Showing posts with label Projek projek projek. Show all posts
Showing posts with label Projek projek projek. Show all posts

Tuesday, 21 January 2025

Cerita Mesin Jahit

Minggu ini saya memulakan projek menjahit baju mak pengantin untuk kenduri kahwin puteri bongsuku. Sebenarnya bukan rajin sangat pun. Tapi dek kerana susah sangat nak mencari baju siap yang sesuai dengan body nenek yang luar-biasa ini maka terpaksalah kita paksa-rela rajinkan diri. Dan hari ini elok sedap menjahit, tiba-tiba pulak mesin stuck, tak bergerak. Jenuh pulak saya cuba jaya, bukak segala skru yang ada dan pakai topi engineer in action. 

Mesin jahit ni dah lama. Bila dicongak, tolak, tambah rupa-rupanya dah hampir 20 tahun usianya. Saya beli semasa masih di rumah Selayang lagi. Dah banyak jasanya dalam menjahit baju saya dan anak-anak. Sekarang ini dengan lambakan baju pelbagai fesyen yang mampu milik saya pun semakin malas nak menjahit kecuali bila perlu sahaja.

Projek tergendala sebentar.

Bukak bahagian bawah dulu... tengok apa yang patut.

Semua nampak okay.

Bukak bahagian bobin pulak... hmm semua pun macam okay.

Bahagian 'penyambung' ke bahagian operasi jarum mesin.

Sambil itu saya sembur dengan WD-40 di mana perlu. Namun ianya masih stuck, keras tak bergerak walaupun enjin mesin macam takde masalah. Dalam kepala saya mula berkira-kira dengan beberapa plan tindakan. Yang penting baju mak pengantin harus disiapkan dalam minggu ini juga. Dan paling penting saya harus kekal tenang…

Sambil melihat mesin jahitku dengan pandangan sayu saya mula mencari (Google) kedai/orang yang boleh repair mesin jahit dalam masa yang singkat. Kebetulan saya ada janji-temu mengeteh dengan kawan-kawan Gojezes, saya letak tepi dulu masalah mesin jahit bertuah itu. Saya keluar jumpa kawan, sembang borak sambil makan. On the way balik saya singgah kedai hardware beli minyak mesin sebagai jalan terakhir. Sampai sahaja di rumah saya terus sambung aktiviti baik-pulih yang tergendala sebelum ini.

Minyak mesin RM4.50 sebotol.

Dengan penuh kesabaran saya buka penutup mesin dan titiskan minyak di celah-celah penyambung besi dan semua bahagian yang berputar. Masih dalam mood cuba jaya, saya pasang semula wayar, pasang penutup dan skru.

Pasang semula penutup bahagian bobin.

Alhamdulillah mesin jahitku kembali bergerak seperti biasa. Mudah-mudahan saya sempat menghabiskan jahitan baju mak pengantin untuk dipakai pada hari bersejarah nanti. Aamiin.🌹

Sekian.😊

Thursday, 21 November 2024

Meja troli beroda

Sejak badan rasa berat dan pergerakan pun terhad, tetiba pulak rasa nak cari meja (troli) beroda. Apa lagi, kita browse je apa yang ada kat Shopee. Saya order dua hari lepas, semalam sampai, harini terus nak pasang. 

Malangnya bila buka bungkusan, depa bagi barang sahaja tanpa manual (cara pemasangan). So kita rujuk balik gambar dalam Shopee link dan pepandailah ikhtiar hidup.😁

Gambar rujukan.

Kita lambak dulu semua bahagian atas karpet. Warna putih ialah bahagian bawah tray.

Finally, pasang roda.

Depa include peralatan yang diperlukan.

Hasil kejadian.

Alhamdulillah, mudah saja pemasangannya. Bolehlah buat letak barang-barang keperluan makcik bila berehat melepaskan lelah di ruang tamu. Semoga Allah sentiasa kurniakan kesihatan yang baik untuk kita semua. Aaminn.🌹

Sekian.😊

Friday, 2 August 2024

Pasang rak buku tambahan

Selepas selesai mengemas kawasan hall tingkat atas untuk dijadikan study area, tiba-tiba terasa perlukan lagi rak buku untuk menyusun semula buku-buku yang ada. So saya order satu rak buku via Shopee yang sesuai dengan keluasan ruang yang ada. Haluih sahaja ruangnya, so rak buku yang sesuai pun haluih juga.

