Tuesday 28 April 2020

Bunga ros di halaman rinduku

Dalam seminggu ini hampir setiap hari hujan turun dengan lebatnya. Kadang-kadang sebelah pagi, ada masa disebelah petang, kadang-kadang pagi dan petang membawak ke malam. Alhamdulillah berkat hujan rahmat ini pokok-pokok di halaman rinduku semakin segar. Juga berkat limpahan kasih sayang bunga-bunga ros juga menampakkan kesan positif. Pagi ini depa telah mengeluarkan kuntum-kuntum bunga yang mekar mewangi.

Tak tahu nama apa.

Pun tak tahu nama.

Disamping kuntuman bunga yang memekar tu terselit beberapa tunas baru berwarna merah keperangan yang nampak segar. 

Tunas baru yang segar.

Saya ada lima pasu bunga ros. Beberapa dahan lain juga sedang mengeluarkan tunas-tunas baru. Mudah-mudahan depa terus segar untuk menghasilkan kudup-kudup bunga pula. 


Kalau sebelum ini banyak pokok ros saya menjadi arwah asbab kurang penjagaan. Sejak PKP ini banyak juga petua yang saya kutip daripada sahabat group pencinta bunga ros. Sungguh, pokok-pokok bunga mereka segar bugar dan galak berbunga. Antara petuanya, depa letak bawah matahari sekurangnya enam jam sehari, siram dengan air basuhan beras dan basuhan ikan, sembur dengan baja penggalak bunga dan macam-macam petua yang dibawah jangkauan saya. Saya cuma buat yang sesuai dengan jiwa saya sahaja. Malas sebenarnya. Selainnya serah pada alam.

Saya tak pasti samada hasil pemasuan semula menggunakan tanah hitam atau penggunaan baja organik (tahi ayam) yang memberi kesan positif begitu. Atau mungkin juga disebabkan musim hujan yang mencurah-mencurah sekarang ini. Mungkin jugak depa rasa tercabar dengan kedudukan bersebelahan bunga-bunga ros jepun sentiasa galak berbunga. Apa-apa pun saya akan cuba kekal dengan jadual siraman pagi dan petang serta meneruskan penggunaan baja organik seminggu sekali. 

PS: Moga Allah bantu.

Sunday 26 April 2020

Ros asli vs Ros Jepun.

Saya suka bunga ros. Walaupun kata orang bunga ros ni manja, saya tetap mencuba nasib. Hingga kini dah banyak pokok bunga ros yang menjadi arwah dalam 'jagaan' saya. Tapi saya tetap tidak menyerah kalah. Setiap kali pokok bunga ros mati, saya akan ganti yang baru. Oleh kerana kita main cuba jaya sahaja tanpa proper training, masih ada juga pokok yang mati. Hingga kini yang tinggal cuma 4 pasu sahaja. Namun saya masih cuba memberi sepenuh kasih sayang kepada beberapa pokok yang tinggal dan berazam selepas ni saya tidak akan cari pengganti lagi. Sehinggalah pada suatu hari ada sahabat menghadiahi beberapa batang pokok bunga ros Jepun. Kata orang kalau malas nak jaga pokok bunga ros boleh saja ganti dengan pokok ros Jepun. Sejak dari itu saya mula berjinak-jinak dengan penanaman pokok ros Jepun pulak. Alhamdulillah sangat menjadi. Daripada beberapa batang sahaja kini ia membiak menjadi beberapa pasu dengan rimbunan bunga yang cantik. Ada tiga warna semuanya, pink, oren dan purple.

Cepat sahaja membiak di bawah sinar mentari yang terang. Bercampur campur dengan rumput rampai di halaman rinduku.

Malangnya bunga ros Jepun ni hanya mekar sekali dalam masa tertentu sahaja iaitu dalam pukul 10 pagi hingga 2 petang. Pada masa yang lain semua bunganya menguncup dan layu. Jadi kalau hari tu saya keluar awal pagi dan balik lewat petang, maka tak dapatlah menikmati keindahan bunganya. 

