Tuesday, 29 August 2023

Lap dan basuh kipas

Setelah beberapa hari asyik beraktiviti di luar rumah, hari ini kita fokus dalam rumah pulak. Kebetulan hari ni tiada aktiviti jogging maka pepagi hari lagi saya mulakan exercise dengan mengelap kipas di ruang tamu dan ruang makan. Biasanya aktiviti lap-mengelap kipas ni saya subcontract kepada anak-anak bujang. Tapi sejak depa dah menikah dan ada rumah sendiri terpaksalah saya usahakan sendiri. Berbekalkan kudrat yang ada kita buat sahaja apa yang terdaya dengan rasa gembira.

Dulu saya lap kipas secara manual. Saya akan panjat naik turun tangga untuk mengelap setiap bilah kipas dengan kain basah. Sekarang ini masih lagi manual tapi kita gunakan berus pengelap yang anakanda beli dari shopee. So kuranglah sikit susah-payah nak usung tangga ke sana ke mari. Mudah sahaja kerjanya, hanya  perlukan kerajinan dan kudrat sahaja.

Kipas di ruang makan.

Habuk berketul-ketul.

Kipas di ruang tamu.

Ruang tamu dan ruang makan kami tidaklah besar. Cukup satu kipas sahaja untuk setiap satu ruang so pembersihannya pun tidaklah sepayah mana. Saya cuma lap dan basuh kipas tu bila mata sudah tidak mampu melihat segala habuk dan kotoran. Selain kipas siling saya juga letak satu kipas berdiri di ruang tamu untuk kegunaan anak cucu yang pulang bertandang. Untuk kipas berdiri ni, proses pembersihannya agak leceh sedikit. Saya kena bukak semua sarung dan bilah kipas tu dan cuci di bawah laluan air di sinki, lap kering kemudian pasang semula. Mudah je pun.

Tanggalkan semua dulu.

Cuci bersih dan biarkan kering.

Siap.

“Kenapa Ummi tak panggil orang je datang cuci?” 

Okay je… boleh exercise…” Begitulah jawapan klise setiap kali anak-anak bertanya. 

Alhamdulillah. Setakat ini saya belum memerlukan perkhidmatan orang untuk datang membersihkan rumah. Saya akan buat sendiri selagi terdaya kerana itu hanyalah sebahagian dari me-time yang saya hargai sejak sekian lama.

Sekian.😊

Sunday, 27 August 2023

Burger ayam special

Dah beberapa hari saya teringin nak makan burger special tapi asyik tidak kesampaian. So hari ini kita gagahkan diri untuk masak/buat sendiri. Berbekalkan apa yang ada di dapur kita tibai sahaja agak-agak sesuai dengan anak tekak.

Goreng sebiji telur dadar nipis-nipis dan sekeping burger ayam Ramli.

Lapiskan dengan roti Gardenia. Tiada timun tiada salad, kita tambah sos cili sahaja... siap.

Rasa? Cukuplah bagi memenuhi rasa teringin. Of course la kalau yang orang lain buat akan rasa lebih sedap. Untuk sementara ini kita berpada sahaja dengan apa yang ada. Alhamdulillah. Semoga kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur.

Sekian.😊

Wednesday, 23 August 2023

Sepagi di hospital teman hubby buat follow-up

“Minggu ni kita buat tema health pulak…” Sejak hubby dah berhenti kerja (lagi sekali) ada sahaja planning untuk isi masa bersama. Setiap hari/minggu ada sahaja planning yang hubby dah set dan sebagai isteri mithali, kita hanya menurut sahaja semua perancangan yang telah diatur. Kebetulan temujanji untuk follow-up hospital dah lama tertunda so minggu ini kita fokus kepada bab kesihatan sahaja.

