Tuesday, 29 October 2024

Kenduri @ Cyberjaya & Gemencheh N9

Weekend baru-baru ini hubby dapat jemputan kenduri kawen di Cyberjaya dan Gemencheh, Negeri Sembilan. Dan bila ada dua jemputan dalam satu masa, kita cuba penuhi undangan dengan menyusun jadual bagi memudahkan perjalanan.

“Kita gi Cyberjaya dulu, lepas tu baru pergi Gemencheh.” Sebagai isteri mithali kita menurut sahaja segala perancangan.

Kami keluar rumah dalam pukul 10 pagi, mengambil kira durasi perjalanan yang hampir satu jam untuk tiba ke destinasi pertama. Depa mula kenduri pada pukul 11 pagi di Dewan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, dan kami menjadi antara tetamu terawal. Dewannya cantik dan luas. Makanan pun sedap. Biasanya bila menghadiri kenduri rakan sekerja hubby, saya memilih untuk ‘well-behaved’ dan duduk makan diam-diam di meja yang disediakan sementara hubby berborak. Sesekali kita senyum, angguk dan menyampuk sepatah dua dengan tetamu semeja. Bila dah keluar dewan barulah kita bergambar buat kenangan.😁

Dewan masjid dari jauh.

Cenderahati daripada tuan rumah.

Usai makan kami terus gerak ke arah Selatan melalui PLUS Highway dan singgah sebentar di RnR Seremban untuk ke tandas dan beli air mineral buat bekal. Asalnya Google Map mengarahkan untuk keluar Exit Simpang Ampat terus ke jalan Tampin-Gemas melalui Alor Gajah. Tapi bila tengok lagi sekali, Google Map cadangkan kami untuk exit di Senawang pulak. Oleh kerana kami belum pernah sampai ke Gemencheh maka dengan (lurus bendul) saya mengikut sahaja laluan yang dicadangkan. Dia suruh turn left, kita turn left, dia suruh turn right, kita pun turn right. Hinggalah sampai ke laluan sempit dan bengkang-bengkok dalam hutan pun kita akur sahaja. Kami masuk laluan Route 1 sebelum masuk ke N17 dan N5. Ada beberapa jalan type N lagi yang saya pun tak pasti apa maksudnya. Yang pasti setiap kali masuk jalan N, jalannya bengkang-bengkok dan sempit.

“Jalan mana yang awak bawak ni? Dah macam laluan komunis zaman dulu je ni…” Sungguh kami dua-dua pun cuak dan baca je apa-apa ayat penenang hati yang terlintas dalam kepala bila melihat keadaan jalan yang tak tercapai dek akal. Apakan daya, there’s no turning back maka kita redah sahaja dengan ‘bantuan’ Google Map. Alhamdulillah, selepas hampir dua jam ‘berperang’ dengan perasaan cemas (dan takut naik darah tinggi) akhirnya kami tiba ke destinasi kedua dalam pukul 2.45 petang, sempat makan dan jumpa pengantin sebelum majlis berakhir pada pukul 4 petang.

Sempadan Selangor dan Negeri Sembilan.

Suasana terang mengiringi perjalanan ke Gemencheh sebelum memasuki jalan sempit dan berliku. 

Dengan pengantin yang juga ex-student hubby masa di UIAM dahulu.

Usai bergambar dengan pengantin kami terus minta diri untuk pulang awal bagi mengelakkan jalan sesak. Kali ini kami terus ambik jalan Gemas-Tampin menghala ke Tol Simpang Ampat dan terus ke PLUS Highway. Sungguh bagai diduga, jalan sesak di sana-sini. Kami stop over di RnR Seremban (Northbound) untuk solat jama’ dan mengisi perut (early dinner) sebelum meneruskan perjalanan dalam kesesakan jalanraya maha hebat.

Chicken coney buat makan malam.

Kereta yang banyak dalam perjalanan pulang.

Sign board USIM di Nilai dalam lembayung senja.

@ Ampang.


Cenderahati/doorgifts daripada tuan rumah di Cyberjaya.