Pink, warna favourite saya.

Alhamdulillah sepanjang musim PKP ni saya dapat membelai dan menikmati bunga-bungaannya setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga pukul 2 petang. Oleh kerana pokok ni memerlukan cahaya matahari yang banyak maka saya letak dalam pasu yang ala-ala tergantung supaya senang nak alih mengikut kedudukan matahati nanti. Setakat ini saya letak bersebelahan dengan pokok ros biasa untuk memberi semangat agar depa juga turut sama berbunga segar.

Alhamdulillah sangat mudah dijaga. Hanya perlu letak di bawah sinaran matahari dan siram pada sebelah pagi dan petang.

Walaupun bunga ros Jepun ni semangat berbunga namun hati dan jiwa saya masih tetap dengan ros biasa. Walaupun memerlukan banyak masa dan tenaga serta berkorban perasaan, saya tetap memberi sepenuh kasih sayang kepada saki-baki pokok bunga ros yang tinggal. Saya lebih suka pokok bunga ros sebab bunganya tahan lebih lama dan boleh dinikmati bila-bila masa sahaja. 

Baru-baru ni saya order tanah online Shoppee. Oleh kerana depa cuma ada stok tanah kuning maka saya ambik sahaja apa yang ada. Saya order 10 bungkus tanah kuning (berat 2kg setiap bungkus) dengan harga RM0.90 sekilogram. Jumlah kos tambah kos penghantaran jadi RM38. Saya menunggu hampir 2 minggu untuk pesanan tiba. Sampai sahaja tanah depan rumah saya terus memulakan operasi pemasuan semula. Saya masukkan tanah kuning tu dalam setiap pasu bunga ros yang ada dengan harapan depa akan subur semula. Selepas seminggu depa cuma mengeluarkan beberapa pucuk hijau (sepatutnya merah-merah) dan kudup bunga yang tak berapa segar. Saya buat carian google, rupa-rupanya pokok ros suka tanah hitam. Oleh kerana saya dah letak tanah kuning tu dalam pasu maka terpaksalah tambah tanah hitam semula. Alhamdulillah saya masih ada stok tanah baja hitam sebelum ini. Maka bertungkus lumuslah saya mengerjakan pemasuan semula sebab nak siapkan sebelum masuk bulan Ramadhan hari tu. Selepas seminggu baru mula nampak pucuk muda berwarna merah dan nampak segar. 

Kudup dah mula kembang.

Ros kampung katanya. Beli kat Keramat AU, RM20 sepasu.

Tak tahu nama apa. Pemberian seorang sahabat. Dia semai sendiri.

Tak tahu ID. Tak ingat beli kat mana dan berapa harga. Tapi the only one yang dapat bertahan lama.

Semua nampak letih tidak bermaya.

Tertanya-tanya pulak, adakah kerana sekarang ini musim hujan, menyebabkan pokok rosku tidak berapa segar... Hmm... entahlah. Ada sahabat add saya dalam grup pencinta ros di fb. Mulalah makcik nak bertukar ijo bila tengok keindahan pokok-pokok ros orang lain yang segar bugar kembang mewangi.... 😂

PS: Mudah-mudahan pokok-pokok bunga ros ni terus subur sebab saya dah berazam tidak akan menambah apa-apa koleksi pokok bunga ros lagi selepas ini. (Boleh percaya ke)

Monday 20 April 2020

Kek Pisang @ Cekodok bakar.

Saya jarang masak kuih. Tapi kalau keluar shopping dan nampak barang masakan tersusun cantik kat atas rak tiba-tiba sahaja datang bermacam-macam idea nak masak itu, ini. Tapi bila dah balik rumah dan simpan semua barang dalam kabinet, terus lupa. Lepas tu perasaan nak memasak kuih tu menghilang begitu sahaja. Tapi sejak PKP ni ligat pulak otak mencari idea untuk beraktiviti di dapur bagi mengelakkan pembaziran. Dan bila suatu pagi bangun tidur nampak ada tiga biji pisang yang dah masak layu maka makcik pun lecekkan dia untuk buat jemput-jemput.

