Thursday, 26 December 2019

Mihun Goreng simple.

Pabila hubby ambik cuti hujung tahun, maka kita lepak-lepak kat rumah sahaja. Bila dah duduk rumah haruslah bermula dengan sarapan dari air tangan bini mithali. Biasanya saya tak pernah plan nak masak apa. Ikut je apa yang datang dalam fikiran, maka itulah menu yang akan saya masak. Sesekali hubby minta menu sendiri, menggagau jugaklah nak mencari bahan. Biasanya saya dah siapkan stok bahan masakan asas. Yang lain tu kita main campak campak sahaja.

Kebetulan pagi semalam terasa nak makan mihun goreng. Maka tanpa berfikir panjang saya terus rendam mihun yang ada, potong bawang putih dan merah, potong sayur yang ada dalam stok serta beberapa bahan perencah asas seperti udang kecil, fishcake, fishball dan bebola ketam . Saya sentiasa simpan stok bahan-bahan rencah ni dalam peti sejuk beku. Boleh letak dalam mee kuning, nasi goreng, megi goreng atau di goreng/rebus begitu sahaja makan cicah sos.


Saya rendam mihum dengan air suam supaya kembangnya sekata. Lepas tu tumbuk bawang putih dan merah serta cili api yang dikutip dari kebunku, sebagai bahan tumis. Lesung batu adalah wajib.

Tumbuk kasar sahaja. Kalau rajin nak hiris pun boleh.

Panaskan minyak dalam kuali, lepas tu tumis bahan yang ditumbuk tadi. Selepas dah tumis, saya masukkan bahan perencah beserta garam dan sedikit gula. Setelah semua perencah dah nampak  masak empuk, saya masukkan mihun yang telah disejat beserta sayuran yang ada. Gaul rata. Biasanya sebelum masukkan mihun, saya akan masukkan sos cili, sos tomato dan sos tiram sebagai perencah tambahan. Tiba-tiba pulak semua sos tu dah out of stock. Gamaknya sebab saya tak sempat shopping pada minggu sebelum tu. Gabra sekejap. Alhamdulillah masih ada stok lada hitam. Maka kita tumbuk buat serbuk dan tabur sahaja dalam kuali. Tambah hirisan kucai yang dipetik dari kebun, maka jadilah ia mihun pucat. Tak berani nak claim kata mihun Singapore sebab lain benar isi dan cara membuatnya walaupun rupa dah ada iras-iras. 

Mihun goreng simple is done.

Tak perlu gundah gulana pabila anak-beranak makan bertambah-tambah. Sibujang tu siap bawa bekal lagi. Alhamdulillah.. bak kata orang, kalu kita masak dengan kasih sayang maka kenyanglah mereka yang memakannya.

Monday, 16 December 2019

Pokok pandan, ulam dan taman herba.

"Hati-hati tanam pokok pandan ni. Tempat sejuk, banyak benda nak menumpang satgi..."

Saya tanam pokok pandan ni sejak pindah sini, lebih kurang tujuh tahun yang lalu. Alhamdulillah hidup subur walaupun saya tak pernah jaga. Agaknya sebab kedudukannya tepi longkang maka dapatlah ia membawa diri. Pendek kata, ia sentiasa ada bila diperlukan. Malangnya tuan rumah ni tak pandai mengambil kebaikan pokok pandan ni. Saya hanya petik bila nak buat nasi lemak atau ayam pandan atau bubur/pengat. Sesekali bila rajin tiba, saya ambik dan potong halus-halus sebagai pewangi rumah. Kadang-kadang saya cuma gumpal-gumpalkan sahaja daun-daun dan sumbat sahaja dalam almari dan kabinet dapur untuk halang lipas. Tapi itulah... bila dah banyak merimbun dan ada pulak pesanan tentang makhluk menumpang, naik seram pulak.

Maka pada suatu hari yang tenang, saya ambik peluang dengan kudrat yang ada untuk tebang semua pokok pandan tu. Penat jugak sebab akar tunjangnya dah masuk jauh ke dalam tanah. Tapi bak kata pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit, kita potong sikit-sikit dan cangkul akar yang berselirat. Selepas tiga hari, siap semua daun-daun pandan tu saya potong dan berbagi dengan sahabat dan jiran yang sudi berkongsi rezeki. Tunggul dan akarnya saya potong kecik-kecik dan sumbat dalam plastik sampah.

Tunggul dan akar yang berselirat.

Jenuh nak cabut sebab akar tunjang sangat dalam.

Selonggok.

Berlonggok...

Pabila dah cabut semua pokok pandan tetiba pulak kawasan tu nampak kosong. Dah tinggal tanah macam tu maka bersuka-rialah kekucing kat rumah ni berjimba buat pot jamban baru. Saya tambah tanah dan pasir. Lepas tu saya ratakan dan letak kepingan mozek. Asalnya nak susun pasu-pasu pokok herba kat atas mozek tu tapi nampak serabut pulak. Akhirnya saya biarkan kosong sahaja. Nanti sampai masa yang sesuai kita fikirkan projek baru pulak.

Saya tanam semula anak pandan yang baru.