Kebetulan hubby ada meeting di Kelana Jaya, maka saya gunakan masa untuk me-time sambil buat kerja. Mudah sahaja pemasangannya. Semua peralatan telah tersedia. Saya cuma perlukan kudrat dan kesabaran sahaja.

Sebelum.

Kayu dan papan rak dari dalam bungkusan.

Skru dan screw driver.

Cara nak sambung atas bawah.

Siapkan bahagian atas dahulu.

Bahagian bawah pulak.

Skru penyambung untuk bahagian atas dan bawah.

Penyambung.

Siap.

Alhamdulillah siap kerja-kerja makcik sambil kita memasak, buat laundry dan lain-lain rutin kerja rumah. Semoga Allah kurniakan kesihatan yang baik sehingga akhirnya. Amiin.🌹

{Cerita sebelum ini boleh baca di sini}.

Sekian. 😊

Sunday, 14 July 2024

Bidai & Langsir belakang dapur

Lepas siap kerja-kerja membetulkan awning belakang rumah yang bocor baru-baru ini saya minta depa pasangkan bidai pulak. Saya beli bidai secara online. Of courselah anak no-2 dan no-4 yang menjadi orang tengahnya. Saya hanya share Shopee link, transfer duit dan tunggu sahaja bidai sampai depan rumah. Saya bayar upah pasang RM20 untuk satu bidai. Saya minta depa pasangkan bidai keliling porch tepi rumah sebanyak 6 keping. Total caj RM120. Reasonable jugak harganya sebab saya tak payah nak panjat naik turun tangga seperti sebelum ini.

Bidai bahagian porch tepi.

Kawasan bucu belakang dapur.

Untuk bahagian belakang dapur saya pakai kain langsir sahaja. Saya kutip langsir-langsir lama yang masih elok untuk kegunaan semula. Saya potong, modify dan jahit semula apa yang patut. Lepas tu saya sumbat dengan batang besi langsir yang lama dan sangkut dengan hook ‘S’ pada wayar mesh. Seperti biasa kita panjat naik turun tangga untuk kerja-kerja menyangkut langsir. Jenuh jugak nak menyiapkan kerja-kerja menyangkut ni sebab makcik semakin tua semakin gayat. Langsir dalam pelbagai bentuk dan warna pun tak jadi hal. Kita berjimat cermat selagi boleh. Yang penting dapat menjaga aurat dari pandangan luar. 

Langsir blackout untuk kawasan pintu keluar masuk dapur utama sementara langsir separuh untuk bahagian dapur memasak kedua.

Langsir kuning biasa untuk kawasan laundry dan menjemur pakaian.

Begitulah makcik menghabiskan masa di rumah. Apa sahaja yang boleh dibuat sendiri kita usahakan selagi terdaya. Apa-apa pun, sekiranya ada yang tak puas di mata dan di hati selepas ini, kita setelkan kemudian. Setakat ini kita berpada sahaja dengan apa yang ada. Semoga Allah merahmati kita semua. Amiin. 🌹

{Cerita bidai belakang dapur sebelum ini boleh baca di sini}.

Sekian.😊

Sunday, 30 June 2024

Pasang jaring hitam di pintu belakang.

Walaupun kawasan belakang dapur ni ditutup litup dengan wire mesh tapi saya masih merasakan orang boleh nampak dari luar. Awalnya saya gantung langsir terpakai tapi suasana menjadi agak gelap sebab langsir blackout. Hari ini kebetulan ada lebihan masa untuk menghilangkan rasa tidak enak itu maka saya selongkar stor tepi rumah mencari solusi. 

Sebelum.

Selepas.

Terdapat lebihan jaring hitam yang saya guna sebagai teduhan anak-anak pokok di laman sebelum ini. Semuanya masih elok dan boleh digunakan lagi. 

Jaring plastik, gunting dan pengikat.

Dan dengan kudrat yang ada saya panjat tangga dan ikat jaring plastik pada keliling frame pintu. Agak rumit kerjanya kerana terpaksa naik turun tangga dan betulkan pengikat pada frame pintu. Alhamdulillah berkat kesabaran, semua kerja siap dalam masa 30 minit. Mudah-mudahan aurat lebih terjaga dan kita sentiasa terpelihara dari pandangan yang tidak baik.  Amiin.🌹

Sekian.😊

Monday, 20 May 2024

Bangku Dapur

Sejak anak-anak sudi melayan saya bershopping online ni ada saja barang yang sampai di rumah. Tak kira barang kecil atau besar, semua saya pilih dan beli secara online. Jimat masa dan tenaga. Tapi biasanya saya akan tengok-tengok secara fizikal bila terjumpa di mana-mana. Lepas tu kita sabar dulu sebelum nak cari secara online. Bila dirasakan ianya satu keperluan, baru saya browse via Shopee, click link dan hantar je pada mana-mana anak untuk proses seterusnya. Dah siap order baru saya transfer duit bayaran pada mereka. Lepas tu kita tunggu je barang tiba dalam masa sehari dua. 

