Saturday 28 July 2018

Sos cili tak beku?

Saya suka makan keropok lekor terutama keropok lekor Terengganu. Paling sedap kalau yang baru rebus panas-panas. Setiap kali balik Kelantan kami akan cuba singgah Terengganu untuk beli keropok Losong. Cuba je ye..... kadang-kadang tak berjaya pun. Kalau ada peluang saya akan beli banyak-banyak dan simpan dalam peti sejuk biasa, bukan yang frozen. Sempat la buat stok untuk dua tiga kali makan.  

Alhamdulillah, baru-baru ni musim rezeki murah. Banyak pulak dapat rezeki keropok lekor Losong. Maka terpaksalah simpan kat bahagian sejuk beku takut cepat rosak. Saya pernah tengok keropok lekor frozen tapi tak pernah beli takut tak sedap. Lagipun tekak ni dah biasa makan yang fresh, of courselah nak yang sodap aje.....

Sos cili masih seperti biasa, walaupun keropok dah keras kejung

Masa simpan keropok dalam freezer hari tu terlupa pulak nak asingkan sos cili, maka tercampaklah sebungkus sos cili bersama keropok lekor itu. Tiba masa nak menggoreng saya terpakasa ketuk batang keropok yang dah kejung itu. Lepas dah goreng nak bukak sos pencicah, terasa pelik pulak sebab rasa lembut je plastiknya. Takde langsung tanda-tanda membeku. Cair molek seolah-olah tak pernah masuk dalam freezer. Cuma rasa sedikit sejuk sahaja. 

"Sebab ada gula ke?"

"Takkan la, sebab ice-cream pun membeku....lagi la banyak gula...."

"Enzim dia kot.... ada cuka...."

"Oooo.... cuka boleh halang pembekuan ke?"

Hmm... entah lah. Agak keliru di situ sebab tak pernah pulak hayat hidup saya letak benda-benda dalam freezer tapi tidak membeku. Nampaknya nak kena baca balik ilmu sains tentang teori sejuk beku ini.....


PS: Belum habis belajar Sains rupanya diriku ini... :(

Friday 27 July 2018

Servis bawah sinki

Dapur adalah kawasan mutlak saya. Takde sapa boleh usik barang-barang saya terutama kalau saya baru sahaja sudah mengemas. Segala susun atur dan letak duduk barang-barang dapur adalah dalam bidang kuasa saya. Alhamdulillah setakat ini semua ahli rumah memahami tabiat saya. Dan mereka juga mahir menyimpan barang di tempatnya semula. 

Spot yang paling saya jaga ialah kawasan sinki. Pantang larang saya kalau sinki tersumbat. Semua sisa makanan harus dibuang ke dalam tong sampah dahulu sebelum letak pinggan mangkuk dalam sinki. Sekali-sekala saya akan buat servis bawah sinki.

Memandangkan hari ini tidak ke mana-mana maka kita pakai topi plumber untuk buat kerja-kerja bawah sinki. Kat bawah sinki ini juga menjadi stor simpanan perkakas kebersihan saya. Segala jenis sabun pencuci saya sumbat di situ.


Saya pakai dua sinki berkembar. Yang sebelah kanan tu agak lembab aliran airnya. Gamaknya sebab batang paip tu sedikit bengkang-bengkok melambatkan aliran air keluar. Kadang-kadang macam ada sedikit bocor maka saya letak baldi takut-takut ada air menitik.


Saya akan buka perangkap bawah sinki tu untuk cuci dan buang segala kotoran yang melekat. Lepas tu korek sekeliling batang paip tu untuk keluarkan lendir dan lemak-lemak yang terperangkap. Memang sangat jijik dan busuk. Mental dan fizikal harus bersedia menghidu aroma longkang. Haruslah bersarung tangan semasa melakukan operasi korek mengorek itu. Sentiasa membuka pintu dan tingkap untuk aliran udara. Tak lupa juga harus menyembur perfume selepas selesai kerja...... Ewah.... Paling penting buat kerja semasa suami tak ada supaya tidak terhidu olehnya apa yang kita hidu.


