Monday, 23 April 2018

Le Meridian lagi

Saya jarang mengikut hubby pi majlis rasmi atas berbagai alasan. Masa dulu sebab anak-anak kecik payah nak tinggal. Kalau boleh tinggal pun saya masih tak selesa sekiranya anak-anak tiada di depan mata. Dalam kepalaku hanya ada mereka. Nak makan pun rasa tak kenyang. Tapi sejak anak-anak dah besar dan ada kehidupan sendiri barulah rasa tenang nak ke mana-mana. 

Hujung minggu baru ni pertama kali saya mengikut hubby ke majlis rasmi. Memula tu saya cuak jugak sebab kita ni manalah reti dengan protokol bagai. Tapi hubby kata bukannya payah pun, just go with the flow, Insya Allah takde masalah. Yang penting pakai baju ikut tema dan ikut protocol sebab ada tetamu di Raja. Depa buat di Le Meridian Hotel Putrajaya.


Majlis bermula pukul 8.00 malam. Kami gerak sebelum Maghrib, tiba di hotel jam 7.30 malam. Lepas parking terus bergegas pi solat Maghrib di surau hotel. Alhamdulillah kami dah bersedia dengan wudhu dari rumah so takde la kalut sangat nak beratur kat bilik air. Lepas solat terus ambik tempat duduk di meja. Kami dapat tempat duduk di meja sebelah meja Di Raja. Alhamdulillah berpeluang melihat Tuanku dan kerabat dari dekat. 


Meja Di Raja

Sepanjang majlis makan kami dihiburkan dengan persembahan daripada kumpulan seni USIM. Depa juga mengundang Nash untuk menyumbang beberapa buah lagu popularnya. Of course la terselit lagu 'Pada Syurga di wajahmu' dan juga 'Halaman Rindu'. Famous time kami muda-muda dulu.....

Seperti biasa kalau makan kat hotel ni kena ikut protokol. Makan pun kena penuh adab. Kita yang tak biasa ni asyik tersasul-sasul nak pilih sudu garpu yang mana. Banyak pulak tu depa lambak sudu garpu pelbagai saiz untuk pelbagai hidangan. Walaupun depa dah susun elok-elok, suka hati saya saja nak capai yang mana yang selesa..... 😁

Aturcara majlis.
Menu.
Dessert..... Cream brulee pandan and peach.

Sebenarnya majlis tu diadakan untuk meraikan agensi-agensi yang telah menyumbang dana kepada kepada kelestarian USIM. Dipenghujung majlis depa buat acara penyampaian replika-replika cek oleh para penyumbang. Kiranya hubby jadi wakil untuk sumbangan daripada Etiqa. Pihak Etiqa bagi sumbangan RM310 000 dan RM100 000 duit zakat untuk pelajar-pelajar asnaf USIM.

Barisan penyumbang untuk dana USIM

Menyampaikan cek replika daripada Etiqa.

Bersama staf Etiqa.

Cenderahati USIM untuk penyumbang dana.

Alhamdulillah majlis berjalan lancar. By pukul 10.45 malam semua dah bersurai.


PS: Sejak tak kerja ni banyak pulak kerja lain yang menunggu.....



Wednesday, 18 April 2018

Ke Kelantan kita.....

Nampaknya hampir setiap minggu saya mengikut hubby ke mana sahaja. Hanya berdua. Kebetulan weekend baru ni hubby ada kerja di pantai timur maka ke Serambi Mekah pulak kita.

Kami selalu drive sendiri ke airport. Maka terpaksalah bersedia dengan bayaran parking untuk selama dua hari. Dan sejak dah tua ni saya kena lebih prihatin tentang tempat parking kereta. Biasanya saya hafal je. Maklumlah parking kat KLIA2 ni agak luas. Silap hari bulan boleh sesat tak jumpa cari kereta. Walaupun bayaran parking agak mahal tapi kami lebih selesa guna kereta sendiri. Kalau naik grab car ataupun teksi rasa macam sama je jumlah kosnya sebab nak kena ambik untuk pergi dan balik. Kalau nak naik ERL, terpaksa bersesak-sesak dengan mereka yang lebih muda and still kena ada transport juga untuk ke KL Sentral. Hmm.... sungguh mengada-ngada diriku ini.

