Showing posts with label Umi masak. Show all posts
Showing posts with label Umi masak. Show all posts

Tuesday, 26 December 2023

Sayur Goreng Peria

Kalau dulu setiap kali saya beli sayur yang ada biji saya akan semai di halaman dapur. Hidup atau tidak itu tidak menjadi masalah. Maka penuhlah halaman dapur saya dengan pelbagai tumbuhan herba dan sayuran-sayuran. Bila dah nampak semak saya akan pangkas/potong/cabut buang apa yang patut. Tapi sejak kebelakangan ini semua aktiviti di laman seakan terhenti. Laman saya kini hanya dipenuhi rumput rampai yang menunggu masa untuk dipotong setiap dua bulan.

Baru-baru ini saya beli peria lagi. Katanya bagus untuk turunkan bacaan kolestrol dan darah tinggi. Saya memang suka makan peria. Kalau peria katak (kecik-kecik) tu saya hiris buat ulam macam timun sahaja. Kalau peria yang besar tu saya akan masak buat sayur tumis. 

Peria dibelah dua.

Saya akan belah buah peria, buang biji dan hiris nipis-nipis. Lepas tu saya basuh dan rendam dalam air garam selama 10 minit. Kemudian saya bilas hingga bersih. Saya hiris bawang merah, bawang putih dan cili dan tumis dalam minyak panas. Kemudian saya masukkan ikan bilis yang ditumbuk kasar. Lepas tu saya pecahkan telur dan kacau biar masak. Saya tambah sos tiram sebelum masukkan peria tadi. Saya gaul sebati semua bahan. Akhir sekali saya perisakan dengan garam dan gula. Siap.

Peria stir fry… siap.

Semua bahan saya campak masuk kuali ikut suka hati dan perasaan saya ketika memasak. So sebelum memasak saya akan pastikan perasaan saya tenang dan penuh kasih sayang agar setiap hidangan nanti terhasil dengan baik. Semoga Allah kekalkan ketenangan dan kesabaran dalam hati saya selamanya. Amiin.

Sekian. 😊

Monday, 11 December 2023

Bunga Telang & Nasi Kerabu

Dah beberapa kali hubby dok sebut nak makan nasi kerabu bila melihatkan pokok bunga telang yang galak merimbun dan berbunga. Dan beberapa kali jugak saya hanya mampu menunda-nunda kejadiannya. 

Sebenarnya dah beberapa kali jugak saya main campak-campak buat nasi kerabu sendiri. Tapi disebabkan penyediaannya agak renyah maka saya malaskan diri untuk jadikan menu di rumah. Kita beli sahaja bila-bila terasa nak makan. Namun, bila sesekali hubby nak merasa air tangan isteri, haruslah isteri mithali yang taat setia ini memenuhi hajat, your wish is my command… gituh.

Kebetulan hari Selasa minggu lepas, hubby keluar untuk meeting di KL maka bolehlah saya penuhkan masa me-time dengan aktiviti mengkerabukan nasi di dapur. Nak buat nasi biru tu mudah sahaja. Saya cuma perlu kutip 20 kuntum bunga telang serta dua helai daun pandan, kemudian blend dan tapis airnya. Lepas tu masukkan ke dalam rice cooker untuk masak nasi. Letak sebatang serai dan tambah air secukupnya untuk menanak nasi. (Saya guna 3 pot beras sahaja).

Bunga telang yang meriah.

Sementara menunggu nasi masak, bolehlah kita potong sayur (ulam-ulaman yang ada) dan menyediakan bahan aksesori lain seperti sambal kelapa, kuah tumis, keropok dan solok lada. Semua aksesori ini berasaskan ikan dan kelapa… agak renyah tapi kita teruskan sahaja dengan hati gumbira. Bukannya nak kena menjala ikan dan kait buat kelapa pun. Kita gunakan sahaja apa-apa bahan yang telah tersedia dalam rumah. 

Nasi kerabu... siap.

Solok lada sebesar penumbuk... takde hal.

Bahan utama haruslah budu, sebagai penambah perisa.

Goreng keropok satu tong.

