Monday, 10 December 2012

Jangan papa, tak perlu bergaya...

"Umi nak pi Sabah pakai kasut ni je?" Haha.. kalau lah depa tau kasut tu lah yang paling banyak berjasa pada saya....

Sebenarnya sebelum nak pi bercuti hari tu saya sibuk jugak la bershopping beli pakaian dan persalinan yang sesuai untuk anak2 berjalan jauh. Orang kata yang boleh masuk majlis. Kesian depa. Anak2 yang taat pakai aje apa yang saya beli. Maklum la saya ni jenis suka barang yang heavy duty, senang jaga, sesuai untuk semua keadaan dan ketika. Tak kuasa lah nak melayan benda2 yang perlu penjagaan rapi, teliti dan berseni..

"Kak Masniah kena ada beberapa persalinan yang sesuai untuk sesuatu majlis. Ada range pakaian untuk masuk hotel. Pakaian untuk pegi dinner, untuk pegi majlis formal, pegi kenduri semua mesti berbeza...." Teringat kata2 sahabat sekerja saya yang agak pandai bergaya. 
"Kasut dan beg tangan pulak kena pandai matching...." Hamboih...banyak mana la gaji cikgu nak perabih beli benda2 alah ni!

Pernah juga suatu ketika tu saya cuba ikut nasihat sahabat yang baik hati tu. Kebetulan pulak saya selalu fly ulang alik tengok Dayah kat Pengkalan Chepa or ambik dan hantar ibu mertuaku ke kampung. Ajak En Hubby pi shopping kat Sogo. Semestinya Iman, penasihat tak bertauliah saya akan join sekaki. Beli lah 2 handbag jenama polo. Dia kata sale 75% off. Kira affordable la juga. Mula cuak jugak. Betul ke sale? Betul ke jenama ni? Tahan lama ke tak? Saya biasa beli harga belas2 atau puluh je. Ni makan ratus2 ni rasa macam tak percaya je. Heheh..En Hubby bayar. Pakai sekali dua je kulit dia mula menggelupas. Body dan jahitan memang tip top tapi kulit ( ye ke kulit?) sangat kodi! Last2 saya buang je. Balik pada handbag heavy duty saya, F Timber beli kat Parkson.

"Cikgu pun mesti pandai bergaya.. Tak la bila murid2 tengok handbag cikgu terkoyak zip, tanggal butang, tali dah nak putus.." Haha pandai sorang penceramah tu mengata saya masa suatu sesi motivasi guru baru-baru ni.


Oversized clutch, especially by Gucci. Dah lama saya berkenan. Vintage gitu.. Berkenan je. Belum teringin nak beli lagi.....

Bila fikirkan balik, bagus juga tak membazir duit beli benda2 tak perlu. Banyak lagi ruang pahala untuk kita salurkan rezeki yang Allah bagi. Kalau dah rasa banyak sangat duit, bagi je sedekah pada yang memerlukan. Buat sedekah jariah. Fikir berkali2 setiap kali teringin benda yang tak perlu. Alhamdulillah saya ada unsur kedekut pada benda tak perlu dalam diri saya. Orang selalu kata biar papa asal bergaya. Apa la.... 



Saturday, 8 December 2012

Cuti-cuti Kinabalu, Le Meridian

" Babai anak-anak, Umi ngan ayah nak pi honeymoon. Bawa budak2 kecik je."

Haha honeymoon lah sangat dengan budak2 kenit nih...:) Sebenarnya En Hubby ada retreat lagi. Majlis Profesor Negara (MPN) pulak. Nun di Sabah bah... Mesti la nak bawa bini kesayangan dia ni.....

Landed kat Kota Kinabalu International Airport (KKIA) kol 7.45pm. Rupanya sebelum masuk Sabah kena lalui Imigresen dulu. Orang Semenanjung pun kena dapatkan pas masuk. Kena jaga elok2. Nanti susah nak balik Semenanjung.


Sempat posing lagi sementara tunggu En Hubby Check-in. Gelap sebab tak reti nak setting hp. Pathetic. Biasanya Iman, Dayah atau Ein yang buat. Start missing them already..
Pemandangan dari bilik hotel.
Pasar Filipina di malam hari dan lampu2 dari perahu dan bot peniaga. 
Macam ni rupanya disiang hari. Sangat bersih. Macam tak percaya malam tadi ada pasar kat sini. 
Pandangan dari bilik hotel lagi. 

Saya suka melihat pandangan yang lepas jauh. Duduk kat tingkat 10 cukup memberi kepuasan itu. Pasar Filipina atau orang sana panggil Pasar Filipin ini terletak di tepi laut di Bandar Kota Kinabalu dan  betul-betul diseberang jalan berhadapan hotel Le Meridien. Berderet dengan Pasar Filipina ini adalah Pasar Ikan Masin, Pasar Kraftangan dan juga Pasar Besar Kota Kinabalu. Ia dipanggil pasar Filipina kerana  kebanyakkan peniaga mereka adalah orang Filipina. Sepanjang jalan menuju ke Jeti Jesselton di panggil Waterfront.
Tempat tapak Pasar Filipina yang bersih di siang hari. Betul2 mengadap hotel Le Meridian. 
 Asyik Nina je jadi model. Saja nak berlagak ngan kak Iman.
Amin pemalu. Ambik gambar jari je.
Tak shopping sangat pun.

Kat Pasar ni bermacam jenis kraftangan ada. Paling banyak semestinya lah mutiara. Saya bukan lah penggemar barang-barang hiasan. So tak minat nak beli. Tengok orang lain beli berbondong-bondong. Saya cuma beli beberapa barang cenderahati yang simple. Lepas tu pi Pasar Ikan Masin. Memang bermacam-macam jenis makanan laut yang dikeringkan. Saya cuma berkenan dengan ikan terubuk masin dan ikan bilis sahaja. Memang murah, memang berbaloi.

Satu benda yang saya tak pernah miss kalau pi bercuti tepi laut. Sunset. Tapi tak leh nak capture sangat. Guna hp je. It's all in the memory...

Lepas tengok sunset, jalan2 kat Pasar Filipina. Macam pasar malam kat Semenanjung juga.

Orang kata kalau pi Sabah tak sah kalau tak pi makan ikan bakar kat Pasar Filipina ni. Macam2 jenis ikan, udang,sotong, ketam dan lain2. Semua saiz ada. Pilih saja. Tapi geli pulak tengok. Macam plastik. Elok juga, kalau tidak mencanak-canak lah kolestrol saya naik.

Satu benda yang pelik, dalam berlambak-lambak ikan dan seafood tu tak ada nampak lalat pun. Adakah sebab depa mengamalkan sikap pembersih ataupun depa letak something untuk halau lalat...jeng,jeng,jeng.

Mula-mula tu saya pilih ikan yang dia display kat depan tu. Nampak macam dah separuh masak. Kami pilih dua ekor ikan. Sekor ikan putih (RM25) dan sekor lagi ikan susu (RM15). Mengikut penjual tu kata lah. Saya tak berapa kenal sangat ikan pelik2 ni. Amin ode sotong kecik-kecik. Depa buat macam sate. 5 ekor secucuk (RM15). Semua benda tu depa reheat (bakar) lepas tu cicah air asam dia. Mula2 tu rasa macam sedap. Lepas tu rasa macam pelik. Macam makan apa ntah. Makin dalam flesh ikan tu dimakan,makin lain macam rasanya. Walaupun ikan itu nampak cam menarik, tapi rasa macam bukan ikan. Rasa apakah itu? Tak ada rasa manis macam makan ikan segar kat Kelantan atau Terengganu. Tengokkan saiz ikan memang sangat berbaloi. Semua sekali tambah nasi dan air kos RM66. Yang tak habis tu saya tapau makan kat bilik hotel. Anak2 makan sedap je. Umi ni memilih betul. 