"Umi buat cekodok ke?"

Alahai tak best pulak bunyi cekodok. La ni orang asyik sebut welcome-welcome. So makcik pun terus tukar plan. Makcik pecahkan 3 biji  telur, campak dalam blender, tambah setengah cawan gula perang dan setengah cawan minyak jagung. Lepas tu masukkan pisang yang dilecek tadi. Blend sampai kembang dan likat.... kek pisang in the making.


Untuk lebih profesional kita catatkan proper resepi sebagai panduan di masa depan.

Mula-mula panaskan oven 165 darjah celcius. Lepas tu sediakan tin pembakar.

Bahan utama:
3-5 biji pisang masak layu dilecek hingga lumat. Tambahkan 1/2 sudu teh garam dan 1/2 sudu teh esen vanila dan 3 sudu gula.

Bahan A: Ayak bersama.
1 1/2 cawan tepung gandum
1 sudu teh soda bikabonat
1 1/2 sudu teh baking powder

Bahan B: Masuk dalam blender.
3 biji telur
1/2 cawan minyak jagung atau lain-lain
1/2 cawan gula perang atau gula kastor
Blend semua dalam blender sampai kembang dan sebati. Lepas tu tambahkan pisang lecek dan blend lagi hingga likat dan halus (smooth). Lepas tu tuang dalam tepung yang dah diayak tadi. Gaul hingga sebati. Bakar dalam oven selama 45 minit. 

Siap...

"Cekodok bakar ke Umi?" Hmm... apa-apalah anak oii. Yang penting licin. Alhamdulillah tiada pembaziran.

***Kalau nak buat cekodok welcome welcome, tak perlu ada bahan B. Cuma gunakan bahan utama dan bahan A. Masukkan tepung sedikit sedikit ke dalam pisang lecek sambil digaul hingga adunan sebati. Goreng dalam minyak yang banyak.

PS: PKP day 34. Moga Allah bantu.

Friday 17 April 2020

Covid 19: Berkebun selagi boleh.

Sejak outbreak corona virus Covid-19 ni kerajaan arahkan kawalan pergerakan (Perintah Kawalan Pergerakan, PKP) untuk tempoh 18-31 Mac 2020 bagi fasa pertama. Sebelum pengumuman tu saya dah buat planning untuk upgrade halaman rinduku. Tetiba terasa nak tanam pokok ciku dan durian belanda. Saya dah pernah tanam pokok-pokok tu masa mula-mula pindah ke sini dahulu tapi semuanya jadi arwah sebab kurang penjagaan. So kiranya kali ini nak memberi peluang kedua pulak. Maka sehari sebelum penguatkuasaan bermula, saya keluar mencari pokok, tanah serta baja. Seperti biasa saya shopping pokok-pokok di Haji Nursery yang terletak di sebelah MRR2, sebelum exit ke Greenwood. Malangnya masa saya pergi Pak Aji dah balik kampung dan cucunya yang biasa menolong tu pun tak ada. Yang ada hanya seorang student praktikal sedang menyiram pokok-pokok yang ada. 

"Saya budak praktikal je kak. Masih tak kenal sangat nama-nama pokok ni..."

Terpaksalah saya batalkan niat nak berguru dengan Pak Aji yang baik hati itu. Dan terpaksa pulak berlegar-legar sendiri mencari pokok yang dihajati. Alhamdulillah depa ada stok pokok ciku. Dah agak besar pokoknya. Tinggi hampir satu meter. Dia bagi harga RM25 sepohon. Kira jadilah. Malangnya depa tak ada stok pokok durian belanda. So terpaksalah pergi ke plan B pulak. Kebetulan hari masih awal maka saya singgah di nursery pokok berdekatan dengan UIA Gombak pulak. Selalu jugak saya singgah sini masa balik kerja dahulu. Alhamdulillah depa ada stok pokok durian belanda. Agak besar juga, harga RM20 sepohon. Saya tambah beli tanah dan baja sekali.

