Showing posts with label Lamanku Kebunku. Show all posts
Showing posts with label Lamanku Kebunku. Show all posts

Sunday, 26 October 2025

Pokok Bunga & Pemasuan Semula

Semenjak asyik ditinggalkan, banyak pokok bunga kesayangan saya terutama yang manja, menemui ajalnya. Daripada puluhan pasu kini tinggal beberapa pasu sahaja yang masih setia menemani hari-hari dalam kehidupan makcik pencen ini. Dan pokok-pokok yang tinggal ini saya buat pemasuan semula dan pecahkan menjadi beberapa pasu. 

Pokok-pokok heavy duty yang tak pernah tewas walau dalam apa jua keadaan.

Untuk pokok bunga kertas saya cuma pangkas dan trim daunnya semula. Kita lihat perkembangan dalam masa sebulan. Mudah-mudahan kembali segar mengeluarkan bunga yang cantik.

Dua pasu pokok bunga kertas. Satu putih satu merah. Saya gembur tanah, bubuh baja dan pangkas dahan-dahan yang panjang.

Selepas seminggu dah nampak pucuk baru. Saya trim/buang semua daun yang ada, tinggal pucuk halus sahaja.

Mudah-mudahan halaman rindu saya kembali berseri untuk dinikmati pada setiap masa dan ketika. Aamiin. 🌹

Sekian.😊

Wednesday, 22 October 2025

Pangkin Nenek

Sejak pondok gazebo diberi nafas baru, saya seronok menikmati waktu pagi di atas pangkin. Kebetulan hari ini langit mendung memberi cuaca pagi yang sangat nyaman. Saya keluar ke laman rumah lepas subuh. Selepas menyapu sampah di halaman rindu dan meyusun pasu-pasu lama, saya duduk berehat santai atas pangkin hingga terbit mentari. Sambil itu bolehlah kita nikmati keindahan laman yang mula segar selepas hujan.

Mulberi yang mula galak berbuah.


Ciku yang menjadi rebutan situpai.

Bunga jenjarum semakin galak berbunga.

Bunga ytt turut memeriahkan suasana.

Sepit udang.

Bila melihat kehijauan laman tiba-tiba teringat kepada beberapa pusara kucing yang disemadi di sekitar laman yang mula menghijau ini. Paling menyedihkan ialah kenangan Tetamu di pagi Raya, hampir sepuluh tahun lepas. (Boleh baca ceritanya di sini). 

Pangkin Nenek.

Semoga hari-hari mendatang sentiasa dipenuhi dengan ketenangan. Amiin 🌹

Sekian.😊

Tuesday, 21 October 2025

Tanam Mini di Laman... Kita berangan dulu

Dah lama saya dok perati kawasan seciput di halaman rindu ini. Gambaran idea dah penuh dalam kepala namun entah bila dapat direalisasikan. Dulu saya tanam pokok kemuning sebanyak 3 batang tapi selepas 5 tahun batangnya mula kering di makan anai-anai. Sempat membesar setinggi 7 kaki saya terpaksa tebang takut menjadi sarang anai-anai. Kemudian saya ganti dengan pokok bunga kerak nasi. Selepas berbunga dua musim dengan bau yang harum semerbak akhirnya mati juga. Saya ganti pulak dengan pokok kemboja putih. Juga mengalami nasib yang sama. Last sekali saya tanam pokok bunga raya dan bunga kenanga. Nampaknya mereka juga bakal mengalami nasib yang sama selepas tiga tahun. Mungkin tanah dibawahnya tidak sesuai untuk bercucuk tanam. So saya bercadang untuk letak pokok dalam pasu besar dan susun atas batu-bata di situ. Setakat ini kita berangan dulu. Nanti suatu masa dan ketika bila ada kelapangan masa dan tenaga barulah kita realisasikan impian.

Kawasan yang dimaksudkan. Kita cuba letak sepasu pokok dahulu.

Pokok bunga kenanga... mungkin nak kena ubah masuk pasu besar.

Pokok bunga raya putih yang dah nazak... so saya decide untuk tebang dan buang.

Kita clearkan rumput dan tebang pokok bunga raya dahulu sebelum proceed dengan plan seterusnya.

Sementara itu kita nikmati ruang laman yang ada pada setiap pagi.

Semoga Allah sentiasa kurniakan kesihatan dan kesempatan menikmati keindahan laman di rumah sendiri. Aamiin. 🌹

Sekian. 😊

Friday, 23 May 2025

Memetik Ciku di Laman

Sejak kecil saya memang suka makan buah ciku. Dan kini pokok ciku menjadi antara pokok yang setia menemani saya di ruang laman. 

