Saturday, 31 August 2019

Jogging, jogging, jogging.

"Sedap peluk Mas... dah berisi." 

Bukan setakat kawan-kawan yang komen saya dah berisi, anak-anak pun selalu mengata Umi dah gemok. Dan paling meyampah bila kita tahu mesin timbang tidak pernah menipu. Setiap kali timbang berat, jarum meter tu asyik menambah sahaja, tak pernah menurun padahal asyik berdiet, berkebun dan berjogging tak pernah miss. 

"Okay la tu... gemok pun takpe asalkan sihat." 

Minggu lepas kami berjogging lagi. Biasanya kami berjogging di Taman Tasik Ampang Hilir. Kali ini  kami ke Taman Tasik Perdana pulak. Sekali-sekala sahaja kami datang ke sini sebab agak jauh. Namun begitu di sini lebih menarik berbanding Taman Tasik Ampang Hilir. Kawasannya lebih luas dan banyak tempat yang belum dijelajahi. Biasanya kami  hanya jogging keliling tasik sahaja. Kali ini hubby ajak ikut laluan baru pulak.

Bukan main mengembang dan membulat...

Nama je jogging tapi sebenarnya saya banyak berjalan dari berlari. Kebetulan di situ ada kawasan berbukit dan bertangga so hubby suruh saya panjat tangga untuk tambah stamina. Sungguh, memang semput. Nak sampai ke puncak pun kena tiga kali buat stop pit. Saya tak pasti berapa anak tangganya. Next time, kalau panjang umur dan ada rezeki, saya pi kira semula. Jeles tengok hubby steady je panjat tangga sampai ke atas.


Kat atas tu terletak Memorial Tun Razak. Tapi masa kami sampai tu depa tutup. Rasanya opening hours dia 10.30 pagi hingga 5.30 petang sahaja. Masa kami jogging tu dah pukul 6 petang. So kami pusing-pusing kat luar kawasan sahaja sambil warm down. Lepas tu terus briskwalk sepanjang jalan Cenderawasih menuju ke bahagian Taman Tasik semula. Malas nak turun tangga, takut sakit lutut.



PS: Lepas ni kena maintain jogging lagi disamping cuba turunkan berat badan pulak. 

Tanam keledek dan nenas dalam pasu.

Akhir-akhir ni seronok pulak nak menambah koleksi tanaman dalam pasu saya. Sebelum ni saya cuma tanam pokok hiasan dan beberapa pokok herba untuk kegunaan di dapur. Baru-baru ni saya ubah beberapa pokok lidah jin daripada pasu ke atas tanah. Jadi bertambah pulak lebihan pasu-pasu kosong berselerak kat tepi rumah ni. Maka mulalah sel-sel otakku ligat bergabung.

Pokok lidah jin dah selamat atas tanah

Kebetulan baru-baru ni saya beli ubi keledek. Hajat nak pekatkan kuah mee kari tapi planning tak menjadi. Mee ke mana, kari pun entah ke mana. Ubi keledek tu siap bertunas pulak. Maka saya campak je ke dalam pasu dan tambah tanah. Alhamdulillah pucuknya makin galak bercambah. Saya tak pasti bagaimana kesudahannya nanti. Saya tidaklah menaruh harapan yang tinggi pada ubi keledek ini. Cuma seronok nak menambah minat menanam sahaja. Kalau ubinya menjadi tu kira bonus. Kalau tidak menjadi saya anggap sahaja tiada rezeki.

Tanah sikit sangat, tak cukup untuk tenggelamkan bahagian ubi,

Masih galak menggeluarkan pucuk baru.

Lepas tu saya tambah pulak dengan jambul nenas. Sebelum ni biasanya saya bakulsampahkan sahaja jambul-jambul nenas tu tapi kali ni nampak menarik pulak. So kita tambah koleksi tanaman dalam pasu lagi. Alang-alang pasu dah ada, tanah pun dah ada so kita cuba jaya. Asalnya saya buat hiasan dalam cawan, dan pos gambar dalam FB. Ada beberapa kawan yang cadangkan supaya saya tanam, maka datanglah idea menanam nenas dalam pasu pulak. 

Jambul nenas dah mula mengeluarkan pucuk baru.

Jambul nenas dalam cawan.

Katanya kena tunggu tiga tahun baru mengeluarkan hasil. Sabar jelah. Kita tunggu kejadian seterusnya.

