Showing posts with label Tentang kebun. Show all posts
Showing posts with label Tentang kebun. Show all posts

Sunday, 15 December 2019

Memokok lagi

Seminggu dua ini hati dan perasaan asyik melekat di halaman rinduku sahaja. Setiap pagi dan petang saya akan berlama-lama di daerah itu. Maka banyaklah cacat cela yang ternampak di mata. Daripada pokok-pokok yang harus ditrim, rumput rampai yang harus dicabut, ruang halaman yang masih kosong dan perlukan pemurnian dan penambahbaikan, melarat hingga ke pasu-pasu yang masih kosong dan perlu diisi dengan pokok baru. 

Maka pada suatu pagi yang tenang saya ke Haji Nursery, yang terletak di MRR2 sebelum exit ke Greenwood, Batu Caves. Pukul 9.30 pagi saya dah terpacak depan pintu kedai sebagai pelanggan pertama sebaik sahaja depa bukak kedai. Saya suka beli pokok-pokok di situ sebab Pakcik penjual tu sangat ramah dan tidak lokek dengan tips yang berguna untuk kemenjadian pokok yang ditanam. Banyak tips yang dia bagi namun bergantung kepada kerajinan dan ketekunan kita, samada nak ikut atau tidak. Setakat ini banyak je yang saya abaikan, lepas tu meroyan pokok-pokok tak segar bagai diidam.

Hajat asal hanya nak beli tanah dan pokok-pokok untuk buat flower bed  sahaja. Tapi biasalah... bila dah nampak pokok-pokok yang segar-segar kat nursery bunga, mata pun mula rambang. Tapi kuatkan semangat... beli yang perlu sahaja. Akhirnya saya ambik juga dua pasu pokok bunga kertas dan sepasu pokok kemboja putih berserta tujuh pot bunga jasmin untuk flower bed dan lapan beg tanah serta baja pokok.

Pokok bunga kertas dan kemboja penuh seat kereta..

Penuh bonet.

"Sapa tolong Umi?"

Haruslah Umi yang power. Angkut segala pokok dan tanah sensorang hingga terlupa kudrat dah nak senja. Alhamdulillah tiada sebarang cedera parah. Sakit pinggang dan lenguh lutut sikit-sikit tu perkara biasa asalkan hati bahagia.

Transit dulu sementara menunggu hari teduh.

Sebaik sahaja hari mula teduh maka bermulalah projek pemasuan dan tanam semula. Bunga kertas tu saya letak dalam pasu supaya mudah nak alih tempat mengikut arah cahaya matahari  yang berubah-ubah nanti. Rumah saya menghadap matahari naik tapi sentiasa berubah arah dari tepi kiri hingga kanan. Oleh kerana pokok-pokok depan rumah saya dah mula membesar dah menghalang cahaya maka saya terpaksa mengalih pokok-pokok yang memerlukan sumber cahaya maksimum kesebelah kiri atau kanan pagar. 


Pokok bunga kertas selamat menambah di hujung barisan.

Kemboja putih berbatang lembut, saya letak sederet dengan pokok bunga melur sedia ada. 

Projek asalnya adalah memindahkan pasu-pasu pokok lidah jin ke tempat baru dan gantikan kawasan asal tu dengan pokok baru. Niat nak buat ala-ala flower bed tapi macam tak menjadi pulak sebab kucing kat rumah ni sibuk mengorek tanah buat jamban baru depa. Maka kita berpada jelah dengan apa yang ada. Mudah-mudahan pokok bunga jasmin yang ditanam dapat hidup subur walau terpaksa berkongsi kawasan dengan tinja kucing bertuah tu. 



Seperti biasa, urusan pemasuan dan penanaman pokok tidak sah kalau tak usik pasu-pasu sedia ada. Dah alang-alang menggunakan tulang kerat kita kerahkan segala kudrat yang berbaki. Selepas selesai urusan pemasuan, saya alih dan susun semula kedudukan pasu bunga ros pulak. Kata orang, pokok bunga ros ni manja. Mungkin sebab itulah depa tak berapa nak subur ditangan saya yang hanya pandai siram dan letak baja sahaja. Nak manja memanja tu payahlah sikit.

Tempat baru untuk bunga ros yang terhalang cahaya dek pokok pinang depan rumah.

Tempat asal bunga ros yang dah lompong. 

