Friday 2 November 2018

Sesi fisioterapi cara saya.....

Sejak dok ulang alik Ampang-Nilai ni saya dah agak kurang memberi perhatian kepada maintenace rumah. Kabinet kasut kat luar ni nampak je elok tapi bila nak ambik kasut terpaksa kena angkat pintunya sebab punat kecik tu dah tanggal. Saya bahagikan kabinet tu kepada dua. Satu untuk 'hers' satu lagi untuk 'his'. Yang bahagian 'hers' tu elok je penuh bersusun dengan pintu yang masih utuh. Yang bahagian 'his' tu yang dah nazak. Gamaknya depa main hempuk je pintu kabinet tu sesuka hati, tu yang sampai tertanggal segala punat skrew bagai.

Punat asyik tergolek je tiap kali nak angkat pintu...

Setelah beberapa lama menahan pedihnya mata dan hati melihat suasana setiap kali depa nak ambik kasut maka Umi prihatin yang suka DIY ni pun memulakan projek di suatu pagi yang hening. Projek depan rumah kena buat awal pagi sebab rumah kami mengadap matahari naik. Takut nanti sunburn pulak muka kita dipancar sinaran panas mentari.


Bukan la projek beriya pun. Saya cuma beli angsel dan pasang pada pintu dan dinding kabinet tu sahaja. Tapi jenuh jugak la nak mengetuk skrew tu sebab saya guna angsel yang agak kecil yang sesuai untuk saiz pintu. Maka skrewnya jugak haluih. Alhamdulillah berkat ketekunan dan kesabaran akhirnya mission accomplished :D


Tadaa... 
(Abaikan keserabutan di  atas kabinet itu)

Bila dah duduk di luar rumah ni tak sah kalau tidak mencuci mata dan hati di halaman rinduku ini. Sejak musim hujan ni kawasan halaman rinduku memang nampak serabut. Padahal masa musim hujan inilah pokok-pokok tu mula segar bugar membesar dan merimbun. Yang paling galak merimbun adalah pokok bunga raya. Sebelum ni dah beberapa kali saya cantas dahan dan rantingnya tapi masih tak puas hati.

Dan seperti biasa bila angin serabut saya tiba, semua benda saya akan nampak serabut. Maka dengan kudrat yang ada saya tebang pokok bunga raya tu. Lepas tu jenuh pulak nak kena potong dahan dan ranting tu bagi pendek dan kecik supaya boleh muat nak masuk dalam plastik beg sampah. Kalau tak susun betul-betul nanti lori sampah tak sudi kutip. 


Dah nampak dogol pulak area tu maka terpaksa saya cari pokok lain untuk tanam semula. Pilihannya pokok yang tidak terlalu merimbun tapi mempu memberi ketenangan yang saya inginkan.  


Dah setel bahagian yang dogol tu saya ubah pokok lain pulak. Gigih menyangkul korek lubang untuk alih pokok yang ada. Saya suka tanam pokok keliling pagar untuk privasi. Malangnya saya bukanlah expert dalam hal tanam-menanam ni. Tak reti nak berkonsep-konsep bagai maka pemilihan pokok yang salah masa awal-awal pindah dulu menyebabkan rumah saya dah macam dalam hutan. Macam-macam pokok ada. Bila dah besar dan menyemak saya akan cantas dan tebang. Lepas tu tanam pokok lain pulak. Paling sedih, ada yang mati sendiri sebab tak cukup kasih sayang. Sebab tuannya sibuk memanjang.

Batang cangkul pun macam dah nazak.

Kemboja ni macam terbantut pulak.

Lepas alih pokok tepi pagar melarat ke dalam pasu pulak. Pokok lidah jin yang dah penuh dalam pasu saya pecahkan kepada tiga bahagian. Saya memang suka pokok ni sebab penjagaan yang mudah dan menambah warna hijau di halaman rinduku. 

Nampak senget sebab pokok tua...

Alhamdulillah selesai projek untuk kali ini. Lepas ini hanya perlu maintainance seperti biasa. Sebenarnya saya buat semua ni kengkonon sebagai fisioterapi untuk bahu dan urat belikat yang asyik semput-semput sejak akhir-akhir ini. Mudah-mudahan sesi fisioterapi ini akan memberi kesihatan yang berpanjangan.


PS: Lepas ni kita sambung terapi mata pulak....

No comments:

Ganti hose paip air (bidet spray)

Hari ini kita sambung kerja-kerja di bilik air pulak. Kebetulan hubby ajak keluar lunch di Melawati Mall, ayuhlah kita singgah beli barang d...