Sunday, 25 August 2019

Pawana Isabella

Masa dok susun aktiviti keluarga baru-baru ni tiba-tiba sahaja hubby cadang nak pi tengok teater. Kebetulan masa berbincang tu kami dok melepak depan TV, terkeluar pulak iklan pasal teater bangsawan kat TV3, maka terus sahaja bujangku buat booking online. Terus beli empat tiket, siap pilih tempat duduk, bayar guna online banking sahaja. Kami pilih tempat kat Grand Circle kat tingkat atas sebab nak tengok pentas sepenuhnya. Harga RM90 seorang. 

Maka malam tadi, usai solat Maghrib kami terus gerak ke Istana Budaya, Jalan Tun Razak. Alhamdulillah jalan tak berapa sesak. Kami ikut hiway DUKE dan tiba sana dalam pukul 8.15 malam. Parking agak penuh jadi kami terpaksa berjalan agak jauh. Sebenarnya tak jauh manapun, masih dalam kawasan parking Istana Budaya. Tapi sebab dalam hujan gerimis jadi mengada-ngada pulak.

Oleh kerana kami buat booking online, so kena beratur kat kaunter tiket untuk dapatkan pass masuk. Bagi nombor IC sahaja lepas tu depa print dan serahkan slip pass masuk. Lepas dah dapat tiket kami lepak-lepak dulu sementara tunggu pintu panggung dibuka sambil bergambar kenangan. 






By pukul 8.30 malam depa buka pintu. Tak perasan pulak ada dress code dan wajib pakai kasut bertutup. Alhamdulillah kami pakai kasut proper kecuali bujangku. Maka terpaksalah dia kena tahan di luar dahulu. Lepas dah tutup lampu panggung, sejurus sebelum persembahan bermula baru dibenarkan masuk. 

Semasa persembahan tidak dibenarkan mengambil gambar atau membuat rakaman. HP pun kena letak pada mode silent. So sementara pementasan belum bermula, kita ambik gambar kenangan dalam panggung dahulu. Bukan senang nak masuk dalam panggung Istana Budaya. Sebab first time, makcik jadi jakun sikit.







Teater Pawana Isabella ni pasal rakyat Melayu di Tanah Melayu Aksara yang malas bekerja dan mengharapkan pendatang Barok untuk memakmurkan hasil bumi mereka. Asas penceritaannya berkisar tentang pertentangan antara penduduk asal Melayu Aksara dan kaum pendatang Barok. Ceritanya dikembangkan dari lagu 'Anak Kecil Main Api...' Menarik, tapi ceritanya agak meleret dan ada bahagian yang tak tercapai dek akal saya yang tidak pernah menonton teater bangsawan sebelum ini. Saya sempat terlelap beberapa kali sebelum depa break untuk 15 minit. Kami keluar sekejap pergi beli roti dan minum air panas di kafe yang terdapat di tingkat bawah Istana Budaya. Sempat ke tandas sebelum menonton persembahan seterusnya.

Overall, not bad. Pelakon pun okay je. Ada Janna Nick, Syafik Kyle, Johan Raja Lawak dan isterinya serta Afdlin Shauki. Selainnya adalah pelakon teater yang saya tak kenal. Kalau nak tengok bangsawan lagi, maybe. Kalau teater lain mungkin better.

Tuesday, 20 August 2019

Temerloh pulak.

"Dayah cuti hari apa?"

Sejak depa buat HO ni dah macam rutin pulak setiap minggu saya akan bertanya puteri tengah tu soalan yang sama. Dan dah jadi rutin juga hubby akan susun jadual untuk ke Temerloh kalau ada long weekend.

Kebetulan ada long weekend baru-baru ni maka kami pun menghala ke Temerloh. Dah lama tidak travel berdua-duaan. Kami gerak dalam pukul 10 pagi, bajet tiba sana by lunch hour. Terus pick up Dayah dan pergi lunch di restoran Selera Patin Bangau Tanjung. Katanya di situ rasa patin tempoyaknya sangat enak. Sungguh, memang sedap, tapi bergantung kepada selera masing-masing. Saya suka patin pais.


Hubby dan anak menantunya.

