Wednesday 28 August 2024

Ganti kepala paip

Sejak beberapa bulan ini tekanan air di rumah ini seakan menurun. Air keluar pun macam malu-malu terutama di bilik air tingkat bawah. Untuk shower tiada masalah sebab menggunakan pam. Sinki pun masih okay. Yang jadi masalah besar adalah di bahagian pili. Walau saya sudah ‘keluarkan udara’ dalam paip air, aliran air masih perlahan. Akhirnya saya ambik keputusan untuk tukar sahaja kepala paip bertuah itu. Lagipun dah lama ianya mencurah bakti, sejak dari tahun 2019 lagi. Dan seperti biasa, makcik DIY sahaja. 

Kita cabut paip lama dan biarkan air mengalir keluar dengan laju.

Kepala paip lama.

Siap.

Mudah sahaja kerjanya. Yang penting ada kudrat dan upaya disamping kerajinan dan peralatan yang sesuai. Semoga Allah sentiasa mudahkan urusan kita. Aamiin. 🌹

{Cerita sebelum ini boleh baca di sini dan di sini}.

Sekian.😊

Friday 9 August 2024

Repair Kebocoran Bumbung/Atap Rumah

Dah lama saya perhatikan tompokan kuning pada siling bumbung area tangga ini. Awalnya sedikit sahaja tapi makin membesar dan merebak hingga hampir memenuhi seluruh kawasan siling. Saya sangat yakin ianya berpunca dari kebocoran atap/bumbung rumah. Dan bila air dah mula turun membasahi ruang tangga setiap kali hujan lebat dan parquet lantai tangga dah mula mengembang maka nak tak nak terpaksalah saya cari tukang untuk tengokkan apa yang patut. Takut pulak semua siling tu runtuh jika dibiarkan.

“Awak carilah orang repair, bajet unlimited…’ Demikianlah adanya. Maka isteri mithali yang paling berhemah dalam berbelanja ini meneruskan kerja-kerja apa yang patut. 

Seperti biasa saya buat carian di Google dan senarai pendek beberapa contractor yang mendapat review yang bagus daripada pelanggan. Saya pernah ada pengalaman kurang menarik dengan para kontraktor sebelum ini maka saya perlu berhati-hati. Akhirnya saya pilih yang paling sesuai untuk menyelesaikan masalah yang ada.

Tompokan air yang kekuningan.

Saya buat temujanji untuk dapatkan quotation. Depa datang seperti yang dijanjikan. Mudah je tengok dia panjat naik bumbung, like a pro kata orang kampung saya.

“Atap elok lagi kak, cuma ada beberapa keping yang pecah kat salur air. Dan ada bocor pada bahagian rabung dan penyambung ke dinding. Ada bocor atas master bedroom. Bla…bla, bla…bla…” Macam-macam dia cerita. Saya percaya sahaja berdasarkan gambar yang dia tunjuk. Mana la kita nak tahu apa keadaan sebenar kat atas bumbung sana melainkan makcik turut panjat naik sekali. 

“Kita akan buka rabung, tambah simen dan letak waterproof. Tempat-tempat yang bocor tu kita ganti zink dan letak waterproof juga…” Begitulah perancangannya. 

Bumbung atas master bedroom.

Valley gutter.

Punca kebocoran pada kawasan tangga.

Pada hari yang dijanjikan depa datang tepat pada masanya. Kontraktor asal tu tak datang. Dia cuma ‘post’ pekerja seramai tiga orang. Kerja-kerja mereka nampak profesional. Depa buka atap dan betulkan apa yang patut sambil update saya melalui whatsapp. Memandangkan kita tak nampak apa depa buat kat atas bumbung itu maka kita tawakkal sahaja sambil melihat gambar-gambar yang depa share.

Tiga orang pekerja mula membuka atap.

Bahagian rabung (ridge) pun dibuka.

Letak roof flashing pada valley gutter.



Letak roof flashing pada sempadan rumah jiran.

