Showing posts with label Umrah. Show all posts
Showing posts with label Umrah. Show all posts

Tuesday, 21 November 2023

Umrah 2023: Tawaf Wada', Jom Balik Malaysia.

Selasa, 31hb Oktober 2023

Hari ini hari terakhir kami di bumi Mekah. Dan seperti biasa para jemaah akan mengerjakan Tawaf Wada’ sebagai ucapan selamat tinggal sebelum pulang ke tanah air. Mutawwif kami tidak menetapkan bila waktu untuk kami semua patut mengerjakan tawaf. Ikutlah keselesaan masing-masing, yang penting kena selesaikan urusan dalam masa 5 jam sebelum bas bergerak meninggalkan Mekah. 

Mengikut jadual, bas akan bergerak dalam pukul 9:00 pagi so ada jemaah yang buat tawaf seawal pukul 4:00 pagi. Kami decide untuk buat tawaf lepas sarapan dan selesai urusan sebelum pukul 8:00 pagi. Kemudian balik ke bilik hotel semula untuk mandi dan berkemas (final). Lepas tu kami turun ke M2 untuk menunggu bas sambil menjaga pantang larang tawaf wada’. Mutawwif dah gariskan senarai pantang-larangnya. Boleh Google search kalau nak tahu lebih lanjut.

  • Tak boleh berlama dalam masjid
  • Tak boleh baring-baring lepak
  • Tak boleh bagi sedekah
  • Tak boleh shopping/membeli-belah (selain bekal untuk perjalanan nanti)
  • Tak boleh bergalak dan berseronok (selpi, wefi, posing dsb).

Dan semua pantang larang ini terangkat sebaik sahaja tayar bas bergolek keluar dari Mekah. Saya cuma ambil gambar dari dalam bas sahaja. Tiba-tiba terasa sebak kerana akan meninggalkan bumi barokah ini tapi kita buang perasaan itu jauh-jauh sambil berdoa agar kita dipilih menjadi tetamuNya lagi.

Keluar dari kawasan Masjidil Haram.

Masuk hiway menghala ke Jeddah.

On the way to Jeddah Airport, bas berhenti di RnR (apa entah), kalau-kalau ada jemaah yang ada keperluan untuk qadha hajat atau turun membeli barang keperluan. Oleh kerana semua jemaah hanya nak melekat di tempat duduk dalam bas, maka kami teruskan perjalanan ke airport. Sekali lagi saya hanya ambik gambar dari dalam bas. Terdapat kawasan mall/kedai makan dan deretan drive thru kedai kopi sepanjang RnR. Selain dari itu, perjalanan ke airport hanya menyaksikan pemandangan tanah gersang yang kering kontang.

Kedai kopi drive thru.

Kedai kopi lagi…

Pemandangan biasa sepanjang perjalanan yang hampir satu jam.

Kami tiba di airport hampir pukul 11:00 pagi. Walaupun masih pagi, cuaca sangat cerah dan suhu makin membahang. Bas berhenti betul-betul depan pintu masuk ke terminal. Kami hanya perlu ambik troli dan susun bag sendiri. Kemudian ambik kotak berisi air zam-zam (botol size 5 liter) seorang dan terus masuk dan beratur untuk check-in. Kami hanya tunjukkan passport di kaunter. Dari passport tu dah tersedia maklumat flight kita so depa hanya key-in dan print boarding pass. Mudah sangat urusannya.

Menunggu beg keluar dari ‘perut’ bas.

Beg kami tak sempat beranak.

Usai urusan check-in, kami terus masuk ke kawasan pelepasan. Airport Jeddah ni agak luas, baru dan moden. Jenuh jugak nak menapak hingga ke boarding lounge. Kami tiba dalam pukul 11.45 pagi untuk flight Saudi Air pukul 4:00 petang. Ada masa lebih empat jam untuk kami solat jamak Zohor & Asar, makan dan lepak-lepak sebelum berlepas. Sempatlah kami jalan-jalan melihat kawasan airport yang luas ini.