First thing first haruslah kita setelkan bab jumpa doktor kencing manis yang dah lama overdue. Setelah ditunda berkali-kali maka hari Isnin hari tu (sebulan yang lepas) kami ke hospital selepas dapat slot temu janji dari pihak hospital. Kami keluar awal pagi bagi mengelakkan jalan jam, mendapatkan parking lot yang dekat dan paling penting dapat nombor awal sebab depa buat sistem first come first serve. Walau kami tiba depan pintu klinik pada pukul 8:15 pagi, patients lain dah siap beratur. Bukak je pintu klinik pada pukul 8:30 pagi terus semua orang masuk untuk mendapatkan nombor giliran. 

Pesakit dah ramai walau masih awal pagi.

Kami dapat giliran nombor 8 untuk berjumpa doktor. Sebelum jumpa doktor depa bagi slip untuk hubby buat ujian darah dan air kencing dulu. So kami pergi ke jabatan pathologi pulak.

Nombor giliran lain di jabatan pathology.

Lepas bagi sample darah dan urin, kami kena tunggu at least 1 jam untuk dapatkan keputusan ujian. Depa akan hantar keputusan terus ke klinik doktor, so kami tak perlu tunggu di situ. Doktor masuk klinik bermula pukul 10 pagi. Dan setelah dicongak, tambah, tolak, dengan giliran nombor 8 itu kami terpaksa menunggu dalam dua hingga tiga jam lagi baru boleh berjumpa doktor. So, bagi mengisi masa, kita pi cari makan dulu. Kesian hubby belum makan sejak pagi sebab kena puasa untuk ujian darah tadi. Kami sarapan di Q-Bistro, Ampang. Kat sini kena scan QR code untuk buat pesanan. Alhamdulillah selepas beberapa kali ke sini, makcik dah expert buat order menggunakan QR code. 

Scan je kat code untuk mendapatkan menu sebelum buat order.

Set kari kambing + teh halia for makcik.

Kemain happy dapat makanan.

By pukul 11.30 pagi kami ke hospital semula. Sementara menunggu giliran, kami lepak minum kopi di Starbuck pulak. Pukul 12:30 tengahari baru giliran kami tiba. Jenuh jugak menunggu.

Ngopi @ Starbuck dulu.

“Everything looks normal. Glucose 6.5, cholestrol very good at 3.9, creatinine level 102, a bit on border line..." 

"Blood pressure 132/71 a little bit high… If you're worried, we can give you something, very mild."

Begitulah... sedikit demi sedikit Allah hantar peringatan.

Ubat untuk kontrol darah tinggi.

Pada hari Khamis kami ke Pusrawi pulak. Kali ini untuk follow-up check mata hubby lepas pembedahan mata (retina tanggal+katarak) dahulu. Kami keluar rumah pada pukul 8:00 pagi dan tiba di hospital pukul 8:40 selepas mengharung jalan jam untuk buat U-turn kat Bulatan Pahang. Sampai sahaja terus register dan ambik nombor giliran. Kami dapat giliran nombor 4. Alhamdulillah by pukul 10 pagi dah boleh jumpa doktor dan siap buat bayaran by pukul 10.30 pagi. Usai urusan kami mengopi dulu di Cafe Century Coffee sebelum tiba di rumah semula pada pukul 11:15 pagi.

Selesai sudah urusan di hospital untuk minggu ini. Minggu seterusnya hubby sibuk dengan meeting/program di sana-sini pulak.

Sekian. 😊

Tuesday, 22 August 2023

Kenuri kahwin & jalan-jalan @ Bangi.

Kami dapat jemputan dari kawan hubby untuk majlis kenduri kawen anaknya. Kawan hubby ni sama-sama buat program Master di UK back in 90’s dulu. Masa tu anak-anak semua masih baby lagi. Sekarang ni masing-masing pun dah bercucu.

Depa buat kenduri di Bangi Golf Resort. Saya tak kenal pun siapa tuan rumah. Memang betul-betul accompanying husband as plus one. So bila sampai depan pintu, kita salam je semua orang sambil sengih lebar-lebar. Kita tengok depa, depa tengok kita. Suami-suami sahaja yang kenal each other. 