Petang tu terus tanam kat tanah. Tak pasti samada saya sempat merasa hasilnya atau tidak tapi kita tanam sahaja. Untung-untung nanti boleh tinggalkan untuk anak cucu. Itupun kalau depa masih ada budaya kampung. Nampak macam depa lebih suka makan anggur dan strawberry je.

Pokok ciku.

Pokok durian belanda.

Sejak PKP, saya tak dapat nak keluar cari barang keperluan kebun. Apabila PKP disambung lagi untuk fasa kedua dan ketiga, saya hanya mampu menjaga pokok-pokok yang ada sahaja. Biasanya setiap bulan saya akan buat pemasuan semula untuk pokok-pokok yang perlu. Jadi saya order tanah secara online dari Shoppee. Dah buat bayaran apa semua dan depa janji nak hantar dalam masa dua tiga hari. Rupa-rupanya selepas dua minggu baru tanah tu tiba depan pintu. Sabo jelah.

Oleh kerana PKP disambung lagi maka makcik pun meneruskan projek pemasuan  semula dengan gumbiranya. Alhamdulillah.

PS: Stay at home. Moga Allah bantu.

Wednesday 8 April 2020

Covid 19: Roti naan in the house.

Sejak PKP ni dah masuk kali kedua saya mencuba roti naan homemade. Resepi asal daripada blog siraplimau.com. Saya modify sikit untuk kemudahan makcik yang tak berapa rajin ini. Alhamdulillah setakat ini it's getting better.

Resepi asal
3 cawan tepung gandum
1 sudu besar yeast kering (saya guna mauripan)
1 sudu besar gulas pasir
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil baking powder
3 sudu besar minyak (saya guna minyak jagung)
1 1/4 cawan air suam

Campur semua bahan dan uli sebati. Saya uli pakai tangan sahaja. Tak uli beriya pun. Hanya ramas-ramas biar semuanya sebati. Jangan risau kalau tangan agak melekit-lekit. Tak perlu tambah tepung. Bila dah rasa semuanya dah sebati biarkan dalam mangkuk dan tutup dengan kain tuala kecil. 

Biar je walaupun doh nampak tak licin.

Tunggu doh naik sekali ganda. Dia ambik masa dalam 30 minit sahaja. Selagi belum naik dua kali ganda jangan usik doh. Biarkan lama sedikit. Sementara tu bolehlah sediakan bahan untuk buat kuah cicah nanti. Saya biasa buat kari ayam sahaja. Modify sikit-sikit biar rasa ala-ala kari mamak.

Kari ayam tanpa santan. 

Lepas doh dah naik dua kali ganda bolehlah dikepal-kepal jadikan bebola. Sukahati nak buat sebesar mana. Boleh nak biarkan depa kembang semula. Kalau tak sabar, boleh terus canaikan atas papan pencanai atau atas apa sahaja yang sesuai.

Bebola dah kembang semula.

Sekiranya masih melekit boleh sapukan tepung pada tangan dan batang penggelek. Tambah je sebanyak mana yang perlu supaya doh tidak melekat. Jika suka boleh tambah cheese atau garlic dalam doh sebelum dicanai. 


Bakar atas kuali dengan api sederhana. Tutup kuali biarkan depa naik dengan cantik. Selepas 3 minit, buka penutup dan balikkan. Biarkan hingga masak.

Naan in the making.

"Sedapnya Umi masak. Rasa macam kat kedai..." Hmm... iyelah. Dah namanya pun musim PKP. Sedap ke tak sedap, terpaksalah makan je apa umi masak.


Lebihan doh tu, kalau ada, boleh sambung buat pizza base pulak. Letak je apa-apa topping lepas tu bakar dalam oven.

PS: Covid 19. Stay at home. Moga Allah bantu.

Sunday 5 April 2020

Covid 19: PKP, ketua rumah in action.