Restoran ni terletak dalam kampung melalui kawasan dusun. Kebetulan semasa melalui dusun itu saya terpandang seorang makcik menjual rambutan. Dia main longgok-longgok je dengan harga RM5 untuk selonggok rambutan. Saya ambik dua longgok. Kemudian dia offer 3 longgok untuk RM10. Memandangkan hari yang panas dan rambutannya pun masih banyak saya offer untuk beli semuanya.

"Saya ambik semualah makcik. Senang makcik dah boleh balik lepas ni." Akhirnya saya ambik semua yang ada berlonggok-longgok tu dan bayar dengan harga kasih-sayang. Hubby terkejut tengok saya angkut rambutan penuh bonet kereta. 

Selepas makan kami lepak-lepas di tepi Sungai Temerloh sementara menunggu masa untuk balik KL semula. Kami tidak bercadang untuk bermalam di Temerloh memandangkan jarak perjalanan hanya memakan masa kurang dari dua jam sahaja. Pendek kata boleh balik hari.


Sebelum tu kami singgah beli buah durian dan mangga untuk dimakan di rumah Dayah. Harga buah-buah semua tu haruslah sangat murah berbanding di KL. Saya dah bawa bekal pulut untuk dimakan dengan durian. Jadi sebelum balik KL kami pekena pulut durian dahulu. Rambutan penuh bonet kereta tu saya bawa balik KL. Alang-alang dah bertambun-tambun tu saya buka kulit dan simpan dalam peti sejuk untuk sajian anak-menantu dan cucu bila depa balik rumah nanti.



Label itu perlu.

Banyak kulit dari isi.

PS: Masa kat kampung dulu-dulu saya pernah buat jam rambutan. Tapi itu masa dulu. Sekarang suasana dah berubah. Rajin pun dah berukar jadi malas...

Sunday, 18 August 2019

Kemboja belum berbunga....

Asalnya saya suka kemboja putih. Saya ada tanam sepohon dan sempat berbunga dua kali. Kemudian batangnya mereput dan mati begitu sahaja. Lama juga saya biarkan halaman rinduku tanpa pokok kemboja. Semasa ke nursery bunga awal tahun baru ni, saya melihat-lihat semula koleksi pokok kemboja yang ada di sana. Malangnya depa tak ada stok kemboja putih. Yang ada hanya beberapa jenis koleksi dengan bunga berwarna merah dan pink pekat sahaja. Ada satu pohon yang menarik perhatian saya. Lupa pula nama spesisnya. Termakan hasutan pakcik nursery tu supaya saya beli pokok tu. Tinggi lebih kurang dua kaki dan berbunga pink pekat dan sangat wangi. Dia offer harga RM25 sahaja. Balik rumah saya terus tanam dalam pasu dan letak depan rumah sederet dengan pokok bunga ros saya. 

February 2019: Masih segar berbunga

Masa dalam pasu tu bunganya memang sangat cantik dan mewangi. Setiap hari saya bersembang dengan kemboja itu sampai tak perasan saya seakan mengabaikan pokok-pokok yang lain. Semasa saya sibuk mengalih dan menyusun-atur semula pasu-pasu baru-baru ni saya decide untuk letak pokok kemboja tu di luar pagar dengan harapan suatu hari nanti dia akan membesar dan merimbun menjadi teduhan dari terik mentari. 

Ogos 2019: Membesar dengan yakin. 

Alhamdulillah, walaupun berada di luar pagar saya tidak mengabaikannya dan meneruskan penjagaan seperti biasa. Pohonnya nampak segar dan mengeluarkan lapisan cabang yang baru. Malangnya hingga kini dah masuk enam bulan selepas bunga terakhirnya gugur masih belum mengeluarkan bunga baru.

Ada lagi sepohon saya tanam daripada batang yang bujangku bawa balik dari Ipoh, Perak pada hujung tahun 2018. Saya tanam terus atas tanah di halaman rinduku. Memula tanam tu macam tak ada rupa nak hidup. 

Daun asal mula gugur satu persatu.

Selepas dua minggu ditanam semua daunnya gugur tinggal batang sahaja. Tapi saya tetap gigih menjaga dan menyiram setiap pagi dan petang. Memandangkan batangnya tidak kering, saya teruskan penjagaan seperti biasa. Setiap minggu saya bubuh baja organik. 

Pelik benor rupa hidung berhingus...

Selepas lebih sebulan baru nampak basah-basah dihujung batangnya. By bulan Mac 2019 selepas tiga bulan hidup dengan batang tanpa daun, hujung batangnya mula menampakan pucuk baru nak keluar daun.

