Thursday, 28 September 2023

Jalan-jalan Sogo & Perpustakaan KL.

Selepas beberapa kali cubaan kami untuk ke Perpustakaan KL akhirnya semalam Allah izin untuk kami singgah sebentar. Tapi sebelum itu kita berpit-stop di tempat lain dulu. Awalnya nak keluar sarapan di Kampung Baru tapi kita simpan dulu hajat itu untuk next time. Kami terus ke Sogo supaya mudah dapat tempat parkir dan bersarapan di food mall sementara menunggu shopping mall dibuka pada pukul 10 pagi. By pukul 9.58 pagi kami dah tercongok depan pintu lift dan menjadi pelanggan pertama masuk mall.

Set toast dengan telur separuh masak, RM7.90 plus kopi C @ Bungkus Kaw Kaw.

Dah alang-alang masuk shopping mall tak logik la kalau tak shopping. So kita grab beberapa helai baju dan seluar untuk hubby sementara saya ambik satu blouse panjang. Lepas tu bolehlah ke destinasi sebenar dengan senang hati. 

Jenuh juga kami memusing untuk tiba di tempat yang dituju. Alhamdulillah ada rezeki satu kotak parkir di sebelah bangunan perpustakaan. Kena bayar parkir menggunakan Apps. DBKL caj RM4 untuk dua jam. Alhamdulillah sejak dah ada e-Wallet ni memudahkan urusan makcik membuat bayaran. 

Jenuh jugak nak up-to-date dengan segala gadget dan apps orang-orang muda sekarang. Takpe… kita belajar je pelan-pelan. Untuk lebih mudah, next time kita parking di bawah Dataran Merdeka pulak. Boleh jalan kaki terus ke Perpustakaan KL dari tempat parkir.

Pertama kali menjejakkan kaki ke sini, memang teruja. Ruang perpustakaan yang luas dan cantik, tenang dan sejuk, lengkap dengan kawasan kanak-kanak, toilet, surau, dewan serba guna dan kafetaria. Rasa rugi pulak selama ini tidak pernah mengambil manafaat dari cukai yang hubby dah bayar sejak sekian lama.

Duduk minum sambil berangan.

Seksyen Ekonomi dan Perniagaan.

Banyak set sofa untuk bersantai.

Dah lama tak baca paper secara fizikal.

Haruslah posing buat kenangan.

By pukul 1.30 petang kami beredar dari perpustakaan sebab masa parking pun dah tamat. Takut nanti kena clamp pulak. Destinasi seterusnya haruslah mencari makan tengahari pulak. So kami patah balik ke Sogo buat kali kedua. Kami parking di Basement 2 dan terus naik lift ke Food Garden di Tingkat 6. Banyak pilihan kedai makan di sini. Saya pilih makan nasi putih dengan daging harimau menangis.


Nasi putih RM2.20 + daging harimau menangis RM13.90

Hubby dengan set nasi + bawal bakar petai RM20.

Alhamdulillah selesai aktiviti jalan-jalan orang pencen untuk kesekian kalinya. Panjang umur, murah rezeki, kita repeat lagi.

Sekian.😊

Wednesday, 27 September 2023

Melayan cucu di Putrajaya & Datum Jelatek & Dinner date @ Fiske Keramat.

Sejak akhir-akhir ni aktiviti utama adalah ziarah cucu sambil mengisi perut sekerap mungkin. Dan pada setiap hujung minggu hubby akan make a point untuk bersama dengan cucu-cucu kesayangannya. Kebetulan pada hujung minggu baru ini, cucu sulong ada ujian kemasukan sekolah darjah satu maka Nenek dan Tok Ayah tidak melepaskan peluang untuk turut sama hadir memberi semangat. So pepagi lagi kami dah keluar rumah menuju ke Bangi, konon nak sarapan dulu. Disebabkan restoran penuh maka kita take away sahaja.

Restoran Mok Su Nab @ Bangi Central.

Usai take away, kita sambung jalan-jalan melihat persekitaran sekolah sambil memberi semangat kepada cucu sulong menghadapi ujian. Malangnya susah dapat tempat parking so kami hanya kirimkan doa dari jauh sahaja. Mudah-mudahan cucunda dapat menjawab apa sahaja soalan yang dikemukakan dengan tenang.

“Easy peasy je nenek…”  Alhamdulillah, nenek pun turut tenang hati.

Usai aktiviti di Bangi kami ke Putrajaya untuk parents and teacher meeting tadika cucu-cucu pulak. Sibuk pulak nenek nak ikut masuk berjumpa guru kelas cucu-cucu serta melihat pencapaian mereka padahal boleh je mak ayah depa uruskan. Apa nak dikata nenek masih merindui zaman ambik report card masa anak-anak masih bersekolah dahulu. Sekarang semua dah habis sekolah, kita tumpang sibuk dengan report card cucu pulak. Tapi mungkin untuk sekali ini sahaja. Lepas ni dah tak perlu menyibuk lagi.

