Showing posts with label Holidays & Travelling. Show all posts
Showing posts with label Holidays & Travelling. Show all posts

Monday, 20 October 2025

Jalan-jalan Mersing dengan Anak Menantu Part 2

15-17hb Ogos 2025

{Part 1 di sini}

Hari ini hari kedua kami di Mersing. Selepas anak-menantu berehat dari pagi hingga ke tengahari, kami keluar semula dalam pukul 2 petang. Anak no-2 drive dari homestay menyusur jalan pantai dari homestay di Bandar Mersing hingga ke Hidden Viewpoint Penyabong. Kami berhenti di spot/tempat yang nampak menarik di sepanjang jalan.

“Ummi nak gi memana ke? Snorkeling ke, island hopping ke…?” Beriya pulak anak menantu nak bawa Ummi depa ni berekspedisi. Namun bila dah masuk umur senja begini Ummi depa dah tak kuasa nak memberi kejutan kepada kesihatan jantung dah mental. Kita hanya nak healing tenang-tenang sahaja.  

Sebelum itu haruslah kita singgah cari makan tengahari dulu. Kami singgah di Kafe 805 di Kg Tanjung Genting. Saya order nasi putih dan asam pedas kepala ikan claypot dengan teh-o-ais longan.

Set nasi asam pedas kepala ikan for makcik.

Air teh longan.

Usai makan kami terus bersiar-siar di tepi pantai. Tapi cuaca tidak memberi kerjasama. By the time kami nak melepak di pantai tiba-tiba awan mendung menurunkan hujan gerimis. So terpaksalah kami masuk ke kereta semula dan mencari port lepak yang lain.

Awan mendung agak tebal.

Kami berpindah ke Pantai Air Papan. Suasana di sini agak tenang namun awan mendung masih mengekori kami. Akhirnya di sini pun mula gerimis. Nak ambik gambar pun pencahayaan tak berapa cantik.

Hubby merenung masa depan.

Walaupun hujan mula lebat kami meneruskan perjalanan hingga ke pantai Penyabong. Sepanjang perjalanan kami melalui kawasan hutan yang bersambung ke hutan Pahang. Agak cuak di situ bila ada signage supaya pemandu berhati-hati dengan binatang liar. Ada juga kawasan pokok-pokok hutan yang menurut anak-menantu mirip perjalanan di Phuket. So kita pun memandang keluar tingkap kereta sambil berangan kengkonon sedang berjalan di Phuket dalam hujan. Sesungguhnya berangan itu percuma.

Semasa kami tiba di Penyabong hujan dah mulai reda. So bolehlah kita enjoy the view. Hajat hati nak berhenti dan turun bergambar di spot menarik di Penyabong Hidden Viewpoint ini namun penuh dengan budak-budak muda yang beratur untuk bergambar. Akhirnya kita lalu sahaja sambil menikmati scenery yang cantik. Kami berhenti di kawasan tepi pantai sambil menikmati angin pantai yang sepoi-sepoi bahasa. Hajat hati nak pekena seafood celup tepung di sini tapi semua kedai makan penuh dengan pengunjung yang ramai.

Langit masih berawan.

Nikmati ABC sambil healing.

Kami beredar untuk ke Pantai Mawar pulak namun by the time kami tiba jam sudah melepasi pukul 6:00 petang, melepasi waktu operasi mereka. Rupa-rupanya depa tutup entrance by pukul 6:00 petang untuk keselamatan pengunjung yang bermalam di campsite. So kita jenguk-jenguk dari luar sahaja melihat pemandangan kawasan pantai yang cantik sebelum meneruskan perjalanan balik ke Bandar Mersing. Kami singgah di Restoran Brother Joe Ikan Bakar & Seafood untuk makan malam sebelum balik ke homestay untuk berehat untuk kesegaran hari esok.

Enjoying the food.

Puas hati makanan penuh meja.