Selepas dah cuci semua akan nampak peningkatan kepada kelajuan air keluar. Sekejap je sinki dah sejat. Lepas tu boleh tambun segala periuk belanga pinggan mangkuk. Seat back and relax. Tunggu tengahari sikit baru kita masuk dapur semula untuk masak. Pastikan sebelum buat kerja tu kita dah sarapan secukupnya. Lebih bagus kalau ada left over makanan semalam. Tak payah nak kalut-kalut masak. Makan je apa yang ada. Duduk sensorang ni memang suka hati hang la nak buat apa, nak makan apa, bila dan bagaimana..... sambil-sambil fikir menu untuk dinner nanti.


"Kenapa la Umi tak panggil je plumber buat kerja-kerja cleaning ni?...." Hmm... itulah... selagi mampu dan terdaya saya lebih suka buat kerja sendiri. Puas hati dengan hasil usaha sendiri..... or rather syok sendiri.....


PS: Tetiba rindu dishwasherku.....

Wednesday 25 July 2018

Mood baru.....

Sejak hubby makin sibuk saya banyak travel sensorang. Dah tiba masa saya kena independent sepenuhnya. Selama ini saya banyak buat kerja-kerja dalam rumah sahaja. Tapi sekarang dah mula buat urusan luar dan travel. (Perasan macam super busy pulak)

Hari Isnin lepas tiba-tiba sahaja teringin nak beli laptop baru. Mudah sahaja spesikasinya. Saya nak yang saiz biasa sesuai untuk makcik-makcik buat kerja-kerja biasa. Boleh buka blog, buka fb, dan yang paling penting tidak berat supaya senang saya angkut ulang-alik Nilai. Bajet? Sekadar yang termampu sahaja.

So pepagi hari saya dah mesej Iman ajak teman Umi shopping. Alhamdulillah Cik Mek tu senang dibawa berbincang. Maka dalam pukul 11.30 pagi, setelah setelkan apa yang patut di Ampang, saya gerak ke Kajang, ambik Iman dan Mekca. Lepas tu terus ke IOI Mall Putrajaya. Iman dah siap reserve parking lot online. Sampai sahaja terus masuk parking sebelah pintu masuk Mall. Mudah sungguh urusan zaman sekarang. Tak perlu nak memusing-musing cari parking lot apa semua. Install sahaja apps ke dalam handphone lepas tu bayar top-up macam biasa. Depa caj terus untuk berapa lama kita nak berjimba kat situ.


Kebetulan kami tiba waktu tengahari, perut pun dah berbunyi, maka teruslah ke foodcourt untuk makan tengahari dulu. Banyak juga pilihan menunya. Kami cuma ambik kebab dengan roti dan chips. Makan simple-simple sahaja sebab lepas tu nak meronda cari laptop pulak. Kalau makan berat kang tak larat nak bergerak pulak.

Kami keluar masuk beberapa kedai yang ada jual laptop. Nak cari yang betul-betul memenuhi spesifikasi saya dengan harga mampu milik. Padahal harga kat semua kedai tu takde beza pun. Cuma kena tengok samada depa ada stok atau tidak. Akhirnya saya pilih brand HP juga sebab dah biasa guna. Sebelum ini pun saya guna brand HP juga tapi dah transfer waris kepada anak bujang sulungku. Yang kedua juga brand HP, bakal diwarisi oleh bujang nombor dua pulak. Maka Umi kena bersedia dari awal untuk dapatkan laptop baru yang paling simple. Lagipun hubby dah bagi green light dan juga kad kredit knowing full well isterinya sangat mithaliah..... tidak akan sama sekali menyalahgunakan kemudahan yang diberi.