Lunch pack, nasi lemak daripada TH Travel.

Muka excited nak balik rumah.

Tunggu boarding.

By pukul 3:30pm depa dah panggil untuk boarding. Flight tak penuh, so kami masih ada rezeki untuk duduk dengan selesa. Usai makan dan solat jamak Maghrib dan Isya’ saya bantai tidur sepanjang perjalanan hingga selamat mendarat di KLIA. Gamaknya baru terasa lelahnya tubuh badan.

Bye-bye Jeddah... ada rezeki, kami kembali lagi.

Biryani kambing, tapi tekak saya dah mula reject makanan non-Melayu.😌

Teh panas ngan coklat je lalu.

Tepat jam 5:40 pagi selamat mendarat di KLIA. Alhamdulillah proses keluar untuk Malaysian Citizen sangat laju. Kita hanya swipe passport lepas tu sengih depan kamera dan terus keluar melalui pintu automatic. Kemudian kami ke Gate C5 untuk naik bas ke terminal airport dan tunggu luggage di belt G.

Kutip air Zam-zam sekotak sorang.

All done.

Usai susun beg kami singgah di surau untuk solat subuh sebelum keluar ke arrival lounge di mana anak nombor 4 dan menantu sedang menunggu dengan setia. Kami singgah minum kopi di Coffee Bean dan by pukul 7:00 pagi kami gerak balik dan tiba di rumah sebelum pukul 9:00 pagi. Home sweet home.❤ 

Semoga Allah kurniakan kesihatan untuk kami ke sana lagi.

Sekian.😊

Sunday, 19 November 2023

Umrah 2023: Mekah~ Wadi Berkat, Miqat di Hudaibiyah & Umrah 02.

Isnin, 30hb Oktober 2023.

Hari ini kami berpeluang untuk buat umrah lagi sekali. Seawal pukul 7:00 pagi semua jemaah sudah berkumpul menunggu bas untuk miqat di Hudaibiyah. Sebelum ke Masjid Hudaibiyah kami singgah di Wadi Berkat Dato Ibu untuk lawatan. Waktu lawatan bermula pukul 8:30 pagi. Tapi sebelum pukul 8:30 kami dah tercongok depan pintu pagar dan menjadi tetamu pertama bila pintu pagar dibuka. Kami disambut mesra dan diberi penerangan dalam kumpulan.

Pokok bunga kertas dan pokok tembikai di pintu masuk utama.

Di sini depa menternak kuda, unta dan kambing sebagai mengambil berkat dari kehidupan Rasulullah SAW yang sentiasa dikelilingi tiga spesis ternakan ini. Katanya ada berberapa aktiviti menarik di sini. Antaranya, boleh berkuda, memanah, bermesra dan memberi makan binatang ternak (tapi kena beli rumput depa, lupa pulak berapa harga sepeket). Saya hanya melihat dari jauh sahaja. Terdapat juga replika rumah (tempat tinggal) orang-orang Badwi

Ladang/kandang kuda.

Replika rumah/pondok orang-orang Badwi.


Ladang/kandang unta.

Ladang/ kandang biri-biri.

Di sini juga lengkap dengan surau, tandas dan kantin yang menjual pelbagai makanan rasa Malaysia. Semasa kami duduk makan di kantin banyak bas yang singgah dan pengunjung makin ramai. Mutawwif memberi masa 30 minit sahaja untuk kami sudahkan makan kemudian terus naik bas untuk ke Masjid Hudaibiyah untuk miqat.

Sate ayam SR10 satu set (5 cucuk).


Teh tarik SR5.

Puas hati dapat pekena roti canai(SR4 sekeping) dan teh tarik.

Gulai kawah daging unta.

Depan pintu masuk Wadi Berkat Dato Ibu.

Menurut Mutawwif, kawasan Hudaibiyah ini famous dengan ternakan unta. Di mana-mana sahaja akan kelihatan sekumpulan(sekawan) unta. Kami hanya melihat dari dalam bas sahaja. Kata Mutawwif lagi, susu unta baik untuk kesihatan dan ada banyak khasiat.