Esoknya, pepagi lagi saya siap berkemas untuk check-out. Macam dah tak sabar nak balik rumah sendiri. Sementara menunggu anak-menantu bersiap saya pusing-pusing keliling rumah (homestay) melihat apa yang ada. Rumah ini macam baru siap dibina. Teruja pulak melihat sekelian tanaman sekeliling rumah ini. Kebanyakannya macam baru disemai. Ada juga pokok yang seakan baru ditaman. Saya cuma snap beberapa keping gambar buat kenangan.

Pokok durian belanda.

Pokok betik.

Tempat BBQ untuk pengunjung yang berminat.

Kami check-out dari homestay dalam pukul 8:00 pagi. Dalam perjalanan ke arah bandar kami singgah di Setindan Viewpoint sebelum berhenti di bandar Mersing untuk beli sarapan buat bekal dalam kereta.

Setindan View.

One for the memory.

…and another one.

Kami tidak berlama-lama, cukup sekadar mengabadikan kenangan we were here sebelum meneruskan perjalanan balik KL via Kluang dan singgah di Restoran Kluang Rail Coffee di bandar Kluang. Saya order laksa Johor dan air epal asam boi ais. Semalam dah makan lontong darat di Mersing. Hari ini kita cuba laksa Johor pulak. Dua-dua, katanya makanan asli orang Johor.

Laksa Johor dan apple asam boi for makcik.

Usai makan tengahari kami terus begerak balik ke Putrajaya, ambik kereta dan terus balik Ampang. Alhamdulillah selamat tiba di rumah sebelum malam. Home sweet home. Semoga diberi kesempatan untuk bercuti di tempat lain pulak. Aamiin.🌹

Sekian.😊

Saturday, 18 October 2025

Jalan-jalan Mersing dengan anak menantu Part 1

 15-17hb Ogos 2025

"Ummi nak gi Mersing? Jom teman Dayah gi bercuti." Bila anak no-2 bertanya haruslah Ummi terus menadah nyiru. Bukan senang nak saja-saja pergi bercuti selama 3 hari 2 malam. Lagipun dah lama saya berangan nak berjalan-jalan ke Selatan tanah air.

Sebenarnya menantu saya ada aktiviti mencandat sotong bersama kawan-kawannya bermula petang hingga ke pagi besoknya. Kami hanya ikut menemani perjalanan ke Mersing sahaja. Sementara dia pergi mencandat kita buat program sendiri. Anak-menantu dah siap buat planning dan booking homestay untuk dua malam. Ummi ayah hanya follow sahaja.

Dan pada hari yang ditetapkan saya dan hubby bertolak dari Ampang dalam pukul 8:00 pagi ke Putrajaya. Kami parking kereta di rumah anakanda then naik kereta depa untuk meneruskan perjalanan ke Mersing. 

Set memancing dah siap tersedia. 

Kami berhenti di RnR Seremban untuk sarapan dan beli sedikit bekalan perjalanan. Saya makan nasi lemak dan teh-O-ais. Cukup buat alas perut hingga ke petang. Dah beberapa kali saya singgah di RnR Seremban sebelum ini namun selalu kalut on the go. Kali ini kita lepak-lepak melihat kawasan dan ambik gambar bila ada anak menantu sudi melayan.

Laksa Kawin @ Family Mart, nanti nak kena cuba.

One for the memory @RnR Seremban.

Kami tiba di Mersing dalam pukul 2:30 petang. Suasana di Mersing sangat tenang dan damai. Trafik pun tak kalut.


Kami singgah beli umpan dan batu ladung untuk menantu dan kawan-kawannya pergi memancing. Sepatutnya depa janji berkumpul di jeti sungai pada pukul 3:00 petang. By pukul 3:30pm baru ada yang muncul. Hingga pukul 4:00 petang baru semua datang berkumpul seramai 9 orang. Kami tinggalkan mereka meneruskan program yang akan berakhir hingga esok pagi dengan doa mudah-mudahan semuanya selamat mengharungi ombak badai di tengah lautan malam nanti. 

