Hari ini dah masuk kali ke tiga saya panggil mekanik datang tumah tengokkan masalah kereta. Petang semalam kereta BRV ni mati untuk kali ketiga dalam masa 2 bulan. Pertama kali hari tu berlaku dalam awal bulan Julai, 2021. Agaknya sebab lama terperap dek PKP maka bateri kereta kong dengan sendirinya. Ambik masa beberapa lama jugak nak ganti bateri baru sebab waktu itu masih dalam fasa darurat, semua bengkel tutup. Akhirnya anak bujang belikan bateri dan pasang sendiri di rumah. Alhamdulillah dapat bertahan hampir dua bulan.
Bateri baru diganti pada 8hb Julai 2021 |
Boleh baca ceritanya di sini: Ganti bateri BRV dan cermin Myvi pecah.
Kemudian tiba-tiba sahaja kereta BRV mati semula pada awal bulan September. Ditambah pulak dengan kereta Myvi kepunyaan anak bujang juga menghadapi masalah yang sama. Dua-dua tak boleh start. Suspek bateri kong lagi. Walaubagaimanapun kereta Myvi masih berbunyi crank crank bila pulas kunci untuk start enjin. Kereta BRV langsung senyap sunyi, tak ada apa-apa respon hatta dengan remote control. Lagi pulak takde lubang kunci nak dicucuk sebab semua fully automatic. So pada hari Isnin 6hb September 2021, saya panggil adik mekanik berdekatan untuk datang tengok. Sambil tu suruh dia bawakan terus bateri baru untuk kereta Myvi. Alhamdulillah usai ganti bateri, kereta Myvi boleh berjalan seperti biasa. Manakala bateri BRV pulak, walau masih elok tapi dah zero caj. Sebab tu kereta tak boleh start. So depa tukar bateri BRV dengan bateri Myvi lama yang masih nyawa-nyawa ikan, buat jump start lepas tu pasang balik bateri asal BRV. Alhamdulillah boleh hidup semula. Tapi terpaksa biarkan bateri kereta running selama 30 minit supaya bateri penuh semula. Depa caj RM280 untuk bateri Myvi dan extra RM20 untuk kos tukar ganti dan jump start bateri BRV.
Depa cabut bateri asal yang dah zero caj. (6hb September 2021) |
Bateri Myvi lama |
Lubang tempat bateri masih intact, tiada masalah. |
Setelah kedua-dua kereta boleh hidup semula, kami meneruskan operasi menggantikan cermin belakang Myvi yang tertungak hari tu. (Pecah tanpa sebab yang diketahui).
Awalnya kami nak buat booking pasang cermin di pusat servis Perodua. Tapi banyak sangat songehnya. Nak kena buat booking dulu. Lepas tu pergi ofis dia untuk bayar deposit. Lepas tu kena tunggu depa order cermin dari kilang yang entah bila boleh ready sebab kilang tu katanya ada masalah covid. Depa tak boleh janji bila boleh siap. Depa quote RM680 untuk total cost kalau bayar sendiri. Kalau nak guna insurans lagi mahal dan lambat. Akhirnya saya call Dr Cermin berdekatan area Melawati. Depa boleh siapkan dalam masa 3 jam dengan caj RM350, untuk kos cermin siap tinted, upah pasang dan bersihkan cebisan kaca cermin lama. Saya pergi hantar pukul 12.30 tengahari. Pukul 4 petang dah boleh ambik semula. Alhamdulillah.
Tak semena-mena pada 9hb September 2021, tiba-tiba kereta BRV mati lagi. Perkara yang sama berlaku dan tindakan yang sama terpaksa saya buat. Malas dah nak fikir pasal bateri zero caj dan segala bagai tu, saya panggil adik mekanik tu datang rumah dan minta dia bawakan terus bateri kereta yang baru. (kos RM280). Bila dah siap pasang dan kereta boleh bergerak semula saya terus bawa kereta ke pusat servis Honda sebab dah hampir setahun kereta itu tidak diservis..
Suasana pusat servis kosong sahaja. |
Kotor sebab tersadai parking bawah pokok depan rumah sepanjang PKP. |
Alhamdulillah usai servis, enjin semua masih dalam keadaan baik, bateri caj 100% dan body kereta pun tip-top. Dengan hati gembira saya biarkan ia berehat selama dua hari over the weekend. Lagipun saya agak sibuk dengan urusan keluarga dan anak menantu pulang berziarah setelah aktiviti ziarah dibenarkan. Tiba-tiba pada petang hari Ahad selepas semua anak-cucu dah balik ke rumah masing-masing, peristiwa sedih berulang kembali... BRV mati semula.
Jadi pada hari Isnin 13hb September 2021, sekali lagi adik mekanik tu terpaksa mengadap muka makcik ini untuk kesekian kalinya. Depa dah sedia maklum apa perlu dilakukan. Depa terus jump start bateri dan kereta hidup semula.
"Tak payah bayar kak. Free je..." Senyum je adik mekanik tu jawab bila saya tanya berapa bayarannya.
"Akak start je enjin. 30 minit setiap hari... Insya Allah nanti okay... apa-apa nanti akak call saya balik..." Maka terpaksalah saya disiplinkan diri untuk hidupkan enjin kereta dan keluar driving setiap hari walaupun masih dalam musim covid. Asalkan kita jaga SOP, mudah-mudahan semuanya selamat. Moga Allah bantu.
Pastikan semua lampu sentiasa tertutup untuk menjimatkan bateri. |
PS: Jenuh saya google sebab musabab kenapa kereta tak boleh start walaupun dah ganti bateri baru. Link ini: Checklist kereta tak boleh start yang paling menarik dan memberi penjelasan paling simple bagi saya. Semoga penulis diberkahi Allah sentiasa.
No comments:
Post a Comment