Malam esoknya pi cari yang ala carte pulak. Kali ni kami pilih ikan yang masih fresh tak masak lagi. Ambik ikan merah sekor masak 3 rasa, sotong besar sekor masak goreng tepung dan ketam besar sepasang bakar lada. Hamboih....semuanya saiz XL. Tak tanya harga dah sebab malam tadi tu harga dia affordable. Alhamdulillah memang sedap. Terasa kesegarannya. Dan terasa kemahalannya yang melampau. 174 hengget!!!  Tak pernah lagi saya keluar belanja sebanyak tu untuk makan. Paling mahal pun dalam RM150 je. Itu pun makan untuk satu keluarga.
"Tuuu..dia... Hangpa ni mentekedarah sungguh."
 Tempelak ayah saya kalau dia ada sekali la....

Satu tip berguna di Pasar Filipina ini, bila kita nak makan ikan-ikan atau nak beli apa pun tu kita tanya harga dia dulu. Bila dah oke baru amik. Jangan sampai nak terbeliak biji mata. Memang tak masuk akal. Balik hotel malam tu semua baju berbau asap....
Ni lah kerja depa kalau tak ada kerja lain. Swimmning, swimming, swimming. Biasanya depa jadi orang pertama terjun kolam tu sepanjang percutian ni.
Berjakuzi pulak. Mujurlah weekdays tak ramai orang.

Tiap pagi kerja saya tunggu depa tepi kolam. Teringin juga nak terjun kolam tu. Tapi segan pulak nak tayang body lawa nih. Maka apa lagi berchapter-chapter lah saya habiskan membaca novel saya sambil berehat berlunjur kaki kat kerusi panjang tu imagine bersunbathing macam mat saleh. Padahal bertudung litup. Ada pulak waiter bawa dan hidangkan  buah-buah potong dan iced water. First class sungguh. En Hubby dok sibuk meeting, terpaksalah kita layan diri.

Alhamdulillah banyak tempat kat sini walking distance je. Penat juga berjalan. Satu benda yang saya suka, jalan kat sini tak berpeluh sebab angin pantai yang nyaman sentiasa ada. Breezing and carefree.....ewah.

"Tak beli mutiara ke? Benda paling femes kat Sabah ni..Orang lain siap buat lawatan ke kedai." Haha En Hubby buat lawak masa saya dok sibuk mengemas beg untuk balik. Macam la saya ni pandai bab2 mutiara ni. Tak minat pun. Dan tak pandai nak menilai. Kalau nak beli pun kompem kena tipu ngan peniaga tu. Walaupun sebenarnya mutiara ni ada jenis dan kelas tersendiri, mata saya nampak sama je. Tak kiralah yang harga RM10 ke, harga RM3000 ke, semua nampak serupa je. 

"Untung dapat bini macam ni..." Sungguh saya rasa macam terdengar pujian En Hubby dalam hatinya. Kenapa la En Hubby tak pi lawatan ke kedai mutiara dengan geng2 MPN tu. Hmm....

Ni la favourite saya. 

"Apa la yang sedap sangat nasi biryani tu?" En Hubby selalu komen. Entah lah. Yang pasti tiap kali naik Air Asia pergi mana-mana pun, saya akan pre-book nasi biryani ni online. RM9 je. Kalau beli inflight harga dia RM13. 


PS: Ada rezeki saya akan kembali lagi.....Insyaa Allah.




Tuesday, 27 November 2012

Cuti-cuti PD.... Avillion

"Umi nak ambik Dayah kol berapa?"
Haha sian Dayah terpaksa ikut saya pi Port Dickson. Iman tak dapat ikut sebab sibuk nak exam. Ein pulak malas sebab 2 hari kemudian nak join lawatan sekolah ke Melaka. Eleh... macam la saya tak tau kenapa dia sibuk nak pi lawatan kat Melaka tu sampai tak nak ikut saya pi bercuti.
Kami bertolak dari rumah lepas solat Jumaat, ambik Hidayah kat PJ terus ke Port Dickson. Terus check-in kat Avillion Port Dickson. Water Chalet tuh.. 

Sebenarnya En Hubby dan Syariah Committee dia buat retreat kat situ. Heheh.. kita tumpang la sekaki. Orang murah hati nak belanja kita. Rezeki dari Allah. Alhamdulillah.

Buka tingkap balkoni terus nampak laut.
Bilik dia sangat luas. Malas nak bagi promo percuma kat sini. Tengok je kat website dia. Mula2 tu rasa gayat juga sebab buka je tingkap terus nampak air laut. Rasa macam dalam bot. Adus... mabuk laut la pulak. Peghak sungguh. Jiran sebelah bilik rileks je dok memancing kat balkoni dia.


Rasa deruan ombak melalui tingkap bilik je. Air naik sebab hujan lebat malam tadi.
En hubby ada meeting sehari suntuk. So saya dan anak-anak... apa lagi.. kita enjoy!. Enjoy la sangat. Hujan ribut mula turun seawal pukul 4 pagi. Nak tido pun tak selesa sebab terkenangkan tsunami. Almaklum la duduk kat water chalet, bilik paling jauh ke tengah laut. Dengar deruan ombak pun naik seram. Rasa macam dah karam. Hujan melarat-larat sampai siang. Esoknya, keluar berita banjir teruk di Lukut. Pengunjung lain pun rata2 tak dapat tidur malam tadi.
By pukul 9 pagi anak2 dah sibuk nak swimming kat kolam renang. Saya post je depa pi swimming. Lepas tu pandai2 lah depa nak mengisi masa yang ada. Macam2 ada kat sekitar hotel tu. Ada mini zoo, ada taman herba, spesis pokok2 kat Malaysia, kids area, galeri, spa, gym dan macam2 lagi lah. Haha sian Dayah jadi bibik jaga adik2. Saya? Hmm…apa lagi, melepak kat atas katil la puas2 sambil baca novel. Tak payah nak fikir masak brekfes, lunch, dinner, kemas rumah, basuh kain apa bagai.
Tengahari tu pi ronda2 kat bandar Port Dickson. Cari lunch, shoping2. Such a very nice town. Small, quite and peaceful. Kereta tak banyak, senang nak cari parking. Orang tak bersesak-sesak. Tenang je fikiran. 
Lepas makan lepak kat pantai pulak.

Rehat sebentar sebelum terjun laut.

Nina ngan Amin memang excited kalau nampak air.
Alhamdulillah langit mendung je, so seronok lah dok melepak kat tepi pantai. Pertama kali saya biarkan depa main sampai ke tengah laut. Sebelum ni depa hanya boleh main celup2 kaki je. Kali ni suka hati hangpa lah nak berenang sampai mana pun. Jangan lemas sudah.

Saja nak posing sebelum balik.


"Ni je gambar? Beriya pergi holiday.."
Haha Iman memang selalu tak puas hati dalam bab gambar-menggambar ni. Saya memang malas ambik gambar. Hidayah pulak suka buat video je.
"Tu la..sapa suruh tak nak ikut."

Wednesday, 14 November 2012

Maal Hijrah, tahun baru azam baru...


“Add Maths failed, Prinsip Akaun failed. Apa ni?”.
"Ada cikgu dalam rumah pun failed juga? Kena hantar tuisyen ni.." Sangat jujur pernyataan En Hubby.

Entah kenapa, tiba-tiba saja saya rasa terguris dengan pernyataan jujur itu. Berkali-kali saya muhasabah diri. Sungguh, saya tidak suka memaksa anak2 untuk belajar. Saya lebih suka mereka belajar atas kesedaran sendiri. Alhamdulillah anak-anak dara saya sangat suka belajar. Tak perlu disuruh. Mereka dah siap jadual waktu sendiri. Saya hanya pantau dan ajar mereka sambil2 masak, sambil kemas rumah atau sambil lipat kain. Kekadang mereka sendiri akan berdiri sebelah saya bertanya soalan semasa saya sibuk membasuh pinggan-mangkuk atau menjemur kain. Saya tidak perlukan jadual waktu yang khusus untuk mengajar mereka. Saya sentiasa ada untuk mereka…anytime, anywhere. Hoho…supermum gitu.

Iman dan Hidayah budak Add Maths. Dua2 dapat A+ dalam SPM. Hidayah ambik Prinsip Akaun sebagai subjek tambahan, dapat A+ juga. Bangga? Sudah semestinya. Bukan sebab saya, tapi sebab Allah izin, atas usaha yang telah mereka lakukan. Bukankah Allah itu Maha Adil.