Sementara menunggu depa install semua benda yang patut dalam laptop tu, kami pi solat zohor. Suraunya boleh tahan luas dan selesa. Lepas solat kami jenjalan lagi sambil melihat-lihat kawasan. Saya baru pertama kali datang IOI Mall maka haruslah kena fokus kedai-kedai tertentu untuk kemudahan di masa akan datang. Orang pun tak ramai jadi Mekca pun bebas bergerak ke sana ke mari. Sebenarnya tak sempat pun nak cover semua kawasan. Kami hanya pusing-pusing dua floor sahaja sebelum depa call kata laptop dah ready.





"Dah tahu tempat ni, next time boleh datang lagi....." Alasan yang sangat bagus untuk peghabih duit.

Lepas dah ambik laptop kami singgah beli shushi dan terus gerak ke Nilai pulak. Tiba rumah dalam pukul lima petang. Sempat berehat dan tidur dulu sementara tunggu hubby habis kerja. Hubby balik sahaja terus ajak keluar makan sebab dia belum makan lagi. Untuk mudah dan cepat kami terus ke Restoran Chunburi Seafood. Depa hidang masakan ala Thai. Kat situ servisnya sangat bagus, cepat dan pantas. Harga pun okay.....


"Sapa nak hantar Iman balik Kajang? Ayah dah penat....." Pinjam bini orang haruslah kena pulangkan semula. Maka lepas makan kami ke Kajang pulak. Sempat Maghrib di sana. By pukul 8.45 malam baru gerak semula ke Nilai. Alhamdulillah, setelah seharian menyupir ke sana ke mari, by pukul 10 malam saya dah boleh tidur dengan aman. Boleh mimpi indah-indah.....




PS: Ketika kita bersabar, Allah sentiasa menghadirkan rezeki yang tidak kita jangka.....

Sunday 22 July 2018

Moh ke Peghelih..... sekali lagi

"Flight ticket....checked"
"Kereta sewa...checked""
"Bilik hotel.... checked."

Dalam kesibukan hubby dengan tugasan rasmi sempat lagi siapkan tugasan asasi. Menyahut seruan baby bongsu yang over mengada.

"Yeayyyy...... Umi nak datang....."

Rasanya baru je sibuk beraya. Cerita raya pun belum habis, gambar raya pun banyak yang belum edit, jemputan open house pun banyak yang belum dipenuhi, baby tu dah sibuk bising nak balik rumah.... nak balik.... nak balik! 

Saya tak pernah travel sensorang tanpa hubby. Tapi kali ini terpaksa kuatkan tekad yang kita tidak selamanya sentiasa dapat bersama. Kena perlahan-lahan gain independent..... Alhamdulillah ada bujangku penguat semangat. Sementara bujang sorang tu masih belum masuk IPT maka kita angkut je pi memana. Maka pada hari Jumaat 13hb Julai baru ni kami ke Utara lagi.

Nasib kurang menyebelahi kami sebab flight delay. Ada masalah teknikal. Masa kami duduk kat departure lounge tu nampak depa dok kalut tukar tayar. Kita serah pada yang pakar dan yakin dengan ketentuan Allah. Apa yang kita minta tidak semestinya terbaik buat kita. Akhirnya selepas menunggu lebih satu jam depa panggil untuk boarding.

Alhamdulillah kami tiba di Alor Setar dengan selamat. Terus ambik kereta sewa dan pecut ke Kangar. Saya order kereta Myvi sahaja sebab senang nak kontrol. Terus ambik Nina kat maktab, drive tru McD, lepas tu terus check-in hotel. Disebabkan masa dah menjelang malam maka kami cuma order room service sahaja. Makan je apa menu yang ada. Malas nak keluar pi cari makan memalam.


Malam tu terdengar suara-suara dari pembesar suara. Tak pasti apa program yang sedang berlangsung. Tapi semua itu tidak mengganggu kualiti tidur kami. Kepenatan seharian memberi nikmat lena yang tidak terhingga..... Pagi esoknya baru saya perasan yang hotel kami besebelahan dengan sekolah. Mungkin depa ada program motivasi sebab pada pagi tu nampak budak-budak dok beriadah, berjogging keliling padang.

