Wednesday 11 October 2017

Bunga Ros dan Anai-anai

Sejak laman saya diserang anai-anai hari tu minat nak berkebun mula pudar. Mulanya dah minta pakar 'pestcontrol' untuk hapuskan anai-anai tu tapi tengokkan sebut harga yang depa bagi macam tak mampu pulak. Depa guna kaedah bait. Depa kata laman saya luas so kena letak  tujuh bait untuk perangkap anai-anai. Kos RM3500 untuk 7 bait. Fuh.... rasa nak demam sekejap. Saya cuba cari sebut harga yang lain tapi harganya lebih kurang sama je. So untuk sementara ni saya letak racun je dulu. Memandai DIY sebab nak jimat kos. Saya beli beberapa botol racun anai-anai dan tuang terus kat tempat-tempat yang nampak macam ada sarang anai-anai. * Jangan lupa pakai sarung tangan dan elakkan dari terkena mata dan kulit. Lepas tu saya siram dengan air yang banyak. Kebetulan musim hujan ni lagi senang. Bila nampak je macam nak hujan saya tuang je racun anai-anai tu kat tempat-tempat yang sepatutnya. Lepas tu tunggu je air hujan meneruskan kerja-kerja selanjutnya. 

Semalam tetiba rajin pulak merumput di halaman rindu. Dah berzaman tak gunakan mesin rumput. Alhamdulillah masih berfungsi. Tapi disebabkan tanah tak rata menyebabkan agak sukar nak operate mesin rumput tu, asyik tersangkut-sangkut je. Gamaknya sebab masa tanam rumput hari tu saya main letak je. Takde nak kisah tentang teknik penanaman rumput berkesan. Main tibai suka hati. Akhirnya rumput tu pun suka hati juga la nak tumbuh macam mana.

Balik sekolah semalam saya singgah beli 10 kampit tanah untuk ratakan laman yang berbonggol-bonggol tu.

10 kampit tanah ready to go.

Runtuhan kolam hari tu masih bersisa. 

Saya tambun sahaja dua tiga kampit tanah ke kawasan yang berlopak-lopak tu. Alhamdulillah usai kerja-kerja menambun tanah tu hujan pun turun. Secara tak langsung air hujan tu nanti akan memadatkan tanah yang baru di tambun tadi tu. Tak perlu nak siram lagi.


Minggu ni peperiksaan PT3 sedang berlangsung. Kebetulan pulak Nina dok buat ulangkaji subjek KHB pilihan ERT.  Maka dia sibuk bercerita tentang pemasuan semula.

"Campur tanah lom, tanah biasa dan tanah hitam. Kacau rata sebelum masukkan dalam pasu. Korek dan keluarkan pokok dari pasu lama dan potong akar-akar yang panjang. Masukan dalam pasu beserta campuran tanah tadi. Tambah tanah sehingga 2.5cm penuh. Lepas tu siram....."

Maka tetiba sahaja perasaan bersalah muncul dibenakku. Terus bersemangat untuk menjiwai semula pokok-pokok bunga ros di halaman rinduku itu.  Saya tanam 4 pasu je pun. Warna oren, kuning, putih dan ungu cair. Tapi disebabkan jarang dijaga dan dibelai maka depa hidup segan mati tak mahu. Sungguh kata orang, hanya orang rajin dan berdisiplin sahaja yang boleh tanam bunga ros. Sebab pokok bunga ros ni manja dan perlukan banyak perhatian. Nasib tak baik nanti semuanya terkulai layu.

Mangsa  tuan tanah yang kengkonon sibuk.

Maka bertungkus lumus lah saya menjalankan aktiviti pemasuan semula untuk keempat-empat pasu itu. Setiap hari selepas balik dari sekolah saya akan beraksi dengan kudrat empat kerat ini. Alhamdulillah keempat-empat pasu bunga ros itu selamat menjalani make over. Saya campurkan dua kampit tanah merah dan sekampit tanah hitam. Gaul rata lepas tu saya masukkan dalam pasu hingga separuh penuh. Sebelum tu keluarkan semua tanah asal beserta pokok bunga ros tu. Hati-hati agar tidak tercabut akarnya. Letakkan semula pokok di tengah-tengah pasu yang sudah berisi separuh tanah tadi. Kemudian masukkan semula tanah yang asal yang telah digembur-gembur. Jika perlu tambah tanah campuran tadi hingga penuh pasu. Kemudian siram dengan air supaya tanahnya mampat. Letak di tempat teduh hingga esoknya. Lepas tu baru boleh pindahkan ke tempat yang mendapat cahaya matahari penuh. Siram dua kali sehari, pagi dan petang. Alhamdulillah hari ini semua pokok kelihatan masih segar.


Mudah-mudahan selepas ini bunga-bungaan segar akan kembali menyerikan halaman rindu ini.

Rakan baru.....

Alhamdulillah hari ni petik bunga kunyit untuk buat ulam. Kebetulan hari ni saya masak lemak cili ikan jenahak (tak habis habis lagi stok ikan Pantai Sepat hari tu) so hal kunyit mengunyit ni sangat penting. Tumbuk ubi kunyit dan hiris daunnya. Masukkan ke dalam periuk beserta ikan dan santan sekotak. Tambah segelas air, sekeping asam keping dan garam secukup rasa. Masak hingga mendidih dan ikan empuk. 

Bunga kunyit.

Perah buat air, minuman sejuk selepas penat berkebun. Limau kasturi + air batu, asam boi dan gula. Yummy...

PS: Berkongsi hasil bumi adalah terapi minda yang sangat melunakkan.

No comments:

Sinki Dapur Tersumbat Lagi

Sejak balik dari bercuti ni banyak pulak kerja-kerja maintenance yang perlu dilakukan di rumah ini. Alhamdulillah, saya masih diberi kekuata...