Anak bujang saya sangat berbeza. Jarang nak duduk bersama saya. Puas la saya bertanya ada homework ke tidak. Dah siap ke belum? Barang sekolah cukup ke tidak? Dah redi ke nak pereksa? Berkali2 ditanya jawapannya tetap sama. Semua okay je. Malam sebelum pereksa baru nak duduk study bersama. Itu pun setelah dipaksa. Suatu benda yang saya benci, terpaksa memaksa anak untuk belajar.

"Tu la... kita kena dengar cakap umi. Baru la berkat. Aku tak gi tuisyen pun dapat A+. Hidayah tu lagi lah. Asyik tido pun dapat A+. Tak payah tuisyen-tuisyen. Dengar je cakap umi... Study je ngan umi kat rumah rajin-rajin. Tak payah nak susahkan umi nak kena gi hantar gi ambik pulak...." Huh bila Iman bersuara.

Tuisyen. Saya tak pernah sukakan benda ni. Katalah apa pun. Bagila hujah apa pun, saya tetap anti tuisyen. Selagi boleh saya lebih suka anak2 belajar di rumah bersama saya. Rasa sesia je hidup kalau tak dapat ajar anak sendiri.

Tetapi ramai ibu bapa yang suka menghantar anak ke pusat2 tuisyen yang membiak sekarang ni. Sering juga ibu bapa bertanya kepada saya samada perlu tak mereka hantar anak mereka ke kelas tuisyen. Setiap kali pula, jawapan saya ialah tak perlu. Apa yang perlu mereka buat adalah memantau kerja rumah anak2 mereka. Sebagai seorang guru, saya rasa saya akan rasa sangat malu untuk memberitahu ibu bapa anak murid saya supaya menghantar anak mereka menghadiri tuisyen. Bukankah itu menunjukkan kegagalan saya untuk mengajar anak mereka dengan sempurna sehingga anak mereka memerlukan seorang guru lain untuk membantu saya menyempurnakan tanggungjawab saya?

Bagi saya tuisyen adalah untuk mereka yang tidak cukup dengan apa yang telah diajar dalam kelas dan  ingin tahu dengan lebih mendalam lagi tentang topik tersebut. Bukanlah untuk mereka yang tidak faham apa yang diajar dalam kelas. Kalau tak faham dalam kelas sepatutnya murid itu terus bertanya guru. Minta guru itu mengadakan kelas tambahan. Kalau cikgu tu nak layan la… Kalau tidak pun boleh buat study group.

Dalam bab ulangkaji di rumah saya memang garang. Saya hanya terangkan sesuatu perkara tu dua atau tiga kali je. Kalau tak paham-paham jugak memang cari pasal lah. Sebab tu la kot anak bujang saya tu malas nak buat kes ngan saya. Malas nak dengar umi marah2. Kat sekolah mungkin anak murid saya kata saya cikgu yang baik..ehem. Saya tak mudah marah2. Tapi kalau dengan anak sendiri saya memang cepat naik suara. Sebab tu saya tidak pernah mengajar kelas anak sendiri.

“Budak lelaki ni lain sikit. Memang kena paksa…. Kalau tak larat nak paksa, hantar je pi tuisyen.” Tegas bunyinya.

Saya hanya ada dua opsyen. Tuisyen memang out. Kalau terpaksa memaksa, itulah yang akan saya lakukan. Kata orang, SPM bukan segalanya. Tapi tidak bagi saya. Dizaman serba canggih ini semua anak perlukan SPM. Jangan nafikan hak mereka hanya kerana kita tak kisah.

Masih belum terlambat. Dalam masa berbaki ini saya tanamkan azam untuk memaksa anak bujang saya rajin belajar. Biarlah SPMnya tahun depan menjadi penentu. Mudah2an niat saya ini  tersimpan di sisi Allah, menjadi kebaikan saya di akhirat kelak
Selamat menyambut Awal Muharram 1434…….

Tuesday, 13 November 2012

Betul ke pisang tidak berbuah dua kali...

Saya memang suka makan pisang. Masa kecik2 dulu saya selalu beli pisang 3 biji sekupang. Tak tau pun apa nama pisang tu. Tapi warna dia hijau je walaupun dah masak. Itu lah pisang yang paling murah kat kampung saya. Sampai sekarang saya tak tahu nama pisang tu. Pak cik yang jual tu tanam sendiri. Bila dah masak dia gantung je tandan pisang tu kat kedai dia. Kalau ada orang nak beli baru dia potong dari tandannya supaya pisang tu masak semulajadi.
Sekarang ni pisang yang dijual dah siap dipotong mengikut sikatnya. Cantik je depa susun dan gantung kat kedai buat macam hiasan. Kalau nak beli pisang sepatutnya pilihlah pisang yg tangkainya masih hijau & segar. Itu maksudnya pisang tu masak sebab dah cukup matang bukan sebab kena peram dengan kabait.

"JANGAN sesekali beli pisang yang buahnya nampak cantik kuning tetapi tangkai/tandannya yang disisir sudah beransur kering, kecut atau hampir kehitaman... itu tandanya pisang tu belum cukup matang tetapi dipaksa masak dengan cara diperam menggunakan bahan kimia kabait yang tidak elok untuk kesihatan....
Amalan memeram buah-buahan menggunakan kalsium karbida atau kabait di kalangan petani di negara ini didakwa mampu menghilangkan daya ingatan pengguna termasuk kecacatan bayi ketika lahir.
Hasil kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) itu mendapati bahan kimia tersebut kini digunakan secara meluas oleh petani yang mengusahakan tanaman pisang, betik, nenas, cempedak, mangga dan ciku supaya cepat ranum sebenarnya merbahaya.
Difahamkan, secara umumnya penggunaan kalsium karbida adalah untuk kerja-kerja kimpalan, memateri keluli besi dan berfungsi menyalakan api pelita.
Antara kesannya kepada saraf dalam jangka masa pendek adalah sakit kepala, pening, mengantuk dan kejang otot manakala jangka panjangnya pula ialah hilang daya ingatan."
Sumber : Internet

Satu lagi buah yang saya suka makan ialah buah ciku. Masa kecik dulu saya petik sendiri je kat tepi rumah.Samada saya panjat atau kait pakai galah. Lepas tu peram tunggu dia masak. Peram biasa. Tak letak apa2 pun.Tapi sejak keluar dari kampung saya dah jarang makan ciku. Sebab kalau nak makan kena beli. Lepas makan asyik pening je. Side effect kabait agaknya...
Alhamdulillah sejak berjinak2 dengan alam ni, saya dah mula mengutip hasil yang tidak disangka.

 Hasil tebangan anak bujang saya. Tebang pakai pisau dapur je. Buah pisang pertama hasil dari ladang....Yang sebelah kiri tu pisang serendah. Yang kanan tu saya kurang pasti. Puas lah saya meng'google' cari nama pisang tu. Nampak macam pisang emas. Tapi macam kecik je.

Pisang ni memang kecik molek. Sebesar ibu jari kaki dewasa je. Sebiji dah kena makan tupai. Kawasan rumah saya memang banyak tupai.

"Pisang lemak manis la. Tu pun tak tahu." Terel juga En Hubby tentang pisang ni. Maklum la masa kecik dulu En Hubby ada kebun pisang.
"Lepas ni tebang pokok pisang tu. Kita tak nak pisang berbuah dua kali." Macam berkias la pulak. Lepas ni nak kena pi kedai beli parang nak tebang pokok pisang tuh.
Apa-apa pun mudah2an banyak lagi hasil yang akan menyusul selepas ini.

Thursday, 25 October 2012

Biarlah rahsia....


"Cikgu, macamana nak tahu kita sedang bercinta?" 
Sesi ulangkaji saya selalu terselit perkara2 di luar silibus. Memang ada dalam kalangan murid2 yang boleh rapat serta boleh kongsi cerita dengan saya. Macam anak2 manja gitu.