Kemudian kami meneruskan perjalanan ke homestay dan singgah makan dalam perjalanan. Oleh kerana kami semua dah makan nasi di RnR tadi, kali ini kami pilih yang ringan-ringan sahaja. Kami singgah makan sate di kedai Satey Teluk Iskandar. Katanya sate di sini sangat enak. Marilah kita mencuba. Kami order sate ayam dan daging. Rasa? Not bad. 

Teh O ais... lain macam rupa dia. Namun sedap.

Snap satu buat kenangan.

Kami tiba di homestay dalam pukul 5:00 petang. Rumahnya sederhana besar, fully aircond dengan tiga bilik tidur dua bilik air lengkap dengan dapur dan ruang tamu yang selesa. 

Ada buaian di ruang tamu. Tapi makcik tak berani duduk takut patah pulak harta orang.

Sebenarnya saya ada sahabat/housemate semasa di London yang tinggal di Mersing. Dah lama kami mencari peluang untuk bertemu. Walau selalu bersembang di medsos, kami tidak pernah berjumpa sejak habis belajar back in 1990 dahulu. So kebetulan saya dah ada di Mersing, kali ini kita plan berjumpa sampai jadi. Kebetulan homestay yang kami sewa ini adalah milik kawannya maka mudah untuk kami atur temujanji. Alhamdulillah, Kak Yat datang ke homestay dalam pukul 6:00 petang. Setelah berjejak kasih selama satu jam kami berjanji untuk sambung keluar dinner malam nanti.

Kak Yat yang kekal comel hingga sekarang.

Ambik mood di luar homestay.

Kami ke Restoran Dee Beach Tomyam Seafood dan Kak Yat bawak ikan, sotong dan udang segar untuk di masak oleh tukang masak restoran. Kita hanya bayar upah masak sahaja. Alhamdulillah semua masakannya sedap. Tapi dek asyik bersembang dan menikmati makanan, terlupa nak ambik gambar hasil masakan. Alhamdulillah masih sempat merakam kenangan bersama keluarga kak Yat. Semoga persahabatan kekal hingga keakhirnya.

Bersama kak Yat, suami dan anak bongsunya.

Esoknya, hari Rabu 16hb Ogos 2025 saya keluar awal pagi menunggu sunrise. Asalnya saya berangan nak keluar berjogging di persisiran pantai. Oleh kerana homestay ni agak jauh dari pantai, kita tengok sunrise dari luar rumah sahaja. Cukuplah buat ghaso-ghaso.

Pagi esoknya.

Matahari dah sepenggalah.

Bila matahari dah naik kami keluar ke tepi Pantai Mersing sambil mencari sarapan. Cuaca tiba-tiba mendung. Namun sempatlah kami duduk-duduk ambik angin pantai sebelum meneruskan perjalanan ke tepi muara sungai. Kami berhenti di jeti untuk sarapan di kedai makan yang ada di situ sementara menunggu menantu saya balik dari mencandat sotong. Katanya akan tiba dalam pukul 9:00 pagi.

Pantai dan langit berawan tebal.

Ayah dan anaknya.

One for the memori.

Lontong @kedai makan muara sungai.


Menantu dan geng mencandatnya tiba agak lambat penuh dengan pengalaman yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hidup mereka. Saya mendengar cerita mereka tanpa komen. Biarlah ianya menjadi pengalaman seumur hidup yang amat bermakna. Sebelum balik ke homestay semula kami singgah di restoran Lontong Darat Viral Mersing menikmati lontong darat yang sangat sedap.

Lontong darat.

Sampai sahaja di homestay semuanya pakat berehat keletihan. Kami yang tidak mencandat ini pun turut merasa tempias keletihan menantu dan kawan-kawannya mencandat sotong dalam hujan ribut. Semoga bertukar menjadi pengalaman indah dikemudian hari. Aamiin.🌹

Sekian. 😊

Tuesday, 14 October 2025

Uk Trip 2025: Last Day in London, esok nak balik Malaysia

Rabu 24hb September 2025

Hari ini hari ke-11 kami di UK. Semalam kami tiba dari Lake District dan check-in Hotel Premier Inn, Heathrow untuk 2 malam. Esok dah nak balik Malaysia yang terchenta. So perancangan hari ini adalah untuk keluar bersiar-siar leisure-leisure no pressure. Kami dan anak menantu bawa haluan sendiri. Sementara depa menjelajah kota London kami jalan-jalan cari makan di restoran Melayu sekitar London dengan niat untuk support orang Melayu berniaga di tempat orang. 