Alhamdulillah seronok tengok hubby makan bertambah-tambah tanpa komen, walaupun maklum tahap masakan isteri terchentanya ini. Yang penting perut kenyang dan ada lebihan untuk buat sarapan esoknya. 

Boleh baca resepi campak-campak saya di sini .

Sekian. 😊

Saturday, 29 July 2023

Bawal putih masak lemak cili api dengan mangga epal.

Hari ini hubby ada program gi UM dari pagi hingga tengahari. Maka duduklah cik puan di rumah seorang diri sambil me-time gitu. Sambil tu kita fikir-fikirkan apa menu untuk makan tengahari. Bila dah tinggal berdua ni, saya selalu masak yang simple sahaja. Kebetulan semalam dah masak ayam, hari ini kita buat menu ikan pulak. Maka kita datangkan bawal masak lemak cili api dengan buah mangga epal resepi campak-campak.

  • 2 ekor ikan bawal putih
  • Sebiji mangga epal muda (dari pokok tepi rumah)*
  • Cili api (merah dan hijau) diketuk
  • Sebatang serai, ketuk jugak
  • Sehelai daun kunyit dikoyak-koyak sahaja
  • Bawang besar (belah 4)

Masukkan semua bahan ke dalam periuk, masukkan santan dan jerang atas api sederhana. Bila menggelegak, masukkan garam secukup rasa. Tak perlu masukkan asam sebab mangga epal tu dah cukup memberikan rasa masam. Biar hingga ikan masak… (dalam 5 minit). Tutup api. Siap. 

Bawal masak lemak cili api dengan mangga epal. 

*Sebenarnya mangga epal tu adalah dari saki-baki pokok mangga yang sudah ditebang haritu. Cerita tebang  pokok boleh baca di bawah: 

https://umminina.blogspot.com/2023/07/tebang-pokok-mangga-tepi-rumah.html

Sekian. 😊

Thursday, 6 April 2023

Berbuka dengan nasi kerabu kuning

Selasa: Hari ke-13 Ramadhan

Saya jarang bertanya hubby nak makan apa. Tapi hari tu kebetulan saya kena keluar menghantar hubby ke ofis kita borak-borak dalam kereta. Sambil tu kita berbasa-basi bertanya menu untuk berbuka nanti.

"Kalau ada nasi kerabu pun sedap jugak..."

Hmm... tapi pokok telang belum berbunga lagi.

"Nasi kerabu putih pun boleh. Kuning pun okay..."

Begitulah... Maka bersilatlah seorang isteri mithali di dapur sebaik pulang dari menghantar suami ke tempat kerja. Setelah melihat stok bahan yang tersedia dalam rumah, saya pilih menu nasi kerabu kuning untuk juadah berbuka nanti. Mudah sahaja cara penyediaannya. Untuk nasi saya cuma basuh beras, letak sukatan air yang sepatutnya, letak pewarna kuning, serai dan daun limau purut segar dari ladang. Lepas tu tanak je nasi macam biasa. 

Untuk resepi dan cara menyediakan bahan lain boleh rujuk dan baca di sini.

Nasi kerabu kuning plus aksesori dan ikan percik serta popia are done.

Bertuah sungguh angkat ngan periuk nasi... so kita susun semula... 

Close up sikit.

Alhamdulillah, hubby makan bertambah-tambah dari berbuka hingga ke sahur esoknya. Mudah-mudahan Allah menggandakan pahala memberi makan orang berpuasa. Aamiin.🌹

Sekian.😊

Tuesday, 4 April 2023

Berbuka dengan asam pedas ikan nyok-nyok.

Hari ke-6 Ramadhan

Beberapa kali saya dok ulang-alik mengintai pokok kantan di halaman rindu laman. Daripada kudup bunga hingga dah kembang mekar saya masih berkira-kira apa menu yang sesuai dengan tahap kerajinan yang ada. Ini dah kali ketiga pokok kantan ini berbunga. Yang dua kuntum sebelum ini hanya layu di pusara tangkai tak sempat nak petik. Kali ini saya cekalkan hati memetiknya walau dah mula kembang sambil ligat mencari idea menu terpaling simple. Aduhai malas benor makcik ni ye. Akhirnya saya korek peti ais cari ikan buat asam pedas.

