Showing posts with label Rumahku Syurgaku. Show all posts
Showing posts with label Rumahku Syurgaku. Show all posts

Monday, 4 August 2025

Armchair & Meja Study

Dua bulan lepas kami pergi IKEA Cheras. Hubby nak belanja armchair untuk isteri terchentanya. Nak suruk duduk berehat di ruang tamu tanpa gangguan. Biar gemok-gemok duduk saja lepas penat beraktiviti dan nak berlawan sapa lagi gemuk lepas ni.😁

Sambil tu hubby nak cari meja tambahan untuk study area juga. Tapi biasa la kalau makcik gi IKEA... aktiviti pertama haruslah berangan di ruang pameran.

Nak tukar almari buku... kita KIV dulu.

Simpan untuk rujukan.

Teringat penyangkut kain telekung kat rumah.

Nak letak pokok pelesu di TV area.

Nampak balang kaca, tetiba rasa tak cukup balang nak isi biskut kat rumah... so kita sambar dua buah.

Sebenarnya tujuan utama ke IKEA ialah nak beli armchair. Dah dapat armchair baru boleh proceed dengan meja pulak. Selagi tak jumpa armchair... jangan sesekali cari meja... begitu undang-undangnya. Tapi jenuh jugak makcik nak buat pilihan. Ada saja yang tak kena. Lastly kita ambik yang paling praktikal mengikut kayu ukur sendiri.

Jenuh hubby menunggu bini nak decide mana kerusi yang sesuai.

Usai memilih semua yang dihajati kami singgah lepak di kafe bagi menghilangkan lelah. Sedar tak sedar dah dua jam saya melilau dalam kawasan ruang pameran sambil berangan. Bila dah duduk baru terasa penatnya badan dan kaki pun lembik.

Kita park troli dulu sebab tak boleh bawak ke ruang kafe.

Tak ramai yang beratur membeli makanan sebab masih awal. Saya order fish and chips tambah mushroom soup dan garlic bread. Hubby ambik sandwich/tortila dan popia. 

Dah habis makan baru teringat nak ambik gambar sisa yang ada.

Usai makan kami terus gerak balik dan tiba di rumah hampir pukul 3:00 petang. Lagak orang muda keluar berjalan dari awal pagi hingga kepetang. Kemudian saya terus keluarkan kerusi untuk pemasangan. Baru sempat separuh jalan tiba-tiba pinggang saya jadi keras macam terkunci (locked) tak dapat bergerak. Jenuh pulak hubby terpaksa, mengangkat saya untuk bangun dan memapah serta memimpin saya untuk bergerak serta menyapu minyak panas di kawasan pinggang selama beberapa hari. Alhamdulilah selepas seminggu menjaga posture dan exercise pinggang saya kembali sembuh. Hilang segala sangka buruk (slip disc, etc). Mudah-mudahan dijauhkan Allah.

Hubby selesaikan pemasangan selepas saya terlantar sakit.

Selepas 10 hari, saya mula rasa sembuh sepenuhnya barulah kita masuk 'kilang' semula untuk proses pemasangan meja dan kabinet pulak. Alhamdulillah mudah sahaja prosesnya. Tapi kabinet tu sangat berat so kami decide untuk pasang sikit-sikit yang asas di tingkat bawah dan hubby angkut bit and pieces ke tingkat atas. Rumah kami dua tingkat dan ruang study hubby berada tingkas atas.

Peralatan yang diperlukan.

Hubby angkut bahagian yang dah siap ke tingkat atas.

Di atas, kita cuma cantumkan semua bahagian dah siap tadi dan susun di tempat yang dihajati.

Barang order.

Barang siap.

Alhamdulillah, selepas dua bulan badan saya dah back to normal. Masih lagi ada kudrat untuk mengangkat pasu bunga dan susun semula perabut-perabut sekitar rumah.