"Awak sedang bercinta ke?"
Saya olok2 bertanya. Rasa kelakar pulak. Mana la dia tahu, kalau tidak tak kan la dia tanya saya.

"Ana ada suka kat satu awek ni. Budak sekolah ni jugak. ..." 
Sambung dia malu-malu. Haha.Jangan terpedaya. Ni bukan kes lesbian okay. Ana tu ganti diri pertama dalam Bahasa Arab. Budak-budak kat sekolah saya ni tak kira lelaki atau perempuan biasanya akan guna ganti nama ana bila bercakap dengan guru. Sangat halus budi bahasa mereka. Kalau antara mereka biasanya depa guna  aku engkau je. 

Saya merenung matanya. Biar betul budak ni. Baru form 3 kot. Dia tersenyum. Boleh tahan  manisnya. Macam nak buat menantu pulak. Kalau zaman nenek saya dulu dah layak jadi ayah agaknya.

"Tapi dia tak tahu cikgu. Ana suka datang sekolah. Kalau ana tahu dia ada kat sekolah pun dah rasa lega. Nampak dia dari jauh pun dah okay....." 
Dia menyambung lagi bila saya hanya berdiam diri membiarkan dia bercerita. Sah! Memang budak ni sedang dilamun cinta. Fitrah remaja.

"Tapi ana tak nak couple. Berdosa cikgu.." 
Bagus pemahaman budak ni. Bersopan santun dan berbudi bahasa. Tak sesia ibu-bapanya menyekolahkannya di al-Amin. Saya rasa ramai budak2 perempuan yang menaruh hati dalam diam dengan dia ni. 

" Okay la tu, tak yah couple. Biar je dia tak tahu. Kalau betul awak suka kat dia awak study rajin-rajin. Everytime awak teringat kat dia awak study maths banyak-banyak, buat semua soalan yang cikgu suruh..." 

Saya sangat percaya pada cinta sejati. Cinta sejati tak perlu diungkap. Cukup dengan cita-cita ingin membawa bakal pasangan kita ke syurga dan sentiasa berusaha ke arah itu. Sentiasa berdoa supaya Allah memudahkan jodoh untuk kita. Rindu-rinduan itu adalah fitrah orang bercinta. Tidak salah untuk merindu. Cuma perlu halakan rindu itu ke jalan yang halal. 

Alhamdulillah masa percubaan PMR hari tu dia mendapat keputusan cemerlang dalam subjek matematik. Sangat bangga dia memberitahu keputusannya.

Dia: “Cikgu, Maths ana dapat A cikgu.” 

Saya: "Wah ni cinta sejati  la nih"

Dia: “Cikgu nak tahu ke sapa awek tu?”

Saya: “Tak pe. Biarlah rahsia. Tiba masa nanti awak hantar je kad untuk saya.”

Dia tersenyum lebar. Saya yakin hanya dia yang tahu maksud senyumannya itu.
Apa-apa pun saya saya yakin dengan bimbingan yang betul dia dapat membimbing hati dan perasaannya ke jalan yang diredhai Allah.Wallahualam.

Sunday, 14 October 2012

Akhirnya berbaldu merah...

Saya dah lama mengidam nak buat kek Red Velvet. Saya bukan peminat kek pun tapi nama red velvet ni macam glemer pulak bila disebut. Rasa macam bagus je kalau berjaya buat kek ni. Sebelum ni saya buat kek main belasah je. Saya main campur je apa2 bahan kek yang ada kat dapur tu maka jadilah kek span/ kek butter. Ini memang kek versi malas tahap maksimum. Kalau rajin sikit saya tuang je cordial sunkist oren, jadi kek oren. Kekadang up sikit jadi kek coklat moist. Kalau rajin lagi dapat la makan kek gula hangus atau cheese cake yang berlayer tu.
Tapi hari ni memang saya bertekad untuk merealisasikan (ewah!) impian saya tu. Seperti biasa resepinya akan diubah suai mengikut tahap kerajinan dan stok bahan kek yang ada.
Bahan-bahan kek:
2 1/2 cawan tepung yang dah diayak 
2 sudu besar serbuk koko
1 1/2 cawan margerin
2 cawan gula kastor 
2 biji telur 
1 sudu teh esen vanilla
1 cawan buttermilk*
2 sudu besar pewarna merah 
1 sudu teh cuka 
1 sudu teh baking soda
* kalau takde buttermilk jangan susah-susah, ambil susu segar pada suhu bilik (saya guna susu sejat carnation je sebab malas nak tunggu susu segar tu berada pada tahap suhu bilik) kemudian tambahkan 1 sudu besar cuka @ lemon juice. biarkan selama 5-10 minit.
Cara membuat kek
preheat oven: 175 c
1) ayak serbuk koko dan tepung dalam satu bekas dan kacau.
2) campurkan buttermilk dengan pewarna merah @ pink
3) dalam bekas lain, pukul (saya pakai mixer) margerin sampai kembang , kemudian tambah gula dan pukul lagi sampai kembang dan sebati. Masukkan vanilla esen, pukul lagi. Masukkan telur satu persatu. (Lepas satu biji telur, mix. Kemudian masukkan satu lagi telur dan mix lagi).
4) Kemudian masukkan tepung dan koko yang sudah diayak secara berselang seli dengan buttermilk. (Masukkan tepung, kacau dengan senduk, jangan guna mixer nanti berterabur. Pastu masukkan buttermilk kacau lagi sampai habis kesemuanya).
5) Bila dah sebati, dalam bekas lain, campurkan 1 sudu teh soda bikabonat dan 1 sudu teh cuka sampai ada bubbles. Lepas tu cepat-cepat masukkan dalam adunan tadi. Kacau kemudian terus masukkan dalam loyang. Terus bakar selama 45-50 minit atau sampai masak bergantung pada jenis oven. Oven saya ni kecik dan slow. Jadi kena buat 2 trip.
6) bila kek dah masak, sejukkan dalam peti ais beberapa jam.. Supaya senang nak dibelah nanti, sebab lepas masak ni, kek agak fragile. Takut bersepai pulak.
7) Kemudian terpulanglah nak belah 2 @ 3 @ 4. Saya belah jadi 3 lapis je. Setiap lapis tu sapukan cream cheese frosting. Kemudian dah siap sejukkan lagi dalam peti ais sehari  semalam boleh, beberapa jam pun boleh. 

Cream cheese frosting: 
250gm cream cheese (saya guna philadelphia)
30gm butter (saya guna margerin)
1 sudu besar perahan lemon @ lime (saya guna sebelah limau nipis je, perah airnya)
1 sudu besar esen vanilla
1 sudu besar susu segar (saya guna susu sejat carnation)
1 cawan gula ising
Caranya gunakan electric mixer, mix cream cheese sampai kembang. Masukkan bahan-bahan lain.. butter + perahan limau + esen vanilla + susu segar + gula ising. Kacau lagi. Lepas tu hias pada kek tadi.

 Chip coklat atas`kek tu Amin yang susun sempena birthday dia hari ni.
Dah 13 tahun dah usia anak bujang saya yang seorang ni.
"Sedapnya kek umi..."
 Haha..anak2 memang pandai menghibur hati saya. Tak tahu lah sempat ke tidak 2 orang anak dara saya yang jauh di mata tu merasa 'kek umi yang sedap' tu. Anak bujang tu pulak asyik buka peti ais je.Nampak sektor kek tu dah makin mengecil. Hmmm!! 

Saturday, 13 October 2012

berdoalah wahai anak yang soleh..

"Iman dah solat? Dayah? Ein, Amin, Nina..."
Itu adalah soalan biasa saya kepada anak2 setiap kali bersua. Ewah macam jarang bersua pulak... Sebenarnya saya suka bertanya tentang solat mereka. Setiap hari bahkan setiap kali masuk waktu solat sekiranya saya tidak bersolat bersama mereka, saya akan bertanyakan  tentang solat mereka.

