Wednesday, 30 September 2020

Pokok bunga balung ayam

Dah lama saya mengintai-intai pokok bunga balung ayam. Masa zaman saya kecik-kecik dulu selalu nampak pokok bunga ni di halaman rumah jiran-jiran di kampung. Tapi sejak dah dewasa ni jarang benar nampak pokok bunga ni di mana-mana. Baru-baru ini tiba-tiba terjumpa di nursery pokok di Bangi. Kebetulan saya singgah di sana mencari pokok bunga kantan tapi tidak berjumpa, terjumpa pulak pokok bunga balung ayam. Apa lagi... terus jatuh cinta. Depa ada banyak stok, tanam dalam polibeg. Depa jual dengan harga RM7 sepohon. Saya ambik sepohon sahaja. Kita cuba dulu samada serasi atau tidak.

Menambah ceria di halaman rindu.

Mula-mula saya letak di celah-celah pokok udang merah.

"Cantiknya warna bunga dia..."

"Pokok ni senang membiak. Nanti sekejap sahaja dah penuh anak pokok sekeliling induknya...."

"Elok tanam kat satu tempat je biar nampak rimbun..."

Macam-macam komen saya terima daripada sahabat-sahabat yang sama hobi macam saya. So saya pun mencari-cari tempat yang sesuai. Akhirnya saya pilih satu plot tanah khas untuk depa membiak. Asalnya tempat tu bekas tunggul pokok bunga raya yang telah saya tebang sebelum ini. Saya korek buang tunggul yang dah reput dan gantikan dengan pokok bunga balung ayam pulak.

Menanti masa nak tanam semula.

Siap.

Mudah-mudahan membiak dengan jayanya.

PS: Tiba-tiba terasa nak menambah koleksi pulak...

Monday, 28 September 2020

Bateri Accord Kong lagi?. (ii)

Sejak PKP bemula pada pertengahan bulan Mac sehingga masuk bulan Jun yang lalu bermakna selama itu jugalah kereta accord ni tak bergerak ke mana-mana. Sebelum ni ada juga beberapa kali hubby dok test enjin. Hidup elok je. Tapi lepas sebulan terbiar begitu sahaja tiba-tiba sahaja pintunya tak boleh dibuka. Remote control pun macam dah stuck/jam. Setelah beberapa kali mencuba masih tak berhasil maka saya berfirasat remote control kereta tu dah takde bateri. Terus saya bawa kunci tu ke kedai hardware untuk diganti baterinya. Depa caj RM19.90 untuk bateri lithium. Dengan rasa excitednya saya balik rumah terus mencuba lagi. Malangnya tetap tidak berhasil.

Akhirnya terpaksa panggil orang bengkel kereta datang tengok. Alhamdulillah responnya sangat baik. Saya call je terus depa setuju nak datang.

"Berapa lama akak tak start ni?" Haha... kalau dah tuannya asyik berkurung kat rumah, haruslah kereta tu pun turut berkurung juga sepanjang PKP ni. Saya isi minyak sebelum PKP yang lepas hingga kini tak luak lagi.

"Takpa... kita jump dulu tengok macamana." Laju je orang bengkel tu buat kerja. Tak sampai lima minit semua setel.

"Okay, kakak biarkan enjin jalan selama 30 minit. Bagi dia caj dulu. Nanti semua akan okay." Dia pulang tanpa meminta apa-apa bayaran. Free of charge katanya. Dan saya pun biarkan sahaja enjin kereta berjalan selama 30 minit. Tapi disebabkan hubby 'work from home' dan tetiba nak buat meeting online dan-dan tu jugak maka terpaksalah saya tutup enjin kereta sebelum sampai 30 minit. Buat meeting online depan lounge dengan enjin kereta dok mengaum dalam porch memang gandingan yang sangat menyesakkan. 

Esoknya saya cuba hidupkan balik enjinnya tapi accord tu dah merajuk semula. Saya pun panggil mekanik tu lagi sekali. Dan sekali lagi responnya sangat baik. Dia datang naik motor dengan seorang lagi pekerja.

