Monday 27 March 2017

Pasang awning pasang tile

Dah lama saya dok bercadang nak pasang awning dan letak tile di kawasan tepi rumah ni. Rumah kami menghadap matahari naik. Suasana akan jadi sangat panas terutama di waktu tengahari. Kalau hujan lebat akan jadi lopak pulak sebab air hujan yang turun dengan deras dari atas bumbung.

Berangan dalam hujan.

Maka saya pun berkira-kira dengan bajet yang ada. Saya sediakan plan tapak serta ukuran dan spesifikasi bahan yang diperlukan. Panggil kontraktor untuk dapatkan sebutharga. Ada sorang yang saya puas hati dengan hasil kerjanya sebelum ini. Depa dah pasang tile kat bawah pokok mangga saya belakang rumah. Memula tengok quotation dia tu agak terperanjat jugak. Melampau benar. Kos simen dan konkrit RM2950 tambah kos upah pasang dan beli tiles RM 5350, jumlah semua RM8300.
Sebut harga 1: RM8300

Ada lagi sorang pernah repair salur air bilir air kami yang tersumbat. Tapi biasa lah depa ni boleh buat macam-macam kerja. Katanya pasang tile pun boleh. So saya panggil untuk second opinion. Depa bagi sebut harga lump sum RM4800 dan saya pun malas nak tahu apa perinciannya. Yang penting depa memenuhi semua spesifikasi saya.
Sebut harga 2: RM4800

Setelah berbincang ngan hubby, sudah semestinya kami pilih yang lebih murah. Nampak beza RM3500 daripada kedua-dua sebut harga itu. Barang-barang yang akan digunakan pun tentulah sama je. Jadi kenapa perlu bayar lebih. Maka setelah bersetuju dengan harga dan tarikh mula kerja depa minta RM1500 untuk beli barang-barang. Tapi masa tu saya cuma ada RM800. Alhamdulillah depa senang hati je terima deposit apa yang ada. Sehari kemudian saya tambah lagi RM1000.
Depa pasang konkrit dulu.
Tunggu foundation simen kering.
Pasang tile siap dalam masa 3 hari.

Kerja-kerja depa nampak kemas dan mengikut spesifikasi. Depa siapkan kerja dalam masa 5 hari. Selama itu depa tak minta apa-apa bayaran tambahan. Lepas dah siap semua baru saya langsaikan bayaran penuh berbaki RM3000 tunai. Saya suruh depa kira semula.

"Takpe lah kak. Kami percaya kat akak"

Alhamdulillah, berkat kesabaran selama ini Allah mudahkan urusan saya. Seperti biasa pantang nampak kawasan kosong mesti ada nak letak pokok-pokok berpasu. So, semasa suasana teduh pada pagi dan petang hari pasu-pasu yang ada akan digerakkan ke sana ke sini mengikut kesesuaian tempat. Konon sebagai senaman, sampai naik lenguh pinggang angkat pasu sorang-sorang. Setakat ni belum puas hati lagi nak letak tang mana tah pasu-pasu tu. Biarlah dulu, nanti ada kelapangan pasu-pasu itu akan berubah tempat lagi.

Sebelum tu saya pasang tile bawah pokok mangga belakang rumah tu. Kawasan bawah pokok tu dah jadi gondol dek kerana rimbunnya dedaun mangga itu menyebabkan rumput tak cukup cahaya untuk berfotosintisis. Makanya kawasan bawah pokok tu menjadi tersangat lecak apabila waktu hujan. Dan percikan air hujan besalut tanah pun mengotorkan lantai porch belakang dapur saya. Hubby asyik gelakkan saya sebab pasang tile kat situ. Katanya tak pernah ada orang pasang tile macam tu. Hmmm..... apa nak dikata, kalau itu boleh membahagiakan saya, mohon pasrah jelah ye..... :) Kos pemasangan tile kat sini RM3500.

Bakal port nak main dengan cucu nanti.....


PS: Things slowly filling my nest again.....


Sunday 26 March 2017

Apakah?