Pada hari kedua depa sambung kerja-kerja membuka rabung (ridge), letak simen dan waterproof pulak. Pada hari kedua ini cuaca agak mendung. Elok depa siap kerja-kerja atas bumbung, hujan mula turun renyai-renyai. Saya tak pasti cat waterproof itu sempat kering atau tidak. Kita doakan yang terbaik sahaja.

Rabung (ridge) yang siap dibaiki.

Letak roof flashing di sepanjang bumbung porch.

Akhir sekali baru depa mula mengecat bahagian tompokan pada siling dalam rumah pulak. Alhamdulillah semua bahagian siling (asbestos dan kayu) masih elok. Depa hanya paku semula pada bahagian yang tertanggal, letak undercoat dan cat.

Sapu undercoat dulu.

Depa biarkan undercoat kering selama 30 minit sebelum cat semula dengan warna putih. Untuk cat, ada tambahan pekerja khas untuk bahagian cat seramai dua orang pulak. 

Sapu cat putih.

Biar kering (dalam 30 minit).

Siap.

Alhamdulillah bagus akhlak pekerja-pekerja ini. Berbudi bahasa dan buat kerja dengan teliti, siap sapu, lap semua cat yang menitik dan mop lantai tangga. Semua kerja selesai dalam masa dua hari. Jumlah kos RM6500. 

Semoga Allah gantikan dengan rezeki yang lebih baik selepas ini. Mudah-mudahan tiada lagi kebocoran untuk beberapa tahun mendatang. Aamiin.🌹

{Cerita repair atap/ bumbung sebelum ini boleh baca di di sini}.

Sekian.😊

Thursday 8 August 2024

Masalah Paip Bocor

Sedang enak-enak duduk bersantai di ruang tamu hujung minggu baru-baru ini tetiba ada penampakan tidak enak di luar pagar. Bila ditilik rupa-rupanya ada percikan air dari batang paip utama. Mula-mula hanya percikan kecil kemudian menjadi macam air pancut mini pulak. Maka terpaksalah saya tutup kepala pili paip utama di luar pagar. Dek kerana sinki dapur saya menggunakan air terus dari pili utama (tanpa naik ke tangki) maka terpaksalah saya bertahan dengan keadaan seperti ketiadaan air. Kita berjimat cermat dengan air tadahan sahaja dan biarkan pinggan mangkuk penuh sinki sementara menunggu paip dibaiki.

Saya cuba tampal menggunakan celotape tapi tak dapat bertahan kerana tekanan air agak kuat dan air tetap mengalir keluar. Sebenarnya boleh sahaja kalau saya nak repair sendiri. Tak perlu banyak modal pun. Cuma perlu potong paip pvc lama dan buat sambungan yang baru dengan sambungan L shape dan letak gam. Oleh kerana saya tiada stok penyambung L shape di rumah maka kita mudahkan kerja untuk diri sendiri.

Makcik tampal celotape.

Saya cuba hubungi plumber yang saya biasa berurusan tapi dia tak sihat, baru keluar hospital. Atas saranannya saya hubungi kawan sekerjanya yang boleh membantu. Oleh kerana kejadian berlaku pada hujung minggu hari Ahad dan kedai hardware banyak yang tutup maka saya bayar RM100 untuk segala susah payahnya. (Sepatutnya RM50 sahaja, tapi kita bagi rate overtime sebab bekerja di hujung minggu).

Sebelum.

Selepas.

Siap.

“Biasa la Ummi. Rumah dah duduk lebih 15 tahun memang ada macam-macam masalah…” Begitulah menurut anak ke-3 saya. Sejak jadi akitek ni, selalu sahaja dia bersetuju dengan segala tindakan saya terhadap rumah yang bakal jadi pusaka ini. 

