Thursday, 10 August 2023

Tali pusat dan rambut asal anak-anak.

Menyambung kerja-kerja declutter barang-barang dalam rumah ni, saya selongkar laci di bilik tidur pulak. Seronok keluarkan barang-barang dalam laci, terjumpa pulak bungkusan tali pusat dan rambut asal anak-anak yang hubby cukur pada hari ke tujuh kelahiran mereka dulu. Ada lima bungkus semuanya tersimpan kemas dalam satu bekas. Saya simpan sejak kelahiran anak sulong lebih 30 tahun yang lepas sebagai kenangan. Saya memang simpan barang-barang penting dalam laci dan biarkan sahaja di situ selagi tidak ada keperluan untuk dikeluarkan semula. Tak sangka pulak boleh tersimpan lama begitu. Sebenarnya saya dah lupa tentang keberadaan semua itu setelah lama dibiarkan tersimpan. Lagipun ianya tidak pernah mengganggu kehidupan harian saya. Lama-lama dah jadi habit menyimpan barang-barang walaupun tak tahu bila nak digunakan atau dah memang tak berguna. Semuanya sayang…

Rambut dan tali pusat yang tersimpan kemas sekian lama.

Yang penting saya teruskan aktiviti declutter dan sempena Maal Hijrah 1445 pada hari Rabu 19 Julai baru-baru ini saya semadikan semua kenangan itu di halaman rindu padat-padat. 

Korek lubang dulu.

Rambut + tali pusat.

“Hang beranak esok-esok simpan elok-elok tali pusat depa. Boh sekali dalam satu tempat. Dah habis beranak esok tanam semua sama-sama…” saya tidak pernah bertanya kenapa dan mengapa ayah saya berpesan begitu. Saya cuma pasang niat agar semua tali pusat dan rambut anak-anak tu akan ditanam di laman rumah sendiri di mana saya akan tinggal hingga akhir hayat dengan izin Allah. Kini selepas lebih 30 tahun tersimpan akhirnya niat saya termakbul jua. Terima kasih kepada hubby yang menyediakan rumah pusaka untuk kita. Semoga anak-anak saya tetap teguh dalam persaudaraan dan mengekalkan kasih-sayang adik-beradik sehingga akhir hayat.

Sekian.😌

No comments:

Rumah Homestay, Rumah Pencen

Beberapa kali balik beraya tahun-tahun lepas, beberapa kali jugak hubby dok repeat nak balik pencen di kampung. Dan beberapa kali jugak saya...