Bunga kantan segar dari ladang.

Close-up sikit.

Oleh kerana tinggal berdua sahaja, saya cuma masak seekor ikan nyok-nyok dipotong dua, resepi campak campak. Bunga kantan pulak saya belah dua. Saya tumis bawang merah+putih dan halia yang telah dikisar. Lepas tu masukkan cili kisar, serai ketuk dan sehiris lengkuas. Biarkan hingga kering dan pecah minyak. Lepas tu masukkan air asam jawa semasam rasa. Biarkan mendidih, kemudian masukkan ikan dan bunga kantan. Lastly tambahkan garam secukup rasa. (Sepatutnya letak bendi, tomato, daun kesum… tapi semuanya out of stok, so kita berpada sahaja dengan apa yang ada).

Belah dua… simpan separuh untuk kegunaan dikemudian hari.

Asam pedas ikan nyok nyok is done.

Rezeki Iftar hari ke-6 Ramadhan 1444H.

Alhamdulillah, cukuplah untuk makcik-pakcik buat bukak posa.

Sekian. 😊

Tuesday, 3 August 2021

Ayam butter milk brokoli

Saya jarang masak pelik-pelik sebab hubby sangat tradisional orangnya. Being absolute Kelantanis.. the best ever food yang dia suka haruslah nasi berlauk gulai ikan tongkol atau ikan aye kata depa. Gamaknya kalau terpaksa makan menu yang sama hari-hari pun takde masalah. 

Tapi, sejak pkp dan terpakasa berkurung di rumah susah nak dapat stok ikan tongkol yang kena dengan jiwa. Jadi, sesekali masuk dapur tengok lauk dalam fridge pun dah surut maka terpaksalah makcik fikirkan menu yang sesuai dengan stok yang ada. 

"Esok kita order barang online."

Berbekalkan dua keping dada ayam dan sedikit brokoli... itupun bunganya dah kekuningan... maka kita carilah saki-baki aksesori lain yang ada.

Mula-mula kita potong dada ayam. Gaul dengan garam dan kunyit serta tepung jagung. Biar sebentar, kemudian goreng dalam minyak panas. Kacau sentiasa supaya ayam garing dan tidak melekat.

Brokoli dah siap basuh, lesung batu keramat, ayam dah siap goreng dan bebawang.

Potong brokoli dan rendam dalam air untuk membuang anasir-anasir yang tidak diperlukan dari celahan bunganya. 

Cairkan dua sudu besar butter dalam kuali dan tumis bawang putih yang telah ditumbuk. Kemudian masukkan daun kari. Bila bawang kekuningan, masukkan susu cair. Bila mendidih, masukkan ayam diikuti brokoli. Tambahkan garam sesedap rasa dan kacau rata. Siap.

Tumis bawang putih dan daun kari.

Masukkan secawan susu cair.

Masukkan ayam.

Masukkan brokoli

Ayam butter milk brokoli is done.

Oleh kerana ayam butter milk brokoli ni bukan dalam senarai menu hubby maka kita tambah tenggiri masak kicap buat makan tengahari ni. Alhamdulillah untuk rezeki hari ini.

Semoga hari ini lebih baik dari semalam. Moga Allah bantu.🌹

Wednesday, 20 May 2020

Keropok lekor mudah.

Sejak PKP dan masuk bulan Ramadhan ni dah beberapa kali saya mengidam nak makan keropok lekor. Disebabkan tak tahu nak pi cari kat mana dimusim covid ni, maka terpaksalah kita cuba buat sendiri. Tak susah mana pun sebenarnya. Banyak resepi kat google. Kita cuma perlu pilih yang mana sesuai dengan jiwa sahaja. Saya suka resepi yang simple dan boleh siap dalam masa yang singkat. Asalkan ada bahan utama iaitu ikan dan tepung maka kita mulakan operasi cuba jaya. Setelah beberapa kali tidak berjaya akhirnya dapat juga menjamu selera dengan bahagianya.

Saya dah cuba guna ikan selar, ikan selayang/sardin dan ikan kembung. Alhamdulillah semuanya menjadi mengikut skala saya. Namun, yang paling kena dengan selera saya adalah ikan kembung. Walau apa pun jenis ikan, resepi asasnya tetap sama.