Parking @ KLIA2

Alhamdulillah flight on time. Kami tiba di airport Kota Bharu pada jam 2.15 petang. Terus pi ambik kereta sewa. (Dah siap buat booking untuk 2 hari). Kami singgah makan tengahari di Restoran Daun Pisang di jalan Pengkalan Chepa. Kami memang dah target untuk makan tengahari (walaupun sebenarnya dah petang) kat situ. Alhamdulillah masih ada menu yang menyelerakan walaupun dah tinggal ujung-ujung. Lepas tu terus check-in kat Hotel Perdana. Kebetulan ada kenalan hubby kerja kat hotel tu so depa sediakan bilik ala-ala VIP gitu. Siap ada hidangan buah dan persalinan solat sebagai compliment. (ntah-ntah dah masuk dalam bayaran....🙊)

Depa sediakan sejadah, kain pelikat, sepasang telekung dan tasbih.

Tak sempat ambik gambar hamper buah sebab dah buka makan awal-awal lagi....:)

Bilik kami kat tingkat tujuh, so boleh mensaujanakan pandangan sekitar bandar Kota Bharu. Boleh nampak banyak pembangunan sedang pesat dijalankan sekitar bandar Kota Bharu.

Stadium warna pink putih.

Dalam pukul 5.30 petang kami keluar jalan-jalan sekitar  pusat bandar. Singgah pasar Siti Khadijah sambil beli makanan kering. Sempat menangkap popia gulung, popia simpul, karipap kecik, serunding daging dan kacang-kacang. Semua tu feveret kudapan saya waktu bersantai. Lepas tu singgah pasar malam apa ntah kat sebelah Sekolah Maahad untuk beli kuih-kuih tradisional Kelantan pulak. Jala mas, serikaya dan gerodok telur serta laksa Kelantan tetap menjadi feveret saya sampai bila-bila. Lepas tu kami pi isi perut dengan roti tempayan di Restoran Wajinah. First time saya menjamah roti tempayan setelah sekian lama mengidam.....

Roti tempayan cicah kari kambing..... marvelous!

Esoknya sepanjang hari hubby ada program luar. Maka tinggallah saya melayan diri sendiri. So pepagi lagi saya dah buat planning untuk mengisi masa seharian itu. Lepas sarapan saya berehat dulu sambil menyusun masa dan aktitivi yang sesuai, sambil ambik mood untuk dapatkan kekuatan nak melilau sorang-sorang..... of courselah dengan izin hubby. Selama ini saya sentiasa berteman. Cuak juga apabila nak kena drive sensorang sambil tengok waze sebab saya tak biasa sangat dengan jalan kat Kota Bharu ni. Selama ni dok jadi madam je kat sebelah hubby. Kalau kena drive pun akan sentiasa bersama dengan navigatorku. (Missing every bit of her....huhu). 

Destinasi pertama sudah tentulah ke Kg Cina. Tempat jatuh lagi dikenang. Memula saya tak bukak waze. Konon nak jadi pemandu berhemah driving tak tengok handphone. Patbelas kali pusing baru jumpa jalan keluar dari Kota Bharu. Sabo jelah. Banyak benor jalan one way. Berkat kesabaran dan ketenangan jiwa akhirnya saya dapat bertemu susuk tubuh yang banyak berjasa selama ini. Kami hanya berbual di warungnya sahaja sambil menjamah nasi kerabu special hasil tangan Kak Yah.

Bernasi kerabu kita..... Sedap seperti biasa!

Lepas tu saya menyambung silaturrahmi di Kg Sungai Keladi pulak. Melawat Kak Dah dengan taman bunga dan kebunnya. Banyak pengalaman hidup yang dikongsikan. Banyak isu yang dibincangkan. Banyak kenangan yang disingkapkan. Tak terasa, rupa-rupanya kami banyak persamaan. Sangat terharu dengan layanan mesra walaupun jarang bersua. Paling penting saya suka dengan kebunnya.....