Dan seperti sebelum ini, saya tetap bangun awal pagi dan ambik peluang menginsafi diri. Lepas bersiap-siap kami turun untuk sarapan di Costa Coffee yang terletak di lobi hotel. 

Costa Coffee ni beroperasi 24 hours rasanya.

Hot chocolate and cheese sandwich for makcik, Americano and tuna baguette for hubby.

Usai sarapan kami ambik train Elizabeth Line untuk ke Central London dan turun di Paddington Station. Destinasi pertama kami adalah ke Makan Cafe yang terletak di Portobello. Dari Paddington kami ambik train dan turun di Ladbroke Grove dan berjalan kaki selama 6 minit melalui kawasan market untuk tiba di Makan Cafe. Sejak dari hari pertama di UK lagi hubby dah pasang niat untuk makan di sini. Kami pernah makan di sini semasa datang ke UK dua tahun lepas. 

One for the memory.

Walau dah sarapan di Costa Coffee sebelum itu tetaplah kita nikmati sarapan pagi ala Malaysian. Jam pun baru menunjukkan pukul 10:00 pagi so kira double breakfast or brunch terus. Saya order set roti canai (dua keping) dengan kuah dal harga £9.90 sementara hubby order nasi lemak rendang ayam harga £13.90. Alhamdulillah terasa enaknya… tapi bila convert into RM tetiba rasa payau. Tapi sebab kita dah niat nak support perniagaan mereka maka kita telan sahaja rezeki yang terhidang di depan mata. Semoga Allah mudahkan rezeki kita dan mereka.

Roti canai for makcik dan nasi lemak for hubby.

Depan Makan Cafe

Usai makan kami meneruskan perjalanan ke Westfield Mall di Stratford untuk mencari sedikit souvenir untuk 5 orang cucu di Malaysia. Selepas itu hubby ajak singgah makan di kafe Rasa Malaysia pulak untuk minum petang. Saya order mihun sup utara. Bukan main besar portion dia cukup untuk dua orang makan. Lupa pulak nak catat berapa harganya. Hubby order set roti jala kari ayam. Total bayaran untuk dua menu plus air adalah £38++.

Mihun sup Utara yang sedap.

Portion besar, boleh share dua orang.


Depan kafe Rasa.

Usai makan kami patah balik ke Paddington Station untuk berjumpa kawan lama semasa saya A-Level back in 1985 dulu. Kebetulan dia on the way meeting her friend kat London so kita make a point untuk quick chit-chat over coffee (& hot chocolate) selama 15 minit.  Buat masa ini dia menetap di Oxford. Semoga dapat berjumpa lagi di lain masa.

 @ Paddington Station.

Esoknya, pukul 7:00 pagi kami dah check-out dan tarik beg berjalan menuju ke airport. By pukul 7:30 kaunter daftar masuk di buka dan kami menjadi antara yang terawal untuk daftar masuk dan drop bag. Usai semua urusan kami sarapan di kafe sementara menunggu waktu untuk boarding. 

Hot chocolate, Americano & Tuna Baguette.

Sarapan dulu.

Kemain beratur paling depan... padahal last to be called.

Boarded. Tak sabar nak balik rumah.

Depart pukul 11:30 pagi waktu London dan selamat tiba di bumi Malaysia pada pukul 6:00 pagi waktu Malaysia. Alhamdulillah. Semoga permusafiran kami diberkati Allah. Aamiin.🌹

Sekian.😊

Kenduri Besan di Ampang dan kenduri Rakan Sekolah di Ulu Langat

Sabtu 4hb Oktober 2025 Hujung minggu adalah hari untuk pergi kenduri. Namun ada juga undangan yang tidak dapat dipenuhi. Biasanya setiap kal...