"Kita bawa balik bengkel lah kak. Tengok apa masalah sebenarnya..." Saya biarkan depa jump start, lepas tu terus biarkan depa bawa balik kereta ke bengkel. Kebetulan pulak masa tu hubby sedang bersiap sedia untuk meeting online lagi sekali. 

"Awak biarkan orang bengkel ambik kereta Accord. KERETA ACCORD tu!!! Tinggi sangat kepercayaannya. Ni mesti tak pernah dengar cerita orang bengkel buat onar dengan kereta ni!!! Nanti dia ambik barang-barang dalam tu dan ganti dengan barang lain baru padan muka......" adoi panjang lebar pulak kena bebel dengan hubby.

Apa lagi, terus saja saya bergegas ke bengkel kereta. Sebelum tu saya dah mesej depa supaya jangan usik apa-apa dalam kereta tu. Bila saya sampai, nampak depa dah buka bahagian enjin kereta. Katanya takde masalah dengan bateri kereta. Bateri fully charged. Depa kata ada masalah alternator dan dah siap dengan sebut harga kalau nak repair kat situ. Harga alternator brand new depa quote RM1060. Kalau nak murah sikit depa boleh cari yang recond dengan harga RM780 dan yang secondhand berharga RM730. Mahu tak mahu, terpaksalah saya cook-up reason kengkonon tak cukup bajet nak repair.  

"Okay, kita boleh repair later bila kakak dah cukup duit..." Depa tidak minta apa-apa bayaran jadi dengan rasa bersalahnya saya tinggalkan RM20 sebagai upah susah-payah depa setelkan masalah sebelum ini. Dan sementara enjin masih panas tu saya bawa balik kereta ke rumah semula. Lepas tu saya buat booking untuk servis kereta di pusat servis Honda yang bertauliah. Sementara menunggu tarikh temujanji tiba saya keep on start enjin pada setiap pagi, tengahari dan petang dan biarkan enjin berjalan selama setengah jam pada setiap kali. Alhamdulillah enjin boleh hidup setiap kali saya start. 

Bila saya bawa kereta untuk diservis rupa-rupanya tak ada masalah besar pun. Cuma enjin tak cukup panas dek kerana lama tidak dihidupkan. So kesan daripada saya dok start kereta setiap hari memberi nafas baru kepada sistem enjin. Saya cuma perlu buat servis biasa dan Alhamdulillah Accord tu dah boleh berjasa semula hingga kini.

PS: Masa kena bebel dengan hubby haritu sentap sampai ke langit ketujuh. Bila dah setel semua baru nampak hikmah disebalik semua itu...

Saturday, 26 September 2020

Covid-19: Akok PKP datang lagi.

Masa orang hanya boleh duduk rumah dan sibuk memasak untuk keluarga, macam-macam innovasi yang keluar. Kebanyakannya hanya menggunakan bahan-bahan yang ada dalam rumah sahaja. So kita pun tumpang sekaki mencuba resepi yang lalu lalang kat fb dan grup wasap.

>>> Resepi akok mudah.
  • 10 biji telur ayam
  • Satu cawan santan pekat
  • 4 sudu besar tepung gandum 
  • Dua cawan air nise/gula melaka*
  • Secubit garam
* Masak 4 keping nise/gula melaka dengan air hingga larut.
 
>>> Blend semua bahan dan bakar. Saya pakai sandwich maker sahaja. Tapi haruslah sabar menunggu sebab lubang acuan tu hanya boleh letak sikit-sikit sahaja. Lepas tu masak macam masak sandwich biasa.


Nampak macam roti telur pulok.

First batch.

Second batch.

Done.... walau tak semenggah.

"Awat nampak macam roti telur?"
"Sedap la jugak... ada rasa."
"Sedap akok Ummi...."

Jangan pandang pada rupa.

PS: Mudah-mudahan musim covid ini tidak berulang lagi. Moga Allah bantu.