“Susu unta ni bagus untuk kesihatan. Ada kepercayaan, lagi bagus minum susu unta ini kalau campur dengan sedikit air kencing unta betina yang kencing diawal pagi. Bagus untuk ubat kanser…” (Entahlah… tak berani nak komen). Saya memang tak pernah minum susu unta, apa lagi kalau nak campur dengan air kencing unta. Tak pasti setakat mana kajian yang telah dijalankan tapi dalam usia yang lebih separuh abad ini saya belum pernah mendengar petua sebegitu. Mungkin ada kebenarannya. Kita iyakan sahaja jika ianya adalah suatu kepercayaan. Samada kita sendiri nak terima atau tidak, terpulang kepada diri masing-masing.

Usai solat sunat di Masjid Hudaibiyah dan berniat Ihram kami bergerak balik dan tiba di hotel semula sebelum azan Zohor. Usai makan dan solat kami terus selesaikan urusan tawaf dan saie. Walaupun bertawaf pada pukul 1:30 tengahari, tidak terasa cuaca yang panas kerana tetiba sahaja kami ‘dipayungi’ dengan awan tebal. (Mungkin petang nanti hujan bakal turun lagi). Kebetulan keadaan tidak sesak so kami dapat menyelesaikan tujuh pusingan tawaf dalam masa setengah jam sahaja. Saya dapat bersolat sunat tawaf dan berdoa depan Kaabah dengan tenang. Seterusnya kami minum air zam-zam dan meneruskan perjalanan untuk bersaie pulak.

Done Tawaf dipayungi awan tebal. Alhamdulillah.

Siap saie dalam masa 40 minit.

Usai urusan umrah kami terus ke kedai (barber shop) di Sofwa Tower. Sepanjang jalan ramai yang offer untuk mencukur dengan bayaran SR10 satu kepala. Kami terus masuk kedai pilihan dan saya menunggu di luar sementara kepala hubby dibotakkan.

Cukur habis... SR10.

Abang botak.

Alhamdulillah selesai urusan untuk hari ini. Esok kami akan bersiap-sedia untuk pulang ke tanah air. Moga Allah mudahkan.

Boleh baca cerita sebelum ini di sini.

Sekian.😊

Thursday, 16 November 2023

Umrah 2023: Mekah~Aktiviti Bebas dan Santai.

26-29 Oktober 2023

Semasa di Mekah, selain di masjid dan surau, port favourite saya ialah dining hall. Saya suka berlama-lama di sini terutama bila dapat meja tepi tingkap yang menghadap Kaabah. Walaupun di kelilingi construction pemandangan ke arah Kaabah sangat mendamaikan. Sambil menikmati rezeki yang Allah kurniakan saya akan merenung jauh ke arah Kaabah sambil mengosongkan fikiran. 

 Kawasan Kaabah dari jendela dining hall.

Menu biasa saya untuk sarapan. Saya banyak ambik buah bagi mengelakkan tekak kering.

Setambun uncang teh untuk seteko air… pekat betul depa buat air teh.

Saya hanya ambik separuh cawan lepas tu tambah air panas dan susu segar.

Shushi… saya cuma cuci mata sebab tak berapa kena dengan tekak.

Desserts… yummy. Tapi saya hadkan seketul dua sahaja bagi menjaga paras gula.

Disenggang waktu santai hubby akan ajak saya mencari menu/juadah Melayu yang ada di sekitar Masjidil Haram ini. Kami ke Malaysia Restaurant yang terletak dalam Safwa Tower (di sebelah Clock Tower). Seperti dahulu, restoran ini masih menjual juadah asli Melayu yang sangat kena dengan tekak saya. Alhamdulillah, terubat rindu kampung halaman.

Hubby order teh tarik (SR6) untuk isterinya yang terchenta ini, kuih, meehoon dan nasi kerabu. Terlupa pulak saya nak catat berapa jumlah yang hubby bayar tapi rasanya lebih SR50.