" Umi ni..orang dah solat la. Baru tadi salam umi kan? " Kadang2 saya macam dah nyanyuk pulak asyik bertanya saja. Itu kalau masa saya tak solat la. Uzur. Sungguh, dalam fasa menjelang usia emas ni, saya sangat mengharapkan anak2 boleh menjaga solat mereka tanpa arahan saya, boleh menjaga solat waktu mereka walau di mana saja. Iman, walaupun dah masuk usia 20 tahun masih tak lepas dari soalan saya.
Kenapa?
"Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya)
Kenapa saya mengharapkan anak2 untuk berdoa untuk saya bila saya tiada kelak?
Saya berasa amalan saya semasa hidup sangat sedikit. Kalau ada amalan pun belum kira yang ikhlas dan tak ikhlas lagi. Nak kena tolak lagi. Saya tiada banyak harta untuk disedekah menjadi amal jariah. Saya juga tak punya ilmu untuk memberi manfaat kepada orang lain. Saya hanya punya anak2 yang saya harus didik menjadi anak2 soleh dan solehah dan memastikan mereka sentiasa berdoa untuk saya nanti. Masa terbaik untuk mereka berdoa ialah selepas solat. Kalau solat pun mereka tidak jaga bagaimana mungkin mereka akan berdoa untuk saya nanti. Jadi dengan baki usia yang saya ada ini saya akan pastikan mereka menjaga solat mereka. Pentingkan diri sendiri? Oh sudah semestinya. Siapa lagi yang akan mendoakan saya kalau bukan mereka.
Allah berfirman:
 Sesungguhnya solat itu merupakan kewajiban yang ditentukan atas kaum Mu’minin.  (an-Nisa : 103)
Dan saya sangat percaya titik tolak menjadi seorang yang soleh/solehah adalah melalui solat. Solat yang sempurna akan melahirkan manusia yang sempurna. Sungguh. Kalau ada sesuatu yang tak kena semak balik amalan solat kita. Tak perlu bercakap tentang dunia kalau solat pun tunggang-langgang.

Rasulullah s.a.w pernah ditanya: Apakah amalan yang paling utama? Baginda menjawab, Solat pada waktunya .
Rasulullah s.a.w. bersabda, (mafhumnya:) "Solat lima waktu diwajibkan ALLAH atas hamba-hambaNya. Sesiapa melakukannya dan tidak mengsia -siakan sesuatu darinya kerana meremehkan haknya, maka untuknya di sisi ALLAH ada janji bahawa akan memasukkan dia ke Syurga.

Dengan menjaga solat mereka bukan sahaja boleh menuntut janji Allah bahkan mudah-mudahan doa mereka nanti boleh meringan dosa2 saya. Amin.

Wednesday, 10 October 2012

Kemucut oh kemucut bila nak habis...


Hari ni pepagi lagi saya dah mengerjakan halaman saya yang penuh kemucut tu. Sebenarnya sejak petang semalam lagi saya dah mula kerja mencabut kemucut tuh. Tapi sebab sibuk menunggu pak cik plumber tu siapkan kerja paip anak bujang saya yang asyik rosak tuh, tak cukup masa nak mengabeskan kerja saya. Sedar2 dah maghrib.
Sebenarnya dah lama saya dok tension bab kemucut nih. Dah puas dah saya minta tolong Mr Google selesaikan masalah saya tapi masih tak nampak jalan. Saya pernah tanya Pak Cik Aji nursery, tapi dia pun tak tau macamana nak basmi kemucut ni. Mungkin kena pakai racun rumpai kot. Tapi manalah ada kudrat saya nak memikul tong racun tu pulak. Nak tak nak terpaksalah saya cabut/potong kemucut tu satu persatu. Bayangkan!! Dengan keluasan tanah 20x80 kaki!!  Mampu? Redha je lah. Sekurang-kurang dapat pahala sabar. Dapat juga keluar peluh. Exercise tuh. Tak perlu susah payah nak pi jogging. Alhamdulillah di sebalik kesukaran ada hikmahnya.

Monday, 8 October 2012

My little garden

Esok PMR dah nak bermula. Seperti biasa sekolah saya akan bercuti bagi memberi ketenangan kepada calon PMR menghadapi peperiksaan dengan tenang. Bagus kan? Sempat la saya nak membelai kembali pokok2 saya yang dah kekurangan kasih sayang tuh. Untuk anak2 murid saya yang bakal menjawab Subjek Matematik, saya doakan mereka dapat berdepan tugasan mereka dengan tenang. Melihatkan usaha mereka saya yakin Allah akan membantu mereka bersesuaian dengan usaha mereka.

Bunga ros saya dah mula mengeluarkan bunga2 untuk musim kedua. Ada sebatang je pun. Baru ni dah tinggal batang je sebab daunnya kering kontang tak sempat siram. Sungguh zalim tuannya ini. Setelah bertaubat dan berjanji tidak akan mensia-siakannya lagi, saya siram setiap hari. Berselawat. Alhamdulillah ia masih bertahan. Akhirnya keluar pucuk baru. Selepas seminggu mula berbunga semula. Kalau musim lalu hanya ada 3 kuntum, tapi musim kali ni dah ada 4 kuntum. Nampak macam nak berbunga lagi.

(Entah apa kaitan ...)

Halo di langit al-Amin

"Kak Masniah, cuba tengok kat langit.." 
Masa tu hari Selasa  2 Oktober pukul 12.30pm. Saya baru keluar bilik guru nak pi lunch date ngan Mr Hubby. Saya cuba pandang ke langit tapi rasa berpinar sebab cahaya matahari agak terik. Cuba pandang lagi sekali. Baru nampak fenomena yang tak pernah dilihat sebelum ni. Sungguh.Hayat hidup saya tak pernah tahu ada fenomena begitu.. peghak sungguh. Mana ada benda-benda pelik macam ni berlaku di langit al-Amin. 
Agak excited saya pun snap la beberapa keping gambar sebagai kenangan. Tak boleh tengok dengan mata kasar. Bahaya. Rasa macam betul2 atas kepala, rendah sangat, menaungi seluruh bumi al-Amin. Cikgu2 lain pun mula turun ke Dataran Sekolah melihat ke langit. Ramai jugak pakat snap gambar. Murid2 pun mula keluar kelas untuk sama2 melihat fenomena pelik tu. 

Fenomena halo di langit al-Amin

Sambil2 tunggu makanan siap saya tunjuk gambar tu kat hubby. Padan muka saya kena gelak.
"Mula la tu nak buat cerita pelik. Biasa la fenomena macam tu. Kalau Allah nak buat, apa2 pun Dia boleh buat... Jangan nak kaitkan dengan cerita karut marut pulak..." Hahah.. komen dari seorang pensyarah. Kita cikgu biasa ni dengar je la. Saya ni pulak selalu nak kaitkan apa2 yang berlaku sebagai amaran Allah.

Esoknya dengan bantuan Mr Google, alhamdulillah saya dapat belajar benda baru.
"Halo merupakan fenomena semulajadi yang berupa lingkaran cahaya di sekitar matahari atau bulan yang kadang kala boleh berlaku pada sumber cahaya lain seperti lampu jalan.
Menurut kenyataan Agensi Angkasa Negara (Angkasa), terdapat pelbagai jenis Halo secara umumnya muncul disebabkan kristal ais pada awan cirrus sejuk yang berada pada ketinggian lima hingga 10 kilometer di lapisan atas troposfera.
Pelangi yang mengelilingi matahari memberikan kesan semulajadi apabila cahanya berinteraksi dengan jaluran kristal ais yang terdapat dalam awan sirus di lapisan atas troposfera.

Kristal berkenaan bertindak umpama prima, memberikan kesan refleks kepada matahari untuk menyebarkan cahaya pelangi yang berwarna-warni di sekeliling matahari.
Ia bergantung pada bentuk dan arah kristal ais, cahaya matahari yang dipantul dan dibiaskan oleh permukaan ais berbentuk prisma sehingga sinaran matahari terpecah kepada beberapa warna kerana kesan sebaran udara dan dipantulkan ke arah tertentu, sama seperti kejadian pelangi.
Angkasa dalam kenyataannya dinasihatkan orang ramai agar berhati-hati apabila melihat atau merakamkan gambar Halo secara telus tanpa penurus matahari kerana ia memberi kesan yang merbahaya kepada mata."