Baru-baru ini saya order bangku duduk untuk kegunaan di dapur. Boleh buat duduk dan panjat memanjat. Penghantaran sangat cepat. Barang tiba dalam masa dua hari sahaja.

Bungkusan selamat tiba.

Depa bubble wrapped.

Cukup semua item.

Walau arahan dalam bahasa yang tidak difahami, kita main agak-agak sahaja.

Pastikan screw cukup.

Pasang satu-satu.

Siap.

Alhamdulillah, lepas ni bolehlah melepaskan lelah bila penat berdiri lama. Mudah-mudahan lebih rajin di dapur. Amiin.🌹

Sekian.😊

Sunday, 18 September 2022

Upgrade belakang dapur: Buat tembok 2 kaki

Setelah tercapai persetujuan maka kerja-kerja upgrade belakang dapur pun bermula. Mula-mula depa datang untuk bina tembok setinggi 2 kaki di bahagian depan laluan ke laman belakang. Pembinaan tembok ni ambik masa dua hari.

Hari pertama (Isnin, 28hb Ogos 2022) depa hantar pasir, simen dan batu-bata setambun kat belakang rumah. Alhamdulillah rumah kami di hujung jalan so tidak mengganggu laluan jiran. 

Susun batu- bata dulu.

Kerja-kerja ikat batu-bata.

Siap sebelah.

Siap lagi sebelah.

Siap letak simen dan biar kering.

Hari kedua (Selasa, 30hb Ogos 2022) depa datang untuk pasang skirting bahagian bawah tembok. Saya guna tile yang ada sahaja... korek dari stor. Dah siap skirting baru depa cat dinding tembok.

Pasang skirting bahagian bawah tembok.

Tembok is done. Abaikan keadaan ampaian baju itu.

Alhamdulillah kerja-kerja buat tembok siap dalam masa dua hari sahaja. Lepas ni kita tunggu kerja-kerja seterusnya. Moga Allah bantu.🌹

Friday, 10 September 2021

Jahit sarung ironing board

Dah beberapa kali saya dok menung menengok rupa sarung ironing board ni. Sejak mula pkp dulu sidia ni asyik terperap sahaja. Tapi sejak dah setel dua dos ni kita  pun memulakan aktiviti gosok menggosok semula. Lagipun dah banyak masa untuk diisi hinggakan baju tidur dan baju basahan di rumah pun hendak digosoknya.

Maka pada suatu hari yang tenang kita pun mula berfikir-fikir untuk menggantikan dengan sarung yang baru. Asalnya nak beli kat shopee tapi penat pulak nak scroll. Banyak sangat pilihan sampai berbulu biji mata. Akhirnya kita cari kain je kain yang boleh recycle. Alhamdulillah masih ada kain langsir anakanda masa belajar di UIAM dulu. Dah hampir 10 tahun tersimpan namun masih elok. So kita gunting dan jahit sendiri.

Kesian tengok rupa sarung yang dhaif itu.

Kita buka dan bentangkan.

Bentangkan langsir dan gunting kain langsir mengikut saiz sarung ironing board yang lama. Allow basi 1 inci keliling kain.                

Terbalikkan kain dan kelim keliling kain dengan jarum peniti.

Sedia untuk dijahit pakai mesin atau pakai tangan.

Sarung ironing board is done.

PS: Dah lama juga tidak menjahit so kita mulakan balik aktiviti jahit menjahit. Mesin jahit pun dah lama terperap so kita start enjin… Selagi boleh berjimat apa salahnya.😊
Moga Allah bantu.🌹

Kenduri Besan di Ampang dan kenduri Rakan Sekolah di Ulu Langat

Sabtu 4hb Oktober 2025 Hujung minggu adalah hari untuk pergi kenduri. Namun ada juga undangan yang tidak dapat dipenuhi. Biasanya setiap kal...