Tuesday, 22 December 2015

Merisik-risik Kerisik

Saya dah tak ingat bila kali terakhir saya buat kerisik. Well, rasanya selama ni macam tak pernah buat pun. Hanya tolong nenek tumbuk kerisik sekali sekali masa kecik dulu. Lesung batu pusaka nenek kekal untuk kegunaan di rumah saya hingga kini.

Seingat saya waktu yang paling meriah dalam hal kerisik merisik ni ialah apabila tiba kenduri kawen. Satu kampung akan turun untuk tolong-menolong. Masing-masing macam dah tahu tugasan masing-masing. Seperti biasa anak-anak dan mak-mak dara ditugaskan di dapur. Sehingga kini musim cuti sekolah adalah juga merupakan musim kenduri kawen. Seingat saya masa kecik-kecik dulu biasanya 3 hari sebelum acara masak memasak beruk Pak Heng dah siap sedia memetik kelapa secukupnya. Pakcik-pakcik akan kopek dan belah kelapa tu. Air kelapa disimpan dalam periuk untuk membasah tekak kami setelah penat buat kerja. Lembu dah siap ditambat untuk disembelih sehari sebelum acara masak-memasak. Makcik-makcik akan potong bawang, kentang dan lain-lain kerja seni wanita. Anak-anak dara akan menyediakan peralatan menghidang, membasuh cawan pinggan yang diangkut oleh anak-anak bujang dari stor surau dan mengukur kelapa. Bab mengukur kelapa memang favourite saya. Saya suka kukur kelapa sambil berangan nampak snow turun masa musim sejuk kat England. Heheh.....dari kecik berangan nak pi England sebab berkenan tengok mendiang Lady Diana yang lemah lembut tu.

Kelapa yang dah dikukur tu dijemur hingga kering. Makan masa 2 hari juga sebab banyak. Ada dalam 2 hingga 3 talam. Berapa biji kelapa tah. Tak pernah pulak saya kira. Tapi berpeluh jugakla nak melengkapkan misi tu. Lepas tu baru digoreng tanpa minyak dalam kawah. Kena buat kerisik awal-awal sebab kawah tu nanti akan digunakan pula untuk memasak lauk daging lembu.

Sungguh.....zaman saya dan kawan-kawan seangkatan bersuka ria semasa kenduri kawen memang meriah. Kalau yang buat kenduri tu adalah seorang yang berada/kaya banyaklah menu yang disajikan. Dan lagi lama masa untuk bergembira ria dan makan besar. Sudah semestinya ada malam wayang pacak, jemput kumpulan kugiran buat persembahan. Kadang ada wayang kulit, silap mata, pencak silat dan telematch. Sungguh mereka tidak kedekut. Memang rezeki untuk semua orang kampung

Yang pasti walau siapa pun yang buat kenduri, samada golongan kaya, sederhana atau miskin, semua orang kampung saya akan bersama-sama bergabung tenaga menjayakan majlis tersebut. Tak pernah terasa ada jurang perbezaan antara kami. Entah lah....mungkin masa tu saya masih belum matang untuk berfikir tentang masalah ummah. Mungkin juga zaman itu semua masyarakat penyayang dan prihatin. Tiada nafsi-nafsi seperti sekarang. Ataupun mungkin juga peredaran masa dan suasana merubah perilaku manusia.....Hmmm.

"Kenapa pajeri nenas ni rasa pahit?"

"Entah. Agaknya kerisik lama kot."

Tetiba terasa alangkah sedapnya kalau ada kerisik fresh. Kerisik segera yang beli kat kedai tu kekadang rasa tengik dan pahit. Warna pun semacam je..... Lama saya berkira-kira nak buat kerisik ni. Gaya macam nak merisik anak dara orang pulak. Akhirnya dengan penuh semangat saya memulakan pengembaraan dan mencungkil semula bakat menghasilkan kerisik buatan sendiri yang telah terpendam sejak sekian lama. Senang je sebenarnya. Tak payah pun nak suruh beruk arwah Pak Heng tu pi panjat pokok kelapa. Tak payah pun nak susah-susah kopek dan kukur kelapa tu. Beli je kelapa parut kat kedai runcit, RM2.20 sebiji. (Dah naik harga pulak). Lepas tu goreng tanpa minyak dalam kuali. Bab ni memang kena banyak bersabar sebab prosesnya sangat lama. Api kecil dan kena kacau sentiasa. Saya peruntukan masa lebih 1 jam menunggu kelapa tu garing. Sabar tahap dewa tu.....
Bila dah cukup garing, terus tuang ke dalam lesung batu semasa panas-panas tu. Tumbuk perlahan-lahan supaya tidak tumpah. Kalau malas nak tumbuk boleh guna pengisar kering. Saya suka tumbuk pakai lesung batu arwah nenek saya ni. Terasa macam nenek hadir tercongok depan mata saya.

"Pandaiiii.... hang buat kerisik." 

Suara nenek seakan meresap dalam jiwa saya..... Dulu nenek memang suka puji saya pandai tumbuk kerisik tanpa tumpah.
Sekejap sahaja kelapa tu dah mula hancur. Bila keadaan dah macam ni, tak perlu tumbuk lagi. Hanya perlu tenyehkan sahaja anak batu tu pada lesungnya. Nanti perlahan-lahan minyak akan keluar dari kerisik tu.
Apabila dah keluar minyak maksudnya kerisik tu dah siap sedia untuk digunakan.
Saya masukkan kerisik tu dalam bekas kedap udara dan simpan dalam peti sejuk supaya agak keras.
Bila dah agak keras, patah-patahkan supaya senang untuk digunakan nanti. Kemudian simpan dalam peti sejuk semula supaya tahan lama.

Lepas tu nak ratah pun boleh. Saya suka ambik makan sikit-sikit. Rasa macam coconut candy choc.....yummy.


No comments:

Meja troli beroda

Sejak badan rasa berat dan pergerakan pun terhad, tetiba pulak rasa nak cari meja (troli) beroda. Apa lagi, kita browse je apa yang ada kat ...