Saturday, 23 March 2024

60 Days In UK: 33rd Anniversary @Barnstaple-Bideford

Sabtu, 2hb Mac 2024

Hari ini hari ke-31 kami di sini. Pepagi lagi kami dah bersiap untuk meneruskan perjalanan kepada tujuan utama hubby membawa saya ke bumi bertuah ini. Walaupun badan masih penat dek baru berpindah masuk ke rumah sewa (ke-4) semalam, ianya tidak menghalang keterujaan untuk meneruskan pengembaraan.

Kami turun dari rumah pada pukul 9:30 pagi, berjalan kaki (5 minit) untuk naik train dari Kew Bridge ke London Waterloo Station. Kemudian naik tube ke Paddington Station. Dari Paddington kami ambik train Great Easten Railway untuk ke Exeter St Davids. Dari Exeter kami tukar train ke Barnstaple pulak. Dari Barnstaple kami naik bas ke Bideford seterusnya naik bas ke hotel Premier Inn, Bideford. Lepas check-in dan berehat baru perasan betapa gigihnya makcik & pakcik turun pagi hingga petang untuk tiba ke destinasi bersejarah ini.

Waterloo Underground Station… mari mulakan perjalanan.

Tiket train, hubby beli secara online sahaja.

Di Paddington, kami singgah sarapan dulu, coffee first, kata omputeh, sambil take away bekal untuk makan dalam train yang akan mengambil masa lebih dua jam ke Exeter St Davids, sambung lagi sejam lebih ke Barnstaple. Total lebih tiga jam perjalanan dengan train.

Kita minum dulu.

Usai sarapan kami terus ke platform 9 untuk naik train yang dijadualkan berlepas pada 11.03am ke Exeter St DavidsSatu hal yang saya kagum adalah waktu perjalanan yang tidak digenapkan tapi sangat punctual. Kalau depa kata waktu bertolak adalah pukul 11:03am maka tayar akan rolling pada 11:03am, tidak cepat dan tidak lambat.

Train to Exeter, bertolak tepat pada masanya.

Selpi dalam train.

Sepanjang perjalanan selama lebih dua jam itu banyak view yang menarik minat saya terutama landscape yang cantik (walau semua pokok tinggal ranting), padang ragut (ladang ternak) dengan kambing biri-biri yang memutih, ladang yang menghijau tak pasti depa tanam apa dan ada beberapa kawasan yang masih di lapisi dengan salji yang nipis.

Nampak lapisan snow yang nipis dari celah-celah pokok.

Kami tiba di stesen Exeter St Davids pada pukul 1:17pm cukup-cukup masa untuk melangkah masuk pintu train ke Barnstaple yang akan bertolak pada 1:19pm. Alhamdulillah platform train sebelah menyebelah sahaja. Train ke Barnstaple ni adalah servis biasa (bukan express) dan berhenti dibanyak perhentian. Setiap perhentian mempunyai tempat menunggu yang unik. Saya sempat snap sekeping dua gambar dari dalam train buat kenangan.

Tempat menunggu train. (Lupa pulak apa nama perhentian). 

Di stesen King’s Nympton.

Selepas lebih satu jam perjalanan kami tiba di Barnstaple, stesen terakhir, sebuah pekan kecil dalam daerah Devon. Dari awal perjalanan saya dah cari dan susun jadual pengangkutan awam (bas) di sini dan save semua info dalam hp. Kami tak jumpa perkhidmatan Uber di sini dan perkhidmatan bas pulak hanya ada setiap setengah jam. Tapi tak perlu risau sebab servis bas sentiasa menepati masa mengikut jadual. Kami cuma perlu berhati-hati takut tertinggal bas. 

Semasa tiba di Barnstaple, hujan agak lebat. Dari train station kami ambik bas no:21, (tambang £2 seorang) ke Bideford Quay. Rupa-rupanya kami tersalah hentian, kami terturun di satu hentian lebih awal.  Walau boleh sahaja nak jalan kaki ke depan tapi disebabkan hujan, hubby ajak bersabar menunggu lagi 30 minit untuk naik bas seterusnya. Kami bayar lagi £1.50 seorang. Lepas tu macam terlajak hentian pulak, dan disahkan oleh drebas bas. Takkan nak turun dan patah balik, dalam hujan pulak tu. Alhamdulillah drebar bas bermurah hati bagi kami free ride hingga ke hujung perhentian di stesen Appledore. Sempat kami menikmati keindahan pantai Instow Beach dalam hujan sebelum bas berpatah balik dan kami turun di tempat yang sepatutnya. 

“Enjoy your free ride en… have a nice day…” peramah pulak drebar bas tu menyantuni kami. Jelas tertera muka pelancung gamaknya. Pekan kecil begini biasanya everybody knows each other.

Seterusnya kami ambik bas no:15 (£1.50 seorang) dan turun di Devon Affinity Outlet, lebih dikenali dengan nama Atlantic Village dan terus daftar masuk ke hotel Premier Inn, Bideford pada pukul 5 petang. Usai solat kami keluar ke pasaraya Aldi yang terletak bersebelahan hotel mencari dinner dan stok makanan. Lepas selesai segala urusan barulah boleh berehat melepaskan lelah sambil mengagumi kegigihan diri.

Day 2: Ahad, 3hb Mac 2024

Tiga hari bulan tiga untuk tiga puluh tiga tahun…” begitu hajat dan tujuan asal kami ke sini.

