Thursday 28 June 2018

Menghargai setiap pertemuan.

Sejak lepas raya ni hubby asyik sibuk je. Sekejap meeting itu, sekejap meeting ini, sekejap kena pergi situ sekejap kena pergi sana, jamuan raya sini, jamuan raya sana. Sebagai orang rumah, saya tidak banyak bertanya. Cukup sekadar tahu bila dan di mana, bila nak pergi dan bila dijangka balik. Saya juga bukan isteri yang clingy sibuk nak tahu suami pergi mana, buat apa, dengan siapa, bla, bla, bla....

Walaubagaimanapun saya sentiasa membuat catatan pergerakan hubby sepanjang minggu dan bulan di whiteboard kat dapur saya. Almaklum la dah tua ni asyik lupa-lupa je. Catatan tu sebagai panduan sahaja, untuk sediakan baju apa nak pakai. Setiap majlis kan kena ikut dress code. Nak kena susun baju warna apa, baju kemejakah, baju batikkah atau baju melayukah. Kalau baju melayu kena siap dengan samping dan pasang butang baju. Kang tak pasal-pasal sibuk cari mana butang Melayu aku Pah......

Oleh kerana hubby sentiasa sibuk maka terpaksalah saya cipta kebahagian sendiri. Of course lah dengan keizinan hubby dan dalam ruang lingkup aktiviti yang patuh shari'ah. (Alhamdulillah seorang hubby ini punya isteri mithali, tidak pernah mengambil kesempatan terhadap kebaikan suami). Maka sementara masih dalam musim raya ni kita gunakan ruang dan peluang yang ada untuk ziarah raya dan beraya.

Sungguh.... hari raya memberi banyak ruang dan peluang untuk mengeratkan silaturrahmi sesama sahabat baru dan lama. Saya sendiri pun tak sangka dapat kekuatan nak drive ke sana-sini. Mungkin kekuatan dalaman tu dah mula menjelma semula. (Saya memang seorang yang independen sejak kecik. Tapi saya lepaskan ciri-ciri itu sejurus selepas nikah)

Kebetulan ada kawan-kawan ajak beraya maka moh le kite. Kami memang ada macam-macam group whatsapp. Ada untuk sahabat sejak sekolah rendah, ada yang sekolah menengah, ada yang masa sambung belajar IPT, ada yang masa kerja dan yang terkini kami buat group cikgu pencen pulak. Walaupun jarang berjumpa tapi kami sentiasa meriah di alam maya. Alhamdulillah sepanjang minggu ini saya penuhi dengan aktiviti ziarah raya yang penuh makna....

Sahabat se MRSM, SPM tahun 84, @ Taman Desa Mewah, Semenyih.

We are gorgeous..... 

Tetap ceria dan happening...
(TQ tuan rumah, kanan sekali tudung grey)

Nasi lemak dan laksa kelantan yang osem...

Friends forever.... menjamu selera di Cafe Bandar Seri Putra
(TQ sis belanja makan)

Ida... kami kenal sejak di UK tahun 80an.

Bersama bekas student PHD hubby di Shah Alam.
(TQ tuan rumah, dua dari kiri tudung coklat)

Dengan ex Student @ Taman Harmonis, Gombak.

Teruja dapat jumpa mak student

Di Sunway Batu Caves dengan bekas guru Al-Amin.
(TQ tuan rumah, kiri sekali) 

Di Taman Gombak, dengan sahabat mantan guru Al-amin lagi
(TQ Tuan rumah, kanan sekali tudung gelap)

Saya juga memberi ruang yang sangat luas untuk anak-anak saya explore their youthful life dalam mencari jati diri dalam kehidupan. As far as saya tahu siapa circle of friends mereka, saya happy membiarkan mereka buat silap dan belajar dari kesilapan masing-masing. Its part of growing up anyway.

Bestest of friend....
(Masa bila ntah..... dah tak ingat.)

Pesan ayah saya, "Sentiasa hargai kawan-kawan kita walau siapa pun mereka....."


PS: Hargailah setiap pertemuan sebab kita tidak tahu samada pertemuan itu yang adalah yang terakhir untuk kita atau untuk mereka.....

Wednesday 27 June 2018

KB-KL via Ganu

Setelah beraya selama tiga hari di KB kami bersiap untuk balik KL. Plan asal kami hanya nak spend masa selama dua hari sahaja. Hari raya ke 3 dah nak balik KL sebab hubby mula kerja hari Selasa. Tapi sebab rasa rugi pulak dah penat-penat harung jam tapi duduk sekejap je. So hubby decide untuk stay another day. Lagipun kita dah ada new driver boleh bergilir-gilir.