Tok Ayah melayan cucu ke-2 di playground dulu.

Tok Ayah dengan cucu ke-3… sembang juta-juta.

Posing dulu sementara menunggu giliran berjumpa guru kelas. Abaikan filter melampau itu... kita rembat dari IG anakanda je ni. 😁

Balik dari Putrajaya kita minum petang di Datum Jelatek pulak. Anak nombor tiga belanja makan nasi arab dan kebab tapi saya hanya mampu minum air sahaja sebab dah terlampau kenyang menghabiskan makanan take away dari Bangi sebelum itu. Sambil tu kita bawa cucu ke-4 jalan-jalan keliling mall. Nenek hanya tolak stroler baby sahaja maklum la cucu bukan main semangat, tak daya nenek nak dukong lama-lama. 

Kemain menyembang… nanti dah besar boleh join geng gossip.


Copy cat Tok Ayah ke?

Malam, kita keluar dinner pulak. Kebetulan anak nombor 4 singgah rumah enroute dari Shah Alam ke Nilai so kita berwestern di Fiske Steakhouse & Asam Pedas Melaka. Sepatutnya signature dish adalah asam pedas tapi setakat ini saya selalu ambik western dish. Walau saya tak berapa berkenan cara depa letak kuah yang melimpah ruah, kita nikmati sahaja apa yang terhidang di depan mata. Rezeki jangan ditolak.

Roasted chicken chop. RM20.

Sate.

Peneman setia setiap hujung minggu.

Kemain… makanan penuh meja.

In a way, seronok jugak dengan aktiviti hujung minggu begini. Paling bahagia bila boleh gantung kuali dan tak perlu fikir pasal masak memasak. Tapi bak kata orang, adakala bahagia itu harus dibayar dengan harga yang mahal. Maka bersiap sedialah untuk membayar harga kesihatan akibat makan melampau.

Mudah-mudahan masih boleh bertahan dengan exercise yang dibuat sekali sekala.

Sekian. 😊

Monday, 25 September 2023

Nasi Kerabu @BEKWah Melawati

Bila hubby ajak keluar sarapan menu Kelantan, haruslah makcik ambik nasi kerabu. Kami tak pergi jauh, banyak je kedai makanan menu Kelantan kat area rumah ni. Kami singgah kat Melawati sahaja.

Kalau cari nasi kerabu saya akan tengok sambal kelapa dan kuah tumisnya. Nasi kerabu ni paling sedap pada sambal kelapa dan kuah tumisnya. Kalau sambal kelapa dan kuah tumis kena dengan selera saya maka sedaplah keseluruhan nasi kerabu itu. Satu lagi, nasinya wajib guna bunga telang. Kalau guna pewarna biru tiruan memang out. Sejak dah berusia ni, saya kurang gemar pewarna dan perasa tiruan. Ulaman pun kena yang asli juga, saya suka yang ada timun, kacang panjang, daun kesum, bunga kantan dan taugeh rangup.

Set nasi kerabu special, RM15. Daging bakar tu buat makcik seram, merah sangat warnanya. Rasa? 7/10.

How makcik eats.😁
 
How hubby eats.😀

“Ingatkan Mas orang Kelantan. Dengar kecek, sebijik mace mek Klate... napok make nasi kabu baru tahu ore luar..." Begitulah adanya.

Kopi kampung yummy… 10/10.

Dah lama juga saya mencari nasi lemak dengan sambal ikan bilis besar-besar. Menu ini yang saya pernah makan masa bersekolah di Kelantan back in the 80’s dulu. Saja nak mengimbau kenangan menu zaman tok kaduk. Pernah jumpa sekali dua, tapi bila nak repeat rasanya dah hilang. Pernah beberapa kali saya cuba masak sendiri di rumah tapi tak pernah mencapai piawai yang sepatutnya. Entah apa secret resepi yang depa guna, mudah-mudahan ada rezeki terjumpa di mana-mana nanti.

Sekian. 😊

Friday, 15 September 2023

Cuti-cuti Port Dickson, Ancasa Residence, Part 2

“Hotel berhantu ke Ummi?” Sejak saya buat booking di Ancasa Residence tetiba pulak keluar cerita hotel berhantu. Tapi takpe, kita ambik pendekatan tunggu dah lihat sahaja. Yang penting kita banyakkan selawat dan zikir sepanjang masa.

Alhamdulillah sepanjang dua malam di sana tiada kejadian pelik yang berlaku. Kami menginap di tingkat 7. Bangun pagi-pagi saya dapat menikmati keheningan pagi tepi laut dengan kicauan burung di balkoni bilik. Banyak jugak burung yang datang bertandang. Nampak jinak belaka. Tapi bak kata orang jinak-jinak merpati, bila di dekat, ditangkap lari. 