Kami tiba di rumah semula dalam pukul 8 malam.

“Keluar rumah pukul 10:00 pagi dan balik semula pukul 8:00 malam… dah macam balik Kelantan dah ni…” Begitulah. Ayuhlah kita bersiap sedia untuk balik kampung pulak. Semoga Allah mudahkan urusan balik kampung nanti. Aamiin.🌹

Sekian.😊

Friday, 25 October 2024

KB: Jalan-jalan cari makan.

Bila-bila hubby ajak balik Kelantan, awal-awal lagi saya akan sediakan planning jalan-jalan cari makan sekitar Kota Bharu yang terkenal sebagai syurga makanan. Namun bila dah memasuki usia emas, kita sentiasa berhati-hati memilih makanan. Walau banyak tempat viral, kita tetap memilih port lepak lokal. Antara tempat wajib bila balik KB adalah warung/kedai makan di Stadium Muhammad Kota Bharu. Macam-macam menu ada di sini terutama sajian di malam hari. Menu utama yang kami cari haruslah ‘ccolek’, campuran bahan-bahan gorengan dipotong kecil dan disiram dengan kuah pedas manis. Ada kala kami makan nasi ayam.

Nasi ayam dan colek @ Stadium Kota Bharu.

Sebagai tambahan, ada juga kami melencong ke kedai makan milik sahabat hubby yang tinggal di Kelantan. Kali ini kami ke Tudio Cafe, milik seorang sahabat hubby yang pulang berpencen di tempat kelahiran beliau. Depa bukak kedai di rumah peninggalan (pusaka) orang tua yang diubahsuai menjadi tempat makan yang cantik dan unik.

Nasi goreng lamb shank & mushroom soup @ Tudio Cafe.

Dengan pemilik Tudior Cafe.

Dan seperti biasa, kami akan ke Kg China menikmati air tangan sepupu yang baik hati sebelum ke pantai (PCB).

Kuetiau homemade @Kg China.

Air sarsi @ PCB.

Colek celup tepung & Kerabu megi @PCB

 {Catatan cerita pada Ogos 2023, setelah lebih setahun tersimpan dalam draft.} 😊

Begitulah rutin jalan-jalan cari makan setiap kali balik ke Pantai Timur. Insya Allah, minggu depan kita akan kembali lagi. Travelling and lodging semua dah setel, tinggal nak ambik kereta sewa dan check-in hotel sahaja. Moga Allah mudahkan. Aamiin.🌹

Wednesday, 23 October 2024

Overnight @ Villea Morib

Hujung minggu baru-baru ini saya menemani hubby lagi. Kali ini kami ke Morib dan menginap di Villea Hotel untuk satu malam. Kami dapat bilik di tingkat bawah (ground floor). Uniknya kawasan parkir kereta sangat dekat dengan bilik. Kami dapat parkir betul-betul di hadapan bilik hotel. Bukak pintu kereta terus boleh masuk bilik macam masuk car porch rumah.

Oleh kerana program hubby bermula selepas Maghrib maka kami tidak perlu tergesa-gesa untuk tiba di hotel. Sebelum check-in kami dah singgah makan, merangkap makan malam di kawasan rehat Pantai Morib. Tiada apa yang menarik di sini kerana kawasannya macam under construction. Kami cuma duduk makan dan bungkus apa yang patut untuk bekal saya malam nanti. Oleh kerana saya tidak bercadang untuk bercuti beriya maka saya cuma ingin duduk berehat di bilik hotel sahaja sementara hubby attend program. Walaubagaimanapun hubby tetap mengajak saya bersiar-siar di tepi laut yang terletak di belakang hotel sementara menunggu waktu program mereka bermula. Kami cuma duduk-duduk sambil menunggu kalau-kalau muncul ‘sunset’ dikala senja. Sepatutnya kawasan ini adalah pantai persendirian untuk hotel Villea tapi dek kerana hakisan atau masalah alam, pantainya dah ‘hilang’. Depa terpaksa bina tembok sebagai tebing yang agak tinggi bagi menahan air laut daripada terus melimpah. Dah nampak macam tepi gaung pulak bila ombak laut menghempas terus ke dinding tembok. Memang tiada pantai langsung.