Serik? Tidak sekali. Mudah-mudahan Allah mengurniakan kesihatan yang baik hingga keakhirnya. Aamiin.🌹

Sekian.😊

Friday, 1 August 2025

Cuci Kipas Dapur

Dapur saya memang panas terutama kalau memasak ditengahari. Setiap kali berlama-lama di dapur saya kena bersedia untuk keluar peluh yang banyak. Maka saya letak kipas kecik molek sebagai teman di dapur. Tak sangka pulak selama ini kipas itu turut bertindak sebagai penyedut asap dan minyak. Patut la akhir-akhir ini kipas itu tidak memberi kesan angin sejuk... asyik rasa angin panas je. Rupa-rupanya seluruh badan kipas tu sudah bergelumang dengan habuk dan minyak.

Belakang kipas penuh dengan habuk dan minyak yang melekit.

Bahagian depan.

Maka bermulalah proses mencuci kipas dapur pulak. Rupa-rupanya nak mencuci kipas comel ini tidak semudah mencuci kipas siling, kipas dinding atau kipas berdiri. Jenuh saya mencari punca bukaan. Akhirnya baru nampak skru halus di bawah 'bontot' belakang kipas. Jenuh pulak nak pulas screw driver dalam celah yang sempit. Alhamdulillah berkat kesabaran, berjaya jugak makcik selesaikan kerja membersihkan kipas comel hari ini tanpa banyak masa yang tertangguh.

Motor kipas dalam 'sarang' kipas. Malas saya nak buka skru, so saya lap sarang tu dengan tisu basah sahaja. Kemudian balas dengan tisu biasa.

Untuk cover dan bilah kipas saya basuh menggunakan air sabun macam biasa. Jenuh jugak nak hilangkan minyak yang dah berkerak selama ini. Tak cukup dengan basuh di sinki saya korek celah-celah cover kipas tu dengan cotton bud pulak. Dah alang-alang mencuci biar bersih sampai puas hati.

Guna cotton bud untuk lap celah-celah cover tu.

Bilah kipas pun dah berkilat.

Alhamdulillah siap... seperti baru.😍

Belakang kipas pun dah bersinar.

Mudah-mudahan kipas bertuah ini dapat kembali berbakti seperti sepatutnya.

Sekian.😊

Lap & Basuh Kipas

Macam dah lama tak update blog. Asyik sibuk memanjang. So hari ini kita up sikit antara asbab kesibukan... mainly sebab sibuk mengemas rumah. Almaklumlah dah tua ni... kudrat pun kurang. Kita buat mana yang urgent dan menyakitkan mata je dulu. Dapat siapkan kerja sehari, kena berehat tiga empat hari. Begitulah...😁

So hari ini kita siapkan basuh kipas berdiri di ruang tamu. Kerja ni pun makan masa dua hari. Semalam saya tanggalkan kipas dari stand, basuh dan jemur. Pagi tadi baru siap pasang semula. 

Siap lap kepala kipas.

Dah siap basuh dan kering.

Siap pasang.

Untuk kipas siling, saya cuma lap pakai batang sapu sawang sahaja. Itupun ambik masa sehari. Nak mengelap tu sekejap je. Lepas tu nak kena vacuum karpet dan mop lantai bagi menghilangkan habuk yang terbang. Kalau sebelum ini saya akan panjat tangga lap bilah kipas dengan kain basah tapi sekarang dah tobat. Makcik gayat.😁 Kadang-kadang saya suruh anak bujang lapkan. Tapi bila mereka dah bernikah kawen terpaksalah kita gunakan apa kudrat yang ada. 

"Kenapa Ummi tak upah orang buat?"  

Selalu jugak anak-anak menegur ummi depa ni. Entahlah... banyak benda saya suka buat sendiri. Hubby dah sediakan a house, I'll make it a home... gitu.😘

Alhamdulillah setakat ini saya masih berupaya. Semoga Allah kurniakan kesihatan yang baik hingga akhirnya. Aamiin.🌹

Sekian. 😊

Thursday, 21 November 2024

Meja troli beroda

Sejak badan rasa berat dan pergerakan pun terhad, tetiba pulak rasa nak cari meja (troli) beroda. Apa lagi, kita browse je apa yang ada kat Shopee. Saya order dua hari lepas, semalam sampai, harini terus nak pasang. 

