Monday, 8 July 2024

Harum Sundal Malam & Pokok Kucai

Dah lama saya menunggu pokok bunga harum sundal malam ini berbunga. Sejak dibeli dalam musim covid, pada bulan April 2020 dahulu, bermakna dah lebih 4 tahun pokok ini menghuni di halaman rindu laman saya ini. Selepas saya ‘bercuti’ dari menjenguk laman (suatu masa) dahulu saya hanya membiarkan pokok-pokok yang ada hidup sendiri tanpa siram dan baja selama lebih dua tahun. Rupa-rupanya ia masih kekal setia menunggu tuannya insaf dan memberi peluang kedua. Masa awal-awal penanamannya dulu saya menjaga dengan sepenuh jiwa hingga tumbuh segar walau tidak berbunga seperti yang diharapkan.

Dua pasu Harum Sundal Malam yang terbiar.

Semalam saya buat pemasuan semula ke dalam pasu yang lebih besar supaya akar (bawang) nya mendapat ruang yang lebih luas untuk bernafas. Saya tak pasti berapa lama lagi saya harus menunggu untuk melihat pokok ini berbunga. Setakat ini saya tidak gusar, asalkan pokoknya tetap subur, kita tenang-tenang sahaja melihat kesegaran pokok di laman pada setiap pagi dan petang. Berbunga atau tidak, itu bukan dalam bidang kuasa kita.

Pasu 1.

Pasu 2.

Buat sementara waktu, kita nikmati bunga-bunga di pohon kucai yang sentiasa mengeluarkan bunga yang cantik. Walau tidak mengeluarkan bau yang harum tetaplah memberi terapi dalam menenangkan jiwa. 

Bunga kucai yang cantik.

Pokok kucai yang setia.

Semoga kita dikurniakan ketenangan sehingga ke akhirnya. Amiin.🌹

{Cerita sebelum ini boleh baca di sini}.

Sekian.😊

Sunday, 7 July 2024

Maal Hijrah 1446

Berpagi-pagi di meja catatan. Hari ini Malaysia bercuti sempena menyambut Awal Muharram (Maal Hijrah, 1446). Hajat nak turun ke laman tergendala dek hujan gerimis sejak dinihari. So kita ambik peluang mengimbau kembali hayat yang berlalu sepanjang tahun 1445H. Sepertinya tidak banyak perkembangan dari tahun-tahun sebelumnya. Azam hanya tinggal azam.😔

Bila hujan mula reda baru kita turun ke laman mengutip bunga yang segar selepas hujan.

Bunga segar dari laman. 

Mekar mewangi... mawar, melur dan kenanga. Lepas ni kita buat pot pouri.

Kantan yang dikutip pada Jumaat lepas jadi penghias di meja catatan.

Mudah-mudahan tahun ini memberi peluang baru untuk memperbaiki diri.

Salam Maal Hijrah 1446 untuk diri ini dan semua. Semoga tahun ini lebih baik dari yang sebelumnya. Amiin.🌹

Sekian.😊

Friday, 5 July 2024

Tumbuh

Sepagi di pangkin nenek, kita berkongsi kesegaran alam.

Bunga kantan yang menceriakan.

Batang pokok serai kayu yang ditebang mula mengeluarkan tunas baru.

Pokok putat makin galak mengeluarkan pucuk baru.

Pokok kari semakin subur.

Pokok ulat bulu berbuah lebat.


Bunga pokok ulat bulu.

Semoga ketenangan ini berpanjangan. Amiin. 🌹

Sekian.😊

Thursday, 4 July 2024

Kuih Florentine dan mee goreng

Semalam hubby bawa balik hamper berisi kuih dan kerepek. Termasuk dalam tu adalah kuih favourite kedua saya selepas tart nenas. Sebab utama haruslah menu kekacang yang diadun beserta rasa manis potong kaki. Saya boleh habiskan sebalang dalam sekelip mata sahaja.

Sebekas kuih Florentine.

Kita close up sikit kasi nampak kekacang yang yummy.

Saya goreng mee untuk sarapan. Kebetulan hari ini pepagi lagi hujan dah turun, so kita sarapan sambil menikmati irama rintik hujan dari atas bumbung rumah. Lepas tu sambung krup-krap dengan kuih Florentine semula. Oleh kerana kuih Florentine yang sangat manis, kita minum air kosong sahaja.

Mee goreng pun dah tinggal separuh.

Semoga Allah kurniakan ketenangan sehingga akhirnya. Amiin. 🌹

Sekian.😊

Wednesday, 3 July 2024

Cerita Sakit Dada

Seminggu dua ini saya sibuk berinteraksi dengan Pakcik Google berkenaan sakit dada. Alhamdulillah hari ini ianya sudah berlalu pergi. Dari pembacaan sebelum ini saya dah short list punca kesakitan yang saya alami mungkin berpunca dari masalah jantung, paru-paru atau gastrik. Hari ini saya perhalusi lagi ruang lingkup kawasan yang terkesan. 

Berdasarkan gambar yang saya screen shot dari google, (terima kasih kepada pemilik asal) saya hanya mengalami kesakitan di bahagian dada kiri bawah hingga ke kawasan ulu hati seperti dalam gambar di bawah. Namun tiada satu pun simptom yang senaraikan terkait dengan saya.

Rajah yang tengah, bawah.

Bila saya luaskan pembacaan, ternyata kesakitan yang saya alami tidak sepatutnya berpunca dari masalah jantung. Berdasarkan sympton yang saya alami, saya sangat pasti ianya adalah sternum pain yang disebabkan oleh joint strains atau muscle injury.

What's Causing My Sternum Pain? Sternum pain can have many causes, including joint strains, muscle injury, and acid reflux. Chest pains can also be a symptom of a heart attack, and you should not ignore them. Your sternum, or breastbone, connects the two sides of your rib cage.’(Google)

Buat sementara waktu ini, saya tolak tepi acid reflux dan gastrik. Saya bertahan dulu dengan kepercayaan bahawa masalah saya berpunca dari joint strains atau muscle injury yang mungkin disebabkan kesan sampingan pengambilan ubat kolestrol Lipitor. Walaubagaimanapun saya tidak mengabaikan kemungkinan masalah jantung. Saya cuba kurangkan stress pada bahagian dada dan kurangkan pergerakan yang boleh menyebabkan kesakitan.

Mudah-mudahan segala masalah akan segera berlalu dan Allah gantikan dengan sebaik-baik kesembuhan. Amiin. 🌹

{Cerita sebelum ini boleh baca di sini}.

Sekian. 😊

Jalan-jalan Cari Dinner @Kilang Kitchen

Petang Jumaat lepas tiba-tiba terasa nak makan nasi berlauk malam. So kami cari Restoran Sudin Kubis di Sri Rampai. Katanya femes dengan nas...