Nah, resepi mudah saya.

3 ekor ikan kembung, bersihkan dan disiat ambil isinya sahaja
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil gula  
2 sudu besar air sejuk (saya cairkan 2 ketul air batu)
1 cawan tepung gandum
Tepung ubi kayu secukupnya untuk menyalut keropok.

Cara-caranya:

1. Blend semua bahan kecuali tepung ubi kayu. Lepas tu tuang ke dalam mangkuk. Pastikan tangan sejuk sebelum memegang adunan supaya adunan tidak melekat di tangan. Saya celup tangan dalam air batu.

Kalau terlalu lembik boleh tambah sedikit tepung gandum.

2. Tabur tepung ubi kayu atas papan pencanai. Kemudian ambik sejemput adunan tadi dan golek-golekkan di atas papan yang telah ditabur tepung tadi hingga menjadi bentuk panjang-panjang. Biarkan bersalut dengan tepung. JANGAN ULI. Kalau masih melekat-lekat, taburkan tepung ubi kayu lagi.

Adunan memang lembik sebab tu perlukan tepung ubi kayu yang banyak.

3. Panaskan air dalam periuk dan tambah sedikit minyak. Bila air dah menggelegak, masukkan keropok yang sudah siap dibentuk tadi. Masak sampai keropok lekor tu timbul baru angkat.

Rebus sampai keropok timbul baru angkat.

4. Biarkan sejuk dahulu sebelum dipotong untuk digoreng. Kalau nak makan terus tanpa goreng pun sedap. Makan panas-panas cicah sos cili.

Keropok lekor is done.

Benarlah kata orang, alah bisa tegal biasa. Sekarang ni asyik buat sendiri je, tak perlu beli lagi. Bila-bila teringin nak makan, kita buat homemade sahaja.

PS: Ada resepi suruh tambah serbuk penaik atau baking powder. Saya dah cuba tapi meletup-letup bila digoreng. Habis bersepah minyak panas. Akhirnya saya kekal dengan resepi mudah saya sahaja. Tak perlu ada apa-apa penambahan. Make it simple.

Monday, 20 April 2020

Kek Pisang @ Cekodok bakar.

Saya jarang masak kuih. Tapi kalau keluar shopping dan nampak barang masakan tersusun cantik kat atas rak tiba-tiba sahaja datang bermacam-macam idea nak masak itu, ini. Tapi bila dah balik rumah dan simpan semua barang dalam kabinet, terus lupa. Lepas tu perasaan nak memasak kuih tu menghilang begitu sahaja. Tapi sejak PKP ni ligat pulak otak mencari idea untuk beraktiviti di dapur bagi mengelakkan pembaziran. Dan bila suatu pagi bangun tidur nampak ada tiga biji pisang yang dah masak layu maka makcik pun lecekkan dia untuk buat jemput-jemput.

"Umi buat cekodok ke?"

Alahai tak best pulak bunyi cekodok. La ni orang asyik sebut welcome-welcome. So makcik pun terus tukar plan. Makcik pecahkan 3 biji  telur, campak dalam blender, tambah setengah cawan gula perang dan setengah cawan minyak jagung. Lepas tu masukkan pisang yang dilecek tadi. Blend sampai kembang dan likat.... kek pisang in the making.


Untuk lebih profesional kita catatkan proper resepi sebagai panduan di masa depan.

Mula-mula panaskan oven 165 darjah celcius. Lepas tu sediakan tin pembakar.

Bahan utama:
3-5 biji pisang masak layu dilecek hingga lumat. Tambahkan 1/2 sudu teh garam dan 1/2 sudu teh esen vanila dan 3 sudu gula.

Bahan A: Ayak bersama.
1 1/2 cawan tepung gandum
1 sudu teh soda bikabonat
1 1/2 sudu teh baking powder

Bahan B: Masuk dalam blender.
3 biji telur
1/2 cawan minyak jagung atau lain-lain
1/2 cawan gula perang atau gula kastor
Blend semua dalam blender sampai kembang dan sebati. Lepas tu tambahkan pisang lecek dan blend lagi hingga likat dan halus (smooth). Lepas tu tuang dalam tepung yang dah diayak tadi. Gaul hingga sebati. Bakar dalam oven selama 45 minit. 