Bunga kantan yang menarik minat saya, tapi saya malas nak tanam.

By pukul 2.30 petang saya bergerak ke KB Mall pulak untuk bertemu sahabat semasa MRSM dulu. Tak ingat dah bila kali terakhir saya berjumpa dengan mereka. Sungguh, masa tidak pernah memisahkan kita. Dengan keterbatasan masa kami hanya sempat berbual sambil update cerita terkini masing-masing. Walaupun setelah beberapa lama tidak bersua muka, namun keakraban dalam persahabatan tetap hangat. Apabila kita grab apa sahaja peluang untuk menghubungkan ukhuwah Allah akan tambahkan dengan kurniaan lain yang berganda. Itu yang saya percaya. Rasa bahagia itu tidak boleh dijual beli.....

Minum-minum @ La Koo Cafe, UTC Kota Bharu.

By pukul 5.30 petang saya tiba ke hotel semula. KB Mall dan Hotel Perdana hanya 2 minutes drive sahaja. Jalan kaki pun boleh kot tapi tak nampak pulak ada orang buat. :) Sampai kat hotel baru perasan perut saya berkeroncong. Rupa-rupanya sebab asyik bersembang tadi hingga terlupa nak pesan makanan berat. (Padahal dah bedal nasi kerabu kat warung Kak Yah tengahari tadi). Alhamdulillah ada baki sebungkus laksa yang beli malam tadi. Sebab takut membazir, saya simpan dalam peti sejuk. Inilah kelebihan masakan asli Kelantan, jika dimasak dengan betul memang akan tahan lama.

Laksa Kelantan, sejuk gedi pun sodap!

Malam pulak dapat undangan dinner bersama besan. Alhamdulillah depa datang jemput kat hotel, so boleh perasan VIP sekejap. Walaupun saya dah pekena laksa sejuk sebelum tu tapi selera makan masih ada. Pekena nasi putih dengan sup tulang dan ayam goreng kunyit pulak. Not bad. 

The Besans dining @ Wau Restauran, Kota Bharu.

Asalnya kami dah booking flight ticket pergi hari Sabtu pukul 1.15 tengahari dan balik hari Isnin pukul 12.00 tengahari. Konon sempat lah nak berjalan-jalan kat sana. Lepas dah setel booking semua baru teringat hubby ada program hari Isnin bermula jam 9 pagi. Maka terpaksalah burnt tiket tu dan buat booking baru untuk pulang awal pagi. Redha jelah. Mudah-mudahan Allah ganti dengan rezeki yang lebih baik. Ahamdulillah masih ada kekosongan untuk flight jam 7.30 pagi. Mudah-mudahan sempatlah hubby masuk meeting jam 9.30 walaupun agak lewat.

Makanya seawal jam 6.00 pagi kami dah check-out dari hotel. Nak hantar kereta sewa pun ofisnya tak bukak lagi. So depa suruh drop key sahaja. Based on trust depa percaya sahaja kami hantar balik kereta in good condition. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan walaupun kapal terbang gerak agak lewat sikit daripada sepatutnya.
Lobi hotel sunyi sepi dinihari.....

Kami tiba di KLIA2 dalam pukul 8.30 pagi. Terus bergegas ambik kereta dan shoot-off ke KUIS hantar hubby mesyuarat. Kemudian saya balik ke Nilai untuk setel apa yang patut. First time travel sana-sini sorang-sorang. Apa nak dikata, sooner or later saya terpaksa terima hakikat bahawa hidup ini hanya sementara. Segala-galanya sementara. Anak-anak sementara. Harta benda pun sementara. Kawan dan sahabat pun sementara. Sementara menunggu di jemput Ilahi. In the end kita akan hidup dan mati sendiri.....

Pertama kali datang KUIS.....

By pukul 1.00 tengahari pi ambik hubby semula, lepas tu terus balik Ampang pulak. Alhamdulillah, done aktiviti menyupir, lepas ni boleh sambung dengan aktiviti berkebun yang pulak.


PS: Sebenarnya saya pernah very independent sebelum ini.....hmm.



