Monday 12 December 2016

Gulai ikan temenung.

Dah lama teringin nak makan gulai ikan temenung. Last makan masa ikut hubby bawa tetamu dari Indonesia. Kami pi makan kat Restauran Pegaga, Ukay Boulevard. Saja order gulai kalut, nama glamour untuk kari ikan temenung. Ada orang kata ikan temenung ni sama ngan ikan kembung. Tapi seingat saya depa macam lain sikit. Ikan kembung memang kembung-kembung. Tapi ikan temenung ni body cutting je sama macam ikan kembung tapi agak leper, tidak kembung. Saiz lebih kecik daripada ikan kembung. Mungkin sebab depa asyik temenung kot, kurang makan, sebab tu tak berapa kembung. Arwah mak mentua saya panggil ikan kembung yang leper ni ikan pelaling. 
Ikan kembung temenung?

Masa kat kampung dulu-dulu ikan temenung ni lah yang banyak orang jual selain ikan tamban dan gelama. Kami panggil ikan hidup, nama khas untuk ikan basah atau ikan segar walaupun dah tak segar mana. Biasanya kami makan ikan masin atau ikan kering je. Kampung kami jauh dari laut, jadi agak susah nak dapat makan ikan segar. Lagipun masa tu manalah ada transport. Harapkan pakcik jual ikan naik motor je. Teringat masa saya kecik, biasanya dalam kol 8.30 pagi mak-mak akan mula keluar berkumpul tepi jalan tunggu pakcik motor jual ikan. Pakcik jual ikan tu akan bunyikan hon motor pon, pon, pon dari jauh lagi.  Bila dia sampai, mak-mak akan kerumun keliling tong ikan dia untuk pilih ikan. Sebenarnya tak pilih mana pun. Dah tau dah ikan apa nak beli. Temenung, temenung, temenung. Lepas tu temenung lagi nak masak apa ngan ikan temenung tu. 

Gulai ikan temenung ialah all time favourite kami. Wajib dari air tangan nenek saya. Nenek saya seorang yang rajin. Seingat saya tidak pernah sekali nenek akan duduk saja tanpa buat apa-apa. sambil baring pun dia boleh buat kerja. Kalau hari tu dah planning nak masak kari, pepagi buta lagi nenek dah rendam cili kering, sangai segala jintan manis. jintan putih dan ketumbar. Lepas tu giling semua benda tu buat curry paste. Pantang larang nenek saya kalau guna serbuk kari. Kelapa kukur sendiri untuk buat santan. Saya lah teman setia nenek di dapur, in fact di mana sahaja.

"Kita ni kalau nak masak ni kena ada kasih sayang. Baru lah orang makan sedap...." Sungguh saya amat yakin nenek sayang saya sebab makanan nenek sentiasa sedap. 

Saya sendiri tak pernah masak menu ini sejak kawen. Entah kenapa tetiba memori gulai ikan temenung ni asyik datang tanpa diundang. So semalam, bertemankan memori nenek saya masak sendiri gulai ikan temenung. Sambil cuci ikan sambil derasnya air mata menuruni pipi. Tapi mana mungkin dapat sesedap rasa nenek kalau pantang larang pertama pun dah langgar. Tapi at least saya tumbuk bawang guna lesung batu pusaka nenek. Bancuh dengan rempah kari dan air asam jawa. 
Lesung batu..... the essential.
Bahan tumis.


Masak gulai ikan temenung ni tidak susah mana.pun.....

Bahan asas

  • 4 ekor ikan temenung
  • 3 ulas bawang merah (tumbuk)
  • 2 sudu besar rempah kari ikan (apa-apa brand pun boleh)
  • Asam jawa sebesar ibu jari (lagi masam lagi sedap)
  • 3 ulas bawang merah (hiris)
  • 3 ulas bawang putih (hiris)
  • 1/2 sudu teh halba campur
  • Sedikit daun kari
  • Santan 1/2 kotak kecik
  • 2 cawan air
  • Minyak untuk menumis
  • Garam secukup rasa
  • Tambahan: Bendi, tomato, lada merah, terung atau apa sahaja.
Caranya:
  1. Panaskan minyak dalam periuk. Kuali pun boleh. Nenek saya guna periuk tanah, lagi satu secret recipe nenek saya. Mana tah pergi periuk tu sekarang. 
  2. Masukkan bahan tumis (hirisan bawang merah dan putih, halba campur dan daun kari). Kacau hingga bawang garing.
  3. Lepas tu masukkan bacuhan rempah (rempah kari+bawang merah tumbuk +air asam jawa). Kacau hingga garing dan pecah minyak. 
  4. Lepas tu masukkan air dan santan dan garam secukup rasa. Kacau hingga sebati. Tunggu hingga mendidih.
  5. Apabila mendidih masukkan ikan temenung, bendi, tomato dan apa sahaja sayur.
  6. Tunggu hingga mendidih lagi sekali,  hingga bendi lembut. Siap.
Makan dengan nasi panas. Cicah peknga pun boleh.


PS: Ada perkara, hanya kita sahaja yang faham.....


Jom balik KB, bercuti dan makan-makan

Bila hubby ajak balik KB saja-saja bercuti dan jalan-jalan cari makan laju sahaja isteri mithalinya ini bersetuju dengan segala perancangan....