Sebenarnya semua penduduk Lembah Kelang berpeluang menyaksikan fenomena tenghari itu. Bertuah la.Tu la sebelum ni saya jarang nak melmandang ke langit dan berfikir tentang alam. Sungguh, kalau kita suka memandang ke langit memang banyak perkara menakjubkan untuk kita berfikir.

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul albab. (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri ataupun duduk ataupun dalam keadaan berbaring, dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi kemudian berkata, 'Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka."(Ali Imran ayat 190-191)

“Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis, kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang? Kemudian pandanglah sekali lagi nescaya penglihatanmu akan kembali kepadamu dengan tidak menemukan sesuatu cacat dan penglihatanmu itu pun dalam keadaan payah.” (al-Mulk: 3 – 4)
Wallahualam.

Friday, 28 September 2012

Ala omak kawenkan aku.....cerita siteruna

Kalau lah anak bujang saya tiba-tiba minta izin nak kawen sekarang mau nazak saya agaknya. Isk..isk belum SPM tuh. Walaupun handsomenya mengalahkan ayahnya..(hihi sori hubby), makan pun kadang2 nak umi suap..erm sapa la yang sanggup nak buat menantu.


Walaubagaimanapun saya kena bersedia sekiranya anak bujang saya benar2 ingin menikah muda. Dia juga wajib melalui screen test saya sebagaimana yang dilalui oleh bakal menantu lelaki saya. Hoho....siap kau!!

Pertama sekali, ibubapa telah banyak mengenal dunia atau lebih dahulu makan garam. Sebab itu, mereka akan memerhati secara keseluruhan dan mudah nampak sesuatu yang tidak sesuai untuk anak mereka.
Tak payah lah nak berhujah panjang lebar tentang kebaikan berkawen muda kepada ibubapa. Mereka sangat arif tentang itu. Tak payah nak tunjuk pandai tentang sesuatu yang kita belum lalui. Ibubapa dah merasai pengalaman pahit manis berumahtangga. Tak payah nak bawa hadis dan ayat-ayat al-Quran bagai. Kalau ibubapa tak benarkan, tak payah kawen. Tunjukkan kita ni anak lelaki macho yang tak akan merengek-rengek minta benda yang orang tak kasi. Bersabar. Bersabar. Bersabar.

Tapi masalah akan timbul apabila anak2 bujang ni bersikap degil tak mendengar kata. Sibuk la mencanang yang dia sudah ada yang berkenan di hati, konon ingin menjaga mata,hati dan kemaluan,nak mencari ketenangan jiwa,mencari teman dalam pelajaran, kehidupan dan perjuangan supaya lebih fokus.. Hamboih!

Satu fakta yang anak lelaki perlu faham ialah kebanyakan ibu tidak suka ada perempuan lain dalam hidup anak bujangnya secara tiba-tiba melainkan ibu pernah tahu dan ikuti perkembangan hubungan anaknya itu. Sebab tu la dari awal lagi kita kena bersikap terbuka. Jangan malu berkongsi rahsia dengan ibu. Kalau dari awal lagi ibu dah merestui hubungan kita, insyallah ibu sendiri yang akan bagi motivasi untuk kita menikah. Sebab? Seorang ibu tak akan sanggup membiarkan anak bujangnya berlama-lama dalam dosa. Tapi sebelum dapat green light tuh kenalah buktikan yang kita tu layak jadi suami. Jangan hanya tergedik-gedik nak menikah tapi mandi wajib pun tak lepas lagi. Sekurang-kurangnya dapat dean's list masa asasi....

Kamu masih muda. Bina kemampuan dulu, kerja, kumpul duit.Kamu masih belajar, fokus pada belajar. Nanti bila kahwin, tanggungjawab keluarga lagi, mampu ke kamu nak terus belajar? Silap-silap gagal dalam pelajaran.Kamu belajar pun mak ayah yang bagi duit. Kamu nak kawin, siapa nak tanggung anak bini nanti? Nak bagi dorang makan pasir?”

Banyak lagilah. Samada nadanya keras atau memujuk, isinya sama. Kebanyakan ibubapa tidak akan membenarkan anak bujangnya berkahwin di usia muda atau waktu masih belajar. Tak payah nak melenting. Ianya hanya menunjukan sikap kita yang tidak matang. Plan satu persatu. Yelah dah kita  yang nak, kenalah  usahakan. Ini bukan cerita filem Melayu, jadi Mat Rempit pun boleh jadi menantu orang kaya. Ini adalah realiti kehidupan yang kita tak tahu apa akan jadi pada kita di masa akan datang.

Sabar dulu. Guna pendekatan pujuk-memujuk. Pujuk dulu hari ini, cakap elok-elok nak kahwin. Kalau tak dapat izin, diam dulu. Balik cuti semester nanti, pujuk lagi sekali. Tak bagi lagi, 2 bulan kemudian pujuk lagi. Begitulah seterusnya. Tak payah bersyarah panjang-panjang. Ibubapa dah faham keinginan anak. Cuma tak nak benarkan je.

Sebab? Depa tu risau kalau tengok anak bujang mereka tu macam tak layak je naik pangkat jadi suami.. Bernikah dalam usia yang muda, apatah lagi sedang belajar, bukan suatu yang mudah walaupun sudah ramai orang berjaya melakukannya. Alasan-alasan ataupun hujah yang ibu bapa timbulkan, banyak menyentuh tentang kemampuan ekonomi, kemampuan belajar dan kemampuan mengurus keluarga.

Tak perlu berbahas dengan ibubapa tentang kemampuan kita. Kalau kita boleh bangun solat subuh tanpa dikejut pun sudah cukup bagus. Mampu? Boleh jaga solat 5 waktu tanpa culas. Boleh menjadi imam pada ibu dan adik2. Sanggup pikul dosa sendiri. Dosa bakal isteri dan anak-anak. Mampu? Boleh membahagi masa dengan baik. Mampu? Balik cuti semester boleh menolong kerja di rumah tanpa diminta. Mampu? Result pereksa 3 pointer. Mampu? Jangan bagi alasan tak dapat result bagus sebab tension tak dapat kawen. Jangan nak merajuk-rajuk sampai mengugut-ugut tak nak balik cuti semester. Kompem tak kawen la sampai tua…

Buktikan kita layak memikul tanggungjawab. Ibu bapa akan terus menilai kita dari masa ke semasa. Kalau ibubapa masih tak izinkan juga ingatlah,

Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh berkata:
Sesungguhnya seorang lelaki dari Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (untuk berjihad) lalu baginda bertanya: “Adakah kamu mempunyai seseorang di Yaman?”Dia menjawab: “Ibubapa aku.” Rasulullah bertanya: “Adakah mereka memberi izin kepada engkau?”Dia menjawab: “Tidak.”Rasulullah bersabda: “Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin dari mereka berdua.Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak)maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.”

Kalau nak pi berjihad pun kena minta izin, inikan pula nak kawen. Kawen muda pulak tu. Jangan mulakan kehidupan rumahtangga kita dengan asas yang tak elok. Kalau ibubapa tak izinkan, belajar lah untuk taat. Mudah-mudahan dengan asas yang baik itu rumahtangga yang bakal kita bina nanti akan kukuh. Bakal isteri juga akan lebih mentaati kita sekiranya kita sendiri taat pada ibubapa.Ya, kawen memang seronok tapi bukan calang-calang anak muda yang boleh menjayakannya.Fikir-fikirkan lah. Wallahualam.

Thursday, 27 September 2012

Forest is for us. Program Hutan kita @ school.

Gombak. Sekolah Menengah Islam Al-Amin berjaya mengadakan program Hutan kita@school dengan  usahasama Lanskap Malaysia dalam meghutankan al-Amin. Sebanyak 100 batang anak pokok berjaya ditanam di sekitar kawasan sekolah. Semua anak pokok telah ditaja sepenuhnya oleh Lanskap Malaysia. Pihak sekolah menyediakan kawasan, mengorek lubang serta menyediakan peralatan menanam. 