Mula keluar pucuk daun.

Kini selepas lebih lapan bulan, daun makin lebat tapi bayang bunga belum nampak lagi. Tak sabar nak tengok rupa bunganya. Katanya, kemboja ini berbunga merah hati. Mudah-mudahan tercapai hajat.

Mula berdaun lebat dan mengeluarkan cabang baru.

Mudah-mudahan depa hidup subur dan dapat menyejukkan kawasan halaman rinduku ini.

"Umi buat la rumah konsep Bali..." Banyak pulak idea bujangku.

Bali tak Bali, saya tak pandai nak berkonsep-konsep bagai. Asalkan rumah kemas dan bersih sudah cukup bagi saya. 

Tuesday, 13 August 2019

Cat pasu bunga pulak.

Sejak akhir-akhir ni mood menyusun pasu datang lagi. Seperti biasa bermulalah angkat letak, angkat letak, pusing sana, pusing sini, susun sana, susun sini yang tak berkesudahan. Kalau sebelum ni saya cuma kisahkan kedudukan pasu sahaja tapi kali ini melarat kepada rupa pasu pulak. Pabila mata mula mencari cela maka ternampaklah cela di sana sini.

"Biar jelah Umi. Cantik dah tu. Nampak raw...." Sekali sekala bujangku melayan jugak kerenah Umi yang bermacam-macam ini.

Raw sangat.

Raw tak raw tapi mata saya tak boleh lelap asyik memikirkan rupa pasu itu. Sebenarnya tak susah mana pun nak bagi nafas baru. Pergi je kedai hardware minta cat yang sesuai untuk ceramik. Depa akan bagi ala-ala cat minyak yang boleh cat permukaan kayu, ceramik dan sebagainya.

Cat RM6.50 plus berus RM4.50

Pastikan pasu dilapik supaya cat tidak menitik ke lantai.

Tak sampai setengah jam siap satu pasu. Tapi kena berhati-hati jangan bagi kena tangan, susah nak basuh nanti. Kena pakai thinner pulak. 

Dah siap satu pasu mula nak melarat ke pasu lain pulak. Lagipun cat masih banyak. Saya beli yang saiz kecik sahaja, calit sikit-sikit pun dah cukup. Rupa-rupanya hanya perlukan sedikit sahaja. Sayang pulak nak biarkan so kita teruskan operasi mengecat pasu-pasu lain pulak.

Sebelum

Selepas

Dah namanya aktiviti angkat-mengangkat pasu yang berat maka haruslah mendatangkan kesan kepada tubuh yang dah dihujung usia ni. Bermulalah sesi urut mengurut pulak. Sapu minyak dan urut sendiri sahaja. Kita tahu mana tempat yang lenguh dan sakit, kat situlah kita sapu minyak dan usap sendiri. Sehari dua jugak nak back to normal. Lepas tu sambung lagi urusan di halaman rinduku yang tak pernah habis... :D

Eidul Adha 2019

Alhamdulillah tahun ini kami beraya ala kadar sahaja. Dari mula lagi kami tidak merancang untuk pulang ke mana-mana. Kebetulan anak-anak semua dapat pulang bercuti maka kita berkumpul sahaja di rumah Ampang sambil melihat live-updates kawan-kawan yang bersesak dalam jam untuk ke destinasi masing-masing. Oleh kerana ada anak-anak saya yang hanya dapat cuti selama dua hari sahaja, jadi kami tidak mahu membuang masa meredah jalan jam. Masa yang seciput itu kami gunakan untuk aktiviti keluarga di rumah sahaja.