Malangnya bila buka bungkusan, depa bagi barang sahaja tanpa manual (cara pemasangan). So kita rujuk balik gambar dalam Shopee link dan pepandailah ikhtiar hidup.😁

Gambar rujukan.

Kita lambak dulu semua bahagian atas karpet. Warna putih ialah bahagian bawah tray.

Finally, pasang roda.

Depa include peralatan yang diperlukan.

Hasil kejadian.

Alhamdulillah, mudah saja pemasangannya. Bolehlah buat letak barang-barang keperluan makcik bila berehat melepaskan lelah di ruang tamu. Semoga Allah sentiasa kurniakan kesihatan yang baik untuk kita semua. Aaminn.🌹

Sekian.😊

Friday, 11 October 2024

Masalah paip bocor lagi

Sebelum terbang ke UK pada awal tahun baru-baru ini saya setelkan semua bayaran bil (terkini) Unify, Astro, letrik dan air serta yang lain-lain mengikut masa yang ditetapkan. Semua bil adalah mengikut kadar kegunaan biasa untuk saya dan hubby. Tapi bila melihat bil air yang melambung sehingga melebihi RM1200, memang makcik terkejut beruk. Belum pernah lagi bil air sebanyak itu. 

“Badak berendam ke apa…?”

Saya mula syak ada kebocoran bila tengok meter air masih berjalan walaupun saya dah tutup semua pili air yang ada. Even dah tutup paip utama ke tangki pun meter air masih berjalan dengan laju. Terpaksalah saya main buka-tutup-buka-tutup pili utama di luar rumah. Jenuh pulak nak kena buka-tutup-buka-tutup setiap kali nak guna air. 

Akhirnya saya call SYABAS dan depa bagi beberapa nombor talipon untuk dihubungi. Alhamdulillah respon mereka sangat baik. Esoknya terus depa datang buat pemeriksaan. Akhirnya komfem memang ada kebocoran paip di bawah tanah.

Meter air tetap berjalan laju walau semua paip air sudah di tutup.

Mula-mula depa cuba tutup paip stopcock utama ke tangki atas. Tapi stuck pulak. So terpaksa ganti stopcock baru. Memang sah ada kebocoran paip bawah tanah. Setelah berbincang apa yang patut akhirnya saya bersetuju untuk buat bypass sahaja. Kalau tidak, terpaksa korek lantai mozek untuk mencari punca kebocoran.

Namun, masalah utama adalah saya akan terbang ke London dalam beberapa hari sahaja lagi. Payah jugak kalau dibiarkan paip bocor semasa saya tiada di rumah. Saya pulak kurang percaya kalau orang buat kerja di rumah tanpa kehadiran saya. Almaklumlah makcik ni suka nak mengikuti perkembangan dan hasil kerja depan mata.

Depa buka stopcock yang dah rosak pada paip utama ke tangki (yang berada di atas bumbung)

Pasang stopcock baru., tapi tidak digunakan pun bila buat bypass nanti.

“Akak kena percaya kat kami jelah…” Mudah sangat depa bagi solusi bila saya katakan kemungkinan tidak sempat melihat kerja-kerja mereka kerana saya akan terbang ke UK dalam masa terdekat. Tapi akhirnya atas dasar kepercayaan, maka saya biarkan mereka buat kerja walau dengan berat hati. Padahal boleh je kalau saya nak tutup paip utama selama dua bulan ketiadaan saya. Lepas saya balik nanti baru mulakan kerja-kerja pembaikan. Tapi itulah… dah namanya atas dasar percaya, maka kita percaya sahaja. Saya bayar deposit separuh harga dan depa mula bekerja sehari selepas saya terbang.

Malam, selepas balik kerja, anak no-3 singgah untuk melihat perkembangan hasil kerja mereka siang tadi. Memang banyak cacat-celanya, tidak seperti apa yang dijanjikan. Depa cuma potong batang paip besi pada meter bacaan dan buat sambungan dengan paip PVC dan sambung ikut luar pagar terus ke belakang rumah dan naik ke tangki. Kerja pun nampak sangat tidak profesional dan sloppy. Berdasarkan gambar-gambar yang dihantar oleh anak no-3 saya terus contact pakcik plumber tu dan minta dia ubah dan buat semula apa yang patut. 

