Friday 6 September 2019

Mangga: Kerabu vs Jeruk

Petang-petang hari saya akan turun ke halaman rindu untuk menikmati keindahan pokok-pokok saya. Takdelah indah mana pun. Almaklumlah, namanyapun DIY, maka kejadiaannya tentulah sesedap rasa dan seindah rupa tuan DIY. Selain dari menyiram dan merumput saya juga akan pangkas dahan-dahan yang tidak perlu. Saya buat sekadarnya sahaja setakat kudrat yang ada.

Alhamdulillah dalam seminggu dua ini pokok mangga saya mula mengeluarkan putik baru. Nampak agak lebat buahnya. Masa saya tanam dulu tak saya kisah sangat apa kejadian akhirnya. Yang penting pokok yang saya tanam tu hidup segar. Tak sangka pulak hasil buahnya sangat masam. Mungkin sebab belum masak ranum. Layak untuk buat jeruk dan kerabu sahaja. So petang tadi saya petik sebiji untuk buat kerabu sebagai juadah makan malam nanti.

Mudah sahaja nak buat kerabu mangga ni. Mula-mula kupas kulitnya. Basuh, kemudian sagat nipis-nipis. Kalau takde penyagat, boleh cincang menggunakan pisau. Rendam dalam air garam sementara nak siapkan bahan lain. Kemudian sejat hingga kering dahulu sebelum digaul dengan bahan lain.

Bahan lain (di tumbuk)
  • Satu sudu kecil udang kering
  • Cili merah atau cili padi (bergantung kepada tahap kepedasan)
  • 3 ulas bawang merah 

Gaul bahan tumbuk dengan mangga yang dah disagat tadi. Tambah setengah sudu teh cuka makan atau perahan air limau nipis serta garam dan gula secukup rasa. Saya tambah sedikit hirisan daun kesom untuk menaikkan seri. Ada warna kuning, merah dan hijau. Kalau ada bunga kantan pun boleh masukkan sekali. Gaul semua sampai sebati. Siap. Sedap dimakan bersama nasi panas, kari telur dan ikan tongkol goreng pedas. (Menu dinner kami malam ini)

Kerabu mangga siap.

Oleh kerana buah mangga tu bersaiz besar maka sebiji pun dah cukup untuk mendapatkan semangkuk kerabu mangga. Selebihnya saya buat jeruk. Sebenarnya nak buat jeruk lebih mudah. Cuma perlu hiris kecik-kecik, tambah sedikit garam dan gula secukup rasa. Tambah sedikit cuka atau perahan limau nipis. Lepas tu tambah asam boi sebanyak mana yang kita suka.

"Sedapnya jeruk ni." Kebetulan hubby baru balik kerja terus makan dinner lepas tu terus meratah jeruk pulak. Belum sempat ambik gambar dah habis sebalang. 

PS: Apa lagi yang lebih membahagiakan daripada melihat suami dan anak-anak makan dengan berselera.

Thursday 5 September 2019

Kerang Bakar

Setiap kali pulang bercuti ada sahaja wishlist anak dara yang perlu dipenuhi. Alhamdulillah setakat ini semua wishlist dan craving fufilled. Cakap sahaja nak apa dan makan di mana semua setel. Mentang-mentanglah bongsu boleh minta paw kakak dan abang juga. Tapi sebagai anak yang baik tak pernah pulak cek mek tu minta yang bukan-bukan. Biasanya saya masak kat rumah je. Kalau tetiba rasa malas, kita angkut semua pi makan kat luar.

"Umi, nak kerang bakar."

Saya jarang makan kerang bakar. Biasanya saya beli kerang untuk rebus sahaja. Makan cicah sos. Kalau ada left over saya ambik isi buat sambal tumis. Kalau kerang bakar biasanya kami cari kat restoran Thai atau mana-mana Seafood Restaurant. Namun setakat tempoh Nina bercuti baru-baru ni payah pulak nak cari orang jual kerang bakar. Alhamdulillah kedai runcit dekat rumah saya jual kerang segar maka saya bawa balik dua kilo, basuh bersih-bersih dan sejat. Lepas tu masukkan dalam kuali ajaib dan masak atas dapur dan biar hingga kering airnya. Mulanya nak pakai dapur bbq tapi malas pulak nak hidupkan api pakai arang. So kita guna cara mudah dan ringkas sahaja.