Semasa mula-mula berbuah (beberapa biji) saya selalu berperang dengan tupai yang selalu a step ahead mengambil buah yang sudah mengkal. Mulanya saya rajin balut mana yang sempat tapi tupai tu lagi cerdik. Depa bawa lari dengan bekasnya sekali. Akhirnya saya pasrah dan menaruh sepenuh kepercayaan dengan rezeki Allah. Dah malas nak bergaduh dengan makhluk bertuah itu.

Rezeki pertama dipetik pada 8hb November 2023.

Saya basuh dan letak dalam tong beras.

16 November 2023, buah sulong yang masak selepas seminggu diperam.

Saya tak pasti buah ciku ini bermusim atau tidak. Yang pasti, baru-baru ini saya nampak putik buah yang agak banyak. Mungkin itu rezeki yang Allah gantikan bila berkongsi dengan makhlukNya yang lain. Saya biarkan putik-putik itu menjadi buah yang agak lebat dan membesar dengan baik. Sekali-sekala kita jenguk-jenguk kot-kot ada tupai yang datang bertandang. 

Weekend baru ni saya agak busy dengan kenduri nun jauh di Selatan tanah air dan Sambutan Hari Ibu by anak-cucu. Setelah beberapa hari baru ada masa untuk saya turun ke laman. Melihat banyaknya buah ciku yang dah besar-besar, kita buat batang kait untuk kait buah-buah yang dah nampak mengkal. Masa zaman di kampung dahulu kami buat batang kait menggunakan batang buluh. Tapi di sini kita be creative, ambik batang besi curtain railing lama dan ikat dengan hook S di hujungnya. 

Bahan yang diperlukan: Batang railing, hook S dan pengikat plastik.

Hasil tuaian pagi ini.

Hubby tambah lagi 2 biji.

Selepas siap dibasuh, saya keringkan, kemudian balut dengan kain dan simpan untuk diperam.

Selepas beberapa hari buah ciku pun mula masak sebiji demi sebijik. (Depa tak masak sekali gus). Mudah-mudahan dapatlah dikongsi dengan orang lain.🌹

{Cerita permulaan pokok ciku boleh baca di sini}.

Sekian.😊

Monday, 11 November 2024

Me-time di laman

Dah lama saya tidak turun ke laman. Sibuk apa pun tak pasti. Semua pokok yang saya pernah tanam dan menjadi pujaan hatiku siang malam pun dah semakin pupus. Yang tinggal hanya pokok-pokok bunga dalam pasu yang hidup segan mati tak mahu, serta rumput rampai dan lalang kemucut yang menyibuk di celah-celah rumput karpet mutiara yang saya tanam dan terbiar begitu sahaja.

Setiap kali melihat ke laman akal dan fikiran selalu penuh dengan angan-angan, namun kudrat yang mula merosot agak sukar dibawa berbincang. Namun setelah memperolehi semangat dari medsos maka kita gagahkan diri untuk bangkit semula. So sepanjang tiga hari yang lepas saya memulakan aktiviti di halaman rindu semula. Saya mesin rumput secara manual, gunting dan pangkas batang-batang pokok yang dah mati, potong dahan pokok yang tinggi menyemak serta cabut kemucut dan rumput liar. Saya juga mengangkat, mengalih dan menyusun semula pasu-pasu pokok di sekeliling porch rumah. Lepas ni bersiap sedialah dengan gangguan kesakitan lutut dan belakang makcik, walaupun sentiasa berdoa agar Allah kurniakan kesihatan yang baik hingga akhir hayat. 

Saya banyak memilih pokok-pokok yang heavy duty sebagai penghuni di halaman rindu saya. Ada juga beberapa pokok manja yang saya selit di celah-celah pasu namun, sesuai dengan sifat manjanya, pokok itu memang tidak bertahan lama. Yang boleh survive hanyalah pokok heavy duty sahaja. 

Pokok lidah jin yang sentiasa setia despite apa sahaja dugaan yang mendatang.



Pokok siti zubaidah, asalnya nak buang tapi tiba-tiba keluar pucuk baru, maka kita trim dan buang daun dan ranting kering. Lepas ni nak kena bubuh baja.

Pokok-pokok yang tinggal selepas dibuang (trim) daun dan ranting yang kering.

Rumput pun dimesin secara manual.

Lepas ini kita tunggulah hasil kejadiannya. Mudah-mudahan kerajinan dan kudrat makcik sentiasa seiring. Aamiin.🌹

Cerita kebun dan laman sebelum ini boleh baca di sini. Malang sekali, semuanya sudah kembali kepada tanah.