Set nasi kerabu, set meehoon dan kuih-muih.


Selain mengisi perut, hubby juga akan mencari sumber-sumber buat mengisi minda. Kalau di Madinah kami tidak menjumpai apa-apa kedai buku, tapi di Mekah ini ada terselit satu kedai buku Dakwah Corner di celah kedai-kedai lain. Haruslah kita borong buku-buku ‘rare’ yang susah didapati di tempat lain. Lagi pun hubby tidak lokek berbelanja lebih SR500 untuk buku.


Antara buku yang menarik minat saya.

Biasanya kami akan keluar jalan-jalan sekitar pukul 9-11 pagi kerana suasana dalam waktu begini agak tenang. Saya agak fobia dengan keadaan sesak dengan manusia dari pelbagai bangsa yang agak kasar. Kami akan jalan-jalan di sekitar kawasan yang nampak selamat sahaja.

Food court yang tenang.

Berhenti rehat menghabiskan masa santai sebelum urusan seterusnya.

Kawasan Masjidil Haram ini sangat luas dan semua kawasan yang berlantai (tile) putih dianggap lantai masjid. So jemaah boleh bersolat di mana-mana lantai putih dan dianggap telah bersolat jemaah bersama Imam tanpa putus saf. 

Di perkarangan masjid. Semua lantai putih keliling Masjidil Haram dianggap sebagai lantai masjid.

Lantai putih sekitar masjid hingga ke hotel keliling bangunan masjid.

Lantai putih sehingga depan entrance hotel di Clock Tower, maknanya dari dalam sini pun dibolehkan untuk solat berjemaah tanpa putus saf.

Sepanjang di Mekah saya kekal memakai pelitup muka disebabkan keadaan yang berdebu dan tekak pun dah mula kering. Alhamdulillah berbekalkan ubat-ubatan yang ada, Allah izin untuk saya kekal sihat hingga kehari terakhir kami di bumi barokah ini.

(Boleh baca cerita sebelum ini di sini).

Sekian.😊

Umrah 2023: Di bawah Langit Mekah

25-29hb Oktober 2023

Keadaan di Mekah agak kelam kabut berbanding di Madinah. Keberadaan hotel kami di dalam bangunan Clock Tower tambah menyesakkan keadaan terutama bila tiba waktu solat. Bilik kami di tingkat 12 dan ada kala terpaksa menunggu lif agak lama. So kalau hendak ke Masjidil haram kena keluar sangat awal sebelum masuk waktu solat. Kalau tidak, sangat sukar untuk mendapat tempat duduk dalam masjid. Ramai jemaah yang stay back di masjid dari solat Asar hingga Isyak. Walaupun masih ada masa 30 minit sebelum azan Maghrib, banyak laluan ke dalam masjid sudah ditutup dan semua jemaah dihala ke tingkat atas bumbung (roof-top). Alhamdulillah saya dapat menyelit di celah-celah jemaah yang ramai dan dapat bersolat di bawah langit Mekah.

Jam besar menunjukan hampir azan Maghrib.

Kebetulan di hadapan saya ada tiga orang jemaah Malaysia. Teruja pulak bila terjumpa jemaah dari negara sendiri dalam ribuan manusia. Sempat saya berkenalan dan bersembang sepatah dua sebelum azan Maghrib. (Lupa pulak depa guna travel agent apa).

Menanti azan di bawah langit.

“Ummi nak jalan dengan siapa nanti? Sapa nak teman?” Soalan biasa dari anak-anak bila saya dan hubby decide untuk buat umrah berdua sahaja. Depa lupa gamaknya yang Ummi depa ni dah biasa independent sejak muda.

Sejak tiba di bumi barokah ini saya hanya keluar/berjalan dengan hubby sahaja. Pergi ke masjid bersama tapi terpisah bila nak masuk kawasan solat jemaah lelaki dan wanita. Biasanya kami berjanji temu untuk berjumpa(rendezvous) di satu tempat yang telah dipersetujui bila selesai semua urusan.