"Sedapnya" Seronok tengok anak dara tu menikmati sekuali kerang bakar. Mudah-mudahan tidak mendatangkan mudharat.

First time saya makan kerang bakar. Sedap. Rupa-rupanya lebih sedap dari kerang rebus. Sebelum ni saya tak pernah jamah kalau anak-anak order kerang bakar. Malas nak buka kulit. Lepas ni boleh lah rajin-rajin beli kerang dan bakar di rumah sahaja. 

Kerang in the process.

Pejam celik pejam celik sekejap je cuti dah habis. Tiba masa nak kena balik asrama semula. So kita pi drop kat KL Sentral sahaja. ETS sepatutnya pada pukul 10.45 malam tapi delay sampai pukul 11.30 malam. Oleh kerana dah lepas pukul 10.00 malam kedai-kedai kat Nu Sentral dah mula tutup. Terpaksalah kami melepak kat Kayu Nasi Kamdar. Apalagi, pekena roti canai dan teh tariklah jawabnya sambil menambah lipatan lelemak yang dah sedia ada.

Muka ngantuk.

PS: Sesekali anak balik rumah, make the best out of it. Lepas ni nak melayan rasa empty nesters pulok.

Monday 2 September 2019

Jalan-jalan Brunei.

Dah lama saya berhajat nak melawat Negara Brunei. Kebetulan baru-baru ini hubby ada urusan kerja maka saya dengan senang hati menjadi peneman sepanjang jalan. Sebaik sahaja hubby dapat tiket daripada USIM, kami terus buat booking untuk tiket saya pulak. Oleh kerana hubby dapat flight business class maka terpaksalah saya beli yang business class jugak sebab nak duduk sebelah menyebelah.

"Apa salahnya sekali sekala belanja bini..." Hubby memang jarang berkira dengan harta dunia.

Pada hari Rabu saya keluar rumah pada pukul 8.30 pagi sebab janji jumpa hubby kat Nilai pada pukul 10 pagi. Terpaksalah mengharung jalan jam kat Ampang dan TBS. Alhamdulillah sempat tiba on time. Terus gerak ke KLIA untuk flight pukul 12.30 tengahari. Alhamdulillah kami dah check-in online jadi tak perlu nak bersesak-sesak beratur kat kaunter.

Sebelum masuk kami cari bank untuk tukar duit Brunei. Rupa-rupanya bank yang biasa kami guna dah tutup. Yang ada hanya penggurup wang biasa sahaja. Depa tak simpan banyak stok duit Brunei. Yang ada hanya dalam $175 Brunei dollar, jadi kami ambik semuanya. Exchange rate Brunei $1=RM3.28 menjadikan jumlah bayaran lebih kurang RM600. Cukuplah untuk buat belanja sebab bukannya nak bershopping sakan.

Lepas setel urusan tukar duit kami menonong je masuk ke balai pelepasan. Tak tengok pun gate berapa, pintu mana. Terlupa pulak KLIA ada masalah. System down. Tapi disebabkan kami ambik business class, bolehlah melepak kat Golden Lounge sementara menunggu waktu penerbangan. Alhamdulillah depa sediakan pelbagai juadah ala-ala buffet hotel. Oleh kerana hubby belum sarapan maka kami ambik peluang makan free. Sebenarnya tak free pun, depa dah masukkan dalam harga tiket.

Mee kari dan dim sum. Not bad.

Kat pintu masuk Golden Lounge depa sediakan white board untuk update nombor flight, destinasi, waktu pelepasan dan pintu pelepasan. Walaupun system down tapi depa dapat uruskan sistem secara manual dengan baik. Alhamdulillah flight on time dan kami selamat tiba di Bandar Seri Begawan pada pukul 2.30 petang. Urusan imigresen pun mudah.

Makcik masih lagi belajar selpi..