Tembok simen dibina sepanjang pantai.

Air laut (beserta sampah sarap) yang ‘memukul’ tembok simen.

Depa tanam semula pokok kelapa, mungkin untuk menguatkan struktur tanah.

Chalet mengadap laut, sebahagian daripada hotel.


Selpi/ wefi dulu.

One for the memori.

Sepanjang malam saya hanya berehat di bilik hotel sementara hubby meneruskan program hingga lewat malam. Biliknya agak luas, macam family room dengan satu katil king dan satu katil single dan ada penghadang/pemisah antara ruang tidur dan ruang TV, serta kerusi dan sofa untuk duduk berehat. Walaupun (capaian) siaran TV sedang di 'upgrade' tapi wifi agak laju. So bolehlah makcik berehat, melayari internet sambil mengimbau kenangan menonton TV menggunakan antena TV atas bumbung rumah, yang terpaksa diejas setiap kali hujan atau angin kuat di suatu masa dahulu. 😁

Abaikan bekalan penuh meja dan siaran TV yang tenggelam timbul. Saya biarkan TV tu terbuka buat peneman di malam hari.  

Esoknya pepagi lagi kami dah check-out dan singgah sarapan di Banting on the way balik rumah.

Kawasan belakang bilik menghadap ruang lobi di sebelah kanan dan swimming pool di sebelah kiri.

Ruang masuk utama ke kawasan lobi hotel.

Bye Morib. Ada rezeki kita kembali lagi. Semoga Allah sentiasa mudahkan urusan kita. Aamiin.🌹

Sekian.😊

Tuesday, 22 October 2024

Kuantan: Jalan-jalan, me-time

Sambungan cerita Kuantan.

Sesekali dapat peluang ikut hubby keluar kawasan, kita plan baik-baik untuk mengisi masa sementara depa berprogram. Kebetulan pada hari kedua hubby ada program penuh dari pagi hingga kemalam maka kita keluar jalan-jalan dengan Shida, sahabat lama sambil me-time (our-time).

Seperti yang dijanjikan, usai sarapan Shida datang menjemput saya di hotel dan kami keluar dan duduk lepak di tepi Pantai Batu Hitam, port healing katanya. Walau cuaca agak panas tidak menghalang kami berborak bagai tiada hari esok. Kami kenal sejak zaman sambung belajar di UK lagi dan kekal bersahabat dari zaman single-mingle hingga dah bercucu. Makanya bila sesekali dapat peluang berjumpa, banyaklah isu yang nak dikongsi dan dibincangkan.

Abaikan kelebaran muka yang tembam, fokus hanya pada senyuman.

Pantai Batu Hitam.

Usai aktiviti melepak di pantai, Shida membawa saya pusing-pusing kawasan istana diraja Pahang. Kami hanya sekadar lalu depan pintu masuk istana HRH Tuanku Sultanah Kalsom dan istana Tengku Mahkota dan hanya mengagumi dari luar sebelum menyambung perjalanan ke kawasan Zoo Teruntum, Pahang. Oleh kerana asyik bersembang, lupa pulak nak ambik gambar kenangan. Seterusnya kami ke Pantai Teluk Sisek. Kali ini kami hanya sambung berborak dalam kereta sahaja dek cuaca yang agak panas sebelum patah balik ke Pantai Batu Hitam untuk makan tengahari. Tiba-tiba diri ini terasa iri dengan banyaknya port healing  (bersama alam) di sekitar Kuantan ini. 

Pantai Teluk Sisek.

Kami order pelbagai menu gorengan celup tepung buat makan tengahari sambil duduk-duduk di Sea Bar Ocean Cafe dan dapat duduk (berborak lagi) dengan tenang kerana pengunjung belum ramai.

Ikan, sotong, ketam celup tepung.

Menikmati keindahan pantai…

…bersama angin sepoi-sepoi bahasa.