 

Kami bersarapan di kafe hotel sahaja. Dapat free breakfast untuk 2 orang. Yang ketiga kena bayar sendiri. Murah sahaja. RM18 untuk dewasa. Selepas sarapan kami berkira-kira macamana nak penuhi masa sepanjang dua hari itu. Kebetulan Nina baru habis exams, homework semua pun siap, so takdelah nak kalut nak kena study...

Kita sarapan dulu....

"Kita nak buat apa hari ni?"

"Hmm..... apa yang menarik kat Perlis?"

Kami tidak merancang untuk beraktiviti beriya-iya sebab tujuan utama datang ke Perlis ni hanyalah nak ziarah baby tu je sambil tadah telinga mendengar semua cerita dia sepanjang masa di maktab. Alhamdulillah anak-anak saya suka bercerita. Of course lah ada benda-benda yang depa hanya kongsi dengan kawan-kawan tapi banyak yang depa luahkan kepada saya.

"Jom kita jalan-jalan tengok keindahan negeri Perlis...." tak tahulah apa yang indahnya, so kita redah saja....

Maka kami menghala ke Gua Kelam. Perjalanan ke sana memang menarik. Kesian depa dua beradik tu terpaksa mendengar cerita saya semasa kecik. Ye.... saya berasal dari kampung. Melihat pemandangan sepanjang jalan ke Gua Kelam banyak mengimbau kenangan masa lalu. Pokok getah dan sawah padi sangat sinonim dengan kehidupan saya semasa kecil dahulu.

Kita layankan aje....



Masa kecik dulu kayu-kayu kering kami angkut buat kayu api....


Dalam leka bersembang tak perasan kami dah tiba di Gua Kelam.... memang kelam rupanya. Dok tinjau-tinjau tapi macam takde orang. Mungkin dah tutup sebab nampak kawasan pun macam tak terurus. Ada bumbung yang dah roboh. Kawasan geleri pun macam bertutup je. Maka kami pun pusing-pusing ambik gambar kenangan sahaja. Dahulunya Gua Kelam ini adalah salah satu kawasan tarikan pelancung. Kata orang tak sah datang ke Perlis kalau tak singgah ke Gua Kelam. 


Oleh kerana masa masih berbaki kami meneruskan dengan aktiviti melawat saudara-mara pulak. Bermula dengan yang paling dekat dengan Kangar, kami pi melawat anak saudara saya di Jitra, Kedah. Mak aih..... tak pernah saya terfikir nak drive jauh-jauh melangkau dua negeri pulak tu...

"Ala..... biasa la. Umi kan selalu drive gi Nilai. Kl-Negeri Sembilan tuh......" Sungguh....bujangku sangat pandai memberi motivasi.

Alhamdulillah kami dijamu makan tengahari di sana. Kebetulan bulan Syawal masih berbaki maka kami rangkulkan sekali dengan ziarah raya.

 
Anak dan cucu saudara.....

Mission accomplished..... 

Petang tu balik hotel terus tertidur. Penat sangat rupanya tapi sempat lagi keluar memalam cari dinner.

"Rasa nak makan tomyam la umi...." Okay tomyam you have it.....

Tom yam done.... Umi dah boleh balik KL.

Memandangkan asyik makan je sepanjang hari, esoknya saya dah malas nak sarapan. So depa pi turun sarapan berdua beradik sahaja. By pukul 11 pagi kami check-out dan singgah beli barang bekalan ke maktab. Alhamdulillah kami dapat jemputan makan tengahari dari rakan bekas guru al-Amin. Apa lagi, rezeki Allah jangan ditolak. On the way balik maktab kami singgah makan ala desa di tepi bendang.

Cg Rozaina (baju corak) dan ibu yang sangat peramah

Menikmati hidangan enak dalam angin sepoi-sepoi bahasa.

Seperti biasa setiap kali nak kena tinggal akan ada drama bersiri.....


Mengimbau kenangan semasa di maktab PC dulu....

