Thursday, 23 January 2025

Alor Setar, Kad TNG & Kereta Sewa

Semasa menerima berita tentang (Arwah) cikgu saya sedang sakit tenat, saya sedang bercuti bersama keluarga di Melaka. Berita diterima pada hari Rabu dan saya sedang berkira-kira untuk terus pulang ke Utara (Kuala Ketil) pada hari Khamis. Namun dek kesuntukan masa ditambah dengan masalah teknikal saya lupakan dulu hasrat tersebut walau dalam hati saya kuat mengatakan Arwah akan pergi tanpa saya berpeluang untuk bertemu buat kali terakhir.

Sampai sahaja di rumah (KL) pada hari Khamis hubby terus berusaha untuk mendapatkan tiket flight balik ke Alor Setar seawal mungkin, sementara saya mencari kereta sewa untuk perjalanan dari Alor Setar ke Kuala Ketil. Alhamdulillah hubby berjaya mendapatkan tiket penerbangan MAS untuk awal pagi (esoknya) hari Jumaat dari KLIA ke Alor Setar. Saya terus memberitahu keluarga Arwah tentang kedatangan saya. Namun selepas sejam saya mendapat perkhabaran yang Arwah telah mendahului saya. Mudah-mudahan Arwah sempat maklum bahawa saya telah berusaha untuk pulang berziarah walau pada saat paling akhir.😭

Dengan redha kami teruskan juga perjalanan dan keluar rumah sebelum subuh hari Jumaat yang mulia dengan harapan sempat hadir untuk solat jenazah dan mengiringi Arwah untuk perjalanan terakhirnya.

Ticket to Alor Setar confirmed.


Kami selamat mendarat di airport Alor Setar dalam pukul 8:30 pagi. Selepas ambik kereta sewa kami terus bergerak ke Kuala Ketil. Mengikut Google map, perjalanan ke sana bakal mengambil masa selama sejam.

Kereta sewa.

Bila tiba di tol Kepala Batas baru perasan saya terlupa membawa kad Touch & Go. Terpaksalah kami pull over di lorong kecemasan dan pasang hazard light. Saya keluar dari kereta berjalan menuju ke tol booth untuk membeli kad TNG. Memula rasa cuak juga bila terpaksa berjalan atas highway begitu. Tapi kita kuatkan semangat demi misi yang lebih besar. Depa jual kad dengan harga RM10 sekeping. Kad kosong sahaja tanpa kredit. Cukuplah untuk membuka palang tol. Saya terus register kad TNG secara online, lepas tu tunggu 15 minit sebelum kad boleh aktivate. Sempatlah kami meneruskan perjalanan hingga tiba untuk exit di tol Gurun sebelum kad TNG itu boleh digunakan.

Kad TNG baru.

Kami selamat tiba di rumah Arwah dalam pukul 10 pagi. Ramai saudara-mara dan jiran tetangga yang datang berziarah. Ditambah dengan bekas anak murid sejak dari zaman berzaman yang turut datang dari serata tempat. Saya sempat melihat Arwah diusung untuk dikapankan selepas dimandikan. Oleh kerana adat di sana tidak menggalakkan perempuan mengiringi jenazah maka saya hanya tinggal di rumah menemani isteri Arwah sementara Hubby turut ke Masjid untuk solat jenazah seterusnya mengiringi jenazah ke tempat abadi. 

Selamat berehat Cikgu… Semoga Allah membalas segala kebaikan Cikgu dengan sebaik-baik balasan..

Usai urusan pengkebumian kami pulang semula ke Alor Setar. Oleh kerana flight balik KL agak lewat malam, kami transit sebentar di Hotel Raia untuk melepaskan lelah dan menyegarkan badan sebelum ke airport dan memulangkan kereta sewa. 


Dari tingkap bilik hotel.

By pukul 6:30 petang kami tiba di airport Alor Setar. Bila nak serahkan kereta tetiba pulak ternampak tayar kereta pancit. Tak pasti bila kejadiannya. Apa-apa pun kita redha sahaja dengan segala ketentuan. Alhamdulillah tiada kerosakan lain yang lebih serius, so depa tolak duit deposit sahaja.

Tayar pancit pulak.

Sebelum masuk ke balai pelepasan kami makan dulu. Baru perasan sebenarnya saya dah kelaparan sejak tengahari. Sementara menunggu flight kita sambung mengeteh pulak. Mengimbau perjalanan balik ke Utara kali ini, walau saya tidak sempat berjumpa dengan Arwah sebelum nafas terakhirnya saya tiada apa-apa rasa terkilan. Saya telah melepaskan dan meninggalkan segala kenangan di sana sejak lama dahulu. It’s already a closure, kata  orang kampung saya. Dan kepulangan saya kali ini hanya untuk sealed it off. Biarlah semuanya menjadi memori indah yang akan saya simpan hingga akhir hayat.

Dinner @Old Town White Coffee.

Minum dulu.

Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah semula selepas tengah malam… bermakna lebih 20 jam perjalanan pergi-balik dari KL-Alor Setar. Terimakasih kepada Hubby yang sangat memahami dan tidak lokek menanggung segala kos perjalanan. Semoga Allah menggantikan dengan rezeki yang lebih baik. Aamiin. 🌹

Sekian.😊

Tuesday, 21 January 2025

Cerita Mesin Jahit

Minggu ini saya memulakan projek menjahit baju mak pengantin untuk kenduri kahwin puteri bongsuku. Sebenarnya bukan rajin sangat pun. Tapi dek kerana susah sangat nak mencari baju siap yang sesuai dengan body nenek yang luar-biasa ini maka terpaksalah kita paksa-rela rajinkan diri. Dan hari ini elok sedap menjahit, tiba-tiba pulak mesin stuck, tak bergerak. Jenuh pulak saya cuba jaya, bukak segala skru yang ada dan pakai topi engineer in action. 

Mesin jahit ni dah lama. Bila dicongak, tolak, tambah rupa-rupanya dah hampir 20 tahun usianya. Saya beli semasa masih di rumah Selayang lagi. Dah banyak jasanya dalam menjahit baju saya dan anak-anak. Sekarang ini dengan lambakan baju pelbagai fesyen yang mampu milik saya pun semakin malas nak menjahit kecuali bila perlu sahaja.

Projek tergendala sebentar.

Bukak bahagian bawah dulu... tengok apa yang patut.

Semua nampak okay.

Bukak bahagian bobin pulak... hmm semua pun macam okay.

Bahagian 'penyambung' ke bahagian operasi jarum mesin.

Sambil itu saya sembur dengan WD-40 di mana perlu. Namun ianya masih stuck, keras tak bergerak walaupun enjin mesin macam takde masalah. Dalam kepala saya mula berkira-kira dengan beberapa plan tindakan. Yang penting baju mak pengantin harus disiapkan dalam minggu ini juga. Dan paling penting saya harus kekal tenang…

Sambil melihat mesin jahitku dengan pandangan sayu saya mula mencari (Google) kedai/orang yang boleh repair mesin jahit dalam masa yang singkat. Kebetulan saya ada janji-temu mengeteh dengan kawan-kawan Gojezes, saya letak tepi dulu masalah mesin jahit bertuah itu. Saya keluar jumpa kawan, sembang borak sambil makan. On the way balik saya singgah kedai hardware beli minyak mesin sebagai jalan terakhir. Sampai sahaja di rumah saya terus sambung aktiviti baik-pulih yang tergendala sebelum ini.

Minyak mesin RM4.50 sebotol.

Dengan penuh kesabaran saya buka penutup mesin dan titiskan minyak di celah-celah penyambung besi dan semua bahagian yang berputar. Masih dalam mood cuba jaya, saya pasang semula wayar, pasang penutup dan skru.

Pasang semula penutup bahagian bobin.

Alhamdulillah mesin jahitku kembali bergerak seperti biasa. Mudah-mudahan saya sempat menghabiskan jahitan baju mak pengantin untuk dipakai pada hari bersejarah nanti. Aamiin.🌹

Sekian.😊

Saturday, 11 January 2025

Larian Tahun Baru 2025

Walau dah masuk minggu kedua tahun 2025, masih belum terlambat untuk memperbaharui azam (yang sama) setiap tahun sejak zaman berzaman. Sungguh, setiap kali masuk tahun baru saya sentiasa berazam untuk menjaga berat badan sambil kekal sihat. Dan untuk tahun ini kita mulakan episod sihat kita dengan larian tahun baru. Proses pendaftaran dan urusan kit larian kita serahkan kepada anak no-2 yang rajin dan setia mengajak Ummi dan Ayah masuk larian. Dan pada tahun baru, 1hb Januari 2025, usai sahaja solat Subuh kami bergerak ke Dataran Merdeka, KL untuk Larian Tahun Baru 2025. Kami tiba hampir pukul 7 pagi untuk flag off pada pukul 7:15 pagi. (parking kereta di Basement Parking, Dataran Medeka).

Jam menunjukkan pukul 7 pagi.

Selpi satu sebelum flag off.

“Dayah teman Ummi lah..”

“Nina pun…”

Begitulah. Bila anak-anak rajin nak meneman Ummi maka kita jalan-jalan sahaja sambil menikmati keindahan Kotaraya yang sering diabaikan. Tak perasan pun tentang adanya hujan emas di negara sendiri.

“Cantik KL ni… jom bergambar”. Dan anak-anak pun terpaksa melayan Ummi depa. Akhirnya aktiviti larian bertukar menjadi aktiviti jalan-jalan keliling kota. Yang penting, walaupun katanya cuma berjalan, tetaplah kita dalam kelajuan yang sepatutnya untuk tiba di garisan penamat dalam waktu yang ditetapkan.

Kita lenggang kangkung sahaja.

Saya suka capture bangunan yang unik.

Us girls…

Berangan kat obersi.

KL Tower dari kejauhan.

KLCC, juga dari kejauhan.

Sedar tak sedar, tetiba dah sampai ke garisan penamat, dan kami selamat menghabiskan ‘larian’ sejauh 5km tanpa rasa lelah. Namun tetaplah berpeluh hingga ke kaki dan badan pun terasa ringan. Alhamdulillah.