Masa nak ambik tempat duduk tiba-tiba pulak terserempak dengan seorang sahabat yang sekian lama tidak bersua. Rupa-rupanya kawan saya ini adalah kawan sekolah kepada isteri tuan rumah. Kiranya friend of a friend jugaklah. So bolehlah layan borak sambil makan. Borak punya borak, timbul pulak hubungan kawan saya ini juga adalah merupakan collegue kepada besan kepada besan saya. Aduhai panjang pulang susur galurnya. Besan kepada besan gitu… punya la jauh. Apa-apa pun, tidaklah saya hendak meluaskan capaian rakan taulan. Dengan umur begini cukuplah sekadar berada dalam ruang lingkup sahabat handai yang dah sedia ada. Yang jauh kita rapatkan, yang rapat kita eratkan. 

Kami tidak berborak panjang kerana kawan saya ini masih ada urusan seterusnya. Cukup sekadar update kehidupan dan salam-salam sebelum dapat bersua lagi disuatu masa dan ketika nanti. Usai makan saya dan hubby berjumpa dengan tuan rumah dan meminta izin untuk beredar. Oleh kerana perjalanan masih panjang, kami singgah mengopi di Bangi Gateaway dulu. 

Cantik jugak hiasan dalaman kafe ini.

Hubby order nasi dagang, padahal baru je sudah makan kenduri.

Latte for makcik.

Dah puas mengopi kami singgah solat Zohor sambil jalan-jalan santai di Bazaar Karat, Bangi. Saya suka melihat barang-barang antik yang depa pamerkan sambil mengimbau kenangan silam. 

Teringin nak beli basikal tu untuk cucu.

‘Basikal satu tayar’… cantik pulak warna pink.

Besen-besen besi nostalgia.

Melawat bazar karat ni macam melawat muzium pulak. Keseronokan yang sukar digambarkan. Banyak barang-barang tu pernah wujud dan digunakan sepanjang hidup saya waktu kecil dulu. Tiba-tiba sahaja jiwa kecil itu datang kembali bersama nostalgia zaman silam. Tapi bak kata orang bijak pandai… when maturity hits you, silence is better than anything. Kita simpan sahaja kenangan itu di suatu sudut paling indah dalam hati.

Sekian.😊

Monday, 21 August 2023

Jogging @ Taman Tasik Ampang Hilir & Tosai Bawang.

Minggu ni asyik hujan pagi dan petang maka aktiviti jogging orang pencen asyik tertunda-tunda sahaja. Tapi hari ini, walaupun pagi tadi awan mendung, kita pasang tekad untuk keluar jogging walau jam sudah menunjukkan dah hampir pukul 8.30 pagi. 

“Best jugak jogging masa mendung ni… tak panas.”

Sungguh bagai dijangka, cuaca nyaman macam kat obersi. Walaupun langit mendung, awan tebal tapi tiada hujan. Saya boleh jalan-jalan santai, lenggang kangkung sambil berangan. Pengunjung agak ramai tapi kebanyakannya adalah dalam kategori makcik dan pakcik pencen so kita just follow the flow. Kuranglah sikit semangat nak lari macam orang muda. Kita ikut sahaja gaya hidup sesuai dengan usia… padahal penyakit malas berlari tu dah mula meresap ke dalam jiwa. 😅  

Apa-apa pun, dapatlah makcik habiskan hampir 4000 steps sebelum duduk berehat menikmati suasana tenang tepi tasik. Lepas tu bolehlah cari sarapan buat ganti balik kalori yang hilang. 

Tayang kasut pulok.

Tosai bawang yang yummy.

