Sunday, 9 April 2017

Perjalanan Ini: Madinah (2017, Januari 16-18)

Semasa di Madinah kami menginap di Hotel Anwar al Madinah Movenpick bersebelahan pintu 8 Masjid Nabawi. Keluar sahaja dari pintu hotel terus sampai lantai Masjid. Allah membuka seluas-luasnya ruang ibadah untuk kami. Alhamdulillah sangat selesa.

Madinah Day 1
16 Januari/17 Rabiulakhir

Usai solat Subuh dan bersarapan kami diarahkan berkumpul di lobi hotel untuk program Ziarah Dalam, iaitu melawat Raudhah dan Maqam Rasulullah. Depa susun ikut kumpulan bas. Kami kumpulan bas nombor 4. Lelaki akan ikut Mutawwif sementara perempuan akan ikut Ustazah. Ustazah yang bertugas adalah warga Indonesia yang dilantik oleh Tabung Haji. Saya satu kumpulan dengan Ustazah Selha. Sangat baik orangnya. Satu kumpulan seramai 40 orang jemaah.  Jam 8.00 pagi kami dah berjalan kaki mengikut Ustazah yang ditugaskan. Kami terpaksa beratur ikut giliran kerana jemaah sangat ramai. Rata-rata dari rakyat Turki, India, Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan macam-macam negara lain. Semua memakai pakaian seakan seragam masing-masing dan datang dalam kumpulan yang ramai. 

Oleh kerana jemaah yang sangat ramai kami terpaksa menunggu giliran yang agak lama. Alhamdulilllah dalam jam 11.00 pagi tiba giliran kami. Semasa menunggu giliran untuk masuk ke Raudhah kami menghabiskan masa membaca al-Quran sambil menumpang dengar tazkirah/ceramah dari kumpulan jemaah dari Indonesia. Depa agak tersusun dan bergerak dalam jemaah yang mantap. Tiba sahaja giliran, masing-masing berpusu-pusu dan bertolak-tolak untuk masuk ke dalam kawasan Raudhah. (Kawasan Raudhah di bahagian wanita agak sempit.) Subhanallah, Subhanallah, sambil saya mengucap panjang dan membaca apa sahaja ayat-ayat yang terlintas dalam kepala, saya terpaksa mengharungi tabiat manusia yang tidak disangka begitu. Sungguh saya tidak bersedia dengan keadaan sesak, berhimpit-himpit dan berasak-asak serta bertolak-tolak begitu. Masing-masing berebut tanpa menghiraukan orang lain. Masing-masing dengan tujuan yang satu, agar dapat bersolat sunat, bersujud dan berdoa di dalam Raudhah. Saya tidak melepaskan tangan Nina takut dia hilang dalam lautan manusia. Badan saya terasa melayang-layang mengikut arus lautan manusia yang berhimpit-himpit. Sementara mulut saya tak henti-henti membaca doa dan ayat-ayat suci yang terlintas dalam kepala saya.  Sedar-sedar tiba-tiba sahaja kaki saya dapat memijak karpet hijau dalam kawasan Raudhah tersebut. Tiba-tiba rasa terpinga-pinga tak tahu apa yang patut saya buat apabila mendapat peluang berada dalam Raudhah begitu. Rasa macam terkedu, tak sangka Allah izin saya menjejakkan kaki ke dalam Taman Syurga. Sekeliling saya terlihat manusia yang berbagai ragam. Ada yang menangis dan meraung di tepi Maqam Rasulullah SAW. Ada yang menangis meraung di tepi Tiang Taubat. (salah satu sudut dalam Raudhah tu ada tiang, depa panggil tiang taubat). Alhamdulillah dengan kekangan yang ada sempat juga lah saya buat solat sunat Taubat dan solat sunat Hajat di situ. Semasa bersujud, Ustazah terpaksa melingkung kepala kami dengan tangannya agar tidak dipijak oleh jemaah lain yang berebut-rebut tempat bersolat. Usai solat kami hanya dapat berdoa sambil berdiri dan berjalan sahaja sebab tak boleh berlama-lama kat situ. Nak bagi peluang kepada orang lain pulak. Kalau nak berdoa siap duduk tadah tangan bagai alamatnya kena pijak dengan jemaah lain atau kena halau dengan petugas-petugas di situ. Mudah-mudahan segala taubat dan hajat kami dan kita semua dimakbulkan Allah.