Cipta momen… panas lit lit pun takde hal.

Usai makan kami pusing kawasan Kuantan hingga ke kawasan Gebeng dan melalui kawasan hutan yang hampir musnah dek tangan-tangan manusia. Dan sepanjang perjalanan kami penuhi dengan gelak ketawa, bercerita tentang pelbagai kenangan silam serta tentang harapan untuk hari-hari yang mendatang. By petang Shida terpaksa mohon diri untuk urusan yang lain pulak. Tapi sebelum itu kami singgah di Restoran Mustafa Cendol, mencari penyejuk tekak. Dalam cuaca yang sangat terang dan panas begini memang sedap dapat pekena cendol atau ABC.

ABC. Yummy

One, for final memory.

Alhamdulillah by pukul 5 petang Shida drop saya ke hotel semula. Thank you for the lovely time. Seharian rasa macam sedetik cuma. 

Cenderahati daripada Shida dan anak-anak.

Bye Kuantan... ada rezeki kita kembali lagi. Semoga Allah mudahkan.🌹

Cerita Kuantan sebelum ini boleh baca di sini.

Sekian.😊

Monday, 21 October 2024

Cerita lelemak Kolestrol (3)

Selepas mengambil ubat kolestrol Lipitor 20mg selama 4 minggu secara konsisten saya berhenti untuk 2 hari. Kemudian saya buat quick cholestrol blood test di farmasi. Depa ambik darah dari hujung jari sahaja. Keputusan bacaan adalah 4.16, turun sebanyak 2.66 daripada bacaan 6.82 pada 4 minggu sebelum ini. Terkejut (beruk) makcik melihat penurunan yang sangat drastik ini. Turun sebanyak 2.66 dalam masa 4 minggu sahaja. Normal ke tak normal??? Sebelum ini nak turun 1.00 dalam masa setahun pun payah. Jenuh la makcik membuat pembacaan berganda tentang effectiveness of cholestrol medication dan berapa lama untuk ianya berkesan.

[Chol 4.16 mmol/L] Bacaan pada hujung bulan Jun 2024. 

Saya teruskan pengambilan ubat untuk bulan kedua. Dan selepas sebulan, saya buat blood test lagi. Kali ini bacaan naik pulak kepada 4.35 mmol/L. Entah di mana silapnya. Nanti-nantilah kita buat pembacaan lagi. Setakat ini saya hanya sambung makan ubat untuk bulan ketiga pulak. InsyaAllah selepas sebulan nanti saya akan buat blood test lagi.

Bacaan kolestrol 4.35, pada hujung bulan Julai 2024.

Mengikut kata seorang doktor (Tiktok), kalau kita tiada masalah darah tinggi, kencing manis dan tidak merokok, kita tak perlukan ubat kolestrol. Cuma perlu tingkatkan amalan hidup sihat sehingga bacaan kolestrol turun.

Namun, oleh kerana bacaan kolestrol saya asyik menaik (walaupun berdikit-dikit) dalam jangkamasa yang lama (sejak tahun 2006) maka doktor sarankan saya ambil Lipitor untuk kemaslahatan jantung. Lagipun saya sudah mencapai umur menopos, takut body pun tak sempat/mampu nak menurunkan bacaan kolestrol secara alami walaupun mengamalkan hidup sihat. Maka saya perlukan bantuan ubat yang bagus dan berkesan sehingga bacaan kolestrol turun kepada bacaan yang sepatutnya (2 mmol/L). Lepas tu bolehlah kalau nak berhenti makan ubat. Selagi tidak mencapai target, teruslah memakan ubat seumur hidup.

“Makan je la ubat tu. Apa yang takut sangat nak makan ubat… mahal pun saya bayar, apalah sangat untuk isteri yang dah banyak berkorban… bukannya tak mampu.” Begitulah. 

Maka saya teruskan dengan pengambilan ubat kolestrol ini sehingga ke suatu masa yang ditentukan. Semoga Allah mudahkan urusan kita semua. Amiin. 🌹

{Boleh baca cerita sebelum ini di sini}.