Siap...

"Cekodok bakar ke Umi?" Hmm... apa-apalah anak oii. Yang penting licin. Alhamdulillah tiada pembaziran.

***Kalau nak buat cekodok welcome welcome, tak perlu ada bahan B. Cuma gunakan bahan utama dan bahan A. Masukkan tepung sedikit sedikit ke dalam pisang lecek sambil digaul hingga adunan sebati. Goreng dalam minyak yang banyak.

PS: PKP day 34. Moga Allah bantu.

Wednesday, 22 January 2020

Bubur cha cha ubi kayu.

Masa kat kampung dulu nenek selalu buat bubur cha cha gandum. Simple sahaja cara membuatnya. Mula-mula nenek akan bancuh tepung gandum dengan air dan sedikit garam. Buat ala-ala adunan lempeng/pancake. Lepas tu masak atas kuali macam nak buat lempeng/pancake. Bila dah masak, sejukkan sebentar lepas tu potong kecik-kecik sebesar batang mancis. Kemudian jerang santan, tambahkan sedikit garam dan gula secukup rasa serta sehelai daun pandai. Bila mendidih masukkan lempeng yang sudah dipotong tadi. Kacau sebentar. Siap. Kalau rasa nak bagi nampak banyak, tambahkan segenggam biji sagu yang telah direndam dahulu.

Sekarang dah tak perlu buat lempeng lagi. Beli je bubur cha cha segera. Rebus biar empuk, lepas tu masukkan santan, sedikit garam dan gula secukup rasa. Siap. Nak lagi mudah, pakai je santan kotak.

Bubur cha cha segera.

Baru-baru ini kawan saya bagi ubi kayu. Agar tidak membazir saya potong kecik-kecik dan rebus. Lepas tu saya masak bubur cha cha dan campur dengan ubi kayu yang dah direbus tu. Biasanya orang letak ubi keledek dan ubi keladi dalam bubur cha cha tapi kita suka hati buat resepi sendiri.

Ubi kayu.

Potong dan rebus sampai empuk.

Tapis buang air rebusan.

Rebus bubur cha cha.

Alhamdulillah anak-anak semua balik penuh rumah, maka menjamu seleralah seisi rumah. As always depa makan bubur cha cha sahaja, ketul-ketul ubi kayu itu dibiarkan begitu sahaja. Sayalah tukang perabih ubi rebus tu, maka keesokan harinya terpaksalah bergelut dengan kembung perut dan sakit urat saraf. Walaupun dah tahu kita alah dengan ubi kayu tapi sebab tak nak membazir punya pasal maka kita bergelutlah sensorang. Alhamdulillah semuanya kembali normal selepas dua hari.

Tuesday, 19 November 2019

Nasi Kerabu mudah.

Sejak musim hujan ni saya dah jarang turun ke kebun. Biasanya saya cuma cabut rumput dan siram pokok sahaja. Tapi disebabkan musim hujan saya cuma jenguk-jenguk dari jauh. Alhamdulillah semua tanaman (termasuk rumput rampai) segar bugar disirami air dari langit.

Kebetulan sejak akhir-akhir ini saya dah mula kurangkan makanan bergoreng maka sambil melihat keindahan kebun sambil berfikir menu yang sesuai untuk makanan keluarga. Setelah meninjau keadaan kawasan maka kita kutip sahaja bahan masakan dari kebun.

Pokok bunga telang galak berbunga.

Saya blend bunga telang dengan daun pandan dan ambik airnya untuk memasak nasi. Campak dua helai daun limau purut, sebatang serai dan daun pandan buat penambah aroma, maka jadilah nasi kerabu biru. 

Masak nasi pakai rice cooker.

Untuk kuah tumis saya cuma gunakan santan kotak, tambah cili boh serta bawang merah, bawang putih dan halia yang telah diblend. (Saya memang sentiasa sediakan stok bawang blend dan cili boh dalam peti sejuk). Campakkan serai yang telah diketuk serta asam keping. Tambah garam, gula melaka dan budu sebagai perisa.