Alhamdulillah semua urusan selesai dalam masa sehari. Puas hati makcik menikmati hasil usaha sendiri. Kind of me-time, gitu. Mudah-mudahan semuanya hidup subur dengan penuh kasih sayang.

Wednesday, 8 November 2017

Mangga

Seperti selalu apabila pulang dari sekolah saya akan meninjau persekitaran rumah melihat pepohonan yang tumbuh segar sekeliling rumah saya. 

Sejak musim hujan dua tiga minggu kebelakangan ini pepohonan sekitar rumah saya sangat lebat berdaun. Tumbuh menghijau memenuhi impian suasana kehijauan saya. Terutama pokok mangga siam belakang rumah yang sangat galak mengeluarkan daun dan pucuk baru. Namun di sebalik dedaunan yang rimbun tu hanya terdapat beberapa biji buah mangga sahaja. Mabuk daun gamaknya. Setiap kali bersembang mesti pertanyaan pertama saya ialah "bilalah hang keluaq buah banyak-banyak?"

Suatu hari di sebalik kehijauan itu tetiba ternampak ada pulak makhluk hitam bersarang. Kelam-kabut saya dibuatnya sebab takut sarang tebuan. Tapi nampak bentuk tu ala-ala sarang lebah. Terus dalam hati berbunga lepas ni boleh lah makan madu lebah asli. Macam la pandai sangat nak mengusahakan madu asli. Walaupun saya berasal dari kampung tapi takde lah mencapai makam ilmu setinggi itu. Mengenangkan keburukan lebih banyak daripada kebaikan maka saya terus decide untuk tebang je pokok mangga tu. 

"Selamat daripada sarang lebah. Jimat masa dan tenaga nak menyapu daun-daun yang gugur. Jimat tenaga nak kena trim pokok tu selalu. Lagipun setakat nak makan buah mangga boleh beli je." Begitulah kata-kata yang bermain dalam kepala saya.

Nampak macam ada sarang lebah.

Saya pun cari orang yang boleh tebang pokok mangga tu. Saya google dalam mymudah.com. Depa suruh hantar gambar pokok sebab nak buat quotation. Penuh semangat saya hantar gambar sebab nak cepat-cepat buang sarang lebah tu takut merbahaya kalau dibiarkan lama-lama. Untuk pokok sebesar tu depa minta RM350. Kalau nak cuci dan sapu sekali kena tambah lagi RM150. Jumlah RM500. Hubby menyokong saja. Tapi dah elok berjanji nak datang tiba-tiba batang hidung pun tak nampak. Ala-ala janji Melayu gitu. Janji nak datang tapi tak datang. Beriya-iya saya menunggu. Dah bersiap sedia dengan wang tunai RM500. Nasib baik saya belum bayar apa-apa. Bukan rezeki depa nak dapat duit tu. Dan juga belum sampai ajal pokok tu nak menyembah bumi. Begitulah perancangan Allah.

Daun lebat hingga mencecah lantai.

Dengan penuh kesabaran saya bincang semula ngan hubby. Akhirnya decide tak payah tebang pokok tu. 

"Suruh orang trim sahaja. Boleh kekalkan teduhan di rumah. Lagipun itukan hasil green finger awak. Penat-penat tanam dah besar gajah pokok tu tak kan nak tebang begitu sahaja". Lebih-kurang gitulah nasihat hubby terchenta. 

Maka esoknya balik dari sekolah saya singgah kat pondok pakgad nak tanya kot-kot ada sesiapa kawan-kawan dia buat servis potong pokok. Terus sahaja depa datang petang itu juga.

"Kakak cakap saja apa buat, semua saya buat........"
"Termasuk cuci sekali?"
"Ya la...."
"Berapa bayaran?"
"Berapa berapa la. Kakak bayar saja...."

Alhamdulillah sekejap saja depa buat kerja potong-potong dahan tu. Lepas tu depa bakar sarang lebah tu. Lepas tu potong dahan-dahan dan angkut pi buang kat mana tah.

Dah terang

Penampakan di celahan daun.

PS: Mudah-mudahan lepas ni boleh merasa hasil tanaman bersama mereka yang tersayang.

Wednesday, 7 June 2017

Ke kebun Pisang pulak....