Awal pagi sebelum gerak, kami pi pekena roti titab kat Kopitiam Kita yang glamor tu. Warung sebelah homestay je haruslah jangan lepaskan peluang. Kami tiba sebelum pukul 7 pagi. Orang dah mula beratur. Alhamdulillah kami dapat tempat duduk agak selesa. Saya tak pasti apa yang menyebabkan ianya famous sangat tapi saya puas hati dengan servis dengan makanannya. Saya ambik roti titab special dengan teh tarik. Lepas tu tapau beberapa nasi bungkus untuk makan tengah jalan nanti. (malas pulak nak bergambar sebab anak-anak saya dah siap bergambar dan bervideo dalam IG memasing)

Kami ambik laluan pantai sebab nak elak jam. Agak jauh daripada jalan biasa tapi takpe, kita bersantai-santai sahaja. Tak perlu stress. 

Pasar Besut. Snap gambar sementara tunggu traffic light merah. 
Sepanjang jalan saya sibuk nak berenti kat pantai. Sesaja nak menikmati angin pantai Terengganu. Alhamdulillah jalan agak clear so kami berenti makan ikan celup tepung di restoran NL Celup Tepung Bira Pata kat Jalan Penarik. Kami dapat tempat duduk agak strategik sebab pengunjung belum ramai. Kami order sotong, udang dan ikan. Semuanya goreng celup tepung. Rasa ikan dan seafoodnya memang first class. Sebelum ini kami pernah makan ikan celup tepung kat restoran Pok Nik (famous jugak tu) tapi pada saya, yang ini tasted better. Terasa kesegaran ikannya. 

Siap bertambah-tambah

Tu dia aih!.... Metekedarah sungguh.

Hampir 40 minit kami berpit-stop. Lepas isi perut kami berlepak-lepak di bira pata (baca birai pantai). Cuaca agak nyaman, mendung dan berangin. Given chance saya suka je kalau boleh lepak-lepak baca novel sambil bersantai memandang ke laut lepas..... 

Ambik angin melayan perut kenyang.

Merpati berjoli-joli.....

Walaupun jalan sepanjang dari KB ke LPT agak clear tapi fenomena jam tak akan pernah habis menuju ke Tol Bentong. Semua orang berpeluang menghadapi ujian ketahanan mental yang sama. 


Tetiba pulak boleh bersaing dengan Iman yang bertolak dari Kuala Terengganu. Padahal takde janji apa-apa pun. Maka bertukar-tukar gambar siap bervideo bagai sepanjang jalan tu, pos ke dalam Whatsapp Grup Family.

Kereta kami daripada lensa Iman

Alhamdulillah kami tiba di teratak kami dalam pukul 6.30 petang. Nak masak apa pulak untuk dinner? Hmm..... 

"Masak sardin dan goreng telur je. Dah boring dah makan makanan raya....." Alhamdulillah hubby memudahkan kerja saya. Saya top-up dengan tomyam simple versi campak-campak apa yang ada dalam peti sejuk dan goreng ayam drumet. Done dinner. Lepas tu semua mengadap world cup.....


PS: Lepas ni nak fikir pasal mendobi pulak.....

Tuesday 26 June 2018

Eidul Fitri 2018

Entah kenapa mood balik kampung tahun ni tiba agak awal. Seminggu sebelum bertolak saya dah siapkan barang keperluan. Of course lah dah booking homestay sebelum Ramadhan lagi sebab takut penuh. Siap dah bayar deposit online. 

Kami memang dah sedia maklum dengan urutan decision making factor.
  1. Booking homestay: kalau ada, boleh balik raya, kalau takde, kita cancel balik raya. (Bukan sombong tak nak tumpang rumah saudara mara tapi untuk menjaga kemaslahatan aurat kita)
  2. Booking kereta sewa: Kalau ada kita balik naik flight, kalau takde kita balik naik kereta sendiri.
  3. Booking tiket flight: Kalau ada kita konfem naik flight, kalau takde kita balik naik kereta sendiri, cancel kereta sewa.
Hajat awalnya memang nak balik naik flight sebab malas nak mengharung jam. Tapi terpaksa batalkan sebab tak dapat kereta sewa. Semua dah fully booked. Sebenarnya ada je saudara yang offer kereta nak bagi pinjam tapi hubby takut termakan budi. Maka terpaksalah balik ngan kereta sendiri. Kalau tidak, tak dapat lah nak bergerak bebas ke sana ke mari.