Sebenarnya macam-macam cerita tentang paip air di rumah ini sebelum tiba kepada kebocoran paip nan satu ini. Kita hold dulu cerita-cerita itu di entry yang lain. Mudah-mudahan paip air nan satu ini dapat bertahan lebih lama. Amiin. 🌹

Sekian. 😊

Saturday 3 August 2024

Buaian di Halaman

Dah nak masuk tiga tahun usia buaian di rumah ini. Sebenarnya ia adalah hadiah daripada anak-anak yang sentiasa memenuhi impian ummi depa nan seorang ini. Depa berpakat adik beradik belikan buaian yang movable untuk ummi duduk berehat bila perlu. Anak no-2 order secara online dan bungkusan gedabak tiba di rumah pada pukul 11:30 pagi, 23hb September 2021. By pukul 12:00 tengahari anak no-4 dah siap pasangkan sebuah buaian untuk seorang Ummi. Mudah sangat cara pemasangannya, zup-zap, zup-zap, pasang skru, siap. Awalnya saya letak dalam rumah kengkonon nak berbuai sambil tengok TV. Tapi nampak semak pulak, so anak no-4 tolong usung letakkan di luar rumah. Setiap pagi saya akan berebut dengan kucing liar yang tumpang berteduh dan membuat singgahsana di atas buaian saya. Banyak kali jugak depa meninggalkan bahan-bahan (buangan) yang tidak diingini di atas lapik buaian, tapi tetaplah kita bersabar dengan dugaan yang tidak seberapa ini. Dan beberapa kali jugak buaian ini berpindah tempat. Awalnya saya letak di porch tepi, kemudian alih ke porch hadapan, dan kini pindah semula ke porch tepi.

Sebelum ini saya pernah berangan nak buat buaian ala-ala hammock di bawah pohon mangga tepi rumah untuk berehat dihari tua. Namun hammock entah ke mana, pokok mangga pun saya dah tebang. Dan sekarang ini saya hanya berpuas hati dapat berehat di atas buaian sambil menikmati keindahan alam di celah pepohon di halaman rindu tepi rumah ini.

Penyejuk mata.

Sekarang ini saya punya banyak masa untuk mencari ketenangan meniti hari tua. Dan buaian ini menjadi antara tempat paling selesa untuk saya melepaskan lelah di petang hari selepas membelai pokok-pokok di laman. (Saya dah kurang turun ke laman pada waktu pagi dek kerana halaman rumah ini berhadapan dengan tadika yang beroperasi selepas musim Covid baru-baru ini. Suasana pagi yang sibuk dengan kereta ibu-bapa yang parking bergilir-gilir di hadapan rumah saya ketika menghantar anak-anak ke tadika agak merimaskan. So kita tukar masa membelai pokok ke sebelah petang pulak. Untuk sesi pagi saya hanya turun ke laman pada hujung minggu atau waktu cuti sekolah. Begitulah hidup berjiran, ada masa kita harus redha dengan keadaan, maka kita mengalah sahaja dan letak tepi kenikmatan berpagi-pagi di halaman. Apa-apa pun semoga kita sentiasa berada dalam redha Allah hendaknya. Amiin. 🌹

Sekian.😊

Friday 2 August 2024

Pasang rak buku tambahan

Selepas selesai mengemas kawasan hall tingkat atas untuk dijadikan study area, tiba-tiba terasa perlukan lagi rak buku untuk menyusun semula buku-buku yang ada. So saya order satu rak buku via Shopee yang sesuai dengan keluasan ruang yang ada. Haluih sahaja ruangnya, so rak buku yang sesuai pun haluih juga.

Kebetulan hubby ada meeting di Kelana Jaya, maka saya gunakan masa untuk me-time sambil buat kerja. Mudah sahaja pemasangannya. Semua peralatan telah tersedia. Saya cuma perlukan kudrat dan kesabaran sahaja.

Sebelum.

Kayu dan papan rak dari dalam bungkusan.

Skru dan screw driver.

Cara nak sambung atas bawah.

Siapkan bahagian atas dahulu.

Bahagian bawah pulak.

Skru penyambung untuk bahagian atas dan bawah.

Penyambung.

Siap.

Alhamdulillah siap kerja-kerja makcik sambil kita memasak, buat laundry dan lain-lain rutin kerja rumah. Semoga Allah kurniakan kesihatan yang baik sehingga akhirnya. Amiin.🌹

{Cerita sebelum ini boleh baca di sini}.

Sekian. 😊

Ganti kepala paip

Sejak beberapa bulan ini tekanan air di rumah ini seakan menurun. Air keluar pun macam malu-malu terutama di bilik air tingkat bawah. Untuk ...