Dah lama saya tidak membelek pokok-pokok pisang kat tepi rumah ni. Sejak saya ubah pokoknya ke hujung laman saya biarkan aje ia menguruskan hidup sendiri. Asalnya ada dua pohon sahaja. Saya tanam sebelah menyebelah (walaupun sepatutnya kena buat jarak yang sesuai). Pertama kali berbuah saya potong tandan dan ambik buahnya untuk diperam. Alhamdulillah dapatlah dibuat pengat, dibuat pisang goreng, buat cekodok dan agihkan kepada kawan-kawan. Tapi saya tak tebang pohonnya. Malas pulak. Lagi pun penat nak angkut buang batang pisang tu. So saya biarkan aja batang tu memburuk dan mereput sendiri. Bila pokok yang kedua tu berbuah, saya biarkan aje pisang setandan tu di pokoknya buat rezeki tupai yang selalu bertandang. Kebetulan pulak tandan pisang tu menjulur ke luar pagar lagi la saya malas nak kisah. Selang beberapa hari tandan pisang tu dah kena potong. Tak tahu siapa yang ambik pisang tu tapi saya anggap sedekah je lah. Lagipun mereka dah memudahkan hidup saya tak perlu nak fikir pasal buah pisang tu lagi. 

Sejak musim hujan baru-baru ni nampak banyak pulak anak-anak pokok pisang tu tumbuh di sekitar perdu induk yang dah memburuk tu. Benarlah kata nenek saya, pisang ni memang mudah dijaga. Depa tak menyusahkan kita. Tanam, lepas tu tunggu je buahnya keluar.

Dan pagi tadi semasa saya melawat kawasan pisang tu, Subhanallah banyak pulak keluar tandan-tandan pisang walaupun pohonnya macam hidup segan mati tak mahu. Semua pokoknya kurus keding tak tahulah mampu ke tidak menahan tandan pisang yang mula mengeluarkan buah tu.
Pisang apatah..... Alhamdulillah nampak segar.

Yang ni pun tak pasti pisang apa. Baru keluar 2 sikat.

Ini sah-sah nak bagi orang ambik. Elok je ia menjulur ke luar pagar.

Ajaib eh!!!!... keluar ikut batang pulak.

"Takpe ummi, nanti kita panggil surat khabar. Ambik gambar pisang ajaib ummi tu....." Ish, ish, ish memandai je anak bujangku.


PS: Sungguh, saya tak pernah tengok pisang berbuah di batangnya sebelum ini. Ajaib ke? Entah lah...



Wednesday, 31 May 2017

Anai-anai di lamanku

Sejak beberapa minggu lepas koloni anai-anai semakin membiak di halaman rindu rumah ni. Asalnya saya tambah beberapa keping rumput karpet pada kawasan yang dah mula gersang. Tak sangka pulak orang nursery tu jual rumput karpet yang ada anai-anai. Dah susun-susun kat laman baru nampak anai-anainya. Dan tak sangka pulak anai-anai tu cepat benor membiaknya. Awalnya saya biarkan aje depa nak menumpang cari makan asalkan tidak mengganggu gugat keharmonian hidup saya. Rupa-rupanya spesis makhluk perosak ni tak boleh diberi muka. Suka hati pulak depa buat terowong kat pangkal pokok-pokok tanaman saya. Mula-mula depa bina terowong kat pokok mangga epal, lepas tu pokok delima seterusnya pokok rambutan. Apa lagi, saya kikis semua terowong kat pangkal pokok-pokok tu dan korek sampai ke dalam tanah. Alhamdulillah depa dah tak kacau dah pokok-pokok tu.

Tapi sejak hujan asyik mencurah-curah sejak akhir-akhir ni kelihatan terowong anai-anai semakin banyak kat bawah rumput dan sekitar pasu bunga saya. Risau pulak takut depa korek bawah rumah dan cari jalan untuk naik atas rumah pulak. So hari tu saya call beberapa pest control. Mak aih..... boleh tahan juga depa bagi sebut harga. Ada yang cecah sampai RM2000!!! Sebulan gaji ambe tuh! Makna kata, untuk pencegahan sementara ni saya DIY beli racun anai-anai kat kedai hardware dulu. Bancuh je racun tu dalam baldi dan siram kat mana-mana tempat yang disyaki. Agak leceh juga sebab nak kena berjaga-jaga dengan keselamatan diri sendiri.
Ikut je arahan kat label tu. RM14 sebotol.