“Pasang ikut luar pagar senang sikit kak, kalau ikut dalam banyak nak kena tebuk tebuk…” Begitulah… nak senang kerja depa je, padahal sebelum buat kerja bukan main lagi janji itu ini. Malangnya semua main cakap mulut je, tiada perjanjian hitam putih. Saya pulak lurus bendul, main percaya sahaja konon nak tolong bangsa sendiri. Saya memang panas hati, tapi apa nak di kata, kita berada jauh di perantauan, terpaksalah bersabar dan berpuas hati yang apa yang ada.

Nampak buruk bila ada tunggul besi begitu.

Laluan di luar pagar.

Paip air ke tangki pun di luar rumah…macam bodoh je.

Paip naik melintang di belakang rumah…memang hodoh.

Esoknya, depa repair dan ubah semula kedudukan yang menyakitkan mata saya. Alhamdulillah mereka mengikut arahan tapi depa hanya ubah benda-benda yang mudah bagi mereka sahaja. Paip air itu tetaplah melalui luar pagar, tidak seperti yang dijanjikan. Lagipun jenuh pulak nak ubah laluan paip air dari luar ke dalam pagar. Maka bertabahlah makcik dengan penuh kesabaran.

Depa tebuk dan buat sambungan baru dan letak kepala paip dalam rumah.

Batang paip pun dah disambung mengikut laluan keliling tepi dinding.

Batang paip melalui tepi atas bumbung.

Entahlah… hingga kini saya masih panas hati dengan kerja-kerja mereka. Dan bila bukak paip waktu tengahari, air yang keluar tersangatlah panas kerana melalui paip yang terdedah direct kepada hawa panas mentari. Oleh kerana sinki dapur dan bilik air di tingkat atas menggunakan air direct, maka perlu berhati-hati setiap kali nak buka paip takut air panas melecur terutama bila cuaca panas. Sebelum ini suhu air biasa sahaja sebab paip melalui bawa tanah. 

Tak pasti di mana silapnya. Setiap kali saya berurusan dengan bangsa sendiri, setiap kali jugak darjah kesabaran saya terpaksa ditingkatkan. Apa-apa pun, kita terima sahaja takdir yang kita pilih. Jumlah kos yang dikenakan adalah sebanyak RM2500. Mudah-mudahan Allah gantikan dengan rezeki yang lebih baik. Aamiin.🌹

Sekian.😊

Wednesday, 28 August 2024

Ganti kepala paip

Sejak beberapa bulan ini tekanan air di rumah ini seakan menurun. Air keluar pun macam malu-malu terutama di bilik air tingkat bawah. Untuk shower tiada masalah sebab menggunakan pam. Sinki pun masih okay. Yang jadi masalah besar adalah di bahagian pili. Walau saya sudah ‘keluarkan udara’ dalam paip air, aliran air masih perlahan. Akhirnya saya ambik keputusan untuk tukar sahaja kepala paip bertuah itu. Lagipun dah lama ianya mencurah bakti, sejak dari tahun 2019 lagi. Dan seperti biasa, makcik DIY sahaja. 

Kita cabut paip lama dan biarkan air mengalir keluar dengan laju.

Kepala paip lama.

Siap.

Mudah sahaja kerjanya. Yang penting ada kudrat dan upaya disamping kerajinan dan peralatan yang sesuai. Semoga Allah sentiasa mudahkan urusan kita. Aamiin. 🌹

{Cerita sebelum ini boleh baca di sini dan di sini}.

Sekian.😊

Friday, 9 August 2024

Repair Kebocoran Bumbung/Atap Rumah

Dah lama saya perhatikan tompokan kuning pada siling bumbung area tangga ini. Awalnya sedikit sahaja tapi makin membesar dan merebak hingga hampir memenuhi seluruh kawasan siling. Saya sangat yakin ianya berpunca dari kebocoran atap/bumbung rumah. Dan bila air dah mula turun membasahi ruang tangga setiap kali hujan lebat dan parquet lantai tangga dah mula mengembang maka nak tak nak terpaksalah saya cari tukang untuk tengokkan apa yang patut. Takut pulak semua siling tu runtuh jika dibiarkan.

“Awak carilah orang repair, bajet unlimited…’ Demikianlah adanya. Maka isteri mithali yang paling berhemah dalam berbelanja ini meneruskan kerja-kerja apa yang patut. 

Seperti biasa saya buat carian di Google dan senarai pendek beberapa contractor yang mendapat review yang bagus daripada pelanggan. Saya pernah ada pengalaman kurang menarik dengan para kontraktor sebelum ini maka saya perlu berhati-hati. Akhirnya saya pilih yang paling sesuai untuk menyelesaikan masalah yang ada.

Tompokan air yang kekuningan.

Saya buat temujanji untuk dapatkan quotation. Depa datang seperti yang dijanjikan. Mudah je tengok dia panjat naik bumbung, like a pro kata orang kampung saya.

“Atap elok lagi kak, cuma ada beberapa keping yang pecah kat salur air. Dan ada bocor pada bahagian rabung dan penyambung ke dinding. Ada bocor atas master bedroom. Bla…bla, bla…bla…” Macam-macam dia cerita. Saya percaya sahaja berdasarkan gambar yang dia tunjuk. Mana la kita nak tahu apa keadaan sebenar kat atas bumbung sana melainkan makcik turut panjat naik sekali. 

“Kita akan buka rabung, tambah simen dan letak waterproof. Tempat-tempat yang bocor tu kita ganti zink dan letak waterproof juga…” Begitulah perancangannya. 

Bumbung atas master bedroom.

Valley gutter.

Punca kebocoran pada kawasan tangga.

Pada hari yang dijanjikan depa datang tepat pada masanya. Kontraktor asal tu tak datang. Dia cuma ‘post’ pekerja seramai tiga orang. Kerja-kerja mereka nampak profesional. Depa buka atap dan betulkan apa yang patut sambil update saya melalui whatsapp. Memandangkan kita tak nampak apa depa buat kat atas bumbung itu maka kita tawakkal sahaja sambil melihat gambar-gambar yang depa share.

Tiga orang pekerja mula membuka atap.

Bahagian rabung (ridge) pun dibuka.

Letak roof flashing pada valley gutter.



Letak roof flashing pada sempadan rumah jiran.

Pada hari kedua depa sambung kerja-kerja membuka rabung (ridge), letak simen dan waterproof pulak. Pada hari kedua ini cuaca agak mendung. Elok depa siap kerja-kerja atas bumbung, hujan mula turun renyai-renyai. Saya tak pasti cat waterproof itu sempat kering atau tidak. Kita doakan yang terbaik sahaja.

Rabung (ridge) yang siap dibaiki.

Letak roof flashing di sepanjang bumbung porch.

Akhir sekali baru depa mula mengecat bahagian tompokan pada siling dalam rumah pulak. Alhamdulillah semua bahagian siling (asbestos dan kayu) masih elok. Depa hanya paku semula pada bahagian yang tertanggal, letak undercoat dan cat.

Sapu undercoat dulu.

Depa biarkan undercoat kering selama 30 minit sebelum cat semula dengan warna putih. Untuk cat, ada tambahan pekerja khas untuk bahagian cat seramai dua orang pulak. 

Sapu cat putih.

Biar kering (dalam 30 minit).

Siap.

Alhamdulillah bagus akhlak pekerja-pekerja ini. Berbudi bahasa dan buat kerja dengan teliti, siap sapu, lap semua cat yang menitik dan mop lantai tangga. Semua kerja selesai dalam masa dua hari. Jumlah kos RM6500. 

Semoga Allah gantikan dengan rezeki yang lebih baik selepas ini. Mudah-mudahan tiada lagi kebocoran untuk beberapa tahun mendatang. Aamiin.🌹

{Cerita repair atap/ bumbung sebelum ini boleh baca di di sini}.

Sekian.😊

Singgah Nilai visit Cucu

Hari Khamis minggu lepas hubby ada kerja di Nilai. So sementara menunggu, kita curi masa jalan-jalan di AEON Mall Nilai sambil layan cucu.  ...