Seperti biasa saya akan singgah di kedai runcit pabila pulang dari sekolah. Beli lauk pauk untuk di masak buat makan malam nanti. Biasanya saya akan beli terus bekalan untuk dua tiga hari.

Baru ni saya beli daging, ayam, ketam, kepala ikan merah dan cencaru. Cukup stok untuk 3 hari. Sambil menunggu tokey kedai menyiang ayam dan ikan tu Nina pi beli jagung rebus. Kami pakat makan dalam kereta. Lepas habis makan jagung tu saya terus start enjin bawa kereta balik rumah.

"Nina angkat semua barang tau....."

Saya terus meninjau 'tapak pembinaan' tile baru saya tu. Dah lama saya bercadang nak letak awning dan tile kat tepi rumah ni. Alhamdulillah berkat usaha dan kesabaran akhirnya impian terlaksana. 

"Eh! mana ayam?"

"Umi ambik ke?"

"Hmm....."

Sah-sah dah tertinggal kat kedai runcit tu. Macamana la boleh sampai terlupa macam tu. Tu la pasal asyik bergelak-ketawa dalam kereta tadi sampai terlupa nak ambik barang-barang basah tu. Padahal sambil makan jagung cup je pun. Tapi jagungnya memang sedap. Cukup lemak manisnya. Kuahnya pun banyak, dah ala-ala bubur jagung pulak.

So terpaksalah saya keluar semula ke kedai runcit tu. Alhamdulillah masih lagi dikurniakan Allah rasa sabar dengan kesilapan sendiri. Cuma terfikir sejenak. Mungkin simpton-simpton penuaan semakin menular dalam diri ini. Mudah-mudahan Allah tetapkan saya di atas jalanNya yang lurus sehingga berakhir dengan husnul khatimah.


PS: Peringatan Allah itu datang dalam berbagai rupa....



Uri dan berpantang

Saya tak pernah tengok macamana rupa sebenar uri. Saya hanya tengok sekali lalu apabila doktor sahkan semua uri dah selamat keluar selepas baby lahir. Sejak anak pertama lagi semua urusan uri hubby yang buat. Saya pun tak pernah tanya apa dan bagaimana pengakhiran uri-uri itu. Yang saya tahu semua uri tu selamat ditanam di tempat yang sepatutnya. Iman's di bawah pokok mangga belakang rumah Taman Koperasi Polis. Hidayah's di bawah pokok bunga ros kat UK. Mun'im's di bawah pokok epal, juga kat UK. Amin's bawah pokok pisang kat Taman Batu. Nina's terpaksa di tanam di bawah tiang lampu depan rumah sebab rumah kami kat Selayang tu dah tak ada tanah sebab hubby dah tambah kawasan dapur hingga ke belakang rumah. Lepas tu arwah mak mertua saya tanam lengkuas kat situ supaya selamat dari diselongkar binatang. 

Apabila cucu sulung saya lahir tetiba pulak saya yang excited nak kisahkan pasal uri ini. Setakat ilmu yang ada, saya tak pernah tahu apa ajaran Islam tentang urusan uri. Rasanya orang Melayu sahaja yang ada adat tertentu dalam menguruskan uri ini. Tak sempat pulak nak berguru dengan arwah nenek saya dalam bab ini.


Alhamdulillah selepas cucu saya selamat dilahirkan pihak hospital serahkan bungkusan uri tu secara automatik. (Sebab kami orang Melayu. Kalau bangsa lain depa akan tanya dulu kot samada nak terima atau tidak). Boleh je kalau kita tak nak ambik uri tu. Tapi tak sampai hati pulak. Mungkin sebab darah Melayu yang mengalir dalam badan saya tu masih ada rasa untuk menghormati adat. Tapi tidaklah sampai "biar mati anak jangan mati adat". Jadi, untuk tidak mencampur-adukkan adat Melayu dan ajaran Islam saya pun buat lah setakat kefahaman dan kemampuan saya.

Buka bungkusan ikut arahan seperti yang depa bagi. 

Ukur kedalaman lubang. 

Baca Bismillah, lepas tu letak je uri kedalam lubang. 
Timbus dan siram air supaya tanahnya kejap.