Kami gerak sehari sebelum hari raya, dalam pukul 6.30 pagi. As expected, seperti biasalah keadaan trafik ke Pantai Timur memang tak pernah sunyi. Sepanjang jalan ke LPT memang meriah dengan kereta.

"Tak raya la kalau tak jam...." kami semua dah install ayat tu dalam kotak memori supaya kurang rasa stress sepanjang perjalanan nanti.


Bila dah dalam jam tu sempat jugak la saya meninjau-ninjau keadaan alam sepanjang jalan. Seronok tengok pokok-pokok pelbagai spesis di sepanjang jalan. Ada yang seakan rakan karib, ada yang seakan berpuak-puak, ada yang seakan sangat harmoni boleh berkongsi apa sahaja, ada yang seakan bermusuh..... Ada pelbagai rupa bentuk, tinggi, rendah, gemuk, kurus. Yang pasti mereka semua tu makhluk Allah yang berkongsi oksigen, karbon dioksid dan cahaya matahari yang sama untuk berfotosintesis.

Unik pulak tengok pokok ni. Seakan mereput sendiri.....

Banyak kali jugak la kami berpit-stop. Berenti pergi toilet, berenti untuk tukar driver, berenti untuk beli juadah untuk berbuka dan  berenti untuk solat. Kebetulan hubby nak beli air nira kelapa untuk berbuka, maka kami berhenti lagi untuk kesekian kalinya. Kami parking betul-betul bawah pokok 'ceri'. Entah ye entah tidak, pepandai saya je namakan itu pokok 'ceri'. Masa saya sekolah rendah dulu ada sepohon depa tanam kat belakang kantin sekolah saya. Kami selalu berebut petik buah yang dah masak. Warnanya kuning-kuning merah dan manis rasanya. Masa tu saya belum kenal buah ceri yang sebenar (yang import dari oversea tu). So waktu itu orang kata ceri, maka cerilah saya. Dan sampai sekarang saya dengan konfidennya memperkenalkan pokok 'ceri' itu kepada anak-anak saya. Tapi depa tak pernah rasa lagi buahnya.

Pokok 'ceri'

Kami berhenti solat jamak qasar di Masjid Ulul Albab, Jertih. Kebetulan bujangku sedang upgrade minat dalam seni bina masjid Melayu maka sempat la kami berposing-posing sekitar masjid kayu itu. Lebih 90% binaannya daripada kayu cengal. Memang unik.


Ruang solat.

Alhamdulillah despite makan jam selama 10 jam atas jalan kami selamat tiba ke destinasi dengan gumbira. Homestay pun nampak okay.

15 Jun 2018: Raya day 1

Kami solat Eidul Fitri di Masjid Naim Sri Cemerlang. Alhamdulillah dekat je dengan homestay kami. 

Sempat lagi berposing

Seperti biasa selepas solat kami akan ke Kg China, rumah keluarga arwah mak mertua saya. Semua generasi mak mertua saya sudah tiada. Yang tinggal hanya sepupu-sepupu hubby sahaja. Semua sepupu hubby sebelah arwah mak mertua dah macam adik beradik saya. Alhamdulillah kami sangat rapat sejak awal perkahwinan saya dan hubby hingga kini.

Keluarga besar Kg China

Seterusnya kami beraya ke rumah Cik Ani, kakak Hubby. Cik Ani ni dah macam penganti tempat arwah mak mertua saya. Hubby agak rapat dengan kakaknya yang seorang ini. Setiap kali balik KB rumahnya menjadi destinasi wajib kami.

Dengan Cik Ani dan suaminya abe Din.

Keluarga besar Cik Ani

Berangan duduk rumah kampung

Umi's girls katanya.... missing Dayah

Seterusnya kami ke rumah Che Bah, kakak ipar hubby. Suaminya arwah Che Kob adalah abang hubby yang bertindak sebagai pengganti arwah bapa mertua saya. Beliau sangat banyak membantu kami sekeluarga semasa hayatnya. Alhamdulillah walaupun kedua ibu dan bapa mertua saya telah tiada tapi Allah gantikan dengan insan lain yang kekal baik budinya.

Keluarga besar arwah Che Kob

Alhamdulillah done Raya Day 1 bagai dirancang. Sepatutnya ada sebuah rumah lagi untuk diziarah tapi sebab depa nak buat open house esoknya so kami decide untuk join open house depa sahaja. 

16 Jun 2018: Raya day 2

Setiap kali hari raya kami akan ambik peluang berziarah kubur kedua-dua arwah ibu (Tok Wae) dan ayah (Tok Ayah) hubby. Alhamdulillah setakat ini kami tak pernah lepaskan  peluang untuk menziarahi kubur mereka yang terletak di Banggol, PCB.