Monday, 21 September 2020

Weekend Breakaway: Hotel Tamu, Kampung Baru part 2

Malam semalam dah berehat dengan senang hati so pagi esoknya kita rise and shine melihat keindahan hutan batu di kota metropolitan ini. Jarang-jarang saya dapat peluang melihat persekitaran dari saujana mata memandang. Jadi dengan peluang yang ada ini kita lihat sahaja apa yang boleh dilihat. 

Kalau baca dalam berita, Kampung Baru ini selalu berdepan dengan isu tanah dan pembangunan. Masa saya di sekolah menengah dahulu kami pernah kena buat karangan mengenai masalah setinggan dan kemiskinan di Kuala Lumpur. Masa tu masih blur-blur nak cari fakta sebab kami hanya boleh buat rujukan daripada surat khabar sahaja. Sekarang baru ada peluang melihat sendiri jurang perbezaan antara penduduk yang hanya dipisahkan oleh jalan raya. Di sebelah sana dengan bangunan pencakar langit, di sebelah sini masih ada rumah rendah beratap zink dan berdinding kayu.



Tapi bahagian yang paling best duduk di Kampung Baru ialah kemudahan pilihan makanan yang banyak dan murah. Pilih sahaja nak makan apa, akan tersedia warung atau restoran yang sesuai di sekeliling hotel. Tak perlu pergi jauh, semuanya boleh sampai dengan berjalan kaki sahaja. Untuk sarapan pagi hubby pilih nak makan nasi berlauk so kami cari restoran masakan Kelantan. Lepas tu tapau makanan untuk bekal saya melepak di hotel sementara menunggu hubby berprogram. Tengahari keluar cari lunch di Restoran Rose Nasi Padang pulak.

Melepak sambil menikmati the all time favourite laksa Johor.

Usai program hubby sebelah petang kami curi masa untuk melawat kolam renang yang terletak di tingkat 14. Pengunjung sangat ramai, budak-budak mandi-manda dan keadaan agak sesak. Kami ambik peluang bergambar berlatar-belakangkan bangunan KLCC sahaja.




Bila dah lewat petang haruslah berfikir tentang dinner pulak. Kebetulan anak bujang dan anak dara tu ikut datang sekali for dinner so kita teruskan perjalanan ke KLCC sahaja. Sementara sibujang pergi ambik kereta kita posing lagi, buat kenangan katanya.


Kami pilih Restoran Serai @ KLCC. Katanya milik Chef Adu dan kebanyakan makanannya berasaskan batang dan daun serai. Hubby order nasi kerabu, nasi lemak for anak bujang dan spageti for anak dara. Saya pilih nasi campur.


Layan bebudak zaman moden.



Serai speciality for me.

Dah alang-alang malam di KLCC, apa lagi kita nikmati air pancut dengan lampu-lampu di laman KLCC pulak. Saja nak buang masa sebelum check-out untuk balik rumah.




Alhamdulillah program hubby berjalan lancar. Program saya juga berjalan lancar. Walau tak buat apa-apa, jadi peneman sepanjang jalan pun dah rasa sibuk semacam. Till next program, kita balik rumah recharge minda dan tenaga dulu.

Saturday, 19 September 2020

Sahkan Medical check-up pulak

Untuk kesekian kalinya puteri bongsu tu nak kena buat medical check-up lagi. Fisrt time dulu buat masa nak masuk asrama, kemudian lagi sekali masa nak masuk kolej, sekarang nak kena buat untuk apply biasiswa/loan sambung belajar pulak. Dan Alhamdulillah Umi terchenta ni dah faham selok-belok nak siapkan kerja-kerja yang sepatutnya. 