"Next, masa pulang bermalam umi datang la lagi....." Iyalah..... Umi ni memang takde kerja lain. Memang suka mengadap kerenah dia sorang..... 


PS: Untung la..... Saya dulu tidak pernah merasa ada famili datang melawat. So saya faham sangat the meaning of loneliness.....

Saturday 14 July 2018

Melaka lagi.....

Selepas balik dari Phuket hari tu dah macam jadi rutin pulak, teman hubby pi out-station tapi masa orang sibuk berprogram kita buat hal sendiri. Baru ni ikut hubby pi Melaka pulak untuk dua malam (9-11 Julai 2018). Dah alang-alang depa bagi bilik suite maka kita buat macam rumah sendiri.

Seperti biasa saya kena tunggu hubby habis kerja dulu baru boleh gerak. So hari Isnin hari tu agak-agak hubby dah nak habis kerja, saya gerak dari Ampang. Sepatutnya stop over je untuk jemput hubby kat Nilai lepas tu terus gerak ke Melaka. Tapi terlewat pulak habis meetingnya maka kita duduk sekejap kat rumah Nilai. Pukul 6.30 petang baru gerak ke Melaka. Perjalanan selama satu jam setengah. Oleh kerana dah malam maka kami stop over makan dinner dulu sebelum check-in kat hotel. Kata je dah dinner tapi malam tu order room service lagi. Siap dengan pasta dan burger bagai. Habis ke laut semua program dietku.....

Perasan jadi orang muda sekejap....


Bilik kami kat tingkat 27. Depa bagi suite 3 bilik. Dah over- space lah pulak. Nak kata apa, anggap sajalah rezeki Allah yang datang dalam berbagai bentuk. Alhamdulillah, bawa anak sorang je tapi dapat bilik macam anak sepuluh orang.

Master bedroom

Siap ada bath-tub see through....
Kena tarik bidai la kalau nak mandi. Kang ada yang lemah jantung pulak.

Siap ada living room, boleh lah hubby buat kerja untuk meeting esoknya.

Dan kita buat-buat jakun tengok pemandangan kat luar tingkat 27 tu. Saja tak nak kacau orang sibuk bekerja. Memang cantik dengan lampu-lampu gemerlapan.....

Snap dari dalam bilik je. Gayat nak keluar ke balkoni.....

Esoknya selepas sarapan saya pun meneruskan perancangan yang telah diatur sejak dari KL lagi. Kita ke Sekolah Menengah Islam al-Amin Bistari di Merlimau (SMIABM). Hajat asalnya nak berkumpul dengan cikgu-cikgu pencen macam ala-ala mini reunion gitu. Tapi ramai yang terpaksa tarik diri disaat akhir dengan alasan yang tak dapat dielakkan. Alhamdulillah, walaupun hanya tinggal saya dan Cikgu Rushida sahaja, kami teruskan juga dengan perancangan kami. 

Dah lama dah berhajat nak berjumpa dengan Cikgu Syima, bekas rakan sekerja semasa di Gombak dulu. Beliau pindah ke Merlimau mengikut suami yang dinaikkan pangkat menjadi Guru Besar sekolah SMIABM yang pertama. Dan dia pulak dilantik menjadi Penolong Kanan. Alhamdulillah, walau lama tidak bersua, keramahannya masih berbisa. Siap buat jamuan raya untuk menyambut ketibaan kami.

Cg Syima yang kekal anggun....

Bersama Cikgu Rushida (dan anaknya) dan Cikgu syima.....

Awalnya kami nak buat program 'Girls only'. Tapi disebabkan masa dah agak lewat dan ada offer orang ajak makan durian maka ke dusunlah kita pekena durian barang seulas-dua. Saya bukanlah hantu durian. Sejak di ambang usia senja ni lagilah kengkonon menjaga pemakanan diri. Dengan anggapan bahawa durian itu adalah ibu penyakit maka saya hadkan diri untuk makan seulas dua sahaja. Sungguh..... harus cekal menahan nafsu sebab durian dusun itu sangat osem lazattttzz....