Saya juga tidak ada pantang tertentu yang diamalkan selepas bersalin. Cuma saya akan pastikan dapat bertungku dan mandi air herba untuk beberapa hari sejurus selepas bersalin. Saya agak indepedent. Tungku bakar sendiri. Air mandian herba/akar kayu pun rebus sendiri. Rutin saya selepas mandi dan bertungku, ialah pakai barut perut. Ikat ketat-ketat. Lepas tu baru boleh sarapan. Makan nasi panas-panas dengan sup kambing/ayam/tulang dan ikan kering goreng. Jangan lupa tabur serbuk lada hitam dan ulam halia muda. Alhamdulillah saya amalkan setiap kali bersalin daripada anak sulung hingga anak bongsu. Yang paling utama, wajib sabar dan tabah sepanjang masa serta dapatkan sokongan hubby dalam apa jua keadaan. Serta panjatkan doa kepada Allah sentiasa.

Saya tidak pernah memaksa apa-apa rutin berpantang untuk puteri saya sebagaimana tiada orang pernah memaksa saya sebelum ini. Saya cuma berikan petua dan nasihat sebagai orang tua. Samada depa nak ikut atau tidak terserah  kepada budi bicara masing-masing. Untuk hari-hari pertama selepas bersalin saya bakarkan batu tungku. Batu tungku warisan zaman saya dulu dah diperturunkan kepada puteri saya. Asalnya arwah mak mertua saya bawa balik dari Kelantan. 

Bakar batu tungku. (abaikan stove yang berminyak tu)

Saya juga sediakan air mandian herba dan akar kayu. Anak menantu saya dah beli siap-siap kat kedai jamu. Saya tolong rebuskan saja. Herba dan akar kayu tu boleh je beli di mana-mana kedai jamu. Biasanya saya tambah air dan rebus semula setiap hari. Buat air mandian setiap pagi. 

Rebus dalam periuk tebal. 

Lepas dua hari di rumah saya, puteri saya dapat sponsor dari pusat postpartum care untuk tinggal di sana selama seminggu. Lepas tu balik semula ke rumah saya selama seminggu lagi sebelum balik ke rumah besan saya pulak untuk dua minggu. Lepas tu balik semula ke rumah saya sepanjang cuti sekolah baru ni sebelum pulang ke rumah mereka sendiri. Diam tak diam, sedar tak sedar puteri saya dah habis pantang. Dan cucu saya pun dah bulat debab.

Usia 42 hari.

PS: “Sebenarnya bagi mendapatkan anak soleh dan solehah, pasangan ibu bapa harus memainkan peranan. Mereka berdua haruslah menjaga kelakuan, makanan dan minuman anak anak serta memastikan halal, bukannya di mana dan bagaimana uri ditanam,” kata Dr. Anisah (Link)

Friday 24 March 2017

Yang mendengar cerita saya.

Nenek saya suka bercerita. Alhamdulillah sejak kecil saya boleh menjadi pendengar yang baik. Banyak cerita pengalaman pahit manis kehidupan nenek menjadi pedoman buat saya hingga kini.

Saya juga suka berkongsi cerita. Bercerita dan mendengar cerita. Seingat saya sejak kecil pulang dari sekolah nenek akan setia menunggu untuk mendengar cerita saya. Dan nenek adalah pendengar baik. Saya akan ada banyak cerita. Semua benda yang berlaku adalah penting bagi saya. Dan tabiat ini telah menurun pada anak-anak perempuan saya, terutama yang kedua. Mereka akan sentiasa ada cerita untuk dikongsi dengan saya. Walaupun kadang-kadang ada gosip yang mereka rahsiakan, saya biarkan saja. Saya bukanlah mak-mak yang suka sibuk nak korek rahsia. (Alhamdulillah naluri ibu dalam diri saya sentiasa dapat merasa sekiranya ada cerita yang mereka cuba rahsiakan). Sooner or later cerita itu akan keluar juga. 