Lagak merpati dua sejoli.

Pada hari pertama hubby ajak sarapan di hotel. Saja nak mencuba katanya, so kami turun ke Kafe Safron di tingkat 1. Depa caj RM38 per person tapi macam tak berbaloi pulak. Menunya banyak yang tak kena dengan tekak tapi kita cuba sahaja, dengan pegangan rezeki jangan ditolak. Lagipun dah bayar, takkan nak membazir pulak.

Bubur nasi as always. 6/10.

Mee+kuzi ayam+acar rampai. Juga 6/10.

By tengahari hubby order nasi dengan ikan & sotong bakar via Grab. Sementara menunggu makanan tiba, kita terjun kolam dulu. Kebetulan anak-cucu datang awal so bolehlah swimming sementara pengunjung hotel belum ramai. Nenek pun tak lepas peluang, acah-acah layan cucu sambil menyelam. 

Layan cucu berenang.

Usai berenang kita sambung aktiviti for girls only. Kebetulan the girls nak membelai diri so kita masuk spa pulak. Kami booking spa urutan badan untuk empat orang. Oleh kerana depa hanya boleh accomodate dua orang sahaja untuk setiap sesi so saya masuk sesi awal dengan anak sulong. Ada beberapa pilihan urutan. Kita pilih yang medium sahaja. Depa caj RM109 seorang per session. Kesan? Entahlah… rasa macam sama je rasa badan sebelum dan selepas diurut. Nanti nak kena cari tempat urut yang lain pulak.

Bilik spa dalam pondok berbumbung hitam/kelabu tu. Ada jakuzi depan pintu masuk pondok.

Pakej yang disediakan.

By petang semua orang dah boleh turun bermain di tepi pantai. Sejak awal lagi anak sulong dah pesan supaya semua orang pakai colour cream/nude. Nak nampak cantik bila ambik gambar katanya. Okaylah, dah alang-alang nak posing, kita biarkan gambar berbicara.



Ummi’s girls.❤

Kita cover balik yang semalam.

Girlzzz.


Full house.❤

Esoknya masih nak berdondon lagi. Kali ini kita pakai denim & white pulak. Tapi sebab kalut nak check-out dan balik awal (bagi mengelak jalan jam), kita posing simple-simple kat bilik hotel sahaja. Lagipun anakanda nombor dua dah balik so kita capture apa yang tinggal, and again, biarlah gambar berbicara.



Cucu-cucu all in.

Apa-apa pun, percutian singkat ini berjalan lancar walau tidak seperti yang dirancang. Cukuplah untuk menambah momen indah sepanjang meniti usia yang berbaki ini.

Cerita Part 1 boleh baca di sini.

Sekian.😊

Laksa Johor @ Taman Melawati.

Saya tak pasti bagaimana rasa sebenar laksa Johor asli tapi itulah menu laksa yang paling saya suka selepas laksa Penang. Dan setiap kali makan laksa Johor rasanya sentiasa berbeza-beza. Pernah juga saya cuba masak di rumah tapi haruslah mengikut citarasa anak tekak sendiri. Yang penting sedap dan boleh dimakan berulang kali. 

Baru-baru ini saya singgah sarapan di sebuah restoran di Taman Melawati. Depa memang ada sediakan menu laksa Johor buat makan pagi. 

“Macamana laksa Johor kak? Okay?” Ramah pulak cashier tu bertanya masa saya nak buat bayaran. 

“Sedap… tapi pedas sikit” sejujurnya itulah yang saya rasa, so saya makan separuh sahaja. Selebihnya kita serah untuk hubby habiskan. Alhamdulillah tiada pembaziran.

Laksa Johor RM12 semangkuk.

Ada beberapa kedai lagi yang menjual laksa Johor di daerah ini. Lain kali kita cuba kat tempat lain pulak. 

Sekian.😊

Thursday, 14 September 2023

Dinnerdate @ Bukit Antarabangsa

“Jom keluar dinner. Ready lepas Maghrib terus siap.” Hmm… terasa lain macam pulak bila tetiba hubby ajak keluar malam. Saya tak ingat bila last hubby ajak keluar dinner tanpa anak-anak. Keluar malam hanya berlaku apabila anak-anak ada di rumah sahaja. Kalau berdua tu memang tak pernah la rasanya.

Kami tak perlu pergi jauh. Kawasan sekitar perumahan ni pun dah ada banyak pilihan kedai makan. Kami ke restoran Thai di Bukit Antarabangsa. Saya order kuetiau kungfu sementara hubby order nasi goreng kampung plus telur bistik. 

Nasi goreng kampung + telur bistik + kopi O for him.

Kuetiau kungfu + teh O lemon for makcik.