Selepas lebih kurang setengah jam mengharungi keadaan di dalam Raudhah kami keluar untuk memberi peluang kepada orang lain pula. Kena bersegera sebab kawasan Raudhah akan ditutup kepada jemaah wanita sebelum solat Zohor. Keluar sahaja dari Masjid saya dan Nina tercangak-cangak mencari selipar masing-masing. Rasa macam dah betul tempat simpanan tapi seliparnya tiada. Kami mencari di segenap rak yang disediakan, memang tiada. Masa dok tercari-cari tu terserempak dengan beberapa jemaah lain pakat dok cari selipar juga. Rupa-rupanya semua selipar kami dah kena kebas. Maka berkaki ayamlah kami berjalan balik ke hotel. Sabo je. Halalkan ajelah, niat sedekah..

Memandangkan tiada program yang dikhaskan pada sebelah petang, maka kami ambik peluang berjalan-jalan sekitar Masjid. Tapi kena pi cari selipar dulu. Banyak kedai jual selipar kat sini. Rupa-rupanya fenomena kehilangan selipar adalah perkara biasa kat Masjid Nabawi. Sebab itulah depa ada sediakan plastik untuk letak selipar. Rata-rata jemaah bawa beg untuk masukkan selipar dan letak bersebelahan tempat sujud dalam  masjid.

Lepas dah dapat selipar barulah boleh meneruskan perjalanan. Kat satu kawasan ada semacam taman dengan pokok yang segar menghijau. Depa preserve tempat tu sebab katanya di situlah tempat sahabat-sahabat berbincang bagi menentukan siapa bakal menjadi imam/khalifah pertama sejurus selepas Rasulullah SAW wafat.
Depa sediakan aliran air yang cukup untuk menyuburkan taman.

Bersebelahan kawasan taman itu ada seakan pasar lambak atau pasar petang. Bolehlah mencuci mata tengok barang-barang depa jual murah-murah.

Madinah Day 2
17 Januari/18 Rabiulakhir

Ziarah luar (Masjid Quba', Jabal Uhud, Ladang Kurma)

Seawal jam 8.00 pagi bas kami dah bergerak menuju Masjid Quba'. Kami tiba agak awal ke Masjid Quba'. Alhamdulillah dah siap berwudhu dari hotel lagi. So terus sahaja masuk ke Masjid untuk Solat Tahiyatul Masjid dan Solat Dhuha.

"Barang siapa yang berwudhu daripada rumahnya sehinggalah sampai di Masjid Quba' dan bersolat didalamnya, baginya ganjaran pahala seperti menunaikan umrah" Mutawwif ambik dari mana tah. Lupa dah.

Usai solat kelihatan jemaah lain berbondong-bondong masuk ke dalam kawasan masjid dan mula berebut untuk mencari tempat solat. Maka kami pun terus keluar memberi peluang kepada orang lain pulak. Terpaksa berhimpit-himpit juga sebab ruang solat wanita agak terhad. Bergerak melawan arus pulak. Kita nak keluar orang nak masuk. Sedih tengok perangai manusia yang suka berebut dan bertolak-tolak begitu.
Pasar lambak depan Masjid Quba'
Masjid Quba'

Selepas semua ahli bas berkumpul semula, kami dibawa melawat Masjid Qiblatain pulak. Kami hanya mendengar penerangan tentang Masjid ini di dalam bas sahaja sambil bas bergerak melintasi perkarangan masjid. Kami tak turun sebab nak jimat masa. 

Seterusnya kami di bawa ke Jabal Uhud & Maqam penghulu Syuhada'. Kami diberi tempoh masa selama 30 minit untuk merasai pengalaman di Bukit Uhud dan menghayati perjuangan para Sahabah semasa dalam Peperangan Uhud.
Mutawwif memberi tazkeerah di hadapan Maqam Penghulu Syuhada'
Bukit Uhud
Walaupun ada berbagai barang jualan sepanjang jalan menuju ke kaki Bukit Uhud itu, Hubby beriya-iya berpesan agar saya tidak membeli apa-apa. Katanya lawatan ke Bukit Uhud sepatutnya menginsafkan kita tentang perjuangan para Syuhada' dan sama-sama menghayati pengorbanan mereka. Jadi tak perlulah kita seakan bersuka-ria membeli-belah pulak. Kalau teringin sangat nak membeli apa-apa boleh beli kat tempat lain. 

Selepas itu kami di bawa melihat Medan peperangan Khanda'. Hanya lalu sahaja sambil Mutawwif bercerita tentang peperangan Khandak di dalam bas sebelum meneruskan perjalanan ke ladang kurma. Katanya ladang kurma tapi saya hanya nampak seakan gudang menjual berbagai jenis kurma bersebelahan ladang kurma yang tiada buahnya. 
Pohon kurma tanpa buah. Bukan musim gamaknya.

