan kuat seperti kucing jantan yang galak. Memang pantang larang saya kalau kucing jantan mengiau galak dalam rumah. Takut depa pancut kencing sesuka hati. Lebih menyakitkan hati kalau depa tetiba pancut kencing kat atas sofa atau pada kain langsir. Memang sakit jiwa raga nak menyahbau dan membersihkan tempat malang itu. Kebetulan pulak hari tu saya ada urusan luar. Jadi saya halau Cheng keluar dan terus tutup pintu. Cheng makin galak mengiau dengan suara yang sangat kuat. Saya pun tak pasti apa yang sebabnya. Nak kata dia nak mengorat, takde pulak kelihatan walaupun seekor kucing betina kat situ. Maka saya biarkan sahaja Cheng meluahkan perasaannya sambil saya start enjin kereta dan meninggalkan dia menguruskan emosi sendiri.

Menjelang tengahari saya balik ke rumah. Seperti biasa saya akan meninjau tunggul pokok depan rumah saya sambil mengenang teduhan yang ia berikan sebelum ini. Tiba-tiba terpandang susuk yang sangat saya kenali. Cheng terbaring kaku di bawah terik mentari. Untuk seketika saya hanya memandang tubuh Cheng tanpa perasaan. Hinggalah Nina bersuara.

"Cheng mati ke Umi?"

Sungguh. Cheng sudah menjadi mayat di pangkal pokok kesayangan saya. Saya tak pasti apa peristiwa antara mereka berdua. Tapi yang pasti keduanya sudah meninggalkan saya. 

Bertambah lagi pusara di laman saya.

Hari-hari seterusnya menyaksikan cahaya mentari penuh di porch depan ini. Panasnya hingga ke dalam rumah. Dan saya mula berkira-kira untuk meletakan teduhan lain pulak. Untuk sementara waktu saya biarkan dulu halaman saya menyimpan segala cerita saya.

Abaikan dinding kulat tu. Bila tah nak cat semula.

Setelah berkira-kira akhirnya dengan bajet yang ada saya upah orang tambah awning kat depan porch itu. Biar teduhannya dapat dimanafaat oleh bukan sahaja kami tapi kucing-kucing lain yang sudi bertandang mencari tempat tidur. Walaupun ada beberapa ekor kucing jalanan yang kerap bertandang dan menumpang tidur namun sehingga kini tiada lagi yang dapat menggantikan Cheng.....

PS: Benarlah. Jika kita redha dengan sesuatu ketentuan, Allah akan gantikan dengan yang lebih baik.

Saturday, 8 April 2017

Tumbang lagi.....

Sejak musim hujan ni pokok-pokok sekitar rumah saya ni tumbuh dengan segarnya, terutama pokok mangga siam kat belakang rumah saya itu. Pada mulanya saya pasang tile kat bawah pokok tu untuk elakkan percikan lopak apabila hari hujan dan juga buat tempat lepak berteduh apabila hari panas. Tapi apabila pokok tu mula merimbun dengan galaknya, kawasan bawah pokok tu dah jadi gelap dan bersepah dengan daun-daun yang gugur. Nak sapu pun agak susah sebab terpaksa membongkok dek dahan-dahan yang rendah dan merendang itu. Memandangkan minggu ini bujangku pulang ke rumah untuk kesekian kalinya, maka bermulalah projek mencerahkan port faveret saya itu.
 Guna gergaji comel pun boleh.
 In action


PS: Lepas ni nak kena pikir kat mana pulak nak campak dahan-dahan yang dah dipotong tu. Sapa pulak nak buat final clearence kat situ. Hmm.....



Perjalanan ini: KLIA-Madinah (2017 Januari 15)

Alhamdulillah, Allah izin untuk kami memulakan perjalanan ini dengan Tabung Haji Travel pada hari Ahad 15 Januari 2017 bersamaan 16 Rabiulakhir 1438H. Kami turun dari rumah seawal jam 7.00 pagi. Sepatutnya lapor diri kat KLIA jam 8.00 pagi untuk check in bagasi, serahan pasport, lencana serta boarding pass. Semua jemaah kena berkumpul di Lot MTDBDL-01, Aras 5, Lantai Pelepasan untuk mendengar taklimat. Saya wakilkan hubby je untuk dengar taklimat sebab nak bersembang dengan anak-anak yang bakal ditinggalkan. Sedar-sedar dah kena hantar bagasi ke kaunter check-in. Letak je kat situ. Pihak Tabung Haji Travel akan uruskan segalanya. Kita cuma tunggu ambik boarding pass dan lencana sahaja. 
Beg pakat beratur.
Full house, hantar kami pi airport.
(Tabiat orang melayu gamaknya)

