Friday, 11 October 2024

Masalah paip bocor lagi

Sebelum terbang ke UK pada awal tahun baru-baru ini saya setelkan semua bayaran bil (terkini) Unify, Astro, letrik dan air serta yang lain-lain mengikut masa yang ditetapkan. Semua bil adalah mengikut kadar kegunaan biasa untuk saya dan hubby. Tapi bila melihat bil air yang melambung sehingga melebihi RM1200, memang makcik terkejut beruk. Belum pernah lagi bil air sebanyak itu. 

“Badak berendam ke apa…?”

Saya mula syak ada kebocoran bila tengok meter air masih berjalan walaupun saya dah tutup semua pili air yang ada. Even dah tutup paip utama ke tangki pun meter air masih berjalan dengan laju. Terpaksalah saya main buka-tutup-buka-tutup pili utama di luar rumah. Jenuh pulak nak kena buka-tutup-buka-tutup setiap kali nak guna air. 

Akhirnya saya call SYABAS dan depa bagi beberapa nombor talipon untuk dihubungi. Alhamdulillah respon mereka sangat baik. Esoknya terus depa datang buat pemeriksaan. Akhirnya komfem memang ada kebocoran paip di bawah tanah.

Meter air tetap berjalan laju walau semua paip air sudah di tutup.

Mula-mula depa cuba tutup paip stopcock utama ke tangki atas. Tapi stuck pulak. So terpaksa ganti stopcock baru. Memang sah ada kebocoran paip bawah tanah. Setelah berbincang apa yang patut akhirnya saya bersetuju untuk buat bypass sahaja. Kalau tidak, terpaksa korek lantai mozek untuk mencari punca kebocoran.

Namun, masalah utama adalah saya akan terbang ke London dalam beberapa hari sahaja lagi. Payah jugak kalau dibiarkan paip bocor semasa saya tiada di rumah. Saya pulak kurang percaya kalau orang buat kerja di rumah tanpa kehadiran saya. Almaklumlah makcik ni suka nak mengikuti perkembangan dan hasil kerja depan mata.

Depa buka stopcock yang dah rosak pada paip utama ke tangki (yang berada di atas bumbung)

Pasang stopcock baru., tapi tidak digunakan pun bila buat bypass nanti.

“Akak kena percaya kat kami jelah…” Mudah sangat depa bagi solusi bila saya katakan kemungkinan tidak sempat melihat kerja-kerja mereka kerana saya akan terbang ke UK dalam masa terdekat. Tapi akhirnya atas dasar kepercayaan, maka saya biarkan mereka buat kerja walau dengan berat hati. Padahal boleh je kalau saya nak tutup paip utama selama dua bulan ketiadaan saya. Lepas saya balik nanti baru mulakan kerja-kerja pembaikan. Tapi itulah… dah namanya atas dasar percaya, maka kita percaya sahaja. Saya bayar deposit separuh harga dan depa mula bekerja sehari selepas saya terbang.

Malam, selepas balik kerja, anak no-3 singgah untuk melihat perkembangan hasil kerja mereka siang tadi. Memang banyak cacat-celanya, tidak seperti apa yang dijanjikan. Depa cuma potong batang paip besi pada meter bacaan dan buat sambungan dengan paip PVC dan sambung ikut luar pagar terus ke belakang rumah dan naik ke tangki. Kerja pun nampak sangat tidak profesional dan sloppy. Berdasarkan gambar-gambar yang dihantar oleh anak no-3 saya terus contact pakcik plumber tu dan minta dia ubah dan buat semula apa yang patut. 

“Pasang ikut luar pagar senang sikit kak, kalau ikut dalam banyak nak kena tebuk tebuk…” Begitulah… nak senang kerja depa je, padahal sebelum buat kerja bukan main lagi janji itu ini. Malangnya semua main cakap mulut je, tiada perjanjian hitam putih. Saya pulak lurus bendul, main percaya sahaja konon nak tolong bangsa sendiri. Saya memang panas hati, tapi apa nak di kata, kita berada jauh di perantauan, terpaksalah bersabar dan berpuas hati yang apa yang ada.

Nampak buruk bila ada tunggul besi begitu.

Laluan di luar pagar.

Paip air ke tangki pun di luar rumah…macam bodoh je.

Paip naik melintang di belakang rumah…memang hodoh.

Esoknya, depa repair dan ubah semula kedudukan yang menyakitkan mata saya. Alhamdulillah mereka mengikut arahan tapi depa hanya ubah benda-benda yang mudah bagi mereka sahaja. Paip air itu tetaplah melalui luar pagar, tidak seperti yang dijanjikan. Lagipun jenuh pulak nak ubah laluan paip air dari luar ke dalam pagar. Maka bertabahlah makcik dengan penuh kesabaran.

Depa tebuk dan buat sambungan baru dan letak kepala paip dalam rumah.

Batang paip pun dah disambung mengikut laluan keliling tepi dinding.

Batang paip melalui tepi atas bumbung.

Entahlah… hingga kini saya masih panas hati dengan kerja-kerja mereka. Dan bila bukak paip waktu tengahari, air yang keluar tersangatlah panas kerana melalui paip yang terdedah direct kepada hawa panas mentari. Oleh kerana sinki dapur dan bilik air di tingkat atas menggunakan air direct, maka perlu berhati-hati setiap kali nak buka paip takut air panas melecur terutama bila cuaca panas. Sebelum ini suhu air biasa sahaja sebab paip melalui bawa tanah. 

Tak pasti di mana silapnya. Setiap kali saya berurusan dengan bangsa sendiri, setiap kali jugak darjah kesabaran saya terpaksa ditingkatkan. Apa-apa pun, kita terima sahaja takdir yang kita pilih. Jumlah kos yang dikenakan adalah sebanyak RM2500. Mudah-mudahan Allah gantikan dengan rezeki yang lebih baik. Aamiin.🌹

Sekian.😊

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.