Thursday, 2 May 2024

Makaroni Bakar untuk Jamuan Raya UP5

Sempena cuti Hari Pekerja semalam (1hb Mei 2024) komuniti taman perumahan kami mengadakan Majlis Jamuan Hari Raya untuk semua penduduk taman. Walaupun dah masuk hari ke-22 Syawal, dengan konsep ‘Raya kan sebulan…’ maka ayuhlah kita meriahkan suasana dengan jamuan makan. Kali ini tetiba saya rasa rajin nak masak untuk potluck. Dah lama tak buat makaroni bakar so kita cungkil balik memori lama dan campak-campak saja apa-apa bahan yang ada.

"Kenapa Ummi tak buat yang mudah je. Beli buah ke, bawak kuih raya ke, kerepek ke,....?" Entahlah... macam best pulak nak sibukkan diri dengan masak-memasak (air tangan) sorang-sorang. Lagipun bukan selalu. Maka pepagi subuh hari lagi saya dah mulakan aktiviti di dapur. Sementara menunggu makaroni direbus saya kupas dan potong dadu bawang holland dan carrot, kupas dan ketuk bawang putih dan basuh daging kisar. 

Makaroni siap rebus dan tos.

Karot dipotong dadu.

Bila semua bahan dah tersedia, saya panaskan kuali dan tumis bawang hingga kekuningan. Kemudian saya masukkan daging kisar dan biarkan hingga daging kecut. Lepas itu saya masukkan karot dan sos bolognese dan secawan air sambil dikacau perlahan. Bila mendidih, saya tambah serbuk lada hitam, garam dan gula secukup rasa. Akhir sekali saya masukkan makaroni yang siap direbus dan ditos tadi sambil dikacau rata. Bila dah sebati saya masukkan dalam dulang pembakar dan ratakan. 

Tumis bawang.

Masukkan daging kisar.

Masukkan karot dan sos.

Masukkan dalam dulang dan ratakan.

Lepas tu kita buat sos putih sebagai topping. Saya cairkan dua sudu margerin kemudian masukkan dua sudu tepung dan dikacau rata. Lepas itu saya tuang dua gelas susu segar dan lada hitam sambil dikacau hingga sebati, pekat dan likat. Bila dah siap saya terus tuang atas makaroni tadi. Last sekali saya taburkan mozarella cheese dan sedia untuk dibakar dalam oven, 180 darjah api atas bawah selama 20 minit. Kemudian saya guna api atas sahaja selama 10 minit lagi bagi memberi warna garing pada topping.

White sauce yang dah siap pekat dan likat.

Sedia untuk dibakar.

Guna api atas supaya topping nampak garing.

Siap.

By pukul 9:00 pagi saya dah angkut makaroni, panas-panas straight from the oven ke meja hidangan jamuan. Semua penduduk lain pun datang dengan potluck masing-masing pakat atur penuh meja. Makanan sangat mewah dan suasana pun meriah. Pihak AJK taman menyediakan makanan berat seperti satay ayam dan nasi impit, lemang dan rendang, nasi goreng, laksa Penang dan air minuman. 

Jiran-jiran.

Jiran belakang rumah.

Pencuci mulut dan buah-buahan.

Alhamdulillah majlis berjalan lancar dan makaroni pun licin. By pukul 10.30 pagi saya dah balik rumah semula. Semoga Allah berkati ukhuwwah yang terbina. Amiin.🌹

Sekian.😊

No comments:

Rumah Homestay, Rumah Pencen

Beberapa kali balik beraya tahun-tahun lepas, beberapa kali jugak hubby dok repeat nak balik pencen di kampung. Dan beberapa kali jugak saya...