Rendezvous @ root-top.

Tenang malam di bawah langit Mekah, walau manusia penuh sesak.

Sesak nak keluar ke King Fahd Escalator.

Solat Jumaat

Pada hari Jumaat pula keadaan Masjidil Haram akan sesak melampau. So semua jemaah kena datang awal ke masjid. Hubby ke masjid sebelum pukul 11:00 pagi lagi bagi mendapatkan tempat duduk dalam masjid. Kalau lewat, alamatnya terpaksalah bersesak solat di dataran atau di roof top.

Saya stay di bilik hotel sahaja. Depa sediakan speaker dalam bilik, so dapat dengar setiap butir (bicara) dari Masjidil Haram dengan jelas.

Zohor masuk pukul 12:05 tapi pukul 11:35 depa dah azan, panggil jemaah to get ready. Tepat jam 12:05 depa azan semula tanda dah masuk waktu untuk solat Jumaat. Usai je Azan terus depa bagi khutbah Jumaat. Sedap bacaan khutbahnya. Saya cuba jugak nak faham tapi lebih banyak nganga. Khutbah selesai dalam masa 10 minit sahaja. Pukul 12:20 depa azan lagi dan terus buat solat Jumaat. Rakaat pertama imam baca surah At Tin kemudian Al Quraish pada rakaat kedua. Ringkas dan mudah sahaja solatnya. By pukul 12:30 selesai urusan solat Jumaat. Lepas tu seperti biasa depa akan terus buat solat jenazah (amwat). Sepanjang bersolat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, depa akan buat solat jenazah pada setiap waktu lepas solat fardu. Alhamdulillah saya dapat mengerjakan solat jenazah ghaib untuk sahabat Al-Amin yang meninggal dunia di Malaysia. (Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman).

Hujan di Masjidil Haram

Sepanjang kami di Mekah, hujan turun hampir setiap petang. Hari kedua kami di Mekah, kami dah bersedia untuk ke masjid seawal pukul 4:30 petang. Malangnya lif sangat sesak. Bila tiba di pintu utama keluar ke masjid, manusia sangat ramai dan sesak hingga ke depan pintu masuk utama bangunan Clock Tower. Rupa-rupanya semua orang berkumpul depan entrance. Di luar hujan mula lebat dan semua orang stuck tak dapat ke mana-mana. Ada juga yang asyik merakam gambar hujan yang turun. Akhirnya kami decide untuk berpatah-balik ke lif dan naik ke surau hotel di level S2. Namun di situ jugak sesak. Alhamdulillah saya dapat menyelit di tengah-tengah jemaah. Sejurus tiba di surau, azan Maghrib pun berkumandang dan semua orang dapat bersolat berimamkan Imam Masjidil Haram. Alhamdulillah. Dah alang-alang dapat tempat yang selesa kita stay on sampai Isyak memandangkan hujan makin lebat, dan sudah pasti jalan ke masjidil Haram pun masih sesak.

Cermin tingkap  hadapan surau mengadap Kaabah tanpa halangan.

Ruang surau yang selesa dan sentiasa padat setiap kali solat waktu.

Mengikut fatwa terkini, sekiranya lantai hotel bersambung terus dengan lantai putih Masjidil haram, dibolehkan untuk kita solat di surau hotel secara berjemaah berimamkan Imam Masjidil haram. Alhamdulillah hotel Fairmont termasuk dalam senarai hotel yang diberi 'keistimewaan' ini. So, bila keadaan tidak mengizinkan kami akan bersolat jemaah di surau hotel sahaja. 

Semoga Allah menerima amal ibadah kita dengan sebaik-baik ganjaran.

(Cerita sebelum ini boleh baca di sini.)

Sekian.😊

Kenduri Besan di Ampang dan kenduri Rakan Sekolah di Ulu Langat

Sabtu 4hb Oktober 2025 Hujung minggu adalah hari untuk pergi kenduri. Namun ada juga undangan yang tidak dapat dipenuhi. Biasanya setiap kal...