Tiba-tiba dua hari lepas, saya perasan koloni anai-anai tu buat terowong kat pokok mangga siam pulak. Cepat betul depa bina terowong tu. Depa dah panjat sampai ke pucuk. Apa lagi.... saya panjat dan kikis semua terowong tu. Habis jatuh bergelimpangan semuanya. Gemuk-gemuk montel belaka. Harapannya depa tak buat terowong baru. Rupa-rupanya tak serik lagi. Hari berikutnya depa bina terowong baru sampai ke pucuk juga. Memandangkan tanahnya pun masih basah lagi, saya tak perlu panjat dan kikis. Memadai siram dengan air pancut daripada bawah sahaja. Habis bertepek-tepek terowong anai-anai tu jatuh ke lantai. Lepas tu saya tuang racun terus dari botol kat pangkal pokok tu. Malas nak bancuh dengan air. Saya biarkan racun tu larut bersama air simbahan tadi. Alhamdulillah tengok hari ni dah takde dah terowong baru. Harap-harap depa serik nak mai sini lagi. Lepas ni nak kena bersihkan kawasan bawah pokok tu pulak. Kikis tanah, sapu daun dan basuh lantai mozek tu. Hmm.....sabo jelah.


Kesian tengok batang pokok manga ni. Habis luka-luka kesan terowong anai-anai. Lepas saya kikis tanah-tanah yang tinggal tu saya siram dengan air. (Dalam hati berdoa supaya lukanya tak pedih kena air....haha)

Bangun pagi hari ni terasa kesegaran selepas hujan semalam. Hari ni mood melawat laman. Sambil tabur baja organik kat pasu-pasu bunga sambil menikmati bunga-bungaan yang mula segar.

Kemboja putih. 

Pokok selasih. 
Lepas ni nak petik biji buat sirap bukak posa.

Bunga mahkota berduri

Bunga alamanda di celah-celah ranting kemuning.

Bunga raya jenis apatah tah. Lupa pulak.

Teratai yang tunduk malu-malu.

 Roses....

PS: Ramadhan Kareem.....menyedut udara segar di pagi Ramadhan yang ke 5 hari ini. Dalam kepala dah bersarang macam-macam projek sempena cuti sekolah ni....:)  

Wednesday, 8 March 2017

Rambutan Sulung.

Setelah beberapa lama membelai dan membaja akhirnya pokok rambutan saya dengan megahnya mengeluarkan buah sulung. Bukan main excited tengok buah-buah yang mula memerah. Tak sempat-sempat buah tu nak masak ranum dah sibuk nak petik. Mentang-mentang pokoknya renek sahaja. Sambil lalu sahaja dah boleh petik buahnya.
Tuaian sulung, walaupun rambut masih hijau. Nampak benor gelojoh.
Tak sabar menunggu gugusan ini masak ranum.
Elok je dahan tu mencecah bumbung kereta. 
Sian rambutan tu hari-hari kena hentam ngan bumbung unser tu

Tak sangka pulak pokok keding ni mampu menghasilkan buah yang sempurna. :)
Alhamdulillah.....setakat ini cukup lah untuk dikongsi anak-beranak.

  Klik untuk cerita tahun lepas.


PS: Mudah-mudahan rambutan ni akan terus mengeluarkan hasil yang boleh dikongsi dengan orang lain.

Wednesday, 23 November 2016

Akhirnya tumbang jua.....

Dah beberapa orang dok komen pasal pokok depan rumah saya ni. Depa kata cantik. Tapi bahaya sebab besar sangat. Takut akarnya membesar nanti lama-lama pecah lantai rumah saya. Saya akui itu. Silap saya juga pi tanam dalam pagar rumah. Sepatutnya tanam kat luar pagar. Tapi sebab saya suka sangat tu yang tanam kat dalam pagar. Setiap hari keluar dan balik kerja pokok itu lah yang saya tegur dulu. Agaknya hasil limpahan kasih sayang saya menyebabkan ia galak membesar dengan cepatnya. Dalam masa 5 tahun dah melonjak naik mencapai bumbung rumah.
Sejak ia membesar begitu saya dah berangan nak letak meja dan kerusi batu kat bawah pokok tu. Buat port untuk berehat dan minum petang. Kadang-kadang berangan nak gantung buaian boleh berayun petang-petang. Anganan yang asyik berubah-ubah, hanya dia dan saya saja yang memahami....:( 

Tapi bak kata orang kita hidup bermasyarakat, kenalah akur dengan keluh kesah mereka. Akhirnya saya ambil keputusan untuk tebang pokok kesayangan saya itu sebelum apa-apa yang lebih buruk berlaku. Lagi pulak sekarang ni musim hujan ribut, angin menderu-deru..... kang tumbang, rosak pulak rumah jiran-jiran.