5km Finisher.

One for the memory.

Another medal for collection.

Mudah-mudahan Allah tetapkan pendirian kita untuk sentiasa berazam kearah kebaikan. Aamiin.🌹

Sekian.😊

Friday, 10 January 2025

Happy Birthday Nenek-58th

Hari lahir saya sepatutnya pada 6th of January (hari Isnin). Tapi tiba-tiba pulak anak-anak buat surprise jamuan pada hari Ahad, mengambil kira semua orang bercuti.  

Depa dah siap buat perancangan. Maka, Ummi (yang budiman ini) pun layankan sahaja dengan rasa sebak di dada. Lepas program makan-makan tengahari di rumah akan disambung dengan makan malam santai-santai di luar pulak. 

Dan bila anak-menantu-cucu berkumpul penuh rumah, rasa-rasa yang kurang enak sentiasa menyelinap masuk ke sanubari. Dah tua rupanya diriku ini. Adakah ini pertemuan terakhir... 😔

Belon & aksesori by anak no-2.

Jus & drinks by anak no-4.

Nasi Arab by anak no-3

Laksa Kelantan by puteri sulong.

Kek Tiramisu by puteri bongsu.

Sepatutnya nak abadikan family photo tapi dek keletihan saya tertidur hingga petang. Bila bangun, ada yang dah bergerak ke next destination. Apa-apa pun, kita abadikan jugak dengan apa yang ada. Yang penting saya suka pokok kemboja dan pokok pinang di halaman rindu ini.

Background pokok kemboja dengan anak no-2 dan menantu no-4.

Background pokok pinang.

Pukul 6:30 petang kami dah berkumpul di KLCC untuk lepak makan di food court. Pengunjung sangat ramai tapi kami dapat rezeki untuk berkumpul di meja panjang. 

Lepak depan tasik dulu sebelum dinner.

Full house @ Foodcourt KLCC.

Another full house.

Alhamdulillah, another year wiser. Mudah-mudahan Allah berkati usia yang berbaki ini dengan anak-anak yang soleh dan solehah yang sentiasa mendoakan Ummi depa yang terchenta ini. Aamiin.🌹

One for the memory.

Sekian. 😊

Thursday, 9 January 2025

Dentist & Saman Parking

Dah beberapa hari saya rasa tidak selesa pada gusi dan geraham atas sebelah kanan terutama bila mengunyah makanan keras. Terasa macam ngilu (sharp pain). So pagi tadi saya keluar sorang-sorang (sambil me-time) ke Klinik Gigi Sharifah Aminah, Greenwood

Alhamdulillah pesakit tidak ramai dan saya dapat berjumpa doktor gigi dalam masa yang singkat.

"Bahagian geraham bongsu puan ni macam ada decay sikit. Biasanya kami akan refer kepada pakar gigi sebab proses pembaikan gigi bongsu agak sulit..."

Oleh kerana saya malas nak lengahkan urusan maka saya minta doktor buat apa yang patut untuk sementara waktu.

"Okay, kita cuba buang tampalan lama sebab macam ada retak/bocor. Kemudian kita buat tampalan baru. Kalau masih rasa tidak selesa nanti kita refer kepada pakar..." Saya pun dah tak ingat bila tampalan pada gigi bongsu itu dibuat. Yang pasti ianya berlaku semasa saya masih single, lebih 35 tahun yang lepas.

Alhamdulillah prosesnya hanya mengambil masa dalam 30 minit. Total cost RM150 (RM30 untuk consultation dan RM120 untuk procedure). Mudah-mudahan akan ada kebaikan selepas ini.

 

Usai urusan saya dihadiahi dengan surat saman parking, elok je depa selit celah wiper seminit sebelum saya keluar dari klinik. Padahal saya dah bayar parking menggunakan apps TNG eWallet. 

"Akak ada kereta lain ke? Dalam rekod ni nombor plat lain..." Alahai apa nak di kata. Rupa-rupanya saya tersilap tekan nombor plat kereta lain.

"Kalau ada dua tiga kereta kena hati-hati... Takpe... akak boleh buat bayaran di Dewan Beringin, Gombak atau guna Apps Flexi Parking dalam masa 3 hari." 

Apa-apa pun kita tarik nafas dulu. Singgah beli rojak Sameem yang sedap sejak sekian lama. Bawak balik rumah, hidang dan makan dengan hubby yang ditinggalkan.

Yummy.

"Ummi kena saman parking ke? Nak Dayah bayarkan? Okay done." Alhamdulillah ada anak yang rajin bertanya khabar. Macamana entah dia dapat notification. 😅

Paid.

Selesai urusan untuk hari ini. Semoga kita semua ditemukan dengan hari-hari mendatang yang lebih baik. Aamiin.🌹

Sekian.😊

Alor Setar, Kad TNG & Kereta Sewa

Semasa menerima berita tentang (Arwah) cikgu saya sedang sakit tenat, saya sedang bercuti bersama keluarga di Melaka. Berita diterima pada h...