Dah alang-alng menebang pokok pandan, saya trim sekali pokok-pokok ulam dan herba yang dah mula subur sepanjang tepi pagar belakang ni. Alhamdulillah setakat ini saya dah tak perlu beli ulam lagi. Petik sahaja dari halaman rinduku pabila perlu.

Dari kiri: Pokok daun kari, putat, bunga telang, basil dan roselle.

Dari kiri: Pokok belalai gajah, limau kasturi dan pokok apa entah..

Cili dah galak berbunga.

Semangat nak menanam sentiasa ada. Cuma nak menjaga tu yang jadi masalah. Mengambil berkat musim hujan ini, Alhamdulillah semua pokok menjadi segar, sihat dan subur. Tuan tanah hanya mengutip hasilnya sahaja.

Cerita taman herba sebelum ini...

Sunday, 15 December 2019

Memokok lagi

Seminggu dua ini hati dan perasaan asyik melekat di halaman rinduku sahaja. Setiap pagi dan petang saya akan berlama-lama di daerah itu. Maka banyaklah cacat cela yang ternampak di mata. Daripada pokok-pokok yang harus ditrim, rumput rampai yang harus dicabut, ruang halaman yang masih kosong dan perlukan pemurnian dan penambahbaikan, melarat hingga ke pasu-pasu yang masih kosong dan perlu diisi dengan pokok baru. 

Maka pada suatu pagi yang tenang saya ke Haji Nursery, yang terletak di MRR2 sebelum exit ke Greenwood, Batu Caves. Pukul 9.30 pagi saya dah terpacak depan pintu kedai sebagai pelanggan pertama sebaik sahaja depa bukak kedai. Saya suka beli pokok-pokok di situ sebab Pakcik penjual tu sangat ramah dan tidak lokek dengan tips yang berguna untuk kemenjadian pokok yang ditanam. Banyak tips yang dia bagi namun bergantung kepada kerajinan dan ketekunan kita, samada nak ikut atau tidak. Setakat ini banyak je yang saya abaikan, lepas tu meroyan pokok-pokok tak segar bagai diidam.

Hajat asal hanya nak beli tanah dan pokok-pokok untuk buat flower bed  sahaja. Tapi biasalah... bila dah nampak pokok-pokok yang segar-segar kat nursery bunga, mata pun mula rambang. Tapi kuatkan semangat... beli yang perlu sahaja. Akhirnya saya ambik juga dua pasu pokok bunga kertas dan sepasu pokok kemboja putih berserta tujuh pot bunga jasmin untuk flower bed dan lapan beg tanah serta baja pokok.

Pokok bunga kertas dan kemboja penuh seat kereta..

Penuh bonet.

"Sapa tolong Umi?"

Haruslah Umi yang power. Angkut segala pokok dan tanah sensorang hingga terlupa kudrat dah nak senja. Alhamdulillah tiada sebarang cedera parah. Sakit pinggang dan lenguh lutut sikit-sikit tu perkara biasa asalkan hati bahagia.

Transit dulu sementara menunggu hari teduh.

Sebaik sahaja hari mula teduh maka bermulalah projek pemasuan dan tanam semula. Bunga kertas tu saya letak dalam pasu supaya mudah nak alih tempat mengikut arah cahaya matahari  yang berubah-ubah nanti. Rumah saya menghadap matahari naik tapi sentiasa berubah arah dari tepi kiri hingga kanan. Oleh kerana pokok-pokok depan rumah saya dah mula membesar dah menghalang cahaya maka saya terpaksa mengalih pokok-pokok yang memerlukan sumber cahaya maksimum kesebelah kiri atau kanan pagar. 


Pokok bunga kertas selamat menambah di hujung barisan.

Kemboja putih berbatang lembut, saya letak sederet dengan pokok bunga melur sedia ada. 

Projek asalnya adalah memindahkan pasu-pasu pokok lidah jin ke tempat baru dan gantikan kawasan asal tu dengan pokok baru. Niat nak buat ala-ala flower bed tapi macam tak menjadi pulak sebab kucing kat rumah ni sibuk mengorek tanah buat jamban baru depa. Maka kita berpada jelah dengan apa yang ada. Mudah-mudahan pokok bunga jasmin yang ditanam dapat hidup subur walau terpaksa berkongsi kawasan dengan tinja kucing bertuah tu. 



Seperti biasa, urusan pemasuan dan penanaman pokok tidak sah kalau tak usik pasu-pasu sedia ada. Dah alang-alang menggunakan tulang kerat kita kerahkan segala kudrat yang berbaki. Selepas selesai urusan pemasuan, saya alih dan susun semula kedudukan pasu bunga ros pulak. Kata orang, pokok bunga ros ni manja. Mungkin sebab itulah depa tak berapa nak subur ditangan saya yang hanya pandai siram dan letak baja sahaja. Nak manja memanja tu payahlah sikit.

Tempat baru untuk bunga ros yang terhalang cahaya dek pokok pinang depan rumah.

Tempat asal bunga ros yang dah lompong. 

Alhamdulillah semua urusan selesai dalam masa sehari. Puas hati makcik menikmati hasil usaha sendiri. Kind of me-time, gitu. Mudah-mudahan semuanya hidup subur dengan penuh kasih sayang.