Biasanya lepas jogging di sini kami akan cari Nasi Berlauk Kak Mah, Kampung Pandan buat sarapan. Oleh kerana depa tutup pada setiap hari Isnin maka kita cari altenatif lain sebagai ganti. Kengkonon nak kurangkan lemak, hari ini kami pekena roti tosai kedai Mamak sahaja. Saya pilih tosai bawang. Pertama kali mencuba tosai bawang, pertama kali juga melihat rupa bentuk tosai bawang ini. Okaylah…, walau depa cuma tabur bawang mentah, kena dengan selera saya. Alhamdulillah untuk rezeki hari ini.

Sekian. 😊

Pokok Kucai & Kuetiau Goreng

Pokok kucai di halaman rindu saya ni dah lama tidak dipotong dan diambil daunnya. Dulu rajin jugak saya potong buat sayur stir fry atau letak dalam masakan dan buat cucur bilis/bawang. Tapi sejak beberapa lama ni malas pulak nak turun ke laman. Asyik terperap dalam rumah sahaja. Kalau keluar pun hanya teman hubby jalan-jalan santai atau jalan-jalan cari makan. Walaupun makan ala kadar, berat badan ni asyik naik sahaja. Tiberr…😅

Pagi semalam, kebetulan hari minggu, baru sempat nak melihat-lihat ke laman. Kesian pulak tengok banyak pokok yang terbiar. Rumput pun dah makin panjang. Pokok kucai pulak galak berbunga. Bila dah galak berbunga begitu, kuranglah hasil daunnya. So, saya potong je semua yang ada dalam pasu. Dapatlah sejemput daun kucai buat rencah dalam kuetiau goreng. Kena tambah taugeh buat penambah rasa. Jadilah buat sarapan dua orang pencen, dihari minggu.

Pokok kucai ni mudah dijaga. Kita hanya perlu selalu potong daunnya, tinggalkan tunggul dalam anggaran satu inci. Nanti dia akan keluarkan daun baru. Sekejap sahaja, daun baru akan tumbuh semula. 

Cantik pulak nampak kucai bunga ini.

Saya potong semua daun tinggal tunggul sahaja.

Kuetiau goreng is done.

Bunga kucai buat hiasan meja.

Lepas ni kita tengok pokok yang lain pulak. Sejak dah lebih separuh abad ni, mental dan fizikal dah tak berapa nak syncronize. Badan pun asyik nak landing sambil menernak lemak. Kerja-kerja kebun dah banyak terbengkalai. To do list pun makin panjang tapi kudrat semua ke laut. Bahasa mudahnya, “Dah tua ler tu…”  

Sekian. 😊

Thursday, 17 August 2023

Upgrade dekoder Astro lama kepada Ultra Box.

Awal tahun baru-baru ini saya decide untuk tukar Astro box baru. Sebenarnya dah lama orang astro tu asyik call suruh saya tukar dekoder astro yang saya pakai sejak sekian lama. Hinggalah sampai suatu masa dekoder tu dah tak boleh nak support beberapa chanel seperti RTM1, RTM2, Awani dan beberapa chanel lagi. Walaupun tak dapat tengok semua chanel tu, bayaran astro setiap bulan tetap sama.

“Ummi tak payahlah pakai astro tu, semua boleh stream online je…” beberapa kali juga anak-anak bagi cadangan. Tapi ummi ayah depa ni old school… manalah nak layan stream-stream ni. Mudah bukak TV pakai remote control macam biasa je. Tapi bila dah lama tak dapat tengok TV1 dan TV2 serta Awani maka terpaksalah saya akur dengan teknologi yang sedang pesat berkembang ini. 

“Upgrade je Ummi… free je pun..” Pulak dah. Tadi cakap lain, ni lain pulak padahal sebenarnya depa yang selalu tengok astro on the go.

Kebetulan masa jalan-jalan kat Lotus Ampang hari tu, Astro buka booth untuk upgrade Astro box maka saya pun terus buat booking. Mudah sahaja urusannya sebab semua detail ada di hujung jari. Kita cuma perlu pilih pakej baru yang lebih kurang sama dengan pakej sedia ada dengan syarat tak boleh downgrade serta wajib ada internet. Sebelum ni kami pakai piring astro sahaja. Oleh kerana saya memang dah ambik pakej news+movie+sports+kids, saya teruskan sahaja dengan pakej tersebut. 

