Friday, 14 April 2017

Perjalanan ini: Madinah-Mekah (2017 Januari 19)

19 Januari/20 Rabiulakhir

Usai solat subuh dah sarapan kami berkumpul lagi untuk program ziarah selamat tinggal. Kali ini mengikut kumpulan Mutawwif masing-masing. Kami hanya duduk berkumpul di luar pintu masuk ke Maqam Rasulullah SAW sahaja sambil Mutawwif memberi kuliah tentang perjuangan Baginda. Setelah mengucapkan salam selamat tinggal kepada Baginda Rasul SAW kami pulang ke hotel untuk mengemas. Semua bagasi sudah ditinggalkan di luar pintu bilik hotel seawal 7.30 pagi untuk urusan check-out. Seperti sebelum ini semua urusan punggahan bagasi di uruskan oleh pihak hotel. Kami hanya letakkan di luar pintu bilik. Depa akan setelkan semuanya. Tunggu sahaja beg dihantar di depan pintu hotel di Mekah nanti.

Kami disediakan makan tengahari seawal jam 11.30 pagi. Lepas tu solat zohor untuk kali terakhir. Sayu je rasa hati untuk meninggalkan Masjid Nabi. Usai solat kami balik semula ke hotel untuk persiapan terakhir. Mandi sunat Ihram dan solat sunat musafir. Sementara saya habiskan mengemas, Hubby dan Amin bersiap sedia dengan pakaian ihram masing-masing. Alhamdulillah seperti dijadualkan by pukul 2.00 petang bas bergerak meninggalkan Kota Madinah dan Masjid Nabawi, meninggalkan bersama separuh hati dan jiwa saya.....

Perjalanan ke Mekah memakan masa selama 6 jam. Jangka tiba di kota Mekah pada jam 8.00 malam. Sebaik sahaja bas bergerak Mutawwif memulakan ceramah tentang Umrah dan hal-hal yang berkaitan dengannya. Tiba sahaja di Bir Ali kami semua di ingatkan untuk bersiap sedia dengan niat ihram dan memastikan semua jemaah lelaki menuruti sepenuhnya tatacara pemakaian kain ihram. Bir Ali merupakan Miqat (tempat berniat ihram) bagi jemaah yang datang dari Madinah. Di situ ada masjid agak unik berbentuk macam kubu.  Saya memang berhajat untuk bersolat tahiyatul masjid sebelum berniat ihram di situ tetapi Mutawwif tidak menggalakkan kami turun kerana jemaah sangat ramai. Maka kami hanya berhenti dan berniat ihram di dalam bas sahaja memandangkan semua jemaah lelaki sudah siap berpakaian ihram dari hotel lagi.

Sebaik sahaja berniat ihram maka secara rasminya kami semua sedang berada dalam kemuncak perjalanan menjadi tetamu Allah. Subhanallah. Mutawwif menggalakkan kami beristighfar dan membaca Talbiyah di sepanjang perjalanan dari Bir Ali hingga melakukan Tawaf di Kaabah nanti. Sambil itu juga Mutawwif memberi ceramah tentang perjalanan dan perjuangan Rasulullah menyebarkan dakwah. Bagus juga Mutawwif dok berceramah secara live sebab takde pemandangan yang menarik sepanjang perjalanan itu. Yang kelihatan hanyalah kawasan gersang dengan bukit berbatu serta padang pasir. Sepatutnya pemandangan begitu menginsafkan kita betapa susah payahnya Baginda Rasul SAW berhijrah dengan hanya berjalan kaki mengharungi keadaan padang pasir dan bukit batu begitu. Astaghfirullah.

Selepas beberapa ketika (lupa dah) kami berhenti rehat di R&R Wadi Qudaid untuk solat asar, makan dan terus menunggu untuk solat jamak Maghrib dan Isya' pula. Kami order nasi Arab dengan kentang goreng dan ayam panggang. Agak mewah hidangannya dengan harga 15 riyal satu hidangan.

Selepas makan kami bersiap sedia untuk solat. Keadaan tandas dan bilik air di Wadi Qudaid agak dhaif dan agak kurang selesa terutama untuk jemaah wanita. Alhamdulillah kami tiba agak awal jadi tak perlu berebut-rebut dengan jemaah lain yang sangat ramai. Pertama kali saya berwudhu dengan air masin.

Keluar sahaja dari surau nampak pemandangan langit malam yang luas terbentang. Sungguh belum pernah saya berpeluang melihat keadaan langit yang terbentang luas begitu. Benarlah kata Allah..

إِنَّ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَٰفِ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ لَءَايَٰتٍ لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبَٰبِ

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal
('Ali `Imran [3] : 190)
Deretan kedai makan di Wadi Qudaid
Stesen minyak

Selepas puas menikmati keindahan langit malam di Wadi Qudaid, saya dan Nina berjalan mencari bas nombor 4 tapi tak berjumpa. Dua tiga kali pusing tempat yang sama tapi tak jumpa juga. Sebenarnya bas kami antara yang pertama tiba di R&R tu. Dah dapat port parking yang strategik. Dan saya dah hafal landmark tempat parking tu. Entah kenapa bila sampai waktu nak cari bas ternampak deretan bas yang sangat banyak. Sampai dah terkompius yang mana satu bas kami walaupun semua bas tertera nombor masing-masing. Setelah beberapa lama berlegar-legar akhirnya Allah buka hijab bas kami depan mata je. Rupa-rupanya ahli bas kami dok pakat tunggu kami. Hubby pun dah saspen takut bininya hilang.....:)

Alhamdulillah kami tiba di Mekah dalam pukul 8.30 malam. Dari jauh kelihatan menara jam yang menjadi mercu tanda Kaabah. Perasaan saya ketika itu tak dapat diungkapkan. Dah macam tergamam tak tau nak rasa apa. 

"Alhamdulillah kita sudah sampai depan hotel. Sila turun sekarang. Pastikan semua barang diambil...." tiba-tiba saja terdengar suara Mutawwif. Dia bagi masa 45 minit untuk kami masuk ke bilik hotel dan mengemas diri sebelum berkumpul semula di lobi hotel untuk tawaf, saie dan tahalul. Alhamdulillah urusan umrah kami berjalan lancar dan selesai dengan tertibnya sebelum jam 11.00 malam.


PS: Pengalaman kali pertama memandang Kaabah dan bertawaf tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.....

No comments:

Rumah Homestay, Rumah Pencen

Beberapa kali balik beraya tahun-tahun lepas, beberapa kali jugak hubby dok repeat nak balik pencen di kampung. Dan beberapa kali jugak saya...