Sekian.😊

Monday, 8 July 2024

Harum Sundal Malam & Pokok Kucai

Dah lama saya menunggu pokok bunga harum sundal malam ini berbunga. Sejak dibeli dalam musim covid, pada bulan April 2020 dahulu, bermakna dah lebih 4 tahun pokok ini menghuni di halaman rindu laman saya ini. Selepas saya ‘bercuti’ dari menjenguk laman (suatu masa) dahulu saya hanya membiarkan pokok-pokok yang ada hidup sendiri tanpa siram dan baja selama lebih dua tahun. Rupa-rupanya ia masih kekal setia menunggu tuannya insaf dan memberi peluang kedua. Masa awal-awal penanamannya dulu saya menjaga dengan sepenuh jiwa hingga tumbuh segar walau tidak berbunga seperti yang diharapkan.

Dua pasu Harum Sundal Malam yang terbiar.

Semalam saya buat pemasuan semula ke dalam pasu yang lebih besar supaya akar (bawang) nya mendapat ruang yang lebih luas untuk bernafas. Saya tak pasti berapa lama lagi saya harus menunggu untuk melihat pokok ini berbunga. Setakat ini saya tidak gusar, asalkan pokoknya tetap subur, kita tenang-tenang sahaja melihat kesegaran pokok di laman pada setiap pagi dan petang. Berbunga atau tidak, itu bukan dalam bidang kuasa kita.

Pasu 1.

Pasu 2.

Buat sementara waktu, kita nikmati bunga-bunga di pohon kucai yang sentiasa mengeluarkan bunga yang cantik. Walau tidak mengeluarkan bau yang harum tetaplah memberi terapi dalam menenangkan jiwa. 

Bunga kucai yang cantik.

Pokok kucai yang setia.

Semoga kita dikurniakan ketenangan sehingga ke akhirnya. Amiin.🌹

{Cerita sebelum ini boleh baca di sini}.

Sekian.😊

Friday, 5 July 2024

Tumbuh

Sepagi di pangkin nenek, kita berkongsi kesegaran alam.

Bunga kantan yang menceriakan.

Batang pokok serai kayu yang ditebang mula mengeluarkan tunas baru.

Pokok putat makin galak mengeluarkan pucuk baru.

Pokok kari semakin subur.

Pokok ulat bulu berbuah lebat.


Bunga pokok ulat bulu.

Semoga ketenangan ini berpanjangan. Amiin. 🌹

Sekian.😊

Sunday, 23 June 2024

Pangkas Pokok Pinang Merah

Pokok pinang merah di halaman rindu ini sangat subur dan rajin beranak. Lama saya dok perati pokok yang makin serabut dipandang mata dan lama juga saya dok berkira-kira nak pangkas dan buang anak-anak yang rimbun membiak di sekeliling induknya. 

"Pokok pinang merah ni kena selalu trim, buang anak-anak... baru nampak cantik". Begitu pesanan Pakcik Aji, tuan punya nursery bunga tepi hiway MRR2 masa mula-mula saya beli anak pokok dahulu. Tapi biasa la, masa awal-awal dulu makcik memang rajin ke laman. Tapi bila dah sibuk walau tak pasti apa yang disibukkan, maka semuanya terbiar begitu sahaja.

Subur dengan anak-anak pokok.

Hari ini selepas balik jogging di KLCC dan badan terasa lebih segar, kita sambung dengan kerja-kerja di halaman rindu laman pulak. Saya sediakan bangku dan gergaji dan potong semua anak-anak pokok dari perdunya. Rupa-rupanya banyak pulak semut hitam buat sarang disebalik akar pokok. Ada akar yang dah reput, memudahkan saya pulas dan tarik keluar. Memana batang pokok yang masih kukuh, saya potong dengan gergaji.

Dah togel, tinggal batang yang besar sahaja.

Bila hubby bermurah hati menolong isteri terchenta dan mengangkut buang pelepah pokok keluar pagar, haruslah makcik lebih bersemangat. Hajat asal nak buat separuh dulu, tapi bila dah ada yang menemani kita bikin romantis kasi clear hari ini juga.

Gigih mengangkut pelepah pokok.

Alhamdulillah selesai tugas memangkas pokok pinang merah. Lepas ni kita fikir macamana nak hias keliling pokok tu biar nampak lebih kemas. Semoga pokok-pokok di rumah ini terus subur dan mendoakan tuan tanah berada dibawah perliharaan Allah sentiasa. Amiin. 🌹

{Cerita berkaitan boleh baca di di sini}.