Done register.

Depa juga offer untuk tukar/transfer kepada astro wifikencang untuk lebih jimat. Sekarang saya guna TM Unify. So kena berurusan dengan Telekom Malaysia pulak. Semua urusan pertukaran depa boleh buat secara online. Saya cuma perlu hadir ke kedai Telekom untuk pengesahan cap jari bila dapat notification.

Notification untuk pergi TM Point.

Saya ke Kedai Telecom, TM Point Pandan Indah, Ampang pada hari Jumaat selepas drop hubby untuk solat Jumaat di Masjid Pandan Indah. Sementara hubby solat saya ke Kedai Telekom berdekatan. Malangnya parking semua penuh dek pengunjung yang datang solat Jumaat, so tepaksalah saya mencari parking alternatif. Pengalaman yang tak dapat dilupakan bila saya terpaksa drive berpusing-pusing (spiral) seorang diri mendaki naik hingga ke tingkat 7 bangunan sebelah TM Point tu. Gayatnya SubhanAllah, rasa macam nak patah balik. Tapi terpaksa teruskan driving sebab once dah masuk, dah tak boleh keluar balik (reverse). Kita kena teruskan memusing spiral tu hingga ke atas. Jenuh la makcik mengucap panjang sambil berzikir apa sahaja ayat/zikir yang terlintas dalam ingatan. (Tobat lahum… itulah kali pertama dan terakhir saya cari parking kat sana). Alhamdulillah servis di Kedai Telekom ni sangat laju dan customer friendly, so hilanglah segala rasa gayat tadi… cuma nak kena tarik nafas semula bila nak keluar dari tempat parking nanti.

“Unify puan ni sangat laju dan stabil. Takut nanti kalau tukar ke astro wifi tu jadi tak stabil pulak…” begitulah. Akhirnya saya kekal dengan Unify sahaja dengan sokongan hubby. Lagipun masa tu hubby masih ada kerja-kerja wfh, takut tergendala pulak segala kerja bila internet tak stabil.  

Saya call adik ejen tu semula untuk cancel wifikencang dan kekal dengan Unify. Saya juga mengekalkan penggunaan piring astro untuk kegunaan hari biasa (masa tiada hujan). Lepas tu tunggu je pemakluman dari pihak Astro untuk pemasangan Ultra Box. 

Beriya hantar reminder bagai... kita ni tercongok tunggu sampai sudah tak datang datang.

Depa janji akan call sehari sebelum depa datang buat pemasangan. Tapi tiada apa-apa berita hinggalah pada hari kejadian, tetiba pulak tanpa apa-apa warning depa call kata nak datang dalam masa 30 minit. Saya pulak ada kat luar ketika itu, kalut la bergegas balik rumah. Jam 12 tengahari saya tiba di rumah dan terus call depa untuk update. Sambil tu saya clearkan kawasan tempat pemasangan agar mudah depa nak buat kerja nanti.


Dekoder lama, yang dah berzaman saya guna. Saya suka digital clock itu.

"Okay kak... lagi 10-15 minit saya sampai." Gitulah janjinya. Namun dah lebih  sejam menunggu bayang pun tak ada. Bukan nak mengata, gitulah gamaknya timbul kata-kata janji Melayu.

“Minta maaf kak… lama pulak kat tempat customer tadi, ingatkan boleh pasang terus, rupa-rupanya kena buat wiring…..” Panjang pulak alasannya. Apa-apalah dik. Saya cuma nak depa siapkan kerja secepat mungkin sahaja.




Done. Tapi takde digital clock pulak. Terpaksalah cari jam baru.

Kini dah masuk lapan bulan sejak kami tukar ke astro box baru. Okay la, daripada bayar sia-sia tak dapat siaran, kini dah ada siaran yang boleh digunakan. Apa nak dikata, terpaksalah komit dengan kontrak baru untuk dua tahun lagi.