Seperti biasa setiap kali hari raya hubby akan susun menu juadah hari raya. Seperti biasa juga menunya haruslah nasi dagang. Jadi beberapa hari sebelum hari raya saya dah siap beli ikan tongkol, siang dan rebus dengan asam keping dan garam. Rebusan ikan tongkol ni lagi lama disimpan lagi sedap. Tapi tidaklah sesedap ikan tongkol segar dari negeri Cik Siti Wan Kembang. Sehari sebelum hari raya saya sediakan ayam, daging dan bahan-bahan masakan yang diperlukan. Petang sebelum hari raya saya dah siapkan gulai ikan tongkol dan gulai ayam untuk nasi dagang serta rendang daging untuk dimakan dengan ketupat palas. Memasak menjadi mudah sebab saya dah sediakan bahan asas masakan lebih awal. Malam, sebelum masuk tidur saya  hanya perlu rendam beras dan pulut untuk persediaan membuat nasi dagang untuk esoknya. Beras dan pulut ni perlu direndam sekurang-kurangnya selama  6 jam. Pada pagi hari sebelum bersolat raya saya hanya perlu mengukus nasi dagang dan panaskan semua lauk yang ada sahaja. Tugasan mengemas dan menghidangkan diserahkan kepada anak yang bercuti dari solat. Alhamdulillah setiap kali ada sahaja anak yang Allah bagi cuti dari bersolat hari raya. Kadang-kadang umi sendiri yang dapat cuti, maka sehari suntuklah saya terpacak di dapur.

Kami bersolat hari raya di Masjid Ukay Perdana sebelum sarapan raya bersama. Usai makan haruslah dipenuhi dengan sesi fotografi keluarga untuk kenangan.

Macam terpaksa je.

All the singles but unavailable...

Baru nak susun kedudukan memasing..



Full house di Eidul Adha.

Sebelah petang, usai solat Zohor, kami keluar berjalan-jalan di The Curve, Damansara. Sedar tak sedar tiba-tiba dah malam. 



Daddy' girls....

PS: Saya tak pasti apa pengorbanan yang saya dah buat sempena Eidul Adha kali ini. Yang pasti kali ini kami dapat mengisi masa berkeluarga yang sangat berkualiti. Alhamdulillah. Mudah-mudahan Allah menerima amalan kita semua....

Wednesday, 7 August 2019

Mesin rumput elektrik

Berpetang-petang dok merenung rumput di halaman rinduku ini. Dah tebal sangat dengan kemucut dan rumput-rumput liar yang menumpang duduk. Last potong sebelum hari Raya Aidil Fitri yang lalu. Ni dah nak masuk hari Raya Aidil Adha. Bermakna dah nak masuk dua bulan rumput tu dibiarkan berkembang biak. Saya cuma trim sikit-sikit menggunakan mesin manual. Penat jugak nak tolak dan tarik mesin rumput menggunakan kudrat yang dah tinggal seciput ini. Kadang-kadang saya duduk mencabut kemucut yang muncul dicelah-celah rumput yang ada. 

Sebelum ini saya memang upah orang potong rumput. Dia selalu muncul pada hujung minggu sahaja. Memandangkan saya asyik hilang dari radar pada setiap hujung minggu maka tinggal lah rumputku tanpa belaian. 

Subur bagai dibaja-baja.

Tiba-tiba terlintas hajat nak mencari mesin rumput baru. Dek kerana nak mengurangkan penggunaan tenaga dalam diri maka kita cari yang elektrik pulak.

"Bahaya la Umi... Kang ada yang putus kepala..." Anak bujangku banyak sangat tengok youtube.

Sebenarnya cuak juga nak menggunakan peralatan elektrik ni. Tapi disebabkan ia sentiasa datang hingga terbawa-bawa dalam mimpi maka kita kabulkan juga hajat nan satu ini. So pepagi hari tadi saya call kedai hardware berdekatan rumah saya. Malangnya depa takde stok. So saya pergi ke Taman Permata sebab tak simpan pulak nombor telefon kedainya. Kat sana ada beberapa kedai hardware yang biasa saya kunjungi. Maklum la makcik ni suka DIY, jadi banyak lah juga kedai-kedai hardware yang saya dah biasa. Malangnya semua takde stok. Depa cadangkan pergi cari kat Melawati. Tiba-tiba baru saya teringat kat Melawati tu ada kedai Ace Hardware, harus la semua barang ada. Tapi kat situ selalu ada masalah parking. Kereta sangat banyak. Dek kerana nak memenuhi jugak hajat yang mulia ini maka saya double park dan tinggalkan nombor telefon kat dashboard dan tawakkal sahaja berjalan masuk kedai.

Ada beberapa jenis mesin yang depa syorkan tapi saya dah ada spesikasi sendiri. Saya cuma nak yang ringan, mudah diurus dan sesuai untuk halaman rumah sahaja. Hasilnya Black and Decker GL300 berharga RM145. Malas nak fikir banyak-banyak saya setuju sahaja. Depa bagi waranti 6 bulan.

Tutorial cara guna.

Nak kena cari wayar extension sebab kabelnya hanya 6 meter sahaja.