Kuahnya okay tapi kuetiau tak cukup garing.

Total cost, RM30. Rasa? Bolehlah buat isi perut. Kalau terkejut tergempar boleh je nak datang sini lagi.

Sekian.😊

Bila anakanda pulang bercuti dengan Low Cost Flight.

Hujung minggu lepas tamatlah sudah cuti summer anakanda putri. Walau baru je menjejakkan kaki di Jepun pada akhir bulan Mac baru-baru ini, dan ummi ayah pun dah pergi visit di sana selepas sebulan, tetap jugak nak balik bercuti di Malaysia. Belum pun sampai enam bulan berpisah… bak kata orang kampung dulu-dulu... periuk kenduri pun belum habis basuh dah nak balik semula.

Konon nak buat surprise Ummi dan ayah, anakanda putri tu beli ticket flight sendiri. Bersama dengan seorang kawannya, depa ambik yang paling murah sebab nak berjimat (padahal ayah sponsor semua). Jenuh la kita ni bertanya schedule flight, luggage dah beli ke belum, connecting kat mana, cukup ke masa nak tukar connecting flight… bla, bla, bla.

Masa balik hari tu anakanda naik Vietjet dari Tokyo Haneeda ke Ho Chi Minh City, sambung dengan Air Asia dari Ho Chi Minh ke KLIA 2. Oleh kerana dua flight berbeza, bila sampai di Ho Chi Minh depa kena keluar dulu, tunggu luggage dan angkut luggage untuk check-in semula di kaunter Air Asia, Ho Chi Minh. Malangnya flight delay dari Tokyo Haneeda. Bila depa tiba di kaunter Air Asia, masa untuk check-in dah tamat. Ticket burnt… no negotiation, terpaksa beli tiket baru untuk next flight balik KL.

Untuk balik ke Tokyo semula, depa ambik flight Vietjet ke Ho Chi Minh dan sambung flight Vietjet juga ke Tokyo Haneeda. Oleh kerana dua-dua connecting flight adalah Vietjet, kami mohon untuk guna sistem transit masa di Ho Chi Minh supaya tak perlu angkut beg untuk check-in semula macam masa balik hari tu. Timbul pulak masalah lain. Rupa-rupanya masa booking tiket hari tu depa tak beli/bayar untuk luggage. Dah la masing-masing beg berat macam isi ketul batu. Terpaksa buat bayaran extra masa check-in. Vietjet caj RM175 untuk first 20kg. Any extra kg akan kena caj RM70/kg. Berat beg anakanda 26kg. Setelah dikira tolak tambah…kami decide untuk keluarkan barang-barang yang kurang perlu dan cukupkan berat beg kepada 20kg sahaja. Untuk hand carry, Vietjet hanya allow 7kg sahaja. Hand carry maksudnya apa sahaja beg/barang yang kita bawa di tangan akan ditimbang sekali gus. (Kalau Air Asia, depa timbang cabin bag sahaja, handbag tidak termasuk, so kita hanya make sure cabin bag tu 7kg, barang-barang lain boleh sumbat dalam handbag). 

“Low cost flight memang begitu kak… semua benda ada caj… kat sini kena, nanti transit kat sana pun kena lagi… ikut nasib la..” begitulah, kita pasrah sahaja. 

Alhamdulillah pegawai di kaunter tiket tu boleh diajak berbincang. (semoga Allah membalasnya dengan sebaik-baik pembalasan). Akhirnya kami hanya perlu membayar sejumlah RM175 sahaja. Kena bayar duit tunai. Walaupun sekarang ini zaman cashless, nak jugak guna duit cash, kena tepat pulak tu sebab depa tak akan bagi baki. Alhamdulillah saya ada beberapa keping duit kertas dan syiling terselit dalam handbag, cukuplah untuk buat bayaran tepat.

Kemain panjang beratur nak check-in.

Selepas lebih satu jam beratur dan setelkan masalah, akhirnya selamat dapat boarding pass. Masa berbaki tinggal 15 minit sahaja sebelum nak kena masuk. Sempatlah anakanda makan dan minum secara ringkas sebelum nak buat drama nanges-nanges sambil bersalam peluk cium dengan semua keluarga.


Full house.❤

Bye baby. Be good as always. 

Sekian.😊

Nota kaki: 

Masa anakanda nak boarding di Ho Chi Minh untuk connecting flight ke Tokyo, depa kena bayar caj excess hand carry. Walau terselamat di KLIA, di Ho Chi Minh semua kena caj. Terpaksalah keluarkan duit lagi. Vietjet caj $100 ++ (USD) untuk semua handcarry. Cabin bag lebih 1kg plus handbag tak tahu berapa kg. Alhamdulillah hubby dah bekalkan duit cash USD dollar untuk kegunaan pada masa kecederaan seperti ini.