Wednesday, 6 May 2020

Bunga-bunga mekar di halaman rindu.

Sejak PKP yang dah  masuk fasa ke 4 ni, banyak masa saya habiskan membelek dan membelai teman-teman yang setia menemani pada setiap pagi dan petangku. Alhamdulillah sepanjang tempoh berkurung ini walau jasad terpaksa tinggal di rumah,  jiwa dan minda masih boleh ke sana ke sini meneroka dunia maya. Terima kasih kepada hubby yang menyediakan capaian internet tanpa had selama ini. Banyak masa untuk isteri mithalinya mengagumi dan mencemburui sahabat-sahabat maya yang pandai mengisi masa sepanjang perintah kawalan pergerakan ini. Yang penting banyak juga tips dan petua penjagaan pokok-pokok bunga yang selama ini saya ambil mudah. 

Saya suka bunga-bunga berwarna putih dan comel. Jadi pada awal aktiviti memokokkan halaman rinduku ini, saya memang memilih anak-anak pokok bunga spesis putih dan comel. Walaupun banyak pokok yang telah saya tanam tapi setelah beberapa lama banyak juga yang menjadi arwah. Yang tinggal hanya beberapa pokok spesis heavy duty yang tahan dengan cabaran dan ujian. Alhamdulillah, kebetulan sekarang ini musim hujan maka seronoklah mereka mengeluarkan bunga.

Mahkota berduri

Pokok mahkota berduri ni adalah tinggalan penghuni rumah sebelum ini. Semasa mula-mula pindah ke sini saya kemas semua barang-barang tinggalan mereka dan buang apa yang patut. Bila tengok pokok bunga ni rasa macam nak simpan pulak. Jadi saya tanam dalam pasu. Alhamdulillah ia subur dan membiak hingga kini. Terima kasih kepada penghuni sebelum saya itu. Mudah-mudahan pahala mengalir untuk mereka asbab pokok bunga yang ditinggalkan itu.

Kemboja 

Pokok kemboja putih ni dah beberapa kali saya tanam tapi asyik maut sahaja. Tak pasti kenapa. Mungkin sebab tanah tak sesuai atau kurang penjagaan. Namun sejak PKP ni depa mula hidup subur dan berbunga cantik.

Melur Siam atau Thai Jasmine

Melur siam ni saya beli dari kedai nursery pokok. Depa dah siap tanam dalam pasu. Saya cuma angkut bawa balik dan tambah tanah serta letak baja sahaja.

Kemuning

Pokok kemuning ni saya beli masa awal-awal pindah ke sini. Saya beli dua anak pokok. Satu saya tanam dalam pasu dan satu lagi atas tanah. Sekarang dah lebih tujuh tahun usia mereka. Yang atas tanah tu besar dan tinggi sementara yang dalam pasu hanya mencapai separuh ketinggian. Walaubagaimanapun keduanya hidup subur dan sentiasa berbunga wangi. Baru-baru ini saya susun semula pokok-pokok dalam pasu dan mana-mana pokok yang dah besar saya pindahkan ke tanah termasuklah pokok kemuning itu.

Melur kampung

Sama juga dengan bunga melur kampung ini. Asalnya hanya anak pokok yang saya beli dari nursery Sg Buloh. Mula-mula saya tanam dalam pasu. Tapi bila mula rimbun dan menjalar, saya ubah ke tanah tepi pagar. Bila dah mula menjalar saya kumpul dahan pokok-pokok yang menjalar tu dan ikat pada kayu pancang supaya depa tegak dan merimbun ke atas. Sekarang dah jadi tiga rimbunan.

Bunga kertas

Saya baru sahaja berjinak dengan bunga kertas. Tetiba pulak terbeli pokok bunga kertas ni masa singgah di nursery pokok hari tu. Alhamdulillah macam serasi pulak depa duduk bersama dengan pokok-pokok lain.

Bunga raya

Kata orang bunga raya putih ni banyak khasiatnya, jadi saya tanam saja buat ubat bila perlu nanti. Asalnya saya tanam dalam pasu. Tapi bila dah agak besar saya pindahkan ke tanah juga. Masa dalam pasu tu daunnya keluar besar dan lebar tapi selepas duduk atas tanah tetiba semua daunnya menguning dan gugur. Keluar daun baru yang kecil-kecil tapi lebat. Saya belum terokai lagi sebab musabab kejadian daun bertukar kecil tu. Yang penting bunganya tetap berkembang mekar seperti biasa.

PS: Banyak lagi yang nak kena belajar tentang penjagaan pokok-pokok ni. Moga Allah bantu.

No comments:

Jom balik KB, bercuti dan makan-makan

Bila hubby ajak balik KB saja-saja bercuti dan jalan-jalan cari makan laju sahaja isteri mithalinya ini bersetuju dengan segala perancangan....