Mudah-mudahan dapat bertahan lama.

Sebenarnya ada je depa jual kat Shopee. Same brand harga cuma RM130, siap dapat free gifts lagi. Tapi disebab saya suka beli barang yang boleh nampak di mata, boleh dirasa dengan tangan dan boleh dicuba jika perlu, maka saya suka cari di kedai. Barang-barang online ni kekadang indah khabar dari rupa. Bila dah tahu rupa bentuk barangnya nanti lain kali baru boleh order online.



Free gifts

Balik je terus buat 'test drive. Alhamdulillah berjalan lancar. Cuma biasalah, sebelum jadi pro, haruslah halaman rinduku menjadi mangsa munculnya tompokan ala-ala kepala botak. Tangan masih belum stabil untuk pastikan hasil potongan yang sekata. Ada bahagian yang cantik, ada yang nipis tinggal akar sahaja, ada yang terus botak. Mudah-mudahan selepas beberapa kali cubaan nanti akan mendapat hasil yang memuaskan.

Tuesday, 6 August 2019

Weekend break away.... katanya.

"Kenapa Ummi nak datang?" Kesiankan Ummi gamaknya bila saya bagitahu puteri bongsu tentang planning kami hujung minggu hari tu.

Sejak akhir-akhir ni saya selalu cari peluang untuk bertemu dengan mereka yang dekat di hati saya. Kita selalu take for granted yang anak-anak akan sentiasa pulang ke pangkuan bonda namun tiada salahnya sekali-sekala kita pulak yang mencari mereka.

Alhamdulillah hubby tidak lokek nak keluar belanja. Walau tak dapat turut serta, flight tickets, sewa kereta dan sewa hotel semua covered. Nikmat mana lagi yang nak kita dustakan.

So awal-awal pagi hari Jumaat saya memulakan perjalanan ke KLIA2, bagi mengelakkan jalan sesak. Saya pergi berdua sahaja dengan sibujang. Mulanya nak ambik grab tapi congak, kira, tolak dan tambah, kosnya lebih murah kalau guna kereta sendiri. Lagipun lebih mudah nak susun masa sendiri. Biasanya kami parking kat blok A. Tapi disebabkan dah penuh kami menghala ke blok B. Alhamdulillah masih banyak ruang parkir.

Tempat parkir, jangan lupa.

Alhamdulillah, flight on time. Kami tiba di Alor Setar dalam pukul 11.30 pagi, ambik kereta sewa dan terus gerak ke Kangar. Sebelum tu kami singgah makan tengahari di Warung Ikan Bakar Din, pekena sup tulang dengan ikan kering dan ulam petai rebus. Dah lama mengidam menu simple gitu.

Lepas makan kami ke Petronas isi minyak kereta kemudian terus bergerak ke Beseri. By pukul 1 tengahari kami tiba di sekolah Nina. 

"Umi, beli McD tau.."

Lepas ambik Nina, drive thru McD Kangar, kami patah balik ke Alor Setar semula untuk daftar masuk Hotel Tabung Haji, Alor Setar. Memandangkan dah beberapa kali kami ke Kangar asyik menginap di Hotel Putera Regency sahaja maka kali ini hubby dah susun awal-awal supaya kami tidur di Alor Setar pulak. Takdelah bosan sangat asyik tengok bandar Kangar sahaja.

Dah alang-alang menginap di Alor Setar maka kita cari aktiviti untuk mengisi masa yang terluang. Kebetulan musim durian masih berbaki, kita pi cari durian kampung. Alhamdulillah ada saudara sudi mengundang pekena pulut durian di rumahnya. Depa ada dusun sendiri so kita pi tumpang makan sahaja...




Besar durian dari orangnya...

Selepas puas makan durian kami pi pusing-pusing Aman Central sebelum balik hotel untuk berehat kerana esok paginya kami akan bergerak ke Penang pulak. 

Seperti biasa sebelum keluar kami akan sarapan dahulu di cafe hotel. Depa bagi sarapan percuma, padahal dah termasuk dalam sewa bilik hotel. Banyak juga pilihan menunya. Dah beberapa kali saya menginap di Hotel Tabung Haji Alor Setar ini. Pilihan makanannya pun boleh tahan.