Masa awal pindah rumah ni dulu saya pernah ambik servis sorang pakcik ni untuk potong pokok. Berbaloi dan sangat puas hati. Sayang, saya dah terlupa nombor talipon dia. Puas saya cari tak jumpa. So saya pun google cari service potong pokok. Rata-rata agak mahal. Pastu kena sewa lori pulak. So saya pun upah pakcik yang biasa potong rumput tu. Dia minta saya bayar seikhlas hati. Bila saya congak-congak semua seikhlas hati saya setuju bayar RM300. Dia ajak sorang lagi kawan untuk tolong punggah semua sisa pokok tu. Depa tak pakai mesin. Redah pakai parang dan gergaji sahaja. 
Depa start potong dahan-dahan dulu.

Dah nampak macam penyangak pulak. Lagak nak mengintai anak dara orang. Saya nak snap gambar dekat-dekat pun segan, takut kang terperanjat jatuh ke tanah pulak.


Lepas potong dahan, depa punggah semua guna tulang empat kerat juga. Heret dahan-dahan tu pi buang kat hutan mana tah. Risau pulak saya tengok.

"Kakak jangan risau. Ini pokok saya kasi potong, kasi buang semua kirija saya. takda sewa lori, itu mahal, kita kirija, upah ada kongsi-kongsi....." Apa-apa la labu, yang penting kerja siap.

Togel, dah tinggal batang.

Last sekali depa tebang batang pokok tu guna parang, potong pendek-pendek. Lepas tu pikul sorang sikit pi campak buang. Sapu bersih semua sisa yang tinggal. Melihatkan hasil kerja yang depa buat tu tak sampai hati pulak nak bagi RM300 sahaja. So hubby top-up lagi RM100 sebagai sedekah katanya. Mudah-mudahan Allah ganti rezeki yang lebih baik.

@@@@@

Saya tak pernah tahu apa nama sebenar pokok ni. Menurut Google namanya pokok tadah doa...
Awal kehadirannya.....
Dulu: Teduh, tenang dan damai...
Kini: Kosong, kosong, kosong...... 

@@@@@

Setiap kali balik rumah automatik saya akan melihat kesan tinggalan pokok tadah doa itu. Setiap kali juga rasa terkilan datang menerpa.....
Bila tah nak buang tunggul ni...

Tinggal kenangan....



PS: Apa-apa pun hidup mesti diteruskan.....
      

Wednesday, 28 September 2016

Pokok Durian Pulok.....

Tiba-tiba sahaja hubby bawa balik anak pokok durian. All the way from Kelantan. Terdiam sejenak saya memikirkan kat mana pulak la nak letak pokok durian ni. Dua batang pulak tuh. Adoi.... Selama tinggal kat kawasan perumahan ni tak pernah lagi nampak ada pokok durian kat tepi rumah mana-mana penghuni. 

"Ambik jelah 2 batang. Kalu mati satu ada satu lagi...."


Kisahnya ada kawan hubby dok promote dalam grup whatsapp sekolah depa dulu-dulu. Katanya pokok durian ni baka renek dan boleh berbuah dalam masa 3 tahun. Hmmm... Entah lah. Cuak pulak saya.

 


Nak tak nak terpaksalah cari tapak yang agak jauh dari dinding rumah. Keliling pagar rumah saya dah penuh dengan pokok-pokok. Masa awal pindah dulu semangat menanam segala jenis pokok sampai naik semak. Memandangkan pokok durian perlukan kawasan yang luas dan cahaya matahari yang cukup terpaksalah saya korbankan pokok kelapa nan sebatang itu. Jenuh pulak nak menebang dan mengorek perdu pokok kelapa tu. 

Sebatang kelapa tersungkur layu.

Dah tinggal tunggul....

Tunggul kelapa tu agak dalam. Maklum la dah lebih 3 tahun menghuni di situ. Jenuh saya mencangkul dengan anak bujangku sampai bengkok batang cangkul. Akhirnya saya jirus air supaya tanahnya agak lembut. Esoknya beli cangkul baru dan tanah hitam serta baja. Alhamdulillah setelah tanah tu dah lembut kerja gali menggali menjadi lebih mudah. Lepas lubang dah cukup besar saya tabur baja, potong polibeg dan campak je anak pokok dalam lubang tu. Timbus dengan tanah hitam. Saya guna dua kampit tanah hitam (RM1.50 sekampit). Lepas tu siram sampai banjir. Entah betul entah tidak cara penanaman saya tu. Suka hati memandai buat cara sendiri.