Bateri kereta kong

Sejak Nina dah pindah sekolah kereta Unser saya seakan terbiar. Kesian pulak berpanas dan berhujan seorang diri. Jika selama ini Unser itu setia memberi khidmat bakti mengangkut penumpang pergi dan balik sekolah atau ke mana sahaja, daripada lima orang hingga pupus seorang demi seorang, yang tinggal kini hanya supirnya sahaja.

Kebetulan baru ni saya banyak duduk di KL maka Unser tu seakan keseorangan di Nilai. Setelah lebih seminggu tidak digunakan tetiba sahaja langsung tidak boleh bergerak. Enjin pun dah malas nak hidup gamaknya. Beberapa kali saya cuba menghidupkan enjinnya namun masih tidak berjaya. Akhirnya saya pasrah, kereta Unserku sedang merajuk dan berduka lara.....😢

Alhamdulillah sekitar Nilai ni banyak kedai repair kereta. Saya pi panggil pomen datang tengok.  Konfiden je saya cakap bateri kereta kong dengan harapan bukan masalah lain yang lebih besar. Sungguh mudah urusannya. Depa datang bawa semua peralatan untuk check bateri serta bateri baru incase kena tukar yang baru.

Selepas diuji ternyata bateri kereta tu sangat lemah.

Bateri lama tu jenama Yokohama made in Malaysia. Rasanya saya bayar RM380 masa ganti hari tu. Tak ingat bila. Tercatat kat bateri tarikh 6-10-17. Kalau ikutkan kejadiannya, bermakna depa tukar bateri pada tarikh itu. Bermakna baru enam bulan saya guna bateri tu. Tapi rasanya dah lama saya guna bateri tu tak tukar-tukar. Hmm... entah lah.


Depa ganti dengan bateri jenama Varta. Katanya made in Germany. Harapnya boleh bertahan lebih lama. Depa caj RM350 untuk bateri sahaja. Free services. Saya hanya perlu ambik dan hantar pomen tu balik semula ke bengkel.


Alhamdulillah enjin dah segar semula.

Sebenarnya beberapa minggu sebelum cuti sekolah akhir tahun lepas, berlaku kejadian yang hampir serupa. Tetiba kereta tak boleh start. Setelah empat kali cuba saya komfem sendiri bateri dah kong. Suspen juga sebab tak pernah pulak ditimpa kejadian begini.

"Ada sesiapa ada jumper kereta? Rasanya bateri kereta saya dah kong." Terpaksa tanya kat grup whatsapp sekolah.

"Kereta cikgu kat mana?" Alhamdulillah cepat sunguh respon dari sahabat guru. Terharu dengan tautan ukhuwah di sana.

Depa caj pakai power bank. Memang power....

Lepas enjin kereta dah hidup saya terus bawa pi bengkel kat Ukay Perdana. Saya tak ingat bila last saya tukar bateri kereta sebelum tu. Mungkin tahun lepas, mungkin lebih lama dari itu. Depa check bateri tapi rasanya macam ok je. Tak perlu ganti. So saya pun guna kereta Unser tu sampailah pada tarikh sepatutnya diservis. Rasanya dalam bulan Januari baru ni saya pi buat servis dan tukar tayar. Saya tukar ke empat-empat tayar dengan tayar baru sebab semuanya macam dah botak. Tapi saya lupa tentang bateri. Samada saya tukar bateri baru atau tidak.... itulah yang menjadi persoalannya. Kalau baru tukar kenapa tulis tarikh bulan sepuluh. Padahal saya yakin tidak ganti bateri baru masa kengkonon bateri kong sebelum tu. Kalau tak tukar kenapa pulak depa tulis kat situ. Lepas tu hanya tahan enam bulan sahaja walhal sebelum tu boleh tahan hingga dua tahun. Sebelum ni saya tak pernah perasan pulak bab tulis tarikh kat bateri kereta. Hmm.... apa-apa jelah, asalkan semuanya selamat. 

Sekarang ini pun Unserku masih lagi keseorangan. Walaupun tidak lagi berulang-alik menghantar Nina pi sekolah, setiap kali pergi Nilai saya akan luangkan masa untuk membawanya ke mana-mana sahaja. Mudah-mudahan tidak merajuk lagi selepas ini....