Saya juga suka menulis. Pada masa-masa yang tiada sesiapa untuk mendengar cerita saya, saya akan abadikan cerita dan luahan rasa dalam diari. Saya hanya menulis cerita biasa dari kehidupan harian saya yang biasa-biasa juga. Sekiranya ada yang luar biasa, biarlah ianya  tersimpan menjadi rahsia jauh di sudut hati saya. Sebab kata orang, 'Some things are better left unsaid'. 



Antara diari pemberian anak-anak saya.

Namun sejak anak-anak dah mula membesar dan meninggalkan rumah, saya banyak bercerita dengan pokok-pokok di halaman dan kebun saya. Juga dengan kucing-kucing yang selalu bertandang ke rumah saya. (Simpton empty nesters gamaknya) 

Sejak berleluasanya penggunaan hubungan cyber, ramai orang dah mula kurang bercakap. Masing-masing sibuk dengan suara-suara bisu dalam grup cyber masing-masing. Dan saya pun mula merindui nenek yang sentiasa bercerita dengan saya tanpa rahsia, yang sentiasa mendengar keluh kesah dan cerita saya, yang sentiasa menerima dan menyayangi saya tanpa syarat.  Saya rindu detik-detik nenek semangat bercerita tentang kehidupan sambil saya mencabut uban nenek di petang hari. Saya juga rindu detik-detik saya menggobek sirih nenek sebab nenek takde gigi nak kunyah. Pasrah je nenek kunyah dan telan walaupun sirih tu tak lumat sebab tenaga kanak-kanak saya tak cukup kuat nak gobek sirih tu betul-betul. (Cucu yang baik konon sibuk nak berbakti tolong gobekkan sirih neneknya.....)

Gobek sirih (Gambar google)


PS: Sentiasalah mengenang detik-detik indah supaya kita sentiasa ceria.....



Ubat stress.....

"Kak Mas stress ke? Nampak Akak sibuk mengemas...."

Tak sangka pulak ada yang perasan saya sibuk-sibuk mengemas bilik guru terutama semasa musim ujian dan peperiksaan. Sebelum cuti pertengahan semester baru ni sempat jugak saya mengemas, menyisih dan membuang apa yang patut. Biasanya apabila saya penat menanda kertas ujian atau kertas peperiksaan murid saya akan alih minda dengan mengalih barang-barang apa yang terlintas depan mata. Nak kata saya stress sebab menanda kertas tu mungkin ada betulnya. Almaklumlah tak semua murid kita mendapat keputusan seperti yang kita harapkan. Kadang-kadang apabila tengok result yang kurang memberangsangkan terpaksalah break sekejap. Sambil mengemas sambil berfikir cara-cara untuk meningkatkan kefahaman mereka. 

Kalau di rumah saya sentiasa utamakan kawasan dapur. Kalau stress atau bersedih saya akan duduk di dapur bersendirian. Ala-ala escape room gitu. Kalau perlu menangis saya akan menangis sorang-sorang sambil buka paip air. Saya akan biarkan air paip mengalir bersama airmata saya. Saya akan kemas dan susun semula perkakas dapur sambil berfikir dan menghisab diri. Walaupun saya suka duduk di dapur, saya tidak memasak. Saya tak pernah suka masak. Saya hanya memasak cukup untuk keperluan makan keluarga sahaja. Tidaklah saya pernah mengada-ngada cuba resepi baru bagai. Cipta resepi jauh sekali. Memasak bukan passion saya, bukan skill saya, bukan hobi saya. Bagi saya adalah suatu rahmat kalau hubby ajak makan kat luar. Kalau lah memasak itu pra-syarat seorang isteri mithali, sah-sahlah saya bukan calonnya. Walaubagaimanapun apabila saya memasak saya akan pastikan menu itu sentiasa penuh dengan kasih sayang. (^-^)

Sejak zaman muda hingga zaman veteran (tak sampai hati nak mengaku tua) Alhamdulillah saya boleh mengawal stress dengan cara yang sihat. Benda utama yang saya lakukan apabila berhadapan dengan situasi stress ialah diam. Jangan cakap apa-apa. Saya suka memegang prinsip silent is golden. Diam, tenang, sabar dan bertabah....