Tumis bahan blend.

Tambah santan dan kacau hingga pekat.

Kuah tumis is done....

Untuk sambal kerisik, saya gunakan kelapa parut yang sedia ada dalam freezer. Ratakan dalam dulang, masukkan dalam oven dan bakar selama 5-10 minit supaya sedikit kering dan garing. Sebenarnya malas nak kacau atas dapur. :)

Kelapa parut dah keluar dari oven.

Ikan kembung saya rebus dengan sedikit garam dan asam keping. Bila dah sejuk, saya ambil isinya sahaja dan tumbuk dengan lesung batu peninggalan arwah nenek saya. Sebelum tu saya tumbuk bawang merah dan serai serta sedikit lada hitam. Lepas tu baru masukkan isi ikan dan tumbuk semua sekali. Kepala dan tulang ikan tu saya bagi kucing makan.

Tumbuk menumbuk haruslah guna old school...

Kemudian campurkan bahan tumbuk dengan kelapa parut dari oven. Gaul rata dalam kuali. Lepas tu masak atas dapur dengan api sederhana hingga sambil dikacau rata. Tambahkan garam dan gula secukup rasa. Kacau hingga kelapa masak garing.

Sentiasa kacau supaya tiada yang hangit.

Sambal kerisik ikan is done...

Selain dari bahan wajib, bolehlah tambah apa sahaja lauk-pauk lain yang kita suka. Saya buat solok lada. Kebetulan ada lebihan cili hijau Siam yang bawa balik dari Perlis hari tu. Solok lada versi saya mudah sahaja. Saya cuma siatkan isi ikan kembung mentah dan tumbuk dengan lesung batu beserta bawang merah dan sedikit lada hitam. Kemudian gaulkan bahan tumbuk dengan sedikit kelapa parut. Tambahkan garam dan gula secukup rasa. Kemudian kepal-kepalkan bahan solok tu dan masukkan dalam cili yang telah dibelah tengah. Kemudian susun dalam kuali dan letak sedikit air. Tutup kuali dan masak atas dapur menggunakan api sederhana hingga air kering.

Solok lada in the making.

Solok lada is done...

Bahan wajib lain... ulam-ulaman.

Alhamdulillah, seronok tengok suami dan anak-anak makan bertambah-tambah.

Friday, 6 September 2019

Mangga: Kerabu vs Jeruk

Petang-petang hari saya akan turun ke halaman rindu untuk menikmati keindahan pokok-pokok saya. Takdelah indah mana pun. Almaklumlah, namanyapun DIY, maka kejadiaannya tentulah sesedap rasa dan seindah rupa tuan DIY. Selain dari menyiram dan merumput saya juga akan pangkas dahan-dahan yang tidak perlu. Saya buat sekadarnya sahaja setakat kudrat yang ada.

Alhamdulillah dalam seminggu dua ini pokok mangga saya mula mengeluarkan putik baru. Nampak agak lebat buahnya. Masa saya tanam dulu tak saya kisah sangat apa kejadian akhirnya. Yang penting pokok yang saya tanam tu hidup segar. Tak sangka pulak hasil buahnya sangat masam. Mungkin sebab belum masak ranum. Layak untuk buat jeruk dan kerabu sahaja. So petang tadi saya petik sebiji untuk buat kerabu sebagai juadah makan malam nanti.

Mudah sahaja nak buat kerabu mangga ni. Mula-mula kupas kulitnya. Basuh, kemudian sagat nipis-nipis. Kalau takde penyagat, boleh cincang menggunakan pisau. Rendam dalam air garam sementara nak siapkan bahan lain. Kemudian sejat hingga kering dahulu sebelum digaul dengan bahan lain.

Bahan lain (di tumbuk)
  • Satu sudu kecil udang kering
  • Cili merah atau cili padi (bergantung kepada tahap kepedasan)
  • 3 ulas bawang merah 

Gaul bahan tumbuk dengan mangga yang dah disagat tadi. Tambah setengah sudu teh cuka makan atau perahan air limau nipis serta garam dan gula secukup rasa. Saya tambah sedikit hirisan daun kesom untuk menaikkan seri. Ada warna kuning, merah dan hijau. Kalau ada bunga kantan pun boleh masukkan sekali. Gaul semua sampai sebati. Siap. Sedap dimakan bersama nasi panas, kari telur dan ikan tongkol goreng pedas. (Menu dinner kami malam ini)

Kerabu mangga siap.

