Monday, 4 November 2019

Pokok durian nan sebatang.

Masuk bulan September baru-baru ini bermakna dah tiga tahun usia pokok durian ini. Saya tak pernah terfikir nak tanam pokok durian sebab saya bukanlah hantu durian. Tapi disebabkan hubby dah bersusah payah order dari kawan dia, maka kita tanam sajalah. Untung-untung hidup. Kalau tak serasi pun saya redha aje. Almaklumlah waktu itu kengkonon sibuk dengan kerjaya, takde masa nak berlama-lama di halaman rindu kebunku. Lepas tanam, saya biarkan sahaja ia hidup sendiri. Alhamdulillah, satu daripada dua anak pokok tu hidup hingga kini. Yang satu lagi dah arwah selepas beberapa minggu ditanam.

Masa awal-awal menanam pokok sekeliling rumah dulu, saya main belasah aje. Tak pernah ada basic berkebun, tak pernah plan apa akan belaku pabila pokok-pokok tu besar nanti. Mana-mana pokok yang saya berkenan, saya akan tanam. Kalau dah besar dan menyemakkan hati dan mata, saya akan tebang dan tanam pokok baru. Alhamdulillah sejak dah berhenti kerja dan banyak masa di rumah barulah saya mula susun apa yang perlu ditanam dan kat kawasan mana nak tanam. 


Sebelum ini pokok durian ni duduk bersesak-sesak dengan pokok betik. Maka terpaksalah ia bersaing untuk mendapatkan cahaya matahari. Tapi sejak pokok betik tu ditebang barulah pokok durian tu nampak ceria dan mula mengeluarkan pucuk dan dahan baru. Selepas lebih kurang 6 bulan dia dah mula meninggi dan galak berdaun. Menurut empunya benih dulu, pokok durian ni jenis baka ringan dan boleh mula berbuah dalam masa 3 tahun. Tapi sekarang dah lepas 3 tahun masih belum nampak bayang bunganya. 

Pokok durian dah mula meninggi.

Batang kurus.

Daun makin lebat sejak musim hujan ni.

Ramai yang bagi petua suruh takek batangnya supaya cepat berbuah tapi saya tak sampai hati nak takek. Lagi satu petua kata potong dahan-dahan yang tak perlu. Biarkan dahan yang besar dan tegap sahaja untuk mengeluarkan buah. Kalau ikutkan hati, saya nak tebang sahaja pokok ni sebab takut menyusahkan di kemudian hari. Setahu saya, pokok durian ni selayaknya tanam di kebun yang lapang atau tanah hutan. Tapi disebabkan nak tengok apa hasil seterusnya, maka kita biarkan dulu buat sementara waktu. 

Selepas tamat kursus dari youtube, maka pada hari minggu baru-baru ni saya memulakan operasi memotong dahan-dahan kecil dan memangkas daun-daun yang rendang. Kalau tak berjaya juga baru saya akan takek batangnya. Kalau masih degil, kita tebang aje.

Pokok dah togel.

Mudah-mudahan dengan usaha kecil ini akan membuahkan hasil yang yang baik agar dapat berkongsi rezeki dengan mereka yang bertuah.

Cerita lama:
https://umminina.blogspot.com/2016/09/pokok-durian-pulok.html

No comments:

Rumah Homestay, Rumah Pencen

Beberapa kali balik beraya tahun-tahun lepas, beberapa kali jugak hubby dok repeat nak balik pencen di kampung. Dan beberapa kali jugak saya...