PS: Lain padang lain belalang. Lain orang lain cara menangani stresnya.....



Thursday 23 March 2017

Baby tak berak.....

"Umi, normal ke baby tak berak tiga empat hari?"

Hmm..... saya pun dah lupa baby tak berak tu normal ataupun tidak. Pada saya asalkan dia tak nages meragam maksudnya takde masalah lah kot. Pengalaman saya biasanya punca baby saya menangis ada tiga je.

1. Lapar. So saya bagi je susu. Saya menyusu badan penuh. Sangat memudahkan hidup saya. Biar dia menyusu sampai kenyang. Lepas tu burb. (Pastikan dia sendawa). Kalau dia tak nak menyusu mungkin ada sebab lain.

2. Perut kembung. Saya sapu minyak Telon dan urut perlahan-lahan supaya perutnya lembut. Buat sampai baby kentut. Bau kentutnya memang memberi aroma yang menyesakan nafas. Itu normal. Bertabahlah. Kalau perutnya dah sedia lembut tak perlu urut beriya-iya. Sapu je minyak Telon tu sambil usap perlahan-lahan.

3. Tak selesa. So kena tengok lampin/nappy/diapers dia. Kalau dah lenjun salin cepat-cepat. Eloknya mandikan terus. Biar dia berendam dalam bathtub. Pastikan air mandian tu suam. Mandi sangat memberi keselesaan kepada baby. Lepas tu sapu losen dan bedak wangi-wangi. Pakaikan baju cantik-cantik. So kalau semua yang diatas tu dah buat tapi tak berkesan boleh terus bawa dia pi klinik/hospital. Biar doktor pakar yang tengok apa masalah sebenar.

So, normal ke tidak baby tak berak. Pada saya, normal provided baby tu menyusu badan penuh. Sebabnya zat susu ibu tu diserap sepenuhnya oleh badan baby yang debab tu. Menyebabkan takde benda nak keluar melalui usus. Hanya keluar melalui kencing sahaja. So, asalkan baby kencing banyak, tak perlu risau kalau dia tak berak.


PS: Baby menangis dan meragam itu adalah lubuk pahala seorang ibu. Bersabar dan bertabahlah. Semoga penat lelah menjaga anak itu menjadi asbab kepada ibu-ibu untuk masuk syurga Allah. Amin.



Monday 20 March 2017

Hmm.....

Weekend hari tu teman hubby pi program USIM. Depa buat kat Melaka. Seperti biasa saya hanya teman perjalanan sahaja. Bertolak dalam kol 7.00 pagi, tiba hotel dalam  kol 9.15 pagi. Hubby terus pi join program depa. Saya terus masuk bilik. Kunci bilik semua dah ready sebab sepatutnya check-in petang sebelum tu. Dan sebenarnya sempat lagi nak join breakfast pagi tu sebab breakfast buffet service 7.00am - 10.00am. Tapi malas lah pulak sebab dah berhenti sarapan pulut ikan masin ngan teh tarik kat Hentian Serdang sebelum tu. Pastu tambah lagi bekal sebungkus nasi kerabu.

Rupa-rupanya depa bagi bilik famili dengan satu katil double dan dua katil single. Sayang pulak tak bawa anak-anak sekali. Hajat asalnya saya nak bawa depa sekali untuk teman umi semasa hubby ada program. Kebetulan Hidayah pun balik bercuti. Boleh pusing-pusing Melaka lagi walaupun dah bercuti-cuti Melaka hari tu. Tapi kesian pulak sebab depa nak kena join hari sukan sekolah esoknya. 

Maka beruzlah lah saya sensorang kat bilik sementara menunggu hubby break untuk makan tengahari. Boleh kosongkan minda dan jiwa dari kesibukan rutin harian selama ini. (sekosong bilik famili ni pulak.....)

Looking at the bright side, Alhamdulillah sempat lah berehat dan bermalas-malas untuk seharian sambil melihat pemandangan (bangunan) sekeliling bilik hotel dari tiga penjuru tingkap, sambil menghabiskan novel sambil meneguk beberapa cawan kopi..... (pathetic, haha...)