PS: Mulai sekarang nak kena cakna pasal kereta pulok.....Sebelum tu nak kena siasat apa yang sebenarnya berlaku.



Tuesday, 17 April 2018

Peghelih pulak.....

"Okey..... ticket semua dah print. Hotel pun dah booking...."

Belum sampai 2 minggu lepas tinggalkan tuan puteri tu di Utara tanah air, ayahnya dah siap buat planning nak pi melawat pulak. Tanpa banyak bunyi tetiba sahaja hubby dah siap buat booking flight pergi balik dan juga bilik hotel. Tinggal lagi nak booking kereta sewa sahaja. Seperti biasa urusan booking kereta saya yang setelkan sebab guna ic dan lesen saya. (Hubby punya lesen UK sampai sekarang tak convert)

Maka dalam kabus pagi Sabtu itu sepasang sejoli berlari-lari anak dalam terminal nak catch-up flight pukul 7.30 pagi. Rupa-rupanya suasana awal pagi di KLIA2 sangat sesak. Hubby dah pesan dah suruh redi awal-awal sebab dia dah biasa travel, cuma saya yang tak dapat bayangkan suasana havoc begitu. Dengan lautan manusia yang pelbagai telatah. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar walaupun tercungap-cungap macam lepas berlari marathon..... huhu jauh benor nak menyampai ke pintu pelepasan. Sabo jelah.....

By pukul 8.30 pagi kami selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar. Terus pick-up kereta sewa untuk meneruskan perjalanan ke Kangar.


Perjalanan ke Kangar mengambil masa hampir satu jam. Kebetulan Nina ada kelas al-Quran pagi itu jadi sementara menunggu programnya habis pukul 10.00 pagi maka kami singgah sarapan di warung depan Maktab dahulu. Sebenarnya hubby ada order pre-booked meal dalam flight. Ada nasi lemak Pak Naseer dan sandwich. Tapi seperti biasa saya tak lalu nak makan pepagi hari. So take away jelah untuk Nina. 

Asalnya nak bawa Nina untuk keluar bermalam tapi kebenaran keluar bermalam dibekukan sebab depa kena hadir banyak kelas tambahan. Depa hanya boleh keluar outing sahaja dan perlu balik ke Maktab semula sebelum pukul enam petang. 

Antara hajat saya ialah nak pi melawat Padang Besar.Tapi disebabkan cuaca sangat panas dan hajat tu pun tidaklah besar sangat sampai tahap nak kempunan kalau tidak dipenuhi maka saya cancel jelah. Malas pulak nak bersesak-sesak dalam pasar tu. Makanya, kami hanya pusing-pusing melawat kawasan sambil ambik bau dan melihat-lihat keadaan. Pengunjung memang agak ramai dan bas-bas pelancung pun bersusun-susun. 

Lepas tu kami terus ke bandar Kangar untuk makan tengahari sambil beli barang keperluan budak asrama. Bandar Kangar tidaklah besar sangat. Ada Supermarket The Store untuk budak-budak beli barang keperluan harian. Ada juga beberapa kedai fast food.

Lunching.....

Lepas dah setel beli barang-barang kami pi check-in bilik hotel untuk berehat. Dapatlah jugak Nina qadha tidur lena selama hampir dua jam sebelum kena pi hantar balik asrama semula. 

Pada hari tu nampak ramai juga ibu bapa yang datang melawat anak-anak masing-masing. Ada yang datang hantar makanan  sahaja. Ada yang bawak makanan untuk makan bersama-sama di bangku-bangku sekitar kawasan maktab. Ada yang sekadar bersembang-sembang dengan keluarga.

Cantik juga depa buat taman hiasan sekitar Maktab ni.

Baby Daddy...

Lepas hantar Nina kami pusing-pusing sekitar bandar Kangar. Saja melihat-lihat kawasan kot-kot nanti ada masa boleh datang lagi. Banyak jugak tempat menarik untuk diterokai.