Jemaah berpusu-pusu membeli buah kurma. Macam-macam jenis kurma dengan pelbagai rasa. Sudah semestinya dengan harga yang lebih mahal dari pasar lambak di sebelah Masjid Nabawi yang saya singgah petang sebelum tu. Di gudang tu kita boleh makan sebanyak mana kurma yang kita mampu telan, secara percuma. Tak payah bayar. Hanya perlu bayar untuk kurma yang kita nak beli sahaja. Saya hanya mampu makan sebiji kurma apa tah. Saiz agak besar. Giant size gitu. Makan sebiji tu pun dah rasa muak. Kami perati je jemaah lain borong kurma berkilo-kilo. Kami hanya beli kurma Ajwa 2 kilo. Harga 80 riyal sekilo. Katanya kualiti terbaik.....hmm 
Pasar kurma.


Madinah Day 3
18 Januari/19 Rabiulakhir

Hari ni tiada program khusus yang ditetapkan oleh pihak Tabung Haji. Semua jemaah bebas beraktiviti. Jadi selepas sarapan kami ambik peluang berjalan-jalan sekitar kawasan Masjid Nabawi. Kat sebelah masjid ada pusat Penyelidikan Research and Studies Center, seakan galeri.  Kat dalam tu ada sejarah perjalanan dan perjuangan Nabi SAW serta bagaimana bermulanya kebangkitan Islam di Madinah. Kena rajin nak baca semua maklumat yang dipaparkan. Ada pengawal yang ditugaskan memberi penerangan. Tapi depa cakap bahasa Arab. Maka saya hanya mengangguk-angguk sahaja. Kadang-kadang kami bertembung dengan kumpulan jemaah dari Indonesia. So kami tumpang sekaki mendengar penerangan daripada Mutawwif mereka. 

Amin tekun membaca. 
(Minat membaca rupanya che Abang ni, patut la SPM baru ni subjek Sejarah dapat A)
Kami suka posing je.


Replika rumah baginda Nabi SAW
Replika rumah Nabi SAW di sebelah masjid
Replika Raudhah
Replika Masjid Nabawi yang asal
Pakcik tu sedang bercerita tentang peperangan Uhud.
(Dalam Bahasa Arab, so kami nganga jelah)


Perkuburan Baqi'

Masjid Nabawi sekarang.

Mutawwif dah pesan kalau nak beli apa-apa barang untuk bawa balik Malaysia elok beli semasa di Madinah sebab apabila di Mekah nanti dah takde masa kerana kita akan asyik fikir pasal ibadah sahaja. Tapi kami takde pula rasa ghairah nak membeli belah. Lagipun hubby dah pesan tak perlu beli apa-apa pun. Kat Malaysia pun dah banyak barang yang sama. Kita datang sini untuk ibadah umrah. So penuhi masa untuk ibadah yang satu itu. So masa berbaki tu kami cuma bersiar-siar menikmati keunikan Masjid Nabawi serta keindahan kotanya.
The Hotel. Kami duduk tingkat 9. 

Alhamdulillah di Madinah ini mereka masih kekalkan pengasingan antara lelaki dan perempuan. Orang-orang tempatan pun nampak berbudi-bahasa. Kalau nak masuk masjid depa asingkan pintu masuk bagi jemaah lelaki dan perempuan. Masing-masing akan masuk ikut pintu yang berbeza. Nampak tersusun dan teratur. Tak perlu berebut-rebut untuk masuk masjid. Biasanya untuk solat berjemaah saya lebih selesa bersolat di luar masjid sebab suasananya lebih tenang dengan angin sepoi-sepoi bahasa. Kalau solat Dhuha dan membaca al Quran saya akan buat di dalam Masjid semasa suasananya dah lengang.
Masjid hanya lengang selepas solat Dhuha.  

Sepanjang lorong dalam masjid tu depa letak bertong-tong air zam-zam untuk para jemaah. Depa akan penuhkan tong-tong tu setiap hari. Dan airnya sentiasa cukup untuk semua jemaah. Saya akan minum setiap kali masuk masjid untuk kesegaran badan. Alhamdulillah takde rasa payau. Boleh minum macam air kosong je.
Barisan tong air zam-zam siap dengan cawan plastik.
Mek yang suka bergaya.

Sampai akhir dok menunggu depa buka batang payung tu tapi tak kesampaian. 

Alhamdulillah selama 3 hari di Madinah masa kami terisi dengan pengalaman yang sangat bermakna. Mudah-mudahan segala amal kami di sini diganjari Allah dengan sebaiknya.


PS: Ada peluang Insya Allah saya ingin kembali lagi.



No comments:

Rumah Homestay, Rumah Pencen

Beberapa kali balik beraya tahun-tahun lepas, beberapa kali jugak hubby dok repeat nak balik pencen di kampung. Dan beberapa kali jugak saya...