PS: Rasa macam pelik pulak duduk sensorang begitu. Rupa-rupanya dah lama saya tidak peruntukan masa untuk diri sendiri.....



Wednesday 8 March 2017

Rambutan Sulung.

Setelah beberapa lama membelai dan membaja akhirnya pokok rambutan saya dengan megahnya mengeluarkan buah sulung. Bukan main excited tengok buah-buah yang mula memerah. Tak sempat-sempat buah tu nak masak ranum dah sibuk nak petik. Mentang-mentang pokoknya renek sahaja. Sambil lalu sahaja dah boleh petik buahnya.
Tuaian sulung, walaupun rambut masih hijau. Nampak benor gelojoh.
Tak sabar menunggu gugusan ini masak ranum.
Elok je dahan tu mencecah bumbung kereta. 
Sian rambutan tu hari-hari kena hentam ngan bumbung unser tu

Tak sangka pulak pokok keding ni mampu menghasilkan buah yang sempurna. :)
Alhamdulillah.....setakat ini cukup lah untuk dikongsi anak-beranak.

  Klik untuk cerita tahun lepas.


PS: Mudah-mudahan rambutan ni akan terus mengeluarkan hasil yang boleh dikongsi dengan orang lain.

Sunday 5 March 2017

Sakit belikat.

Entah kenapa sakit belikat sebelah kiri ni masih berlarutan sejak bulan lepas. Sakitnya datang tak tentu masa. Kadang-kadang berdenyut secara tiba-tiba macam bekas kena tumbuk. Kadang-kadang sakitnya menjalar hingga ke lengan macam sakit urat. Kadang-kadang rasa kebas hingga ke pergelangan tangan. Saya cuba letak minyak panas dan urut-urut sendiri. Rasa lega apabila sendawa. Kata orang mungkin sebab urat bersimpul kat bawah belikat tu menyebabkan  darah tak jalan dengan betul. Akibatnya tangan akan rasa kebas. Urat bersimpul juga menyebabkan angin berkumpul kat kawasan tu sebab itulah rasa berdenyut-denyut. 

"Saka la tu Umi...." Anak bujang saya tak habis-habis dengan teori sakanya.

Bagi memuaskan hatinya tentang teori itu saya pun bertanya seorang Ustaz. Dari cerita saya ustaz tu simpulkan teori saka tu mungkin betul. Dia ada cadangkan satu klinik kat Setapak yang boleh berubat jarak jauh. Tak tahulah bila saya nak pergi. Macam takde masa je. 

Baru-baru ini Alhamdulillah saya berkesempatan pergi berurut. Bila tengok balik rupa-rupanya dah lebih dua tahun saya tidak berurut satu badan. Last urut dalam tahun 2014. Kata orang bila kita mula berurut kena selalu berurut. Macam regular terapi gitu. Patutlah badan asyik jam sana-sini. Tambah pulak dengan usia dah separuh abad plus dah naik pangkat nenek pulak, sah-sah lah body maintenance patut ditingkatkan.

"Badan ni nak pakai lama. Kena la rajin jaga....." Saya selalu ingat pesan nenek saya. 

Badan kita ni kan macam mesin, kalau tak jaga lama-lama guna akan jadi besi buruk. Kena ada regular service and maintenance. Yang musykilnya walaupun selepas berurut masalah sakit belikat saya masih belum selesa. Sakitnya masih datang tak tentu masa cuma tidak terlalu berat. Alhamdulillah saya masih boleh bertahan dengan cara sendiri. Biasanya apabila sakit tu menyerang saya akan duduk bersandar pada tempat yang lembut dan urut perlahan-lahan. Selepas beberapa ketika ianya akan beransur pergi. 

PS: Apa-apa pun saya masih KIV untuk melawat klinik kat Setapak tu.

Ganti hose paip air (bidet spray)

Hari ini kita sambung kerja-kerja di bilik air pulak. Kebetulan hubby ajak keluar lunch di Melawati Mall, ayuhlah kita singgah beli barang d...