Sekian. 😊

Wednesday, 19 June 2024

Pondok Gazebo sempena Aidil Adha 2024

Sejak pemasangan pondok gazebo lebih tiga tahun lepas, ianya seakan terbiar begitu sahaja. Walaupun sebelum keberadaannya di rumah ini, saya selalu berangan-angan bulan bintang, tapi bila dah tersedia depan mata, minat untuk duduk-duduk bersantai terbang entah ke mana. Saya hanya sempat pasang bidai keliling pondok gazebo dan basuh lantai sekali sekala. Selebihnya hanya menjadi tempat tidur dan lepak kucing-kucing liar yang datang bertandang. (Mudah-mudahan ada pahalaku di situ).

Sejurus siap pemasangan pada 3 tahun lepas. Semuanya nampak berkilat.

Kini setelah saya mula berjinak-jinak semula dengan keindahan di halamana rindu laman sendiri, maka saya mula memberi perhatian kepada pondok gazebo yang seakan terbiar ini. 

Saya kemaskan bidai, sapu sawang, lap tiang/dinding dan basuh lantai tempat duduk.

Nafas baru. Jiran belakang rumah pun dah siap renovate rumah mereka.

Saya tebang dua pokok besar belakang gazebo itu supaya keadaan lebih terang. Saya letak beberapa hiasan yang perlu dan sediakan tikar untuk duduk-duduk santai bila cuaca teduh petang-petang. 

Dan sempena Aidil Adha tahun 1445H ini anak no-4 pasangkan lampu lip-lap lip-lap di sekeliling pondok gazebo ini. Maka berbunga-bungalah hati makcik bergambar dengan keluarga di malam raya. Walau muka sembab dan berminyak dek kalut menyiapkan juadah raya tidak menjadi halangan makcik mengabdikan kenangan.

Kita rasmikan lampu liplap liplap dimalam Aidil Adha.

Smol famili... missing anak sulong (sekeluarga) dan anak bongsu.

Alhamdulillah, keadaan tenang-tenang sahaja dimalam raya. Semoga Allah kurniakan ketenangan ini hingga akhir hayat. Amiin.🌹

Cerita sebelum ini boleh baca di sini.

Sekian.😊

Sunday, 9 June 2024

Tebang pokok putat dan kemaskan kawasan sekitarnya.

Saya dah tanam pokok putat di rumah ini lebih 5 tahun yang lalu. Di sebelahnya saya tanam pokok serai kayu (salam, samak atau bay leaf). Menariknya kedua-dua pokok ini sangat subur dan cepat membesar. Agaknya tanah rumah ni berasal dari hutan, maka tersedia zat yang cukup untuk pokok-pokok yang juga berasal dari hutan. Walau dibiarkan begitu saja tetaplah mereka berdiri gagah memasak bumi. Saya tanam pokok ni di bahagian dapur belakang rumah sebagai tanaman herba. Kononnya, bila duduknya dekat dengan dapur akan memudahkan capaian bila-bila diperlukan dalam masakan. Tak sangka pulak ianya membesar bagai johan hingga memenuhi ruang belakang dapur dan menyemakkan pandangan. Akhirnya saya decide untuk pangkas bagi clear.

Pokok samak dan pokok putat yang merimbun hampir mencapai bumbung rumah.

Asalnya saya minta pakcik pemotong rumput tolong pangkaskan. Tapi nampak tak kemas. So saya buat penambahbaikan dengan memotong batang pokok itu dengan gergaji hingga pendek/rendah. Jenuh jugak makcik mengumpul kudrat yang dah hujung-hujung ini. Tapi takpe, kita tambah dengan ujian kesabaran dan pasrah. Kata orang biar sikit-sikit lama-lama jadi bukit... kita potong sikit-sikit lama-lama putus jua.😁

Batang pokok putat sebesar betis makcik.

Saja biarkan gergaji terbenam dalam dahan pokok putat itu dan snap gambar sebagai kenangan.

Baki batang pokok putat yang tinggal.

Batang yang nak kena usung ke luar pagar. 

Tinggal tunggul sahaja.

Batang tunggul pokok salam.

Kemaskan pokok pandan.

Rumput pun dah siap potong.

Alhamdulillah selesai kerja-kerja di halaman rinduku untuk hari ini. Semoga mata saya terus melihat yang indah-indah sahaja selepas ini. Yang penting badan rasa segar dan sihat selepas mengeluarkan peluh di laman sendiri. Semoga kekal sihat hingga ke akhirnya. Amiin.🌹

Cerita tentang pokok-pokok herba sebelum ini boleh baca di sini.

Sekian.😊

Kenduri Besan di Ampang dan kenduri Rakan Sekolah di Ulu Langat

Sabtu 4hb Oktober 2025 Hujung minggu adalah hari untuk pergi kenduri. Namun ada juga undangan yang tidak dapat dipenuhi. Biasanya setiap kal...