Oleh kerana buah mangga tu bersaiz besar maka sebiji pun dah cukup untuk mendapatkan semangkuk kerabu mangga. Selebihnya saya buat jeruk. Sebenarnya nak buat jeruk lebih mudah. Cuma perlu hiris kecik-kecik, tambah sedikit garam dan gula secukup rasa. Tambah sedikit cuka atau perahan limau nipis. Lepas tu tambah asam boi sebanyak mana yang kita suka.

"Sedapnya jeruk ni." Kebetulan hubby baru balik kerja terus makan dinner lepas tu terus meratah jeruk pulak. Belum sempat ambik gambar dah habis sebalang. 

PS: Apa lagi yang lebih membahagiakan daripada melihat suami dan anak-anak makan dengan berselera.

Saturday, 31 August 2013

Rendang Daging Umi..

"Umi buat apa?" Dayah memang selalu sibuk tengok saya buat kerja.

"Saja tulis resepi rendang. Nanti umi tak de senang la Dayah nak masak."

Semalam sibuk merendang untuk hari ni. Bukan buat open house pun. Hubby jemput anak-anak saudara yang dok sekitar KL datang breakfast. Depa semua dah berkeluarga. Menu nasi lemak sambal sotong. Rendang untuk makan dengan lemang. Tambah makaroni goreng untuk cucu-cucu saudara. Seronok tengok budak-budak berkumpul ramai-ramai.

Cucu-cucu Kak Ani dan cucu-cucu arwah Che Kob. Dah masuk generasi second cousins dah.

Terbayang kerenah bakal cucu-cucu saya nanti. Huhu...dreaming lagi.

Dikelilingi anak-anak sepupu, bila la si Iman ni nak beranak. Adik beradik hubby semua dah bercucu.

"Sedapnya rendang umi..." Nina berkali-kali ulang-alik ratah rendang. Air tangan umi lah katakan. Tak pedas, sesedap rasa. Hmm.

***Jom merendang***

Bahan wajib:
1 kg daging ( potong kecil)**

Bahan kisar:
10 tangkai cili kering (Potong, buang biji,pastu rebus sampai lembut)
20 ulas bawamg merah
10 ulas bawang putih
1 inci halia
10 batang serai (hiris nipis - ambik bahagian putihnya sahaja)*
1 inci lengkuas*
1 inci kunyit hidup* (Kalau malas guna je 1 sudu teh kunyit serbuk)

Bahan lain:
1 bungkus (30g) rempah rendang Adabi (Brand lain pun okay je...)
2 mangkuk santan segera (beli je kat pasar/kedai runcit)
4 sudu kerisik (beli yang segera juga)
1 keping gula melaka
5 helai daun kunyit*( hiris nipis)
5 helai daun limau purut*

* Semua bahan kena ambik kat taman herba umi - perintah!

Campur semua bahan dalam periuk. Gaul rata. Biar atas dapur dengan api sederhana. Kacau sekali-sekali. Bila hampir kering tambah sedikit minyak masak supaya tak melekat kat periuk dan tak hangit. Lebih senang kalau guna periuk non-stick. Tambah garam dan gula secukup rasa. Kacau selalu hingga kering.

**Kalau guna ayam, tumis dulu bahan kisar sampai garing. Lepas tu baru masukkan ayam. Kacau sebati. Lepas tu baru masukkan bahan lain. Masak sampai kering.

Masak rendang memang lama. Kalau masak daging kena tunggu at least 3 jam. Memerlukan kesabaran. Sementara nak tunggu dia masak boleh la buat kerja lain sekitar dapur tu. Jangan pi jauh-jauh. Nanti lupa. Hangit pulak rendang tu.

Singgah Nilai visit Cucu

Hari Khamis minggu lepas hubby ada kerja di Nilai. So sementara menunggu, kita curi masa jalan-jalan di AEON Mall Nilai sambil layan cucu.  ...