Sekian.😊

Wednesday, 16 August 2023

Jalan-jalan KB: Pantai PCB & Kedai Mee Isa

Setiap kali balik Kelantan kami tidak akan lepaskan peluang ke Pantai Cahaya Bulan. Entah kenapa pantai ini seakan memanggil-manggil setiap kali kami balik ke sini. Mungkin sebab ianya paling hampir dengan bandar Kota Bharu (jarak dalam 10 km sahaja) memudahkan kami untuk singgah sebentar. Dan setiap kali singgah haruslah kita pekena ‘colek’ seafood celup tepung dan keropok lekor yang enak. Kali ini saya order kerabu megi sebagai penambah kalori.

Air sarsi botol lejen.

'Colek' celup tepung & kerabu megi. 

Kengkonon nak healing tepi pantai.

Keadaan pantai yang makin terhakis, kurang sesuai untuk ke gigi air.

Lepas makan 'colek' dan mengimbau kisah lama kita sambung ngeteh di Kg Sireh, tempat kelahiran hubby hingga masuk sekolah rendah. Kami singgah di Kedai Mee Isa tempat hubby pernah makan masa kecik-kecik dulu. Menurut hubby kedai mee ini wujud sejak zaman dia sekolah rendah lagi. Dah lebih 50 tahun, rasa mee kuahnya tetap sama. Of courselah depa kekalkan resepi turun temurun kepada pewaris kedai. Depa guna air rebusan daging sebagai kuah mee. The rest biarlah rahsia. Keadaan kedai pun tak banyak berubah. Depa kekalkan konsep kedai ‘ppati’/merpati. Di sebelahnya ada kedai Sri Kijang yang menjual air halia telur puyuh yang famous di Kelantan. Kata orang airnya sedap dan berkhasiat tapi saya tak berani nak mencuba (rasa kembang pulak tekak ni…) Sebagai alternatif saya order air teh halia sahaja.

Kedai yang simple.

Sebelahnya ada kedai halia telur puyuh.

Teh halia yang super yummy boleh potong kaki.

*****************************

Sambil tengok-tengok dalam draf terjumpa pulak cerita tergendala tentang PCB di tahun 2015. Punya lama terperap dalam deraf tapi tetap jugak kita simpan buat kenangan. Saya dah tulis cerita tu sejak November 2015 tapi tersadai hampir 8 tahun. Hmmm… nampaknya blog (deraf) pun nak kena declutter jugak. So kita delete sahaja cerita-cerita yang dah lapuk dan update dengan cerita baru. Apa-apa pun, gambar-gambar yang saya dah upload lapan tahun yang lalu tetap kekal tersimpan rapi.

Batu-batuan (lapan tahun yang lalu) yang masih kekal hingga kini.

Lima orang anak-anak semua masih single mingle.

Keadaan berpasir ini dah di upgrade jadi benteng menghalang air pasang terutama bila musim tengkujuh.

‘Colek’ seafood celup tepung dan air botol 8 tahun dulu yang masih wujud hingga kini.

*********************************

Sekian. 😊

Catatan pada hari Ahad, 6 Ogos 2023.

PRN 15, Enam negeri memilih

Weekend baru ni sangat full. Anak-anak semua balik untuk PRN 15. Pepagi lagi saya dah masak seperiuk besar kari daging buat makan ramai-ramai nanti. Lepas Jumaat saya dan hubby pi ambik anak nombor satu di Putrajaya lepas tu jemput dua orang cucu kat tadika dan terus balik Ampang semula. Tak singgah memana pun, semua main drive thru sahaja. Petang, anak nombor dua balik lepas habis kerja di Kajang. Malam, anak nombor tiga pulak balik. Malam tu kami berkumpul ramai-ramai borak-borak santai macam malam raya, cuma tak kalut nak memasak apa-apa juadah.