Tabung Haji Travel sewa Boeing khas untuk jemaah umrah sahaja. First time tengok pramugari MAS menutup aurat sepenuhnya. Peghak pulak. Depa tak pakai uniform batik berkain belah yang biasa tu. Depa pakai seluar longgar dengan baju plain. Inflight servis yang lain semua macam biasa sahaja. Kami berlepas dalam kol 1.00 tengahari. Flight selama 10 jam. Alhamdulillah kami selamat tiba di Prince Mohammad bin Abdulaziz airport,  Madinah pada pukul 5.40 petang local time. Proses imigresen sangat pantas. Dalam masa setengah jam dah boleh pergi ambil bagasi. Tidak seperti yang diwar-warkan sebelum ini. Buat saspen je sebelum ni depa dok cerita yang buruk-buruk. Cuma nak menunggu bagasi tu yang memakan masa. Rasanya sejam lebih dok menunggu bagasi keluar.
Ruang menunggu bagasi.

Airport depa nampak masih baru. Cantik tapi tak sempat nak capture gambar sebab sibuk bersembang dengan rakan jemaah yang lain. Maklum lah dah masuk era makcik-makcik ni style borak pun ala-ala makcik-makcik juga. Alhamdulillah saya tido sepanjang dalam perjalanan. So bila tiba sana mata dah segar walaupun sepatutnya kat Malaysia dah masuk waktu tengah malam. Cuma badan je rasa lenguh-lenguh sebab duduk lama dalam flight.
Hubby tak sabar-sabar nak inform anak-anak kat rumah.
Di luar terminal.

Keluar sahaja dari terminal dah ada Mutawwif yang menunggu. Terus punggah beg masuk bawah bas. Kami dapat bas nombor 4 bersama lebih kurang 30 orang jemaah yang lain. Rasanya ada dalam 9 buah bas semuanya. Depa susun ikut pakej umrah yang kita pilih. Kami pilih pakej Ruby. Pakej tu menentukan kami tinggal di hotel mana semasa di Mekah nanti. Masa kat Madinah ni semua jemaah akan tinggal di hotel yang sama, HotelAnwar al-Madina Movenpick.

Kami tidak perlu risau dengan urusan bagasi. Lepas sahaja semua beg diambil dari teminal terus masukkan kat penyimpanan beg bawah bas tu. Nanti sampai kat hotel, depa akan uruskan penghantaran hingga ke depan pintu bilik hotel.

Perjalanan dari airport ke hotel mengambil masa selama 20 minit sahaja. By the time kami tiba hotel nampak jemaah berpusu-pusu keluar dari Masjid Nabawi usai solat Isya'. Sungguh teruja melihat jemaah masjid yang sangat ramai. Tak sabar rasanya nak jadi sebahagian dari mereka. Sampai di hotel terus pergi ke Zahra Cafe untuk makan malam. Semua menu masakan Indonesia. So sepanjang di sana setiap hari ada hidangan nasi siap dengan ulaman dan sambal. Alhamdulillah dari segi makanan tiada sebarang masalah.

Selepas makan semua jemaah boleh terus ke bilik hotel. Kunci bilik depa dah serahkan semasa dalam bas lagi. Jadi kami tak perlu bersusah payah pi beratur ambik kunci kat kaunter. Beg semua depa dah siap letak depan pintu bilik. Alhamdulillah servis tip top.

Malam itu kami bersolat jamak qasar di bilik hotel sahaja sebelum merehatkan badan dan mengumpul tenaga untuk hari-hari seterusnya. Alhamdulillah hotel kami bersebelahan dengan Masjid. Keluar sahaja dari pintu hotel terus boleh pijak lantai Masjid yang suci bersih. Dan pada dinihari berikutnya kami dapat merasai kesyahduan bersujud di Masjid Nabawi buat pertama kali.
Suasana usai solat subuh. 
(Solat jemaah kami yang pertama, Alhamdulillah)


PS: Sebenarnya banyak ujian hati dan perasaan untuk merealisasikan impian perjalanan ini. Benarlah kata-kata, kalau kita bersabar dalam sesuatu perkara Allah akan gandakan dengan kesabaran kita dalam perkara lain pula.


Tenggelamnya Sebuah Memori

Dah banyak kali saya dok merenung-renung akan nasib kolam ni. Masa memula buat 4 tahun lepas bersemangat nak bela ikan bagai. Masa tu seman...