Pusara Tok Ayah

Tok Wae 

Selepas ziarah kubur kami ke rumah besan pulak. Tahun ini giliran anak saya beraya dengan  keluarga mertuanya sebab itulah masa hari raya pertama kami tak cukup korum. Kebetulan besan saya tu orang KB jugak maka haruslah ambik peluang berziarah dan mengeratkan silaturrahmi. 

Bersama keluarga besan

Next kami pi ziarah kawan sekolah saya dulu. Berpisah sejak lepas SPM 1984. Ala-ala jejak kasih pulak. Alhamdulillah masing-masing dah berjaya dalam hidup. Tahniah Dr Maizon.



Kami break sekejap untuk solat zohor dan asar sebelum ke rumah anak saudara hubby pulak. Nama je anak saudara tapi usianya lebih tua dari hubby. Biasa lah orang zaman dulu ada yang bersaing beranak dengan anak. Sambil dapat anak at the same time dapat cucu juga. Anak saudara hubby ni dah pangkat datuk. Datuk ori dan datuk anugerah. Lupa pulak macamana nak pi rumah depa. Kami pi konvoi raya dengan Cik Ani. Kalau nak pergi lagi sekali komfem sesat. Yang pasti ianya terletak di jalan menghala ke PCB. Biasanya kami masukkan agenda pekena colek dan seafood celup tepung kat PCB tapi kali ini macam tak sempat.

Hubby dan Abe Din, suami Cik Ani.

Kemudian ke open house Kg China lagi sekali. Raya pertama dah pergi tanpa Dayah. Raya kedua datang lagi sebab depa jemput makan nasi komok pulak. Rasa macam nasi ayam, tapi versi siam kot 

The boys.... missing Marwan-(dah balik Terengganu)

Malam pi cari kopi panas kat Aeon Mall KB. Dah dua hari tak pekena kopi panas. Dah tua-tua ni kena minum air panas barulah boleh complete the day. Alhamdulillah Raya Day 2 done dengan secawan Hazelnut Latte. 


17 Jun 2018: Raya day 3

Hari ni kami ke Pasir Mas menziarahi rumah arwah abang hubby. Kami jarang ke Pasir Mas time raya sebab Pasir Mas ni terkenal dengan kawasan jam. Time raya dan cuti sekolah lagilah doubled jam. Jadi terpaksa plan betul-betul bagi mengelakkan pembaziran masa. Dalam dok plan baik tu pun kami terpaksa lepaskan satu jam masa menunggu dan satu jam masa menghadap jalan jam. Kami tak berapa arif dengan jalan-jalan sekitar sini. Nak mengada guna google map dan waze pun tidak membantu. Asyik turn right, turn left, turn right, turn left, lepas tu tah ke mana-mana dia bawa. Jadi terpaksalah konvoi raya dengan Cik Ani lagi....

Saya tak sempat kenal arwah abang ini sebab beliau meninggal sebelum saya menikah dengan hubby lagi. Hanya kenal kakak ipar dan anak-anak saudaranya sahaja. Alhamdulillah di hari yang mulia ini eloklah kita dapat merapatkan silaturrahmi. 


Kami meredah jam lagi untuk balik KB. Fenomena normal bagi orang KL. 

"Tak raya la kalau tak jam...." Sabor jelah.

Done Raya day 3 dengan penambahan sifat sabar hasil tarbiyah bulan Ramadhan. 

******************************************

Alhamdulillah aktiviti ziarah raya tahun ini mencapai target. Sejak dari sebelum balik raya lagi hubby dah buat perancangan dan susun atur ziarah raya. Rumah mana yang status wajib ziarah, rumah mana nak start dulu, route mana nak ikut, berapa banyak duit raya nak bagi.... Anak-anak dan isteri mithali ni hanya menurut perintah sahaja. 

"Lepas ni kalau tak balik raya pun takpe dah. Kita dah cover semua saudara-mara yang sepatutnya. In fact dapat bonus lagi sebab dapat berjumpa saudara mara yang dah lama tidak bersua...." Saspen pulak saya bila hubby buat statement gini....


PS: Esok balik KL

Sunday 24 June 2018

Merendang sambil berdendang

Sejak raya ni dah masuk dua kali saya merendang. Sehari sebelum balik kampung hari tu saya dah merendang dua ekor ayam dan 2 kilo daging untuk bawa bekal balik raya. Kami duduk homestay jadi nak la juga merasa suasana pagi raya sebelum berkunjung ke rumah saudara mara. So pagi raya tu saya hidang rendang daging dan ayam, potong lemang dan nasi impit sebelum ke solat  hari raya. 