Sebenarnya semalam merupakan Wedding Anniversary kami yang ketiga puluh tiga tahun. (2/3/91-2/3/24) Sehari selepas akad nikah pada 33 tahun yang lepas, hubby buat surprise, membawa isteri yang baru dinikahi pergi honeymoon untuk dua malam di Jenny Wren Cottage, Bideford. Maka hari ini kita ingin memeterai kembali ikatan yang telah terbina untuk fasa seterusnya.

Oleh kerana hari ini adalah hari Ahad, servis pengangkutan awam agak terhad maka kami sangat berhati-hati dengan susun atur perjalanan. Takut terlepas bas nanti jenuh nak kena balik jalan kaki. Maka kita susun dulu jadual (perancangan) perjalanan.

  • Bas no:15 @ Asda pukul 11.20am to Bideford Quay 
  • Bas no:21A @ Stop B pukul 11.56am to Barnstaple Town Centre stop @Sticklepath Terrace (26 & 56 min past every past hour)
  • BALIK
  • Bas  no:21/21A @platform J pukul 2.35pm atau 3.05pm to Bideford Quay (5 & 35 min past every hour)
  • Bas no:15 @ Stop B to Affinity Outlet pukul  4:00pm (last bus)

Sepanjang di sini kami hanya ingin re-create momen indah selepas nikah 33 tahun yang lalu. Sungguh tidak disangka hubby kumpul duit untuk buat surprise honeymoon selepas nikah. Makcik ni orang kampung, haruslah sangat teruja dengan sweet gesture begitu. Tapi masa tu kita masih budak, so kita turutkan saja segala perancangan dalam malu-malu kucing.

Cuaca yang cantik menemani kami di Bideford.

3.3.1991 

3.3.2024 (selepas 33 tahun)

Mercu tanda Barnstaple menyaksikan kembali penyatuan dua jiwa selepas 33 tahun.

Langit pun turut ceria dan gembira.

Usai mengamit kenangan di Barnstaple, kami ambik bas untuk balik ke Bideford semula. Sementara menunggu bas untuk balik hotel kita imbau kenangan di sekitar kawasan pekan kecil ini pulak. Hujan renyai mula turun tapi tidak menghalang makcik & pakcik meneruskan langkah. 

Setelah beberapa ketika, hujan pun berhenti dan pelangi mula muncul. Sejak hari pertama di bumi UK ini dah masuk kali ketiga saya menyaksikan pelangi yang muncul selepas hujan. Dan bila ia muncul lagi di tempat bersejarah ini amat terasa mendalamnya kata-kata orang bijak pandai tentang hadirnya pelangi selepas hujan. Benarlah kata-kata ‘selepas turunnya hujan pasti ada pelangi’. Begitulah juga kehidupan berumah tangga di mana keindahan dalam kehidupan pasti hadir selepas ujian kesusahan. Semoga Allah sentiasa payungi ikatan pernikahan ini dengan Sakinah, Mawaddah wa Rahmah sehingga akhir hayat.

Nak capture pelangi di belakang sana, tudung kelepek pun takde hal.

Tarka the Otter.

Day 3: Isnin 4hb Mac 2024

By pukul 9:30 pagi kami dah check-out dan letak kunci bilik ke dalam drop box sahaja. Sepatutnya kami nak menyewa di Jenny Wren Cottage, tempat kami menginap back in 1991 dahulu sambil nak re-create gambar depan cottage. Malangnya cottage tersebut telah tiada dan kami pun tak pasti di mana tapak asalnya. Tanya pakcik Google pun tiada jawapan. Sebagai alternatif, kami menginap di Hotel Premier Inn, Bideford dan kita gamit memori dari jauh.

Depan Jenny Wren Cottage pada 4.3.1991.

4.3.2024

Depan hotel Premier Inn, Bideford pada 4.3.2024.

By the time kami ingin meninggalkan Bideford cuaca masih hujan renyai, sejuk dan berangin seakan menangisi pemergian kami. Adakah kami perlu menyambung percutian ini lagi? Ataukah alam ingin kami berjanji untuk kembali ke sini lagi?

“Seronok jugak duduk kampung sini, tenang, aman damai… jom beli rumah, duduk sini.” Begitulah. Impian (anganan) yang sama hinggap setiap kali kami merasakan kedamaian di sesuatu tempat.

Dari Bideford kami naik bas ke stesen keretapi Barnstaple yang mengambil masa setengah jam. Oleh kerana masa masih berbaki dua jam sebelum train bertolak ke Exeter, kami duduk menunggu sambil minum di Costa Coffee yang terletak berhadapan dengan stesen.

Kita sarapan dulu.

Time to go… ada rezeki kita kembali lagi.

Stesen keretapi… Selamat tinggal Barnstaple.

Kami ambik train pukul 12.30 tengahari dari Barnstaple terus ke Exeter St Davids, kemudian tukar train ke London Paddington, seterusnya ambik tube ke Waterloo dan naik train ke Kew Bridge dan tiba di rumah dah malam. 

Kudapan dalam train.

Alhamdulillah selesai satu perjalanan penting untuk keutuhan jiwa raga. Terima kasih Allah untuk segala kurniaan kesihatan dan rezeki yang melimpah ruah bersama pasangan yang baik hingga kini.❤

Semoga Allah berkati kehidupan seterusnya. Amiin.

Sekian.😊

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.