Esoknya sebelum balik KL semula kami singgah melawat Nina lagi. Bawa nasi lemak untuk kawan-kawan Nina sarapan ramai-ramai. Kami hanya jumpa dan duduk-duduk bersembang sahaja sementara on the way nak pi airport.  
Kat Perlis pun ada nasi kerabu...

Kata orang, kalau pi Perlis tak sah kalau tak beli mangga harum manis. So saya try jelah ambik tiga biji. Rasanya memang sedap, lemak dan manis. Tapi tidak terhidu pulak keharumannya..... :)

Harum manis 3 biji untuk RM30.

"Jauh-jauh datang Perlis beli tiga biji je.....???"

Hahaha.....mahai oi! Nanti lain kali datang Perlis kita borong lagi.


PS: Tapi saya lebih suka mangga mas hitam.....


Wednesday, 4 April 2018

Dentist

Sejak akhir-akhir ni gigi terasa macam ngilu. Gusi pun terasa sengal-sengal. Sengal-sengal? Entah betul entah tidak pemilihan perkataan ni. Apa-apa pun semua itu menyebabkan keadaan tidak selesa terutama apabila mengunyah benda-benda keras. Saya dok agak-agak takut gigi berlubang. Ataupun sebab tampalan lama dah mula retak. Pepandai je buat diagnosis sendiri. Tapi takdelah urgent sangat. Selagi masih boleh bertahan maka tertahan-tahan jugak la nak buat appoinment dengan dentist.

Kebetulan ada masa terluang baru ni saya pun survey klinik gigi yang sesuai. Google je. Terbekenan pulak dengan Klinik Pergigian Syifa, Bandar Baru Nilai. Terus buat appoinment untuk slot pukul 11.30 pagi keesokan harinya. 

Seperti yang dijadualkan tepat pukul 11.00 pagi saya keluar rumah sorang-sorang. Confident je tengok waze jalan straight to the point. Memula nampak macam senang je. Dua tiga kali pusing tak jumpa-jumpa tempatnya. Rupa-rupanya klinik tu kat tingkat atas bangunan kedai. Signboardnya terang dan jelas tapi disebabkan nak drive lagi, nak tengok waze lagi, nak tengok signboard lagi maka agak kalut di situ. Biasanya sebelum ni ada assistant kat sebelah......huhu. (Miss her already...haha tertiba).

"Gigi puan ni semua elok lagi. Takde lubang. Cuma yang satu ni 'leher' dia macam dah nampak sikit...."

"Ooo... sebab apa tu doktor?" Tak pernah pulak saya dengar pasal leher gigi ni...:)

"Biasanya bila dah berusia ni geraham kita macam dah jatuh sikit. Mungkin juga sebab tabiat memberus gigi terlalu kerap dan kasar. Ataupun sebab menggunakan berus gigi yang keras."

Hmm.... betul lah tu. Saya memang suka pakai berus gigi yang keras (hard) tu. Pernah juga cuba guna yang medium tapi tak puas hati sebab gigi rasa tak bersih. Berus gigi macam nak sental lantai memang la buruk padahnya. Kesian enamelku terhakis. 

"Lepas ni puan guna berus gigi lembut. Cari ubat gigi untuk gigi sensitif. Nanti dia akan buat lapisan baru untuk cover enamel yang terhakis tu....."

Akhirnya saya hanya buat servis cuci gigi sahaja. Doktor bagi sampel ubat gigi sensitif dan cecair untuk cuci mulut.

Nampaknya lepas ni kena guna ubat gigi Sensodyne dan berus gigi lembut lah pulak. Nak kena percaya iklan kat TV tu. Apa-apapun kena kurangkan pengambilan gula dalam minuman disamping menghindari makanan yang terlalu panas, sejuk, manis dan masam..... 

Teh Charmomile..... tanpa gula.


PS: Pabila Allah menarik nikmat hidup sedikit demi sedikit.....



Sunday, 1 April 2018

Kepala Gas Longgar.

