Thursday, 18 April 2024

Sinki Dapur Tersumbat Lagi

Sejak balik dari bercuti ni banyak pulak kerja-kerja maintenance yang perlu dilakukan di rumah ini. Alhamdulillah, saya masih diberi kekuatan dan kesabaran dalam menyelesaikan masalah yang mendatang. Hari ini saya terpaksa berdepan dengan masalah sinki dapur yang tersumbat pulak. Jenuh saya pam kedua-dua sinki dengan kudrat yang ada tapi air hanya mengalir dengan perlahan. Tak memasal bahagian bawah sinki pulak mengalami kebocoran. Tapi mungkin disebabkan tekanan pam yang agak kuat menyebabkan ianya berlaku. Maka terpaksalah saya tadah dengan baldi. Sambil tu saya buka setiap perangkap bawah sinki untuk membuang segala kekotoran dan lemak-lemak yang ada.

Kita tadah dengan baldi dulu.

Setelah habis daya upaya, akhirnya saya tuang air panas ke dalam lubang sinki dengan harapan segala lelemak yang terkumpul akan cair dan mengalir keluar ke salur kumbahan. Saya pam semula menggunakan dua pam sekaligus dengan penuh semangat. Selain mengharapkan air sinki akan mengalir, saya juga mengharapkan lelemak (kolestrol) dalam badan saya pun turut terkesan dengan ‘exercise’ dipagi hari ini. Alhamdulillah nampak ada kesan yang positif. Mudah-mudahan sinki ini masih dapat berfungsi dengan baik.

Air dah mula mengalir.

Bila disemak balik rupa-rupanya sinki ini telah memberikan servis yang sangat baik selama lebih setahun selepas diselenggara sebelum Aidil Fitri tahun lepas. Sebenarnya dah beberapa kali sinki ni tersumbat terutama bila menjelang hari raya. Cuma kali ini ia tertangguh hingga selepas hari raya. Apa-apa pun, anggaplah semua yang terjadi ini sebagai penambah ujian kesabaran. Moga Allah redha.🌹

{Boleh baca cerita sebelumnya di sini }.

Sekian. 😊

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.