Bila dapat borang medical check-up tu of courselah kami decide untuk terus ke klinik swasta sahaja. Walaupun klinik tu tak ada servis x-ray, tapi menurut doktor yang bertugas, depa boleh guna result x-ray sedia ada asalkan masih dalam enam bulan. (Result x-ray valid dalam masa enam bulan). So kami guna result x-ray masa buat medical check-up untuk masuk kolej haritu. Cuma perlu tambah ujian darah dan urine test sahaja sebab urine dan blood test kena buat yang baru. Ujian darah tu agak extended merangkumi ujian untuk Hep A, B dan C. Plus ujian untuk HIV 1 dan 2 jadi kosnya agak mahal. Kita kena tunggu 3 hari bekerja untuk mendapatkan result ujian darah tu. Doktor ambik darah hari Isnin, tolak cuti Hari Malaysia pada hari Rabu, hari Jumaat baru dapat result. Mengikut arahan pada borang yang diberi, semua yang buat medical check-up di klinik swasta perlu mendapatkan pengesahan doktor di klinik kerajaan. Maka usai sahaja ambik result di klinik kami terus ke Klinik Kesihatan berdekatan. Kami pilih KK Keramat AU2 sebab paling dekat dengan rumah. Mudah sahaja urusannya. Datang sahaja terus ke kaunter pendaftaran dengan membawa semua keputusan ujian, x-ray dan laporan doktor yang lengkap. 


Laporan dan keputusan ujian mesti lengkap.

Lepas depa semak semua apa yang patut, depa bagi nombor giliran dan minta bayaran RM1 sahaja.

Resit bayaran. RM1.


Kemudian, menggunakan nombor giliran yang sama kita pi tunggu untuk berjumpa doktor pulak. Keadaan sangat tenang dan damai. Mungkin sebab hari Jumaat dan kami berurusan dalam pukul 11 pagi, mungkin ada advantage di situ, orang pun tak ramai. 

Bilik doktor.

Selepas bertanya beberapa soalan doktor terus tandatangan dan bagi cop buat pengesahan. Alhamdulillah semua urusan selesai dalam masa setengah jam sahaja. 

"Cantiknya doktor... Muda je, macam budak U. Pakai mask pun cantik.! Rasa nak ambik medik pulak..." Cik Mek tu tak habis-habis teruja dengan doktor cantik tu.

"Tapi kenapa sebelum-sebelum ni kita tak buat medical check-up kat KK? Bayar seringgit je pun..." Itulah soalan yang tak pernah saya tanya dan tak pernah saya jawab. Mungkin perlu difikirkan jika ada keperluan selepas ini.

Friday, 18 September 2020

Weekend Breakaway: Hotel Tamu, Kampung Baru part 1.

 "Ummi tidur hotel ke? Sapa teman? Gi sorang ke?" 

Seperti biasa setiap kali saya keluar rumah mesti anak-anak concern siapa nak teman. Padahal dah tahu semuanya sibuk, maknanya takde sapa pun yang boleh teman. Dan saya pun tak ada masalah nak jalan sensorang. Asalkan minyak kereta penuh, touch and go cukup, hp dan kad bank on point kita tawakkal pada Allah sahaja. 

Dan pada petang Jumaat yang mulia ini kita redah jam masuk KL. Sebenarnya tak jam mana pun sebab saya jalan menongkah arus. Dalam orang sibuk nak keluar dari bandaraya KL untuk balik rumah, kita masuk KL untuk jumpa hubby kat Hotel Tamu, Kampung Baru. Hubby dah gerak terus dari tempat kerja usai solat Jumaat tadi, terus join program hingga pukul 5:00 petang. 

Saya gerak dari Ampang lepas Asar. Awalnya google map suggest ikut AKLEH, tetiba tukar route ambik DUKE pulak. Mana-mana route pun boleh tiba ke Kampung Baru dengan selamatnya. Perjalanan dari rumah hanya 20 minit sahaja. Tapi nak cari parking pun sama lama dengan masa perjalanan. Depa sediakan parking dari tingkat 1 hingga tingkat 8. Puas saya pusing dari tingkat satu, akhirnya rezeki dapat parking di tingkat 7. Rupa-rupanya harini pihak hotel banyak buat program sebab tu ramai pengunjung dan parkir pun penuh. 