Sekian. 😊

Wednesday, 16 October 2024

Girls day out @ TRX

Dah beberapa kali saya berangan nak jalan-jalan naik MRT ke TRX Mall, KL. Anak-anak pulak dok promote kata seronok la apa semua.

“Jom lah Nina bawa Ummi…” Kebetulan hari Jumaat beberapa minggu yang lepas, puteri sulong saya ada program di sana maka kita plan molek-molek untuk outing, girls only dan heret sekali anak no-2 dari HKL mengambil peluang lunch hour hari Jumaat yang agak panjang.

Berkenan dengan hiasan dalaman tempat ni.

Kami hanya duduk makan dan berborak di Restoran Two Sons sepanjang waktu lunch hour selama dua jam. Tak sempat nak pusing-pusing layan shopping mall dek banyaknya isu yang dibualkan. Sedar tak sedar anak no-1 dah nak kena balik opis dan yang no-2 nak kena balik oncall. 

Atas tangga pun onz.


Kemain makcik pekena steak RM180. Self treat, kata orang kampung saya. 

Dalam lif pun jadi.

Ummi’s girls forever.

Semoga ada peluang begini lagi. 🌹

Sekian.😊

Overnight @Swiss Garden Beach Resort, Kuantan

Oktober, 1-3hb, 2024.

Rasa macam dah lama tidak berpergian keluar daerah. So, bila hubby ajak teman ke program di Kuantan, awal-awal lagi kita dah marked tarikh dalam kalender dan simpan the excitement sorang-sorang. Pada hari yang dijanjikan, pepagi lagi kami keluar rumah, singgah sarapan di Q-Bistro, Taman Melati sebelum meneruskan perjalanan. Hubby drive dari Gombak ke Karak Highway hingga ke RnR Temerloh. Seterusnya giliran saya pegang stereng hingga tiba di Kuantan dan berhenti untuk makan tengahari. Kami tiba di Hotel Swiss Garden Beach Resort, Kuantan dalam pukul 2:00 petang. Alhamdulillah terus dapat masuk bilik di tingkat 1.

Sempadan Negeri Pahang sebelum masuk terowong.

Masuk terowong.

Welcome to Pahang.

Usai check-in saya cuma duduk-duduk di bilik sahaja sementara hubby attend program dari pukul 5-7 petang. Usai program, kami keluar dinner di restoran yang terletak di seberang jalan hotel. Dengan jarak yang cuma dalam 300 meter, kami menapak berjalan kaki sahaja. Walau dinner disediakan untuk para peserta, hubby lebih seronok melayan isteri terchenta dinner di luar sambil menyedut udara malam. Alhamdulillah dapat merasa nasi panas dengan ikan bakar segar dari laut. Total harga cuma RM66. Sangat berbaloi.

Ikan merah bakar petai.

Tambah sup tulang, kailan ikan masin dan telur bungkus.

Esoknya saya menemani hubby bersarapan di cafe hotel sebelum depa meneruskan program pada pukul 9:00 pagi. Oleh kerana saya masih kenyang dengan ikan bakar malam tadi, saya cuma sarapan dengan buah dan salad sahaja.

Jus dan sepinggan salad dan buah buat sarapan.

Usai sarapan, sementara masih ada masa berbaki sebelum program bermula, kami keluar jalan-jalan sekitar kawasan hotel sambil menikmati udara segar tepi pantai. Oleh kerana program hubby agak padat kami terpaksa mencuri masa antara program untuk berdua-duan. Sebagai isteri mithali, kita sangat memahami dan pandai membawa diri.

Laluan terus ke pantai hotel.

Suasana tenang tepi pantai.

POV hotel dari pantai.

Selfi/wefi satu kali.

Kami tidak berlama-lama di pantai dek bahang mentari yang mula terasa. Lagi pun program hubby bakal bermula. Sementara hubby berprogram saya keluar (dengan izin) berjalan-jalan melihat Kuantan sambil me-time.

Sekian. 😊