Pagi Sabtu seawal pukul 7.15 pagi saya dan hubby dah keluar untuk mengundi. Walau tinggal di Ampang kami berdua masih mengundi di tempat lama. Saya di Selayang sementara hubby di Batu Caves. 

“Kenapa Ummi ngan Ayah tak tukar tempat mengundi lagi?” Entahlah. Saya sendiri pun macam rasa tak ada keperluan nak tukar tempat mengundi. Mana-mana pun sama je. Sapa pun menang, kehidupan kita tetap perlu diteruskan. Rezeki pun kena cari sendiri. 

Mengundi kali ini rasa sangat tenang. Orang pun tak ramai. Kami pergi ke pusat mengundi di Batu Caves dahulu. Tiba sana pukul 7.45 pagi, kaunter pun belum bukak lagi. Hubby di Saluran 3 dan menjadi antara orang terawal tiba. Sementara hubby beratur untuk mengundi, saya duduk menunggu di khemah utama. By pukul 8.15 siap semua urusan. 

Jauh jugak nak dapat tempat parking… terpaksalah kita berjalan laju-laju nak kejar hubby nun jauh di hadapan.

Khemah utama depan pintu utama sekolah. 

Done for hubby.

Usai urusan hubby kami ke Selayang pula. Saya di saluran 1, dah masuk kategori warga emas rupanya, dan sudah semestinya mendapat layanan first class. Semua pengundi Saluran 1 disediakan kerusi untuk duduk. Urusan pun laju, dalam 15 minit selesai celup jari warna purple. Lepas tu dah boleh gi dating sambil pekena roti canai di Restoran Ibrahim Maju sebelum balik rumah jaga cucu sementara anak-anak pulak pergi mengundi.

Saluran 1 siap ada tempat duduk.

Done tunai tanggung jawab.

Kemain makcik nak tayang jari ungu.

Semua anak-anak saya mengundi di pusat mengundi yang sama di Ampang, cuma berbeza saluran sahaja. Sungguh, kali ini semuanya berjalan sangat laju. Dalam masa setengah jam semua dah pakat balik rumah semula. Anak nombor 4 yang balik dari Shah Alam pun touch and go je, lepas tu semua dah berkumpul untuk makan tengahari di rumah. (Tinggal anak nombor 5 sahaja yang tak dapat mengundi dek duduk jauh di perantauan).

Hidangan tengahari rakyat.

Paling best, ikan gelama masin.

Sempena PRN ni ada pulak dapat offer dari beberapa outlet restoran. Kami pilih makan malam di Tony Romas. Setiap satu jari ungu depa bagi free 1/4 ayam dengan fries. Kami datang lima orang so dapat lima set free. Jenuh pulak nak perabih. Kita take away je semua.

Offer accepted.😊

Kami beli plater untuk lima orang, tambah pasta dan soup of the day.

Tak abes lagi nak tayang jari warna ungu.🤭

Dah kenyang perut bolehlah balik rumah dan berehat sambil menunggu keputusan pilihan rakyat raya depan TV ramai-ramai. Walaupun anak-anak semua boleh tengok keputusan hanya di hujung jari, ummi ayah depa ni nak jugak tercongok tengok TV menanti keputusan. Saya tak berapa excited sangat sebab macam dah boleh agak apa keputusannya. So bila dah tiba waktu beauty sleep, saya masuk tidur macam biasa. Malas nak menunggu keputusan penuh… tidur lebih baik.

Bangun pagi esoknya, seperti dijangka keputusannya seri 3-3. Tiga negeri pro kerajaan sementara tiga lagi negeri pro pembangkang. Begitulah perancangan Allah. Kita terima sahaja. Yang telah dipilih rakyat, dah boleh mula menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya. Semoga Allah bantu selamanya.

Sekian.😊

Rumah Homestay, Rumah Pencen

Beberapa kali balik beraya tahun-tahun lepas, beberapa kali jugak hubby dok repeat nak balik pencen di kampung. Dan beberapa kali jugak saya...