Friday, 24 March 2017

Yang mendengar cerita saya.

Nenek saya suka bercerita. Alhamdulillah sejak kecil saya boleh menjadi pendengar yang baik. Banyak cerita pengalaman pahit manis kehidupan nenek menjadi pedoman buat saya hingga kini.

Saya juga suka berkongsi cerita. Bercerita dan mendengar cerita. Seingat saya sejak kecil pulang dari sekolah nenek akan setia menunggu untuk mendengar cerita saya. Dan nenek adalah pendengar baik. Saya akan ada banyak cerita. Semua benda yang berlaku adalah penting bagi saya. Dan tabiat ini telah menurun pada anak-anak perempuan saya, terutama yang kedua. Mereka akan sentiasa ada cerita untuk dikongsi dengan saya. Walaupun kadang-kadang ada gosip yang mereka rahsiakan, saya biarkan saja. Saya bukanlah mak-mak yang suka sibuk nak korek rahsia. (Alhamdulillah naluri ibu dalam diri saya sentiasa dapat merasa sekiranya ada cerita yang mereka cuba rahsiakan). Sooner or later cerita itu akan keluar juga. 

Saya juga suka menulis. Pada masa-masa yang tiada sesiapa untuk mendengar cerita saya, saya akan abadikan cerita dan luahan rasa dalam diari. Saya hanya menulis cerita biasa dari kehidupan harian saya yang biasa-biasa juga. Sekiranya ada yang luar biasa, biarlah ianya  tersimpan menjadi rahsia jauh di sudut hati saya. Sebab kata orang, 'Some things are better left unsaid'. 



Antara diari pemberian anak-anak saya.

Namun sejak anak-anak dah mula membesar dan meninggalkan rumah, saya banyak bercerita dengan pokok-pokok di halaman dan kebun saya. Juga dengan kucing-kucing yang selalu bertandang ke rumah saya. (Simpton empty nesters gamaknya) 

Sejak berleluasanya penggunaan hubungan cyber, ramai orang dah mula kurang bercakap. Masing-masing sibuk dengan suara-suara bisu dalam grup cyber masing-masing. Dan saya pun mula merindui nenek yang sentiasa bercerita dengan saya tanpa rahsia, yang sentiasa mendengar keluh kesah dan cerita saya, yang sentiasa menerima dan menyayangi saya tanpa syarat.  Saya rindu detik-detik nenek semangat bercerita tentang kehidupan sambil saya mencabut uban nenek di petang hari. Saya juga rindu detik-detik saya menggobek sirih nenek sebab nenek takde gigi nak kunyah. Pasrah je nenek kunyah dan telan walaupun sirih tu tak lumat sebab tenaga kanak-kanak saya tak cukup kuat nak gobek sirih tu betul-betul. (Cucu yang baik konon sibuk nak berbakti tolong gobekkan sirih neneknya.....)

Gobek sirih (Gambar google)


PS: Sentiasalah mengenang detik-detik indah supaya kita sentiasa ceria.....



No comments:

Jom balik KB, bercuti dan makan-makan

Bila hubby ajak balik KB saja-saja bercuti dan jalan-jalan cari makan laju sahaja isteri mithalinya ini bersetuju dengan segala perancangan....