Wednesday, 20 May 2020

Keropok lekor mudah.

Sejak PKP dan masuk bulan Ramadhan ni dah beberapa kali saya mengidam nak makan keropok lekor. Disebabkan tak tahu nak pi cari kat mana dimusim covid ni, maka terpaksalah kita cuba buat sendiri. Tak susah mana pun sebenarnya. Banyak resepi kat google. Kita cuma perlu pilih yang mana sesuai dengan jiwa sahaja. Saya suka resepi yang simple dan boleh siap dalam masa yang singkat. Asalkan ada bahan utama iaitu ikan dan tepung maka kita mulakan operasi cuba jaya. Setelah beberapa kali tidak berjaya akhirnya dapat juga menjamu selera dengan bahagianya.

Saya dah cuba guna ikan selar, ikan selayang/sardin dan ikan kembung. Alhamdulillah semuanya menjadi mengikut skala saya. Namun, yang paling kena dengan selera saya adalah ikan kembung. Walau apa pun jenis ikan, resepi asasnya tetap sama.

Nah, resepi mudah saya.

3 ekor ikan kembung, bersihkan dan disiat ambil isinya sahaja
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil gula  
2 sudu besar air sejuk (saya cairkan 2 ketul air batu)
1 cawan tepung gandum
Tepung ubi kayu secukupnya untuk menyalut keropok.

Cara-caranya:

1. Blend semua bahan kecuali tepung ubi kayu. Lepas tu tuang ke dalam mangkuk. Pastikan tangan sejuk sebelum memegang adunan supaya adunan tidak melekat di tangan. Saya celup tangan dalam air batu.

Kalau terlalu lembik boleh tambah sedikit tepung gandum.

2. Tabur tepung ubi kayu atas papan pencanai. Kemudian ambik sejemput adunan tadi dan golek-golekkan di atas papan yang telah ditabur tepung tadi hingga menjadi bentuk panjang-panjang. Biarkan bersalut dengan tepung. JANGAN ULI. Kalau masih melekat-lekat, taburkan tepung ubi kayu lagi.

Adunan memang lembik sebab tu perlukan tepung ubi kayu yang banyak.

3. Panaskan air dalam periuk dan tambah sedikit minyak. Bila air dah menggelegak, masukkan keropok yang sudah siap dibentuk tadi. Masak sampai keropok lekor tu timbul baru angkat.

Rebus sampai keropok timbul baru angkat.

4. Biarkan sejuk dahulu sebelum dipotong untuk digoreng. Kalau nak makan terus tanpa goreng pun sedap. Makan panas-panas cicah sos cili.

Keropok lekor is done.

Benarlah kata orang, alah bisa tegal biasa. Sekarang ni asyik buat sendiri je, tak perlu beli lagi. Bila-bila teringin nak makan, kita buat homemade sahaja.

PS: Ada resepi suruh tambah serbuk penaik atau baking powder. Saya dah cuba tapi meletup-letup bila digoreng. Habis bersepah minyak panas. Akhirnya saya kekal dengan resepi mudah saya sahaja. Tak perlu ada apa-apa penambahan. Make it simple.

No comments:

Rumah Homestay, Rumah Pencen

Beberapa kali balik beraya tahun-tahun lepas, beberapa kali jugak hubby dok repeat nak balik pencen di kampung. Dan beberapa kali jugak saya...