Snap gambar tempat parkir buat pedoman.

Depa bagi bilik di tingkat 17 mengadap KL Tower. So bolehlah melihat pemandangan bandaraya Kuala Lumpur secara dekat. 

Nampak selesa.
 
Sementara hubby berprogram kita isi masa dengan berangan sambil memandang saujana KL. Sekitar kawasan hotel ini dikelilingi dengan restoran dan gerai makan dan boleh sampai dengan berjalan kaki sahaja.



Sebelum hubby sambung program sebelah malam kita take a break pi cari dinner kat Kampung Baru dulu. Kami tidak bercita-cita tinggi dalam makanan. Semua menu back to basic. 

"Dah boring makan makanan hotel..." Katanya. So kita layankan saja.

Nasi kerabu for him.

Nasi campur for her.

Dinner is done.

Usai dinner kita menapak balik hotel untuk program hubby sesi malam pulak. Sementara menunggu hubby habis program kita isi masa dengan meng'update' blog dan sambung beruzlah.

Masjid Kampung Baru.

Night light dari tingkap bilik.

Siang vs malam.

Cukup untuk malam ini. Esok kita cerita lain pulak.

Thursday, 17 September 2020

Perjanjian Pinjaman MARA, Pesuruhjaya Sumpah dan Setem Hasil.

Dah setel bab lapor diri di Kolej, nak kena mohon pinjaman/biasiswa pulak. Kalau ikutkan surat tawaran tu semua pelajar sudah ditawarkan pinjaman/biasiswa untuk melanjutkan pelajaran masing-masing. Tapi untuk menjadikan ianya rasmi maka student kena buat permohonan secara rasmi. 

Mula-mula depa bagi link untuk download semua borang yang diperlukan untuk diisi dan ditandatangan. Semua borang mesti dibiarkan loose, tak boleh staple, tak boleh ditebuk lubang atau binding. Untuk tawaran melanjutkan pelajaran ke oversea, kita kena print lima set borang. Semua borang kena isi pakai tangan ye, tulis sendiri... dan itu adalah solely and purely kerja anakanda comelku. Kalau ada salah, print semula dan isi semula. Terimakasih kepada hubby yang menyediakan kemudahan komputer dan printer di rumah. 

"Buat checklist senarai borang dan tindakan yang perlu dan baca arahan dengan teliti. Paling penting kena sediakan semua dokumen sokongan untuk di fotostat dan disahkan benar dari salinan asal. Kenal pasti siapa yang boleh sahkan supaya tidak kelam kabut." 

Sebelum ini, apa-apa sahaja dokumen sokongan yang memerlukan pengesahan (certified true copy) saya akan minta tolong dengan pengetua sekolah. Tapi kali ini hubby bawa gi ofis untuk minta tolong staf tandatangan. Alhamdulillah part ni berjalan lancar sahaja.

Lepas tu kena cari dua orang penjamin dan seorang saksi. Of courselah ayah yang kena jadi penjamin pertama. 

"Nina kena study betul-betul. Jadi apa-apa... siap!!!! Kak Iman tak nak bayar." Dalam paksa rela kakak sulong menjadi penjamin kedua.

Selepas dah siap isi borang dan cukup lengkap semua dokumen sokongan yang diperlukan maka bermulah mencari masa untuk proses tandatangan depan Pesuruhjaya Sumpah pulak. Oleh kerana dua-dua penjamin perlu hadir bersama untuk menandatangani borang perjanjian di hadapan Pesuruhjaya Sumpah maka proses mencari masa yang sesuai amat penting. Memandangkan hubby bekerja di Nilai, kakak pulak tinggal di Putrajaya maka kami ambik keputusan untuk mencari Pesuruhjaya Sumpah di Putrajaya sahaja. 

