Sunday, 26 March 2017

Uri dan berpantang

Saya tak pernah tengok macamana rupa sebenar uri. Saya hanya tengok sekali lalu apabila doktor sahkan semua uri dah selamat keluar selepas baby lahir. Sejak anak pertama lagi semua urusan uri hubby yang buat. Saya pun tak pernah tanya apa dan bagaimana pengakhiran uri-uri itu. Yang saya tahu semua uri tu selamat ditanam di tempat yang sepatutnya. Iman's di bawah pokok mangga belakang rumah Taman Koperasi Polis. Hidayah's di bawah pokok bunga ros kat UK. Mun'im's di bawah pokok epal, juga kat UK. Amin's bawah pokok pisang kat Taman Batu. Nina's terpaksa di tanam di bawah tiang lampu depan rumah sebab rumah kami kat Selayang tu dah tak ada tanah sebab hubby dah tambah kawasan dapur hingga ke belakang rumah. Lepas tu arwah mak mertua saya tanam lengkuas kat situ supaya selamat dari diselongkar binatang. 

Apabila cucu sulung saya lahir tetiba pulak saya yang excited nak kisahkan pasal uri ini. Setakat ilmu yang ada, saya tak pernah tahu apa ajaran Islam tentang urusan uri. Rasanya orang Melayu sahaja yang ada adat tertentu dalam menguruskan uri ini. Tak sempat pulak nak berguru dengan arwah nenek saya dalam bab ini.


Alhamdulillah selepas cucu saya selamat dilahirkan pihak hospital serahkan bungkusan uri tu secara automatik. (Sebab kami orang Melayu. Kalau bangsa lain depa akan tanya dulu kot samada nak terima atau tidak). Boleh je kalau kita tak nak ambik uri tu. Tapi tak sampai hati pulak. Mungkin sebab darah Melayu yang mengalir dalam badan saya tu masih ada rasa untuk menghormati adat. Tapi tidaklah sampai "biar mati anak jangan mati adat". Jadi, untuk tidak mencampur-adukkan adat Melayu dan ajaran Islam saya pun buat lah setakat kefahaman dan kemampuan saya.

Buka bungkusan ikut arahan seperti yang depa bagi. 

Ukur kedalaman lubang. 

Baca Bismillah, lepas tu letak je uri kedalam lubang. 
Timbus dan siram air supaya tanahnya kejap.

Saya juga tidak ada pantang tertentu yang diamalkan selepas bersalin. Cuma saya akan pastikan dapat bertungku dan mandi air herba untuk beberapa hari sejurus selepas bersalin. Saya agak indepedent. Tungku bakar sendiri. Air mandian herba/akar kayu pun rebus sendiri. Rutin saya selepas mandi dan bertungku, ialah pakai barut perut. Ikat ketat-ketat. Lepas tu baru boleh sarapan. Makan nasi panas-panas dengan sup kambing/ayam/tulang dan ikan kering goreng. Jangan lupa tabur serbuk lada hitam dan ulam halia muda. Alhamdulillah saya amalkan setiap kali bersalin daripada anak sulung hingga anak bongsu. Yang paling utama, wajib sabar dan tabah sepanjang masa serta dapatkan sokongan hubby dalam apa jua keadaan. Serta panjatkan doa kepada Allah sentiasa.

Saya tidak pernah memaksa apa-apa rutin berpantang untuk puteri saya sebagaimana tiada orang pernah memaksa saya sebelum ini. Saya cuma berikan petua dan nasihat sebagai orang tua. Samada depa nak ikut atau tidak terserah  kepada budi bicara masing-masing. Untuk hari-hari pertama selepas bersalin saya bakarkan batu tungku. Batu tungku warisan zaman saya dulu dah diperturunkan kepada puteri saya. Asalnya arwah mak mertua saya bawa balik dari Kelantan. 

Bakar batu tungku. (abaikan stove yang berminyak tu)

Saya juga sediakan air mandian herba dan akar kayu. Anak menantu saya dah beli siap-siap kat kedai jamu. Saya tolong rebuskan saja. Herba dan akar kayu tu boleh je beli di mana-mana kedai jamu. Biasanya saya tambah air dan rebus semula setiap hari. Buat air mandian setiap pagi. 

Rebus dalam periuk tebal. 

Lepas dua hari di rumah saya, puteri saya dapat sponsor dari pusat postpartum care untuk tinggal di sana selama seminggu. Lepas tu balik semula ke rumah saya selama seminggu lagi sebelum balik ke rumah besan saya pulak untuk dua minggu. Lepas tu balik semula ke rumah saya sepanjang cuti sekolah baru ni sebelum pulang ke rumah mereka sendiri. Diam tak diam, sedar tak sedar puteri saya dah habis pantang. Dan cucu saya pun dah bulat debab.

Usia 42 hari.

PS: “Sebenarnya bagi mendapatkan anak soleh dan solehah, pasangan ibu bapa harus memainkan peranan. Mereka berdua haruslah menjaga kelakuan, makanan dan minuman anak anak serta memastikan halal, bukannya di mana dan bagaimana uri ditanam,” kata Dr. Anisah (Link)

No comments:

Meja troli beroda

Sejak badan rasa berat dan pergerakan pun terhad, tetiba pulak rasa nak cari meja (troli) beroda. Apa lagi, kita browse je apa yang ada kat ...