Wednesday 12 July 2023

Ciku nan sebatang.

Saya penggemar buah ciku sejak zaman budak kecik lagi. Masa di kampung dulu ada sebatang pokok ciku di sebelah rumah saya, kepunyaan tuan tanah. Sebelah pokok ciku itu (juga di sebelah rumah saya) ada pondok/rumah tempat simpan padi lepas menuai. Setiap musim menuai depa akan simpan padi yang telah di tuai ke dalam rumah padi tersebut. Pagi-pagi depa akan bubuh padi ke dalam guni dan angkut untuk di tabur ke atas guni plastik yang telah di bentang atas padang/laman depan rumah tuan tanah kampung saya. Depa akan jemur padi tu sehingga kering sebelum diangkut untuk dimesin menjadi beras. Tempat mesin tu agak jauh di kampung seberang. Biasanya depa angkut pakai motorsikal. Ada jugak yang mengambil upah mengangkut padi menggunakan basikal. Saya tak pasti berapa upah yang diberi. Rasanya depa bagi upah daripada hasil beras, setiap 10 cupak yang terhasil depa bagi dua cupak sebagai upah. 

Berbalik kepada kisah buah ciku… setiap kali ada buah yang layak dipetik, Pakcik A, jiran saya akan memanggil budak-budak kampung untuk sama-sama memetik buah. Budak-budak lelaki akan panjat pokok dan petik buah mengikut arahan Pakcik A. Kami, budak-budak perempuan akan pegang kain empat penjuru untuk tadah buah yang dilemparkan ke bawah. Buah yang jatuh tak boleh kena tanah, takut lebam katanya. Bagi buah-buah yang tinggi, Pakcik A akan hulurkan galah yang siap dibentuk seakan mangguk di hujungnya bagi memastikan buah yang dikait tidak jatuh ke tanah. Semua buah yang dikumpul akan diletak dalam bakul untuk di cuci. Mula-mula Pakcik A akan gosok buah ciku tu dengan sabut kelapa hingga licin. Lepas tu basuh dan jemur hingga kering. Kemudian Pakcik A akan letak buah ciku tersebut dalam rumah padi untuk diperam hingga masak untuk semua orang kampung merasa manisnya buah ciku yang diusahakan secara berjemaah.

Mengambil aspirasi Pakcik A saya tanam sebatang pokok ciku buat kenangan. Saya dah tanam pokok ini lebih tiga tahun lepas. Alhamdulillah dah mula menampakkan hasil. Keluar sahaja buah yang sulong saya sangat teruja menunggu ianya masak. Bila buahnya makin besar suatu hari tiba-tiba sahaja dah jatuh tergolek di atas tanah macam ada bekas gigitan binatang. Terpaksalah saya bertanyakan pakcik Google cara-cara mengusahakan pokok ciku. Barulah saya tahu, rupa-rupanya buah ciku tidak masak di pokok. Kita kena petik dan peram biar masak. Nak kutip buahnya kena tengok dan pilih yang matang. Caranya ialah dengan melihat ‘jarum’ pada bontot buah. Tanda buah dah matang adalah bila jarum tu dah tumpul/tanggal. Masa tu baru boleh dipetik buahnya. (Kelakar pulak, bak kata Tan Sri P Ramli…dah tua pun bodoh).  Dan sebagai extra precaution, saya balut buah yang ada supaya terselamat dari anasir jahat. 


Ada ‘jarum’ di bontot buah itu.

Tunggu jarum tu tanggal sebelum kita petik.

Ada beberapa biji lagi yang belum dibalut sebab kedudukannya agak tinggi. Nak kena guna tangga untuk mengerjakannya. Nanti-nantilah kita sambung kerja. Sementara itu kita tunggu sahaja jarum-jarum tu tanggal untuk merasa buahnya.

Hingga kini saya masih tertanya-tanya kenapa Pakcik A tidak perturunkan ilmu itu kepada kami. Dan kami pula tidak pernah bertanya apa-apa dek seronok mengutip buah beramai-ramai persis suatu permainan. Mungkin juga sebab dia tahu kami semua budak-budak bijak yang boleh mencari ilmu dihujung jari sahaja suatu hari nanti. Apa-apa pun, terima kasih Pakcik A kerana pernah menceriakan zaman kanak-kanak riang saya. Moga Pakcik A (arwah) tenang di sana.

Sekian.😊

No comments:

Jalan-jalan IKEA Cheras

Sejak balik dari UK rasa seronok pulak kalau boleh selalu berjalan (brisk walk). Oleh kerana cuaca agak panas kita cari tempat indoor pulak....