Anak-anak pokok diagihkan kepada setiap kelas. Wakil setiap kelas akan menanan sebanyak 4 batang anak pokok. Semua pokok akan dilabel dengan nama penanam yang bertindak sebagai pemegang amanah memastikan pokok2 tersebut hidup subur. Guru2 juga diberi peluang menanam beberapa batang anak pokok.
Murid-murid mula mengagih-agihkan pokok-pokok untuk ditanam.

Pengarah Lanskap Malaysia memulakan acara menanam pokok dengan diperhatikan oleh Tuan Pengetua SMIAAG.

Kenang-kenangan kepada pihak Lanskap Malaysia

Terimakasih daun keladi. 


Majlis pelancaran selamat di adakan pada hari Khamis 20 September 2012 dengan dirasmikan oleh Pengarah Lanskap Malaysia, Encik Othman Sulaiman.

Ala omak kawenkan aku.....cerita sidara.


"Macam mana kita nak explain dekat mak ayah kita ye tentang benda ni??
Jujur. Saya dah jumpa orangnye. 
Apa yg ana mampu buat ialah setiap hari dalam doa ana, ana titipkan agar dia yg terbaik untuk ana dan ana terbaik untuk dia. Dan ana minta agar Allah satukan kami.
Cumanya kalau nak tunggu habis belajar. Lambat cikgu.. -_-"

Saya kurang pasti yang bertanya soalan ini teruna atau dara. Sebab jawapannya sangat bergantung kepada jantina penanya. Kalau anak dara saya yang minta izin memang cepat je saya izinkan provided saya berkenan dengan calonnya la. Ya, kena lepas screen test saya dulu. Cuma belum ada orang yang masuk meminang.....haha kesian!

Perhubungan ibu dan anak adalah sangat unik. Jangan samakan hubungan kita dengan ibu kita dengan kawan dan ibu mereka. Ada ibu2 yang sangat open minded. Sangat terbuka dan boleh bersembang apa saja dengan anak2 mereka. Ada ibu yang sangat serius dan hanya bercakap dengan anak bila perlu sahaja. Even hubungan ibu dengan setiap anaknya sendiri juga berbeza2. Apa yang penting adalah wujudkan hubungan yang terbuka dengan ibu kita dulu sebelum berbincang soal kawen. Kalau ibu dah bersikap terbuka ( macam saya..haha) Insyallah tiada masalah.

Tapi kalau ibu jenis serius, hoho jangan nak main-main. Jangan cuba sebut soal kawen sebelum habis belajar, believe me, saya dah ada pengalaman. Buat menambah tension tak pasal2. Buat lah apa yang patut untuk melepaskan diri dari berbuat dosa dalam chenta terlarang nih.

Tapi kalau NAAAK.... juga kawen, boleh cuba nasib. Untung2 murah rezeki, mana tahu kot2 ibu lembut hati tetiba....huhu.

1. Gunakan bahasa kiasan untuk memberitahu ibu bahawa kita sudah punya calon yang boleh dibuat suami. Tapi hati2 jangan sampai ibu sangka kita bercouple pulak. Couple ni banyak jenis, mostly tak ada yang halal pun. Tanggung la dosa..

2. Jika tak mampu untuk sampaikan sendiri, gunakan orang tengah dari kalangan keluarga. Kakak, abang, adik, nenek, sepupu, pakcik, makcik, sapa2 lah tapi bukan orang gaji atau bibik.

3. Perkenalkan calon suami secara beransur-ansur, ie melalui gambar kelas ke, gambar program ke, ziarah raya ramai2 ke. Lepas tu buat la olok2 tanya yang mana satu sesuai dengan anakanda wahai bonda yang cantik jelita. Atau pun buat2 la konon2 ada orang tu bagi hadiah sebab bonda masak sedap masa jamuan raya hari tu. Suruh la orang tu bagi ferero roche ke, coklat guylian ke, hamper ke. Ajar calon suami tu tackle ibu dulu. Utamakan ibu. Barula dia yakin calon suami tu boleh jaga anak dara dia. Jangan terus bawa calon suami jumpa ibu secara mendadak. Pengsan pulak orang tua tu.

4. Yang paling penting kita kena tunjukkan kita betul2 bersedia untuk berumah tangga. Mesti matang dan boleh memikul tanggungjawap menjaga keluarga. Tugas asasi di dapur mesti first class. Boleh menyediakan makanan (tak semestinya pandai masak, beli pun boleh...), kemas dapur, kemas sinki, kemas bilik, setel kain baju, tidur awal, bangun awal dan lain-lain.....TANPA DISURUH.

5.Ayah? Saya rasa ayah tiada masalah kalau ibu dah berkenan. Biasanya ibu la yang banyak songel ..(hihi terpaksa mengata diri sendiri). Kalau ibu okay, ayah menurut sahaja Insyallah.

 Mudah2an ramai pasangan dibenarkan bernikah muda untuk mengelakkan maksiat yang semakin berleluasa. Wallahulam.

Sunday, 23 September 2012

Sapa cakap kawen muda banyak masalah?

"Umi, Iman rasa nak kawen muda lah.." Haha.. anak dara saya punya cita-cita besar rupanya. 

Sebenarnya dia tidak perlu risau sebab saya sentiasa bersedia mengahwinkannya bila-bila masa saja jodohnya tiba. 

Siapa cakap kawen waktu sedang belajar mengganggu? Siapa cakap tak boleh kawen kalau belum habis belajar. Okay.. ayah saya pernah cakap. 

"Selagi tak habis mengaji, hang jangan gatai-gatai nak pi menikah." Hamboih siap warning gitu. Tapi saya anak yang taat. Saya habiskan belajar dulu. Bila saya dah habis belajar dia pi sambung pulak, "Hang pi cari kerja dulu.." Laaa....macam la saya yang nak kena sara laki. Okay fine. Alhamdulillah saya berjaya dapat kerja dengan mudah. Dan lepas tu saya kawen. Alhamdulillah berkat ketaatan saya pada orang tua rumahtangga yang dibina mendapat keberkatan Allah hingga kini. Tapi saya telah melalui pengalaman berharga yang hanya dilalui oleh mereka yang dinafikan hak untuk berkawen muda. Ewah...

Sepatutnya, kahwin semasa belajar tidak menjadi masalah. Ni untuk pasangan yang dah tercintan-cintun dan ingin membawa pasangan mereka ke syurga la. Bukan untuk mereka yang masih single-mingle pastu tetiba gatai pi cari pasal pastu buat maksiat sesuka hati. 

Pasangan yang berkawen muda sepatutnya akan lebih bersemangat untuk berjaya. Yelah, sudah ada pasangan yang halal dah tak perlu nak rindu-rinduan secara haram. Lagi satu, kalau dah kawen ni mereka sepatutnya akan berasa lebih bertanggungjawab. Sebab mereka tahu bahawa mereka punya pasangan untuk dijaga, jadi mereka perlu berusaha untuk buat yang terbaik bagi pasangan mereka. Sepatutnya lah kan. Mana saya tahu. Saya tak ada pengalaman. Tapi saya rasa saya tidak akan membangkang kalau anak-anak saya meminta izin untuk menikah dengan syarat mereka telah memenuhi syarat-syarat yang telah saya tetapkan.....hoho.

Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya. (H.R. Tirmidzi)

 Tapi banyak perkara yang mereka perlu belajar sebelum bersedia memikul tanggungjawab dalam alam rumahtangga. Ya, kawen bukan untuk seronok2 saja tapi yang paling penting adalah memenuhi tanggungjawab yang datang dengan perkahwinan itu. Bak kata omputih 'everything comes with a cost'. Bukan kos belanja kawen tuh. Tapi kos-kos lain (mental, fizikal, spiritual) yang pasangan pengantin tak nampak, yang hanya terpaksa ditanggung oleh pasangan yang dah kawen je. 