Mission accomplished... Terima kasih orang Merlimau....

Selepas hubby habis program petang itu kami pi makan-makan kat kafe hotel di tingkat 30. Sambil tu ambik peluang meninjau-ninjau sekitar atas bangunan tu. Tetiba gayatnya terasa kurang....



Swiss Garden Hotel & Spa ni sebenarnya ada banyak facility. Tapi saya tak sempat nak explore apa facililty yang ada. Sekadar baca dan tengok-tengok kat pamphlet dia sahaja. Biasanya kalau menginap kat hotel, saya hanya nak bermalas-malas dalam selimut sahaja. Boleh qadha semua rehat selama ini....

Sementara menunggu hubby habis program hari kedua, saya cuma pi pusing-pusing kawasan hotel. Swiss Garden Hotel ni ada shopping mall The Shore kat ground floor hingga tingkat 2. Tingkat 3 ke atas barulah depa buat bilik-bilik hotel. Shopping Mall ni takdelah besar sangat. Bolehlah setakat nak kill the time sementara tunggu masa nak check-out. Ada Tangs, Nandos, Starbucks, Mr DIY, Aeon Wellness dan beberapa kedai lain. Lupa dah. Dalam tak ada apa-apa tu pun sempat lagi bershopping beberapa helai baju. Dah namanya perempuan, walau menghampiri senja pun tabiat shopping harus mendarah mendaging....


PS: Dah beberapa kali pi Melaka, dah rasa macam balik tempat sendiri pulak....

Monday 9 July 2018

Phuket

Tiba-tiba sahaja hubby ajak pi Phuket. Sebenarnya depa ada Muzakarah Perbankan Islam untuk panel Shari'ah bank di Malaysia dan Thailand. Rasanya Indonesia dan Brunei pun turut serta. Entahlah saya pun tak pasti. Malas nak sibuk-sibuk urusan orang-orang profesional nih. Hubby ajak teman maka kita teman jelah. Oleh kerana Thailand jadi tuan rumah maka depa pilih buat kat Phuket.

Maka pada hari Isnin 2 Julai 2018 baru-baru ini kami berlepas ke Phuket. Sebelum ni setiap kali teman hubby pi memana akan ada peneman saya juga..... siapa lagi kalau bukan Cik baby cumel itu....:((( Ini kali kedua kami pi oversea berdua-duaan sahaja. Sebelum ni kami pi Oman. Tapi sebab kebetulan saya ada kawan kat sana maka setiap kali hubby berprogram saya pi bercanda dengan kawan. Tapi nak pi Phuket ini macam loner pulak....

Kami gerak dari KLIA tengahari. Flight selama lebih kurang satu jam sahaja. Alhamdulillah landed kat Phuket dengan selamatnya walau dalam deruan hujan. Saspen jugak apabila tetiba flight sedikit gegar semasa memasuki perairan Thailand. 


Dari lapangan terbang kami naik van melalui suasana kampung yang tenang dan damai. Sepanjang jalan hujan renyai. Oleh kerana kami tiba semasa rush hour, masa orang keluar ofis dan budak-budak keluar sekolah maka jalan biasa agak jam. Kami dibawa melalui jalan alternatif, melalui ladang getah dan laluan sempit sekitar kampung untuk mengelak jalan jam. 

Laut bergelora dalam hujan renyai...

Perjalanan ke hotel mengambil masa selama lebih satu jam. Kebetulan Sementara menunggu daftar masuk bilik hotel depa jemput makan dulu. 

"Sawadikap....." dengan senyuman yang tak pernah lekang dari bibir mereka.

Depa sediakan makan tengahari. Tapi sebab kami dah makan dalam flight, perut masih kenyang maka kami hanya ambik makanan yang ringan-ringan sahaja. Rupa-rupanya depa buat style serving. Kita duduk kat meja, depa akan hidangkan apa yang kita minta. Saya ni manalah biasa di hidang-hidang begitu. Kita jenis simple, biasanya makan kat buffet, pilih sendiri apa makanan yang kita minat, berapa banyak yang kita suka... biasanya saya ambik portion sikit-sikit sahaja. Bila dah dihidang bagai memang la semput nak menghabiskan portion yang depa bagi walaupun saya hanya ambik starter dan dessert sahaja. Hmm....


