Sunday, 15 December 2019

Memokok lagi

Seminggu dua ini hati dan perasaan asyik melekat di halaman rinduku sahaja. Setiap pagi dan petang saya akan berlama-lama di daerah itu. Maka banyaklah cacat cela yang ternampak di mata. Daripada pokok-pokok yang harus ditrim, rumput rampai yang harus dicabut, ruang halaman yang masih kosong dan perlukan pemurnian dan penambahbaikan, melarat hingga ke pasu-pasu yang masih kosong dan perlu diisi dengan pokok baru. 

Maka pada suatu pagi yang tenang saya ke Haji Nursery, yang terletak di MRR2 sebelum exit ke Greenwood, Batu Caves. Pukul 9.30 pagi saya dah terpacak depan pintu kedai sebagai pelanggan pertama sebaik sahaja depa bukak kedai. Saya suka beli pokok-pokok di situ sebab Pakcik penjual tu sangat ramah dan tidak lokek dengan tips yang berguna untuk kemenjadian pokok yang ditanam. Banyak tips yang dia bagi namun bergantung kepada kerajinan dan ketekunan kita, samada nak ikut atau tidak. Setakat ini banyak je yang saya abaikan, lepas tu meroyan pokok-pokok tak segar bagai diidam.

Hajat asal hanya nak beli tanah dan pokok-pokok untuk buat flower bed  sahaja. Tapi biasalah... bila dah nampak pokok-pokok yang segar-segar kat nursery bunga, mata pun mula rambang. Tapi kuatkan semangat... beli yang perlu sahaja. Akhirnya saya ambik juga dua pasu pokok bunga kertas dan sepasu pokok kemboja putih berserta tujuh pot bunga jasmin untuk flower bed dan lapan beg tanah serta baja pokok.

Pokok bunga kertas dan kemboja penuh seat kereta..

Penuh bonet.

"Sapa tolong Umi?"

Haruslah Umi yang power. Angkut segala pokok dan tanah sensorang hingga terlupa kudrat dah nak senja. Alhamdulillah tiada sebarang cedera parah. Sakit pinggang dan lenguh lutut sikit-sikit tu perkara biasa asalkan hati bahagia.

Transit dulu sementara menunggu hari teduh.

Sebaik sahaja hari mula teduh maka bermulalah projek pemasuan dan tanam semula. Bunga kertas tu saya letak dalam pasu supaya mudah nak alih tempat mengikut arah cahaya matahari  yang berubah-ubah nanti. Rumah saya menghadap matahari naik tapi sentiasa berubah arah dari tepi kiri hingga kanan. Oleh kerana pokok-pokok depan rumah saya dah mula membesar dah menghalang cahaya maka saya terpaksa mengalih pokok-pokok yang memerlukan sumber cahaya maksimum kesebelah kiri atau kanan pagar. 


Pokok bunga kertas selamat menambah di hujung barisan.

Kemboja putih berbatang lembut, saya letak sederet dengan pokok bunga melur sedia ada. 

Projek asalnya adalah memindahkan pasu-pasu pokok lidah jin ke tempat baru dan gantikan kawasan asal tu dengan pokok baru. Niat nak buat ala-ala flower bed tapi macam tak menjadi pulak sebab kucing kat rumah ni sibuk mengorek tanah buat jamban baru depa. Maka kita berpada jelah dengan apa yang ada. Mudah-mudahan pokok bunga jasmin yang ditanam dapat hidup subur walau terpaksa berkongsi kawasan dengan tinja kucing bertuah tu. 



Seperti biasa, urusan pemasuan dan penanaman pokok tidak sah kalau tak usik pasu-pasu sedia ada. Dah alang-alang menggunakan tulang kerat kita kerahkan segala kudrat yang berbaki. Selepas selesai urusan pemasuan, saya alih dan susun semula kedudukan pasu bunga ros pulak. Kata orang, pokok bunga ros ni manja. Mungkin sebab itulah depa tak berapa nak subur ditangan saya yang hanya pandai siram dan letak baja sahaja. Nak manja memanja tu payahlah sikit.

Tempat baru untuk bunga ros yang terhalang cahaya dek pokok pinang depan rumah.

Tempat asal bunga ros yang dah lompong. 

Alhamdulillah semua urusan selesai dalam masa sehari. Puas hati makcik menikmati hasil usaha sendiri. Kind of me-time, gitu. Mudah-mudahan semuanya hidup subur dengan penuh kasih sayang.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.