Cucur cicah sosnya memang terbaik

Lepas check out kami terus gerak ke Airport Penang untuk pick seorang lagi anak bujang yang akan join ummi berholiday. Kami gerak dari Alor Setar pukul 10.30 pagi dan tiba di Airport Penang pukul 12 tengahari. Jalan sedikit sesak di jambatan Pulau Pinang.


Full house...single but not available.

Kata orang, tak Penanglah kalau tak pekena nasi Kandar Hameediyah. Punya la panjang orang beratur tambah pulak waktu puncak lunch hour, tapi gigih join the queque. Sabor jelah 


Hampir satu jam beratur barulah dapat tempat duduk. Entah apa yang sedapnya. Pada saya biasa sahaja. Makan asal kenyang perut sahaja. Tapi disebabkan bawa budak-budak hipster ni, kita layankan aje.



Lepas dah kenyang kami terus ke Leisure Cove Hotel and Apartment. Asalnya kami booking untuk bilik hotel tapi kebanyakannya penuh. Jadi kami ambik sahaja mana-mana yang termampu dan reasonable keadaannya asalkan berdekatan dengan pantai. Hotel ni terletak di Tanjung Bungah berdekatan dengan pantai Batu Ferringhi. Ada dua bilik tidur, dua bilik air, ruang dapur dengan meja makan dan ruang santai/tamu dengan sofa. Cukup lah untuk merehatkan badan untuk satu malam. 

Kawasan dapur.

Ruang tamu.

Setelah berehat sebentar, sebelah petangnya kami keluar untuk bersiar-siar di Pantai Batu Ferringhi. Pantainya cantik dan bersih. Orang pun tak berapa ramai, keadaan agak selesa untuk kami menikmati suasana pantai di petang hari. Kami tak join apa-apa aktiviti pun, hanya duduk-duduk syok sendiri sambil bermesra dengan alam.

Sabor je abang melayan adik gedik.

The bujang in the house

Us only...free and easy

Banyak jugak aktiviti yang ada di sekitar pantai ini. Boleh sewa bot. Depa ada bot kecik, sederhana dan besar. By waktu maghrib depa dah mula hentikan aktiviti pantai. Saya sengaja menunggu waktu sunset sambil melihat bagaimana depa menutup aktiviti dengan menarik bot-bot naik ke darat. 

Traktor untuk menarik bot-bot yang digunakan.



Sambil menikmati sunset kami menjamu selera rasa Thai di warung berdekatan. 

Siakap stim lemon, calamary, udang butter, telur bistik, tomyam campur dan kailan ikan masin.

Planningnya malam tu nak bersiar-siar di sekitar pasar dan Padang Kota tapi dah habis tenaga.  Jadi kami balik berehat di hotel sahaja. Esoknya seawal pukul 8 pagi kami dah check-out. Dah alang-alang duduk penang kami ambik peluang untuk menziarahi saudara di Taman Alma, Bukit Mertajam. Oleh kerana hotel kami tidak menyediakan sarapan, kami terus pergi sarapan mihun goreng di sana. 

Sisters and cousins.

By pukul 11 pagi kami dah gerak ke Perlis semula. Nak kena gerak awal sebab nak ke Padang Besar pulak. Tak sah kalau pi Perlis tak lajak ke Padang Besar. Jalan agak lengang dan dua orang bujang tu bergilir-gilir bawa kereta, pecut macam jalan tu depa yang punya. Alhamdulillah kami tiba di sana agak awal, jadi sempatlah pusing-pusing gerai jualan dengan tenang.

Jalan kosong dari Penang ke Kedah

Ke Padang Besar...

Rambang mata tengok kerepek.

Makan tengahari... menu Thai lagi.

Konon nak belanja anak-anak. End up ummi yang borong sakan... Lepas makan kami terus gerak ke sekolah Nina. Sebelum tu singgah solat jama' Zohor Asar di Masjid Beseri.

Bye baby... till jumpa lagi

Gediksss..

By pukul 5.30 petang kami tiba di airport Alor Setar. Selepas pulangkan kereta sewa kami melepak di kafe airport sambil minum petang. Alhamdulillah flight on time dan semuanya berjalan lancar.


Lama pulak nak menunggu luggage.

Alhamdulillah weekend break away yang berbaloi, penuh dengan aktiviti bersama anak-anak. Yang pasti asyik makan, makan dan makan... Alhamdulillah anak-anak semuanya mendengar kata, follow je semua apa yang ummi dah susun...