Starter katanya, jenuh nak peghabih.

Dessert, pulut mangga yang marvelous.

By pukul 5 petang kami dah boleh masuk bilik. Alhamdulillah.


Kunci specifik....

Kawasan hotel ni agak luas. Depa buat konsep hotel dalam taman. Maka setiap inci kawasan hotel tu dipenuhi dengan tanaman pokok bunga dan pokok-pokok hutan. Sungguh tenang dengan warna hijau alam.

Pelan lokasi sekitar hotel.

Belum sempat hadam makanan tengahari tadi, depa panggil untuk dinner pulak.

"Kita raikan sahaja sebab orang dah ajak....."

Kambing... saya tengok saja, dah tak larat nak makan

Dessert.... puding karamel dan buah-buahan. Sedap

Esoknya hubby sibuk berprogram. Sebagai isteri yang tidak suka mengganggu urusan suami maka saya mencipta urusan sendiri.

Posing jap depan dewan sebelum depa mulakan program.

Lepas sarapan saya pi cari kawan untuk ajak jenjalan sekitar hotel. Alhamdulillah ada insan mulia buat teman berjalan. Kebetulan kami berdua ni isteri-isteri dalam kapal yang sama maka sesamalah kita jenjalan isi masa.

Ketara tembamnya di situ....

Sahabat sekapal....


Pantai Patong yang bersih dan nyaman.

Lepas berposing-posing kat pantai kami jenjalan sepanjang Patong Beach. Banyak kedai-kedai menjual cenderahati sepanjang jalan.




Alhamdulillah cuaca sangat terang tapi panas. Kami tak mampu nak berlama-lama di pantai sebab pengunjung dah mula ramai. Lagipun dah tua-tua ni tak larat nak berjalan dalam cuaca panas begitu ditambah pulak dengan pemandangan yang mula kurang menarik. Maka kami pun mula gerak balik ke hotel untuk berehat.

Saja selak-selak sambil berehat tunggu hubby habis program. Lama tak baca paper.....

Sementara tunggu hubby habis program, saya pi cari makan tengahari. Sepatutnya masa jenjalan tadi tu singgah beli lunch terus tapi tak tergamak pulak nak pandai-pandai membeli. Terasa ragu-ragu tentang status halalnya. Nak tanya tentang kehalalan pun tak reti nak cakap Siam. Maka kita cari je kat kafe hotel. Dok jenguk-jenguk logo halal kat hotel tu tapi tak nampak pulak. Maka tawakkal jelah beli yang agak-agak boleh dimakan.


Light lunch kat kafe hotel. Saya pilih roti sahaja. Takut nak beli benda lain sebab tak sahih halal haramnya.

"Umi kena makan pankek kat Phuket...." Iman dah siap pesan sebelum saya bertolak hari tu. Masa berjalan sepanjang pantai Patong tadi memang nampak banyak gerai jual pankek tapi segan pulak nak singgah. Yang menjual tu anak-anak muda belia. Tak sampai hati makcik dah tua ni nak singgah beli. Biarlah ia menjadi acara anak-anak muda sahaja....

Suasana hijau di luar tingkap bilik....

"Untung la Mas pencen masih sihat lagi. Boleh ikut suami berjalan..... sayang kalau pencen masa badan dah sakit-sakit, lutut pun dah longgar, jalan pun dah tak larat....." Komen seorang sahabat.


PS: Alhamdulillah setakat ini Allah masih kurniakan kesihatan yang baik.....

60 Days In UK: Rumah Sewa 4

Jumaat, 15hb Mac 2024 Hari ini dah masuk hari ke-44 kami berada di bumi bertuah ini. Kalau ikut orang bersalin, masa ni dah habis tempoh ber...