Pihak Brunei sediakan transport untuk ambik kami dan hantar ke hotel Centepoint. Hotel ni terletak di kawasan Gadong, bersebelahan dengan The Mall dan sederet dengan hotel Rizqun. Lepas check in kami pi jenjalan sekitar hotel dan terjumpa kedai London Kebab. Apalagi, kita terus pekena doner kebab.  Not bad, walaupun agak kering. Harga Brunei Dollar $6.90 untuk satu lamb doner.

Sedap, sayur pun fresh.

Usai makan kebab kami pusing-pusing dalam The Mall, tengok-tengok apa yang menarik sambil cari stok untuk dinner pulak. Makanan memang sangat murah. Tapi kalau convert duit Malaysia macam biasa sahaja. Depa banyak jual nasi pusu. Pusu ialah sambal ikan bilik halus. Agak pedas tapi sedap.

Murtabak pelbagai perisa.

Hasil tangkapan dinner.

Cucur cicah cili. Brunei Dollar $1.00

Nasi pusu+telur masin. Brunei Dollar $1.00

Nasi pusu+ayam goreng+telur dadar. Brunei Dollar $1.50

Waktu di Brunei sama seperti waktu di Malaysia tapi matahari naik dan jatuh lebih awal. Pukul 6.30 petang dah masuk waktu Maghrib dan pukul 6.00 pagi dah siang. Waktu solat pun awal. Setiap hari depa update di kaca TV. 


Pagi esoknya hubby keluar awal untuk program Majlis Konvokesyen UNISSA. Maka saya sarapan seorang diri kat Season's Restaurant di level 2. Suasana agak lengang mungkin sebab weekdays. Hanya beberapa meja sahaja yang digunakan. Pilihan makanan okay, cuma kurang kena dengan selera saya. Saya hanya ambik roti canai cicah kari, bubur nasi dan telur separuh masak. 


Lepas sarapan saya berehat di bilik sahaja. Baca novel sambil tengok siaran langsung Majlis Konvokesyen di TV Brunei.

Suasana hotel yang kosong dan lengang.

Sebelah petang kami ambik masa berjalan-berjalan sekitar Bandar Seri Begawan, melawat kawasan Kampung Ayer dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin. Semasa di tepi sungai Kampung Ayer, depa offer untuk bawa naik bot keliling sungai dengan harga $20 satu bot. Tapi saya tak berani nak naik sebab dah tua-tua ni rasa gayat dan cuak pulak. Lagipun takut muntah hijau mabuk laut.

Kampung Ayer

Pejabat Kerajaan

Masjid Sultan Omar


Dalam Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin.

Chandelliar bentuk masjid


Taman bunga sekitar dataran tepi sungai.

Siap letak signboard menjaga rumput.


Sebelah malamnya kami melawat Pasar Malam Gadong. Pasar malam ni agak unik sebab depa buat dalam bangunan berbumbung. Ada juga kerusi meja untuk pelanggan duduk makan tapi tempat agak terhad. 

Kemain makcik posing dalam pasar.

Ada macam-macam jenis makanan dan buah-buah dusun yang dijual di Pasar Malam ini. Kami mencuba durian oren. Katanya durian hutan. Rasa agak unik, kurang manis tapi lebih berlemak. Harga Brunei Dollar $10 sekilo. Kami ambik sebiji dengan harga Brunei Dollar $14.

Durian kuning oren


Alhamdulillah kami berpeluang tinggal di Brunei selama dua malam. Dapat menikmati suasana tenang dan damai jauh dari hiruk pikuk kota. Esoknya kami keluar dari hotel pada pukul 7.00 pagi untuk flight pukul 9.00 pagi. Sementara menunggu flight kami sarapan di kafe Tarindak Ungkayah Graduan. Unik namanya, dikendalikan oleh graduan dari beberapa universiti di Brunei. 

Roti bakar dengan teh O.

Kuih mor dan jala emas special dari Brunei.

PS: Seronok melawat Brunei. Terasa macam balik Kelantan pulak...

Ganti hose paip air (bidet spray)

Hari ini kita sambung kerja-kerja di bilik air pulak. Kebetulan hubby ajak keluar lunch di Melawati Mall, ayuhlah kita singgah beli barang d...