Saya shortlist tiga pejabat Pesuruhjaya sumpah sekitar Putrajaya. Saya pilih yang paling mudah berurusan. Kebetulan baru-baru ini hubby ada meeting di Putrajaya dan Allah buka jalan untuk mudahkan perancangan saya. Saya call pagi terus boleh buat temujanji pukul 3.00 petang. Saya gerak dari Ampang tengahari, stop over ambik kakaknya dan tunggu hubby habis kerja pukul 1:00 tengahari. Lepas light lunch dan solat zohor kami terus gerak. Jauh perjalanan ke sana hanya mengambil masa 10 minit sahaja, jadi tak perlu nak kalut sangat. Proses tandatangan pun mudah, bayar RM20, siap.

Proses seterusnya ialah stamping atau mematikan setem hasil. Setiap set borang perjanjian memerlukan setem hasil bernilai RM10. Kami beli 5 keping di pejabat pos Melawati. (Rasanya boleh beli di kaunter LHDN, tapi saya tidak betul-betul pasti).



Untuk proses stamping atau matikan setem ni kami pilih tempat yang paling dekat dengan rumah iaitu di LHDN, Wangsa Maju. Mudah sahaja mencari tempatnya sebab saya dah beberapa kali berurusan di sini. Cuma tempat parking agak terhad jadi kami memilih untuk parking kereta di tempat parkir Jusco Alpha Angle yang terletak di seberang jalan berhadapan dengan Menara Hidayah tersebut. Lepas tu kami jalan kaki dan naik lif terus ke tingkat 6.


Orang agak ramai. Masing-masing dengan bundle dokumen dan surat-surat yang nak dimatikan setem. So kita follow sahaja the crowd. 


Oleh kerana sekarang ini masih lagi dalam fasa PKP dek Covid 19, maka semua orang perlu mematuhi SOP. Hanya 20 orang sahaja dibenarkan masuk ke dalam pejabat setem untuk satu-satu masa. Alhamdulillah prosesnya agak laju. Tak sampai lima minit beratur kami dah boleh masuk. Masuk sahaja, terus kena daftar maklumat perjanjian dalam komputer yang disediakan sebelum depa bagi nombor giliran. Staf mereka sangat membantu dan proses key in maklumat pun sangat mudah.

Laju.

Sementara menunggu nombor giliran dipanggil, kita tampal setem dulu.

Alhamdulillah semuanya berjalan sangat lancar. Dah selesai semua kerja... kemudian apa lagi, dah alang-alang parking kereta kat Jusco, kita sambung jalan-jalan, makan-makan, shopping dan window shopping buat terapi diri... 

PS: Mudah-mudahan perjalanan melanjutkan pelajaran anakanda comel juga berjalan lancar. Moga Allah bantu. Ameen.

Saturday, 12 September 2020

Cuti cuti Covid 19: Pulse Grande, Putrajaya.

"Jom gi Pulse Grande lepas tu boleh joging keliling taman..." Hubby memang suka buat kejutan. Dan biasanya kita kena sambut kejutan tu sampai jadi sebab peluang hanya datang sekali. 

Dua minggu sebelum itu hubby ada program di hotel berkenaan jadi nak la bawa isteri terchenta ni merasa tidur di hotel juga. Tak pernah pulak saya dengar nama hotel tu sebelum ini. Rupa-rupanya hotel ni asalnya Shangri-La Putrajaya yang diberi nafas baru. Oleh kerana kami buat booking last minute maka yang tinggal hanyalah bilik deluxe yang ada dua katil queen sahaja. Harga promosi RM420 untuk satu malam. Rasa rugi pulak bayar mahal-mahal tapi duduk berdua sahaja maka kita angkut semua anak beranak dan menantu untuk join sekali beraktiviti sebelum malam menjelang. Bilik besar tu kita buat port transit. Bila dah habis beraktiviti semua balik ke tempat masing-masing, tinggal ummi dan ayah sahaja.

Kami gerak lepas zohor dan tiba di hotel dalam pukul 3 petang. Pengunjung agak ramai mungkin sebab PKP sudah mula dilonggarkan jadi masing-masing ambik peluang untuk bercuti selepas lebih 3 bulan terkurung di rumah. Kami terpaksa menunggu agak lama untuk proses check-in.