 Harap-harap panjang la umur awak....

Selepas dua hari dedaunan mula berguguran. :(

Sebatang lagi masih bertahan. Mudah-mudahan terus bertahan hingga akhirnya.

PS: Kot-kot nak melihat hasilnya, tunggu jelah hingga Nina lepas SPM. 

Saturday, 24 September 2016

Rumput oh rumput......

Tiba-tiba datang perasaan nak meng-upgrade laman tepi rumah yang dah suram itu. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini saya jarang keluar jenguk-jenguk laman. Pergi kerja balik kerja. Pergi kerja balik kerja. Tak sompek nak mengisahkan keadaan kebun dan laman yang semakin terabai tu. Kebetulan pulak cuaca panas menyebabkan tanah kering kontang. Rumput pun jadi jarang-jarang maka tumbuhlah pokok-pokok rumput lain memenuhi ruangan. Tak sampai sebulan padang rumput tu dah nampak macam hutan simpan. So setiap dua minggu sekali saya terpaksa upah pemotong rumput sebab mesin rumput saya tu dah tak mampu nak berperanan sebagai penebas. Setiap kali lepas di tebas laman tu jadi gondol.
Rumput tumbuh jarang-jarang menyebabkan pokok-pokok yang tak diundang menyelit di celahannya. Tanaman lain pun macam kurang subur. Agaknya sebab mengikut mood saya yang kurang ceria sejak dua menjak ini.

Anai-anai pun dah buat sarang kat pangkal pokok mangga epal. Saya kikis semua sarang tu buang jauh-jauh. Lepas tu tabur baja dan siram macam anak pokok dulu-dulu. Alhamdulillah dah nampak galak berbunga semula.
Kesan anai-anai di pangkal pokok mangga epal.

Pokok delima ni pun dah macam tak bermaya. Buahnya lebat tapi kematu semacam je. Nanti lah saya google tengok apa masalahnya. Kurang kasih sayang gamaknya. Alhamdulillah masih ada tupai-tupai yang sudi menjamu selera. Mudah-mudahan dapat pahala berbagi rezeki dengan makhluk Allah yang lain.
Delima yang lebat tapi kematu. 

Setelah lama berfikir saya buat keputusan sendiri. Demi mengharmonikan vision saya nekad mengusahakan tanaman semula padang rumput tu. Saya upah Pakcik Bangla cangkul semua rumput tu. Bayar RM200. Selama dua hari depa buat kerja-kerja mengikut spesifikasi saya.
Padang yang dah jadi botak licin

Selepas dah clear tanah saya pi order rumput kat nursery pokok pakcik Aji hari tu. Alhamdulillah dia buat free servis penghantaran ke rumah. Harga RM2.90 sekeping saiz 2x1 kaki.
80 keping rumput karpet dah bertambun 
Saya campak-campak je rumput tu jarang-jarang takut depa mati kering kalau dok bertambun macam tu Saya tak ikut pun peraturan cara menanam rumput karpet yang sepatutnya. Main belasah je suka hati. Dalam usia dan kudrat sekarang ni dah tak daya nak buat kerja fizikal macam sebelum ni.. Semangat je berkobar-kobar kudrat ke laut. Tapi demi memujuk hati kugagahi jua......:(

Lepas tu susun semula supaya rapat sikit. Sebenarnya kena tambah rumput lagi supaya cepat bersambung. Tapi dah tak larat dah. Tunggu je lah rumput tu tumbuh nanti, sambil tu kena jirus 2 kali sehari. Harap-harap sempat lah tengok laman tu sebelum mata tertutup....


"Bila la rumput tu nak tumbuh........" Rungutan hubby saban waktu singgah di telinga saya.

"Hmmm..... entah lah. Saya pun tak pasti." Jawab saya dalam hati....


PS: Di hujung usia begini ujian kesabaran sering muncul di mana-mana...

Kenduri Besan di Ampang dan kenduri Rakan Sekolah di Ulu Langat

Sabtu 4hb Oktober 2025 Hujung minggu adalah hari untuk pergi kenduri. Namun ada juga undangan yang tidak dapat dipenuhi. Biasanya setiap kal...