Nak kawen bukan setakat sanggup berkongsi katil, tapi segala benda yang wujud di bumi Allah ni wajib dikongsi. Paling seksa nak kongsi pendapat dan cita-cita. Dan bila berlaku konflik dua-dua pihak wajib bersedia menerima pendapat yang berbeza. Bukan ikut suka hati mak bapak dia aje. Bersetuju untuk tidak bersetuju serta berlapang dada memang sangat sukar untuk dipraktikkan even untuk pasangan yang dah lama kawen. Sangat perlu pada tahap kesabaran maksima. Kalau setakat tak dapat izin kawen pun dah nak mengamuk bagai, dah sanggup nak lari kawen kat Siam, jangan harap la  dapat bersabar menempuh alam perkahwinan. Setakat yang saya tengok budak-budak muda ni seronok dok fikir pasal acara kenduri kawen tu je. Nak kenduri kat mana, tema warna apa, nak jemput sapa, baju pengantin macamana, goody bag nak isi apa.... Ish..ish kalau la  ending kawen macam tu je tak perlu lah alim ulama susah payah berfikir macamana nak ajar manusia untuk kekal bahagia di alam rumahtangga.

Alhamdulillah
  Ya ar-Rahman, Ya ar-Rahim
Apa-apa pun sekiranya perkahwinan itu diniatkan untuk membawa pasangan hingga ke syurga, sila lah berkawen segera. Tapi kalau setakat nak menghalalkan hubungan takut terbuat maksiat baik putuskan terus. Biar mereka belajar erti sebenar perhubungan suci itu sebelum pandai-pandai nak mengikat-ikat... Wallahualam.

Saturday, 22 September 2012

" Umi tu isteri profesor. Act like one!'

Hamboih! Kemain puteri sulong tu mengata saya. Sebabnya? Saya tak ada baju bling-bling untuk dipakai masa dinner reception perkahwinan anak sedara hubby kat hotel di Shah Alam hari tu. Tak glamor la...Tak standard la...waduh waduh! Mengada-ngada.

Isteri profesor eh? Bertuah laaa....Ya saya memang bertuah. Syukur ya Allah, Alhamdulillah. Yang profesor tu hubby saya. Bukan saya. Saya akan tetap saya walau siapa pun hubby, humble, down to earth ...alamak dah tak muat bakul dah nih.
On air. Siaran langsung Biz Malaysia TV1 
6.00 pm,18 September 2012 

Sebenarnya kami ramai-ramai mengadap TV1 pada hari tu. Sebelum ni tak pernah pun tengok TV1. Almaklum la orang ada Astro...beyond lagi. Hubby bercakap fasal perkembangan kewangan Islam di Malaysia dan potensi yang ada berhubung dengan bajet 2013. Juga potensi Malaysia menjadi pelopor Kewangan Islam dunia. Setakat tu lah kefahaman yang tercapai dek akal saya.

"Umi, ayah cakap apa tu...?" Haha... sepatah haghem depa tak paham. 

Dalam hati saya berdoa suatu hari nanti anak-anak saya juga akan bercakap tentang merubah dunia ke arah yang lebih baik dengan cara mereka sendiri. Pada saya dakwah itu bukan setakat mengajak manusia ke arah kebaikan tapi yang lebih penting ialah menyediakan tempat yang baik untuk manusia. Dan itulah yang sedang hubby lakukan. Menyediakan sistem kewangan Islam yang boleh diguna pakai oleh manusia sejagat terutama umat Islam.

Nak belagak tumpang tuah hubby lah tu.... Okay salah. Bukan belagak tapi sangat berbangga dan teruja kerana hubby sentiasa berkongsi kejayaanya bersama isteri dan anak-anak. Ya...isteri always come first. Like the famous qoutes.." Behind every successful man there is always a woman..." dan saya sangat bertuah menjadi wanita itu.

Wednesday, 19 September 2012

Oh delimaku..



Punya la exited nampak benda merah tuh. Mati-mati saya ingatkan itulah baby buah delima pertama saya. Rupa dia macam buah ceri merah. Tapi pelik pulak kenapa tetiba je pokok tu terus berbuah. Patutnya dia berbunga dulu seperti tabii alam setiap pokok buah, mesti berbunga-bungaan baru lah berbuah-buahan. Tiap-tiap hari saya tatap benda merah tu almaklumlah pertama kali tanaman saya nak membuahkan hasil. Bak kata ayah saya, peghak sungguh.
Lebih kurang seminggu benda merah tu mula mengembang dan keluar macam bulu-bulu kat hujung dia. Saya dah mula cuak, awat dia pecah pulak. Lepas dua tiga hari semua pakat gugur. Adus sedihnya. Buah delima saya tak menjadi ke? Saya tak puas hati, setiap hari juga saya belek tampuk tuh. Rupa-rupanya kat bawah tampuk tu la keluar baby buah delima tu. Yang mula-mula timbul macam buah ceri tu rupanya putik bunga dia. Lepas tu bunga tu kembang dan gugur lepas tu baru keluar buah .... sebijik mengikut tabii alam.

"Peghak sungguh......Dah tua-tua pun tak gheti nak kenai pokok delima bebuah macamana". Lebih kurang macam tu lah kot ayah akan mengata saya kalau dia tau yang anakanda kesayangan dia ni tak pandai menghargai alam, hanya pandai makan je. 


Alhamdulillah pokok delima saya dah banyak berbuah. Mudah-mudahan bila buahnya dah masak nanti saya dapat kongsikan ia dengan keluarga, jiran dan sahabat handai saya.


Semangatnya berdusun...

Dah nak masuk setahun sejak saya berpindah rumah ni. Alhamdulillah saya berpeluang menanam beberapa batang anak pokok buah. Ada pokok mangga epal yang entah bila nak berbuah. Ada mangga siam yang dah merajuk tak besar2 sebab saya gi potong pucuk dia. Ada pokok rambutan yang hubby saya kata satgi banyak la monyet datang bila nampak buah dia yang entah bila nak keluar tu. Saya harap monyet2 tu tak minat lah pada bakal buah rambutan saya tu sebab pak cik yang jual anak pokok tu kata rambutan saya tu moktan gading, buah dia warna kuning. Ada pokok ciku yang hubby kata satgi jadi hutan la rumah ni, sebab pokok ciku ni tumbuh rendang banyak makan space. Malangnya pokok ciku saya ni macam dah bantut sebab kecik hati kat hubby kot. 

Saya juga tanam pokok exotik macam pokok buah katak puru yang dibawakan terus dari Kota Bharu. Susah payah mak mentua saya semai sebelum naik kapal terbang bawa mai KL. Elok je tumbuh dalam dua jengkal habis jadi arwah kena tebas dengan mat bangla potong rumput. Sakit hati saya sampai sekarang saya serik nak upah depa potong rumput. Salah saya juga sebab biarkan pokok lalang subur membiak keliling pokok tuh. Manala mat bangla tu nak nampak. Dia pulak pakai spek untuk tahan takut serpihan batu masuk mata.

Saya juga tanam pokok exotik lain seperti durian belanda, delima, pokok kelapa (kategori exotik ke?) dan lain-lain pokok yang biasa orang tanam seperti pisang yang asyik beranak pinak sampai tak larat nak cabut buang, betik yang dah tinggal pucuk sebab tak sempat siram, ubi kayu serta pokok2 suri rumah seperti serai, lengkuas, kunyit, pandan, pudina, daun kari yang semuanya terpaksa berjuang untuk hidup sendiri sebab tuan dia ni konon karier woman tak sempat nak jaga. Waduh, waduh ....bila dah buat listing begini memang betul kata hubby. Dalam dua tiga tahun mendatang rumah ni bakal dikelilingi hutan. Haha.. itu pun kalau semua pokok tu hidup.

Pisang serendah

Pisang serendah kat belakang rumah yang mula mengeluarkan buah sebelum raya puasa hari tu. Pokok pisang tu memang sangat rendah. Jantungnya macam nak mencecah tanah. Menurut kata Puan Masitah, tunggu benda2 hitam kat hujung buah tu tanggal dulu baru boleh tebang pokoknya untuk ambik buah. Kena tebang, sebab kita tidak boleh membiarkan pisang berbuah dua kali....Hmmm.

Meja troli beroda

Sejak badan rasa berat dan pergerakan pun terhad, tetiba pulak rasa nak cari meja (troli) beroda. Apa lagi, kita browse je apa yang ada kat ...