Kebetulan pulak minggu ni Nina nak balik asrama maka merendang lah saya sekali lagi. Saja nak suruh dia bawa bekal makan ngan kawan-kawan. Takde special mana pun rendangku ini. Tapi sebab dah namanya balik raya haruslah berketupat dan berendang.
Rendang ayam

Kalau dah merendang of course lah kena ada pulutnya. Saya lebih suka makan lemang sebab dah biasa makan masa kecik-kecik kat kampung dulu. Kami satu kampung pakat berkongsi bahan untuk masak lemang. Ada yang bagi pulut, ada yang bagi kelapa, ada yang tukang cari buluh, ada yang sediakan kayu untuk unggun api, dan macam-macam lagi. Seingat saya, saya hanya tukang kukur kelapa. Zaman tu kan takde mesin parut kelapa maka anak-anak dara akan berbaris duduk atas pengukur sambil dengar mak-mak berborak dan bergelak ketawa. Zaman tu takde isu bawang-membawang. Rasanya semua mak-mak bercakap hal masing-masing sahaja. (Ke saya yang tak berapa faham.... maklum la otak masih suci .....)

Saya dah kurang makan pulut sejak usia menghampiri senja ini. Takut masuk angin. Kang sakit urat pulak. Sekarang ni biasanya saya beli je bila-bila anak-anak terasa nak makan lemang atau ketupat. Walaubagaimanapun rendang wajib homemade. Resepi saya, cara saya. Main campak-campak je pun. Oleh kerana tak pandai buat ketupat dan lemang maka kita cuba masak pulut dengan dengan cara paling simple. Saya jarang masak pulut walaupun selalu juga tengok nenek saya buat masa dulu-dulu. Tengok je lah. So sekarang nak kena buat imbasan kenangan untuk ingat balik macamana nak buat pulut versi paling simple. 

Nenek saya kata, kita kena rendam dulu pulut semalaman untuk buang kesan-kesan toksid. (Sebenarnya nenek saya tak kata toksid pun. Saya saja nak bagi kesan saintifik. Nenek sebut buang bisa je.... ) Simple je tu. Ambik 2 kilo beras pulut, basuh bersih-bersih lepas tu bilas. Lepas tu biar je dalam besen semalaman. Nenek akan letak kunyit tumbuk tapi saya letak pewarna kuning je. (Kata versi simple....) Daun pandan ready siap-siap sebab esok subuh-subuh hari dah nak kukus lapik daun pandan. Malas pulak nak keluar pi petik kat belakang rumah subuh-subuh hari.

Kita hanya merancang tapi Allah menentukan. Elok pulak tengah siap-siap nak mengukus gas pulak habis. Alhamdulillah saya memang ada spare gas. Terpaksa juga keluar ambik gas kat belakang rumah. Lupa pulak saya baru tukar kepala gas baharu. Lama juga dok termangu tak reti nak bukak kepala gas tu. Rupa-rupanya depa ada letak click button untuk extra safety. Aduhai.... sabo jelah.

Pulut yang dah direndam tu disejat sebelum masuk dalam pengukus. Kukus separuh masak dulu lepas tu gaul dengan santan kelapa. Nenek saya kata sebiji kelapa untuk sekilo beras pulut. Saya guna santan kotak dengan dua sudu besar minyak masak. Jangan lupa garam secukup rasa. Masa nak kukus tu tinggalkan satu lubang kukus tu supaya wap air panas nanti dapat naik sekata. 

Lepas dah gaul dengan santan dan garam, biarkan sebentar lebih kurang 15 minit. Sempat la nak layan FB atau WA sementara pulut tu mesra. Lepas tu kukus lagi sekali hingga masak.....Kacau sekali-sekali supaya pulut masak sekata.


Alhamdulillah berkat kesabaran, sekuali rendang dan sepengukus pulut kuning siap untuk seisi keluarga. Rasa? Yet to be determined. Makan je lah apa yang ada....
Rendang dan pulut kuning buat bekalan cik baby.....

Saya suka masak benda yang simple sahaja. Sesusah manapun resepinya akan sentiasa diubah  suai menjadi sesimple yang boleh.

PS: Tetiba rindu nenek......



60 Days In UK: Rumah Sewa 4

Jumaat, 15hb Mac 2024 Hari ini dah masuk hari ke-44 kami berada di bumi bertuah ini. Kalau ikut orang bersalin, masa ni dah habis tempoh ber...