Menunggu dengan sabar.

Depa buat open space reception.

Sepatutnya boleh check-in pukul 3.00 petang tapi disebabkan bilik belum siap kita isi masa dengan bersiar-siar sambil melihat hiasan dalaman bangunan hotel yang agak unik. Walaupun saya bukanlah orang seni tapi bolehlah sekadar nak appreciate apa-apa idea tentang hasil seni dan binaan sambil melayan sibujang arkitek nan seorang itu.

Konsep open space.

Ada tingkap pecah, depa tutup pakai plywood sahaja. Nampak sedikit cacat di situ.

Area lobi.

Oleh kerana bilik masih belum siap, kami pi cari makan di Restoran Serabei, Ayer 8, Putrajaya dahulu. Asalnya hubby nak cari nasi kerabu tapi dah out of stok. Depa sediakan ala carte sahaja. Maka berpadalah kami dengan apa yang ada. Lepas makan kita lepak-lepak berposing tepi tasik pulak.



By pukul 5 petang kami patah balik ke hotel semula. Alhamdulillah bilik dah siap, dah boleh masuk. Kononnya nak bawa cucu gi mandi kolam tapi penuh pulak. Rupa-rupanya kena register dulu sebelum masuk sebab musim Covid 19 ni. Pasrah jelah. So untuk kill the time kita pusing-pusing melihat keindahan seni bina di bahagian luar hotel pulak.

Area swimming pool.




Dah puas menjelajah kita lepak-lepak kat bilik sebelum turun ke padang menikmati suasana petang di Putrajaya. Sementara tu layan cucu mandi 'kolam' dulu. Nenek duduk kat katil je sambil monitor cucu mandi. Depa buat pintu kayu sliding untuk bilik mandi, attached terus ke bilik tidur. So tak perlu nak tunggu depan pintu bilik air.

Berendam dalam bathtub jelah gayanya.

Bila hari dah agak teduh baru kami turun bersiar-siar di padang. Seronok pulak jenjalan ambik angin sekitar taman Putrajaya ini. Plan asal nak berjoging tapi sayang pulak kalau tak ambik peluang menikmati keindahan lanskap di sini. So sementara anak cucu bersuka ria bermain dan berlari di padang, kita berposing dan gedik-gedik dahulu sambil buat regangan manja.

Berangan sambil feeling-feeling kat oversea.





Excited tengok burung yang jinak.



Mercu tanda Putrajaya katanya.

Bougainvillea atau bunga kertas baru lepas dipangkas.

Bunga raya


Selepas dah puas menikmati keindahan petang di taman, kami pi dinner di restoran D' Tandoor di Ayer 8, Putrajaya sebelum ambik angin malam di tepi tasik. Tak sempat nak enjoy sangat dek tenaga yang dah mula berkurangan, mata pun dah mengantuk.

"Takpe, next time boleh sambung lagi. Putrajaya ni dekat je. bila-bila pun boleh datang lagi..." begitulah janji hubby. So kita tunggu sahaja bila 'next time' tu akan tiba. 

Acah-acah merpati dua sejoli.

Esoknya, pepagi lagi kami dah bersiap untuk keluar sarapan di luar hotel. Kami tak ambik pakej dengan sarapan sebab tak banyak pilihan menu. Lagipun di musim Covid 19 ni, semua makanan dah siap dibungkus menyebabkan pilihan yang terhad. Usai sarapan kami terus gerak balik Ampang untuk mengejar waktu Solat Jumaat.

Keadaan cafe hotel yang suram.

Bengkek je hubby nak melayan bini mengada nak naik buggy padahal sepelaung je jarak ke parking lot.

Begitulah ceritanya...

PS: Lepas ni kita tunggu apa pulak kejutan seterusnya.

Meja troli beroda

Sejak badan rasa berat dan pergerakan pun terhad, tetiba pulak rasa nak cari meja (troli) beroda. Apa lagi, kita browse je apa yang ada kat ...