Sejak dulu lagi saya memang sediakan tong gas extra untuk memasak, incase malam-malam gas habis atau kedai runcit tutup. Masa anak-anak ramai sebelum ni saya memang rajin masak sebab nak jimatkan kos rumah tangga. Tapi sejak anak-anak dah terbang saya dah jarang masak beriya-iya. Setakat nak makan untuk dua tiga mulut tu saya masak sesimple yang boleh aje. Memakan masa yang lama jugak la nak menghabiskan satu tong gas yang sedia ada. Maknanya dah lama tong gas itu tidak berganti. 

Suatu hari tu tak perasan pulak tetiba gas habis. Maka seperti biasa saya ambik je tong gas spare kat belakang rumah. Tapi saya rasa pelik pulak bila dapat tong gas yang comot. Biasanya setiap kali beli gas depa akan bagi tong baru. Takde la rupa comot.  Kalau comot biasanya Petronas akan cat baru. Tapi sebab dah terdesak nak cepat-cepat masak maka redha jelah dengan apa yang ada. Sambil-sambil tu nak ajar Nina tukar gas. Tapi tak boleh pulak. Kepala tong gas tu  macam longgar. Bahaya pulak kalau ada gas bocor nanti. Maka mengooglelah saya cari jalan penyelesaiannya. Rupa-rupanya getah tong gas tu dah longgar. Alhamdulillah ada petua mudah untuk ketatkan kepala gas itu.  Hanya lilitkan rubber band keliling kepala tong gas tu, lepas tu pasang je tombol penyambung tu macam biasa.

Buang penutup hijau pada tong gas baru

Lilit je rubber band tu keliling kepala tong gas, lepas tu pasang tombol macam biasa.


Yang lebih pelik lagi saya baru je guna tak sampai sebulan tetiba dapur tak menyala. Biasanya satu tong gas boleh tahan hampir dua bulan. Sepatutnya apabila berulang-alik Ampang-Nilai sepatutnya penggunaannya haruslah lebih lama. Ini tak sampai sebulan, tengah asyik menggoreng ikan tetiba api padam. Lubang gas tersumbatkah? Takanlah gas dah habis. Samada tong gas yang depa bagi dulu yang dah terpakai ataupun ada masalah kebocoran. Tapi kalau nak kata kebocoran, takde pulak bau gas. Nak kata depa bagi tong terpakai tak ada bukti pulak. Dosa tu. Makanya terpaksalah redha dengan keadaan. So saya call kedai runcit minta depa hantar gas baru. Alhamdulillah dapat tong gas cantik. Tapi timbul lagi masalah yang sama. Tombol masih longgar. Dah lilit getah pun masih longgar. Yang menambah cuak tu tetiba terdengar bunyi desiran kat kepala tong gas tu. Takut pulak ada kebocoran yang betul-betul. Maka saya pun terus tutup dan cabut tombol gas tu. Lepas tu sambung masak ikan tu dalam oven. Saya guna oven elektrik. Nasi pun masak guna periuk elektrik. Perangat lauk guna mikrowave je. Alhamdulillah ruang rezeki Allah sentiasa terbuka.....

Petang tu terus keluar beli kepala gas baru. Orang kedai tu siap offer beberapa model yang ada. Saya mana ler tahu perihal tombol gas ni. So saya pilih yang sederhana sahaja. Model Zenne ZR2018BB. Katanya made in Japan. Tengokkan alamat Syarikat tu kat Seri Kembangan sahaja. Sukahati hangpa lah.



Katanya paip ni ada ciri-ciri keselamatan. ISO bagai....

Sebenarnya dia datang dengan wayar paip sekali. Tapi tak larat pulak nak sambungkan wayar paip tu. Ketat benor. Maka untuk memudahkan kerja (asbab kudrat yang tak seberapa) maka saya potong saja wayar paip lama tu dan sambung dengan kepala baru. Alhamdulillah semua berjalan lancar.


Alhamdulillah dah boleh masak seperti biasa.....

Terimakasih awak, sudi berjasa lebih 10 tahun. 

PS: Dah tinggal berdua ni masak jelah apa yang ada. Boring-boring kita makan kat luar.....

Rumah Homestay, Rumah Pencen

Beberapa kali balik beraya tahun-tahun lepas, beberapa kali jugak hubby dok repeat nak balik pencen di kampung. Dan beberapa kali jugak saya...