Sejak keluarnya arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan disebabkan wabak Covid-19, baru dua kali saya keluar membeli barang keperluan rumah. Hingga hari ni PKP dah masuk fasa kedua. Fasa pertama bermula pada 18-31hb Mac 2020. Ingatkan by bulan April dah boleh setel semua masalah. Rupa-rupanya wabak makin merebak dan gomen terus perketatkan PKP untuk fasa kedua bermula 1hb April hingga 14hb April 2020 pulak.

Semasa PKP semua kena duduk rumah sahaja. Hanya boleh keluar rumah jika ada keperluan mendesak sahaja. Kalau nak keluar pun wajib pakai topeng muka dan tak boleh berkumpul. Kena jarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain. Dan hanya ketua rumah sahaja yang boleh keluar rumah untuk beli barang keperluan. Alhamdulillah saya tiada masalah dengan arahan gomen ini sebab saya memang tergolong dalam manusia yang suka duduk rumah. 

Masa first time nak keluar beli barang keperluan hari tu tetiba pulak topeng muka habis stok dan tiada dalam pasaran. Merata-rata saya cari tapi tidak berjumpa. Maka terpaksalah kita jadi kreatif dan ambik kain jahit sendiri. Memang la tak menepati syarat kesihatan tapi asalkan menepati syarat memakai topeng muka maka kita tawakkal sahaja.

Pakai jelah apa yang ada walaupun buruk benor ghupenya.


Oleh kerana gomen tak syaratkan siapa yang patut jadi ketua rumah, maka seperti biasa saya yang akan ke depan dalam perihal rumah dan keperluannya. So saya yang akan keluar beli barang sebab rasa tak puas hati kalau tak boleh pegang, belek dan tilik sendiri. Awalnya nak beli barang di supermarket tapi terbantut bila melihatkan ramainya orang beratur di luar pintu masuk, terus batalkan niat. Parking pun takde maka kita terus ke kedai runcit sahaja. Kedai runcit di sini dikenali dengan nama kedai Acheh. Depa jual pelbagai barang basah dan barang keperluan harian secara runcit. Alhamdulillah di kawasan perumahan saya ni ada empat kedai Acheh ditambah dengan kedai KK Mart, Speedmart dan Seven 11. Setakat nak cari barang dapur tu Insya Allah takde masalah.

Segala jenis ikan untuk stok.

Siap basuh untuk di simpan dalam peti sejuk.

Potong siap-siap untuk diblend.

Setelah beberapa hari mencari secara online dan melalui grup wassup maka akhirnya dapat beli topeng yang sepatutnya. Depa jual RM100 untuk 50 keping. Memang terasa mahal tapi dalam keadaan sekarang kita tak perlu banyak bunyi. Kita capai sahaja apa rezeki yang ada. 

Akhirnya dapat mask

Dah dapat proper mask barulah confident nak keluar rumah. Esoknya terus in action. Of courselah nak kena tambah barang-barang basah. So kita ke kedai runcit sahaja.

Feeling better, tapi sedikit ketat, sakit telinga pulak.

"Minta maaf kak, kita dah tak potong. Tak dibenarkan." Aduhai... beriya saya ambik ikan dan ayam nak buat stok. Maka terpaksalah asah balik skill menyiang ikan dan memotong ayam. Alhamdulillah masa kecik dulu saya biasa tolong nenek buat kerja-kerja dapur. Thanx to arwah nenek yang sentiasa melayan saya dengan baik.


Ayam dan ikan yang segar.

Siap.

Sedia untuk simpanan walau habis muka makcik bersisik.

Sepanjang musim covid ini saya terus memegang peranan sebagai ketua rumah. (Untuk keluar rumah beli barang). Membeli barang basah memang sudah menjadi tugas asasi saya. Sekali sekala saya akan bergilir dengan bujang sulongku untuk keluar beli barang-barang kering di pasaraya. 

PS: Of course ada lagi the bigger boss yang jadi banker. Saya tukang cucuk dan swipe sahaja. Moga Allah bantu.

Ganti hose paip air (bidet spray)

Hari ini kita sambung kerja-kerja di bilik air pulak. Kebetulan hubby